SENAWANG - ‘Bantulah keluarga ini bagi mengelakkan mereka daripada melakukan perkara yang boleh menyalahi undang-undang untuk meneruskan hidup.’
Itu antara ayat yang tertulis pada sekeping kertas yang dibawa tiga kanak-kanak perempuan dan lelaki berumur antara 6 hingga 12 tahun di sekitar Dataran Senawang dekat sini, untuk meraih simpati orang ramai agar menghulurkan sumbangan.
Tinjauan Sinar Harian, malam kelmarin, mendapati kegiatan meminta derma itu tertumpu di restoran dan bazar Ramadan di Dataran Senawang.
Seorang kanak-kanak pengutip derma yang enggan dikenali berkata, mereka melakukan kegiatan itu untuk menampung kos perubatan bapanya yang sakit di hospital.
“Saya kutip derma ini untuk dia (bapa) kerana kami orang susah dan amat memerlukan wang,” katanya yang kelihatan agak sukar memahami soalan dikemukakan wartawan Sinar Harian ketika menemui mereka di sebuah restoran, di sini.
Tiga kanak-kanak terbabit seterusnya beredar dari restoran berkenaan setelah menerima wang namun tidak lama kemudian, muncul dua kanak-kanak lain yang menggunakan taktik sama untuk meraih simpati.
Malah, dua kanak-kanak yang baru tiba itu dilihat sempat menghilangkan dahaga dengan minuman percuma disediakan pemilik restoran dan menunjukkan rasa kurang senang apabila gambar mereka dirakam wartawan.
Sementara itu, seorang pekerja restoran terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Aman, 28, berkata, kelibat kanak-kanak mengutip derma adalah pemandangan biasa di sekitar Dataran Senawang.
“Kita pun tak boleh buat apa-apa sebab boleh dikatakan hampir setiap minggu ada kanak-kanak mengutip derma.
“Kegiatan mereka semakin rancak pada Ramadan kerana kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.
Menurutnya, kegiatan mengutip derma ini mengganggu keselesaan pelanggan dan pihak berkenaan diminta bertindak segera bagi membanterasnya.
“Saya bimbang mungkin ada pihak lain yang mencari wang dengan mempergunakan kanak-kanak sebagai objek untuk meraih simpati orang ramai,” katanya.
0 Komen