Mokhtar (kiri) menunjukkan barisan teksi dan kereta sewa yang masih menunggu pelanggan.
TAMPIN – Kewujudan kereta sapu haram yang lebih digemari orang ramai
menyebabkan pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa di bandar ini
terjejas.
Masalah itu dirasai tidak kurang 40 pemandu yang bernaung di bawah dua
persatuan bersempadanan Melaka dan Negeri Sembilan yang hanya mampu
mengeluh melihat orang ramai lebih suka mencari kereta sapu berbanding
perkhidmatan mereka jalankan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Kenderaan dan Tuan Punya Kereta
Sewa Alor Gajah dan Tampin, Mohd Yusuf Husin, 55, berkata, masalah
berkenaan sudah berlanjutan sejak 2006 lagi, bagaimanapun ia semakin
menjadi-jadi sejak lebih dua tahun lalu.
Menurutnya, kewujudan kereta sapu menyebabkan pemandu teksi sukar mendapatkan pelanggan.
“Kita sudah lama bersabar. Masalah ini tidak boleh dibiarkan
berlanjutan kerana ia benar-benar menjejaskan pendapatan ahli persatuan.
“Jika dulu, pendapatan kami setelah ditolak dengan kos minyak boleh
mencecah RM100 sehari, tapi kini nak dapat RM40 sehari pun susah,”
katanya ketika ditemui di Perhentian Bas dan Teksi Pulau Sebang, dekat
sini, semalam.
Pesara tentera itu berkata, sebe lum ini pemandu teksi sudah menemui
penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat rondaan bagi
mengadu masalah dihadapi.
Seorang lagi pemandu teksi, Mokhtar Ibrahim, 55, berkata, dia masih
menunggu tindakan tegas JPJ, malah dia dan rakannya sendiri juga sudah
membuat siasatan ke atas bilangan kereta sapu haram di bandar berkenaan.
“Setakat ini, kita sudah kesan 11 kenderaan beserta warna dan nombor
pendaftaran bagi memudahkan kakitangan JPJ membuat operasi sejak lebih
setahun lalu. Namun sehingga ke hari ini, masalah berkenaan masih belum
berakhir malah makin buruk,” katanya yang sudah menjadi pemandu teksi
sejak 10 tahun lalu.
Mokhtar bagaimanapun mengakui anggota JPJ ada membuat pemantauan, namun hanya sekejap dan masalah itu berulang kembali.
Sumbat sampai 6 penumpang
Sementara seorang lagi pemandu teksi, Amirudin Md Isa, 52, pula tidak
menafikan kemungkinan penumpang terutama pelajar kolej berdekatan lebih
suka mendapatkan khidmat kereta sapu kerana mereka boleh menaiki bersama
rakan-rakan sehingga mencecah enam orang dalam satu kenderaan.
“Kalau naik teksi, kita hanya boleh mengambil empat penumpang
berdasarkan garis panduan undang-undang yang harus dipatuhi bagi
menjamin keselamatan penumpang.
“Kadang-kadang kita juga hairan kenapa mereka lebih suka kereta sapu
haram sedangkan tambang dikenakan tidak jauh bezanya dari kita. Mungkin
kerana kita menunggu di tempat teksi, sedangkan pemandu kereta sapu
haram berada begitu hampir dengan orang ramai,” katanya.
Amirudin berkata, masalah kereta sapu boleh dilihat begitu jelas pada
musim cuti umum atau pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ketika ramai yang mahu
pulang ke kampung.
Bagi Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Tampin Negeri
Sembilan, S. Nadarajah, 72, berkata, rata-rata pendapatan pemandu teksi
di kedua-dua kawasan ini semakin susut susulan kewujudan kereta sapu
haram.
“Ini benar-benar membebankan, lebih-lebih lagi kita perlu menanggung
kos tinggi termasuk membuat pemeriksaan di Puspakom setiap enam bulan,
tidak seperti kereta sapu haram,” katanya.