Mokhtar (kiri) menunjukkan barisan teksi dan kereta sewa yang masih menunggu pelanggan.
Masalah itu dirasai tidak kurang 40 pemandu yang bernaung di bawah dua persatuan bersempadanan Melaka dan Negeri Sembilan yang hanya mampu mengeluh melihat orang ramai lebih suka mencari kereta sapu berbanding perkhidmatan mereka jalankan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Kenderaan dan Tuan Punya Kereta Sewa Alor Gajah dan Tampin, Mohd Yusuf Husin, 55, berkata, masalah berkenaan sudah berlanjutan sejak 2006 lagi, bagaimanapun ia semakin menjadi-jadi sejak lebih dua tahun lalu.
Menurutnya, kewujudan kereta sapu menyebabkan pemandu teksi sukar mendapatkan pelanggan.
“Kita sudah lama bersabar. Masalah ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana ia benar-benar menjejaskan pendapatan ahli persatuan.
“Jika dulu, pendapatan kami setelah ditolak dengan kos minyak boleh mencecah RM100 sehari, tapi kini nak dapat RM40 sehari pun susah,” katanya ketika ditemui di Perhentian Bas dan Teksi Pulau Sebang, dekat sini, semalam.
Pesara tentera itu berkata, sebe lum ini pemandu teksi sudah menemui penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat rondaan bagi mengadu masalah dihadapi.
Seorang lagi pemandu teksi, Mokhtar Ibrahim, 55, berkata, dia masih menunggu tindakan tegas JPJ, malah dia dan rakannya sendiri juga sudah membuat siasatan ke atas bilangan kereta sapu haram di bandar berkenaan.
“Setakat ini, kita sudah kesan 11 kenderaan beserta warna dan nombor pendaftaran bagi memudahkan kakitangan JPJ membuat operasi sejak lebih setahun lalu. Namun sehingga ke hari ini, masalah berkenaan masih belum berakhir malah makin buruk,” katanya yang sudah menjadi pemandu teksi sejak 10 tahun lalu.
Mokhtar bagaimanapun mengakui anggota JPJ ada membuat pemantauan, namun hanya sekejap dan masalah itu berulang kembali.
Sumbat sampai 6 penumpang
Sementara seorang lagi pemandu teksi, Amirudin Md Isa, 52, pula tidak menafikan kemungkinan penumpang terutama pelajar kolej berdekatan lebih suka mendapatkan khidmat kereta sapu kerana mereka boleh menaiki bersama rakan-rakan sehingga mencecah enam orang dalam satu kenderaan.
“Kalau naik teksi, kita hanya boleh mengambil empat penumpang berdasarkan garis panduan undang-undang yang harus dipatuhi bagi menjamin keselamatan penumpang.
“Kadang-kadang kita juga hairan kenapa mereka lebih suka kereta sapu haram sedangkan tambang dikenakan tidak jauh bezanya dari kita. Mungkin kerana kita menunggu di tempat teksi, sedangkan pemandu kereta sapu haram berada begitu hampir dengan orang ramai,” katanya.
Amirudin berkata, masalah kereta sapu boleh dilihat begitu jelas pada musim cuti umum atau pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ketika ramai yang mahu pulang ke kampung.
Bagi Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Tampin Negeri Sembilan, S. Nadarajah, 72, berkata, rata-rata pendapatan pemandu teksi di kedua-dua kawasan ini semakin susut susulan kewujudan kereta sapu haram.
“Ini benar-benar membebankan, lebih-lebih lagi kita perlu menanggung kos tinggi termasuk membuat pemeriksaan di Puspakom setiap enam bulan, tidak seperti kereta sapu haram,” katanya.


0 Komen