Wartawan Sinar Harian
17 Januari 2013
Din merapikan hasil seni lukisnya.
Model tentera yang turut dihasilkan oleh Din.
Antara koleksi seni lukis milik Din yang sering dibawa ke mana-mana sesi pameran.
PORT DICKSON - Tanpa berbekalkan apa-apa sijil berkaitan seni lukis,
seorang bekas jurulatih tentera nekad terjun ke dalam bidang itu selepas
menamatkan khidmat di Batalion Ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD),
Kem Lok Kawi Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Mei 2008.
Kamaludin Md Tahir atau mesra dipanggil Din berkata, dia kini mula
bergerak di bawah nama Din Galeri Square dan melangkah lebih jauh dalam
dunia seni halus yang sebenarnya sudah lama sebati dalam dirinya.
"Keputusan saya terjun dalam bidang ini tidak sia-sia kerana walaupun
pada mulanya agak sukar, namun ia tidak menjadi halangan untuk muncul
sebaris dengan mereka yang sealiran dengan saya," katanya.
Daftar diri dengan BSLN
Kamaludin berkata, untuk bergelar seorang pelukis berjaya, selain
berbekalkan bakat anugerah ALLAH, pengurusan ke arah menjadi pelukis
sangat dititik beratkan.
"Sebaik melangkah menjadikan seni sebagai kerjaya selepas tentera, saya
mendaftarkan diri dengan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) sebagai artis.
"Dari situ, kerjaya saya semakin berkembang dan mula menerima sokongan
daripada pelbagai pihak sama ada jabatan kerajaan mahupun swasta,"
katanya.
Anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini bagaimanapun mengakui, dia
sememangnya bergerak secara solo tanpa bantuan dana daripada mana-mana
pihak kecuali daripada BSLN yang membayar habis sebanyak RM5,000 pada
2010.
"Selebihnya, saya menerima sokongan daripada pelbagai jabatan melalui surat pengesahan dan pengiktirafan.
"Dari situ, saya berjaya menguruskan kerjaya seni dan diterima pelbagai
penganjur program, pengurusan hotel dan syarikat swasta," katanya.
Ddifahamkan, Din dimaklumkan oleh BSLN bahawa setakat ini dia adalah satu-satunya pesara tentera yang berdaftar di bawah BSLN.
Tidak fokus pada satu tema
Melihat pada setiap hasil karya milik Din, dia sebenarnya tidak
mengongkong dirinya untuk fokus kepada satu tema seni lukisan sahaja.
"Saya boleh melukis apa sahaja tema dengan baik mengikut permintaan pelanggan.
“Semasa usia belasan tahun, saya mula melukis gambar berkaitan bola
sepak yang menampilkan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan juga bekas
penjaga gol kebangsaan, mendiang Datuk R Arumugam.
"Saya menonton televisyen dan mengingati gambaran itu kemudian melukis
menggunakan pensel," katanya yang menjadikan guru seni lukisnya, Ang Kim
Keat sebagai pemberi semangat.
Walau bagaimanapun katanya, kebanyakan permintaan daripada pelanggannya
adalah gambar berilustrasikan suasana dan adat kesenian yang ada di
Malaysia.
"Gambar potret juga turut mendapat tempahan yang banyak selain lukisan
abstrak dan imaginasi," katanya yang menggunakan teknik lukisan cat
minyak.
Aktif hasilkan model tentera
Selain melukis di atas kanvas, Din juga aktif melakarkan seni karyanya
di dinding sebagai mural, di kayu lapis dan lukisan kayu.
"Sekarang saya juga aktif menghasilkan model tentera yang mana suatu hari nanti akan ditempatkan di Muzium Tentera Darat.
"Secara lisan, saya sudah pun berbincang dengan Pengarah Muzium dan beliau memberi sokongan penuh," katanya.
Katanya, untuk terus mengembangkan bakat yang dimiliki, dia turut
menawarkan khidmat nasihat dalam bidang seni, malah pelajar sekolah juga
ramai yang datang kepadanya untuk menimba ilmu seni lukis.
"Minat yang mendalam dalam bidang seni juga menjadikan saya kini aktif
mencipta beberapa jenis lagu dan hanya menunggu masa untuk
dikomersialkan," katanya.