Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label rembau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rembau. Papar semua catatan

Mohamad Hasan menang tanpa bertanding DUN Rantau

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 28 April 2018 0 Komen


MOHAMAD Hasan bersama Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta calon calon yang lain berarak ke Pusat Penamaan calon di Dewan Seri Rembau, Rembau bagi Pilihan Raya ke 14. - Foto Hazreen Mohamad

REMBAU: Penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi menang tanpa bertanding apabila calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau di sini, hari ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub, membuat pengumuman itu selepas proses penamaan calon tamat sebentar tadi.
Difahamkan, calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mohamad yang mula bertanding di kerusi itu dalam PRU-11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.
Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.
Mohamad ketika ditemui selepas pengumuman itu turut menafikan tuduhan BN mempunyai kaitan dengan kegagalan Dr Streram menyerahkan borang pencalonan, sebaliknya menegaskan proses itu dikendalikan sepenuhnya oleh SPR tanpa pembabitan pihak luar.
"PRU bukan diuruskan oleh BN. Beliau tak boleh masuk ke dewan bukan salah kami, ini bukan kerja BN, malah saya tidak boleh buat apa-apa.
"Saya difahamkan SPR tak benarkan beliau masuk kerana tidak kemukakan pas calon," katanya.
Beliau berkata, semua calon BN bagi Parlimen Rembau akan pulang ke kawasan masing-masing selepas ini untuk menggerakkan jentera pilihan raya dan beliau sendiri akan turut turun padang bersama-sama membantu mereka.

Tadah 200 liter air gunung

Dikirim oleh Warieh Rabu, 14 Ogos 2013 0 Komen


  • Tadah 200 liter air gunung 
  •  Md Nor mengambil sekurang-kurangnya 200 liter air gunung setiap bulan untuk kegunaannya lima sekeluarga.

REMBAU – “Sejak menyedari keistimewaan air gunung ini pada 2004, saya sekurang-kurangnya akan mengambil kira-kira 200 liter air di sini setiap bulan,” kata Md Nor Ahmad, 48, ketika ditemui di Kampung Miku, dekat sini, kelmarin.

Md Nor yang menetap di Lubuk China berkata, pada mulanya dia tidak mengetahui lokasi berkenaan turut mempunyai air gunung untuk ditadah dan sanggup mengambil air gunung di Selangor.

Menurutnya, terdapat perbezaan yang begitu ketara apabila menggunakan air gunung dengan air paip sehinggakan dia, isteri, Nazdrifah Mohd Nor, 44, dan tiga anak berusia dua hingga 14 tahun begitu selesa makan serta minum menggunakan air gunung.

“Malah, sepanjang saya menadah air gunung di sini (Kampung Miku), pelbagai pengalaman yang dikongsi bersama penggemar setia air gunung antaranya seorang lelaki berusia dari Johol sembuh daripada penyakit gout selepas menggunakan air gunung selama dua tahun,” katanya.

Seorang lagi penggemar air gunung, Kamarudin Lebai Daud, 64, dari Kampung Sungai Layang, dia akan menadah kira-kira 10 botol air gunung untuk kegunaannya sekeluarga setiap dua kali sehari.

“Bagi sesiapa sahaja yang sudah menggunakan air gunung ini, mereka pasti tidak akan menggemari untuk menggunakan air paip.

“Malah, lokasi ini sebenarnya sudah lama tersedia air gunung dan sekiranya waktu panas, airnya lebih baik lagi kerana tidak bercampur dengan air hujan. Jika dulu tiada saluran paip seperti ini dan terdapat kolam untuk tadahan air, tetapi kini terdapat lebih enam saluran paip untuk ditadah.

Katanya, ada masanya penggemar air gunung terpaksa menunggu giliran untuk menadah air gunung.

Terbabas langgar tiang elektrik

Dikirim oleh Warieh Selasa, 30 Julai 2013 0 Komen


Terbabas langgar tiang elektrik   
Keadaan Proton Kancil yang terbabas melanggar tiang elektrik di kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin, semalam.

REMBAU – “Saya baru sahaja ingin bergerak pulang ke rumah, namun secara tiba-tiba saya lihat sebuah kereta Perodua Kancil dari arah Rembau terbabas merempuh tembok longkang sebelum melanggar tiang elektrik,” kata saksi kejadian, Abdul Rahman Abdul Rahim, 62, ketika ditemui di Pekan Chengkau, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, mangsa seorang lelaki dan perempuan berusia 20-an dipercayai dalam perjalanan ke kediamannya di Taman Seri Bentan, Merlimau, Melaka sebelum terbabas di kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin.

Abdul Rahman berkata, sebaik melihat kejadian itu dia dan orang awam membantu mengeluarkan mangsa memandangkan pintu di bahagian pemandu tidak boleh dibuka.

"Pemandu itu cedera di bahagian dada susulan stereng keretanya patah manakala seorang lagi mangsa masih terkejut," katanya.

Pencuri sempat makan laici

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 26 Julai 2013 0 Komen


Pencuri sempat makan laici
Rahayu menunjukkan cermin tingkap yang dibuka pencuri untuk membuka pintu dari dalam kedainya di Taman Chembong Utama, semalam.
REMBAU – "Saya hanya menyedari kedai dipecah masuk selepas melihat kesan umpil di pintu gril semasa ingin membuka kedai kira-kira jam 4.30 petang," kata Rahayu Sulaiman, 44, ketika ditemui di premis perniagaannya yang dipecah masuk di Taman Chembong Utama, dekat sini, semalam.

Akibat kejadian itu, Rahayu yang mengusahakan kedai makan sejak tiga tahun lalu mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Rahayu berkata, selepas itu, dia terus memeriksa keadaan dalam kedai dan mendapati sebuah televisyen 42 inci serta dua speaker lesap selain tin buah laici yang ada kesan dibuka dipercayai dimakan pencuri terbabit.

Menurutnya, dia bersyukur hanya beberapa barangan sahaja yang hilang dan perkakasan memasaknya yang lain termasuk tong gas tidak dilarikan pencuri.

"Saya memang tidak menyimpan sebarang benda berharga di kedai. Namun, televisyen berskrin rata itu dan speaker memang kemudahan yang disediakan di dalam kedai.

“Hanya kawasan di bahagian televisyen sahaja yang bersepah dan saya syak pencuri juga sempat menghabiskan laici dalam tin yang terbuka sedikit,” katanya.

Katanya, jika diikutkan dalam masa sebulan ini, sudah dua hingga tiga kes membabitkan jenayah yang berlaku di kawasan berkenaan dan dia sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan menjadi mangsa.

“Bagaimanapun, pencuri berkenaan berjaya juga mengumpil pintu gril belakang dengan membuka dua cermin tingkap berhampiran," katanya.

Tergamak ragut warga emas

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Tergamak ragut warga emas
Nabibah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
REMBAU – Hasrat seorang warga emas untuk membeli sepasang baju raya tidak kesampaian apabila dia diragut seorang penjenayah sewaktu dalam perjalanan ke perhentian bas di Kampung Senama Masjid, dekat sini, semalam.       

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, mangsa, Nabibah Kulup, 72, mahu ke pekan untuk mengambil ubat darah tinggi di Klinik Kesihatan Rembau.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, dia dihampiri seorang lelaki bermotosikal memakai topi keledar ketika melalui laluan bersemak.

"Pada mulanya lelaki itu bertanyakan arah jalan, tapi tiba-tiba dia merentap beg tangan yang saya kepit pada ketiak. Saya cuba rampas semula beg tangan itu tapi terbantut apabila terlihat pisau di poket seluar penjenayah terbabit," katanya.

Nabibah berkata, dia segera mendapatkan bantuan penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Rembau.

Berikutan kejadian itu, dia kehilangan wang sebanyak RM300, selain kad bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kad pengenalan, buku akaun Tabung Haji dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Tumpang kasih nenek

Dikirim oleh Warieh Selasa, 23 Julai 2013 0 Komen


Tumpang kasih nenek
Awaludin (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada Aisyah sambil diperhatikan Naemah (kanan) pada Program Ziarah Ramadan PPD Rembau di Rumah Rakyat Chengkau, semalam.
CHENGKAU – Tiga beradik berusia tujuh hingga 15 tahun kini menumpang kasih di rumah nenek mereka di Rumah Rakyat Chengkau, di sini, sejak November tahun lalu selepas kedua ibu bapa mereka bercerai.

Nasib salah seorang daripada tiga beradik berkenaan, Mohamad Iqmal Hafeez Ismail, 11, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bongek mendapat perhatian Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Rembau melalui Program Ziarah Ramadan yang masuk tahun keempat perlaksanaannya.

Nenek tiga beradik berkenaan, Aisyah Abdullah, 58, berkata, tiga cucu berkenaan kini menetap di rumahnya setelah anak sulungnya Ismail Hassan, 42, pulih dari sakit dipercayai terkena buatan orang.

“Selama tujuh tahun saya berikhtiar mengubati anak secara kampung dan pada tahun lalu penyakit anak saya ini beransur pulih.  Setelah pulih, anak saya membawa tiga anaknya menetap bersama saya bagi memastikan ketiga-tiga anaknya ini dapat meneruskan persekolahan di sini.

“Malah, saya juga sangat berharap ketiga-tiga cucu saya ini akan dapat terus menyambung persekolahan mereka memandangkan 12 tahun lalu selepas kematian suami akibat kemalangan, anak bongsu saya hanya mampu belajar sehingga ke tingkatan tiga sahaja,” katanya.

Aisyah berkata, jika diikutkan 12 tahun lalu, tiada bantuan dapat disalurkan kepadanya bagi membesarkan anak-anak, namun pada masa kini senario berkenaan berubah apabila terdapat banyak bantuan yang ditawarkan kerajaan bagi individu memerlukan.

Menurutnya, atas dasar itu, anak sulungnya memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan persekolahan anak-anaknya kerana anaknya kini hanya bekerja kontrak sahaja berbanding dengan kerjayanya semasa sihat dahulu iaitu sebagai seorang anggota polis.

“Namun disebabkan saya juga menerima bantuan JKM dan Baitulmal sejak 2007 kerana masalah sakit di bahagian leher sehingga terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali, cucu-cucu saya tidak berpeluang menerima bantuan berkenaan.

“Kalau boleh saya memang harap sangat dapat bantuan berkenaan.  Malah, saya sangat berterima kasih kerana sempena Ramadan ini pihak PPD dan wakil rakyat datang terlebih dahulu menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga, " katanya.

Pada program itu, Speaker Dun yang juga Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said hadir bagi menyampaikan bantuan kepada lapan penerima di Dun berkenaan diiringi Pegawai Pelajaran Daerah Rembau (PPD), Datin Naemah Ahmad Dahalan.

Pada tahun ini program berkenaan membabitkan 40 penerima di daerah berkenaan di mana 20 penerima adalah dari sembilan buah sekolah di Dun  Kota.

Lori terbalik, barangan bersepah

Dikirim oleh Warieh Isnin, 22 Julai 2013 0 Komen


Lori terbalik, barangan bersepah
Barangan bersepah akibat lori terbalik di KM 224.4 Lebuhraya Utara-Selatan, petang kelmarin.
REMBAU – Sebuah lori enam tan yang membawa muatan barangan logistik dari Sungai Besi ke Johor Bahru terbalik selepas terbabit kemalangan di kilometer 224.4 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, pemandu lori, Mazlan Mohd Ali, 32, dalam perjalanan menghantar barangan ke Johor Bahru.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, lori yang dipandu mangsa dipercayai terbalik selepas mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba masuk ke laluan mangsa.

“Selepas terbalik, lori yang dipandu mangsa dirempuh pula oleh sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 20-an," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, rakan mangsa, Nor Mohamad Rahim, 32, yang memandu lori berasingan berkata, dia dan rakannya itu mempunyai jadual sama untuk menghantar barangan ke Johor Baharu, namun rakannya itu bergerak lebih awal dahulu daripadanya.

“Bagaimanapun, saya yang baru memulakan perjalanan menghantar barangan ke lokasi yang sama tiba-tiba menerima panggilan daripada rakan saya menyatakan dia terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan lori terbaik.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya dapati barangan yang dibawa rakan sudah bertaburan di atas jalan dan saya bersama-sama memunggah barangan di atas jalan untuk dimasukkan ke dalam lori lain,” katanya.

Pelajar terperosok bawah van

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 20 Julai 2013 0 Komen


Pelajar terperosok bawah van
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.
REMBAU – “Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat orang ramai sudah mengerumuni sebuah van bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan itu," luah Zulkifli Samsuri, 49, ketika ditemui di lokasi kemalangan, di kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa dipercayai pelajar berusia 17 tahun yang baru sahaja selesai belajar berkumpulan di Rumah Rakyat Chembong dan ingin pergi ke kedai berdekatan lokasi kejadian.

Zulkifli berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Rembau menuju ke kediamannya di Chembong, namun terkejut apabila melihat orang ramai berada di atas jalan bertentangan dengan arah jalannya.

“Saya cepat-cepat memberhentikan motosikal dan bergegas menuju ke kumpulan orang ramai berkenaan yang sedang berusaha untuk mengangkat van berkenaan ke tepi.

“Kami tidak berani  menyentuh mangsa, namun beberapa penduduk bertindak untuk menjaga lalu lintas.  Malah, anggota bomba juga tiba di lokasi kejadian dan membantu memotong tali keledar mangsa yang tidak boleh dibuka,” katanya.

Katanya, pada mulanya mangsa hanya mendiamkan diri sahaja, namun selepas itu, dia mula mendengar suara mangsa yang seolah-olah menahan kesakitan susulan mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepalanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal iaitu seorang remaja perempuan datang dari arah Tampin mengubah haluan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Susulan tindakannya itu, motosikal yang dipandu remaja berkenaan merempuh van yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

"Mangsa yang menetap di Kampung Rendah cedera di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban," katanya.

Diberi dadah ketika disamun penjenayah

Dikirim oleh Warieh Rabu, 17 Julai 2013 0 Komen


Diberi dadah ketika disamun penjenayah
Mizan
REMBAU - Seorang peniaga telur di sini masih lagi dalam keadaan lalok selepas diberikan dadah ketika dia disamun, Sabtu lalu.

Sumber berkata, mangsa yang berusia awal 40an seperti biasa keluar pada tengah hari Sabtu lalu ke Kuala Pilah bagi urusan jual beli telur. Namun sehingga malam, mangsa tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, si isteri yang berusia awal 20-an nekad membuat laporan polis sekitar jam 7 malam selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya yang memaklumkan tidak tahu berada di mana.

“Jadi si isteri membuat laporan polis. Bagaimanapun sekitar jam 9 malam, si isteri menerima panggilan telefon daripada suaminya yang menyuruhnya memasukkan duit belasan ribu ringgit ke dalam akaun.

“Malah, si isteri juga dapat mengesan suara suaminya seolah-olah sedang menahan kesakitan. Atas nasihat polis, si isteri tidak jadi memasukkan wang berkenaan dan menunggu reaksi suaminya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa turut mendakwa wang berjumlah RM9,000 yang dibawanya untuk urusan jual beli telur disamun di sekitar Kuala Lumpur dan dia turut cedera di bahagian kepala kerana dipukul dengan objek keras.

Menurutnya, mangsa kemudiannya berjaya menyelamatkan diri pada hari Ahad dan menaiki teksi terus ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban bagi mendapatkan rawatan susulan mengalami bengkak di bahagian kepala setelah dipukul oleh penyamun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan kes masih lagi dalam siasatan polis.

Menurutnya, pihak polis kini sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital bagi tindakan selanjutnya.

Tiga beradik nyaris maut

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Julai 2013 0 Komen


Tiga beradik nyaris maut
Keadaan kemalangan membabitkan tiga kereta di kilometer 42, Jalan Seremban-Tampin, kelmarin
 
REMBAU – Hasrat tiga beradik untuk berbuka puasa bersama ibu bapa mereka di Felda Bukit Rokan, Gemencheh, di sini tertangguh apabila mereka terbabit dalam kemalangan di kilometer 42, Jalan Seremban-Tampin, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 petang itu, Hazwan Wahid, 26, Intan Haziqah Wahid, 22, dan Nur Hazira Wahid, 19, nyaris maut setelah kereta Proton Saga dinaiki mereka dari arah Rembau dirempuh sebuah kereta dari belakang.

Hazwan berkata, ketika kejadian, sebuah kereta Perodua Viva melanggar Proton Persona yang ingin memasuki persimpangan di sebelah kanan.

"Susulan perlanggaran itu, Proton Persona itu meluncur ke hadapan dan merempuh kereta saya.

"Akibat rempuhan itu, kereta saya berpusing sebanyak dua kali. Mujur ketika kejadian tiada kenderaan lain yang melalui jalan ini," katanya.

Menurutnya, mereka tiga beradik sememangnya sudah memaklumkan kepada ibu bapa mereka untuk berbuka puasa bersama-sama.

"Saya bekerja di Kuala Lumpur dan sebelum kejadian saya mengambil Hazira di Politeknik Port Dickson," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, dia mengesahkan kejadian yang melibatkan tiga kenderaan itu.

“Berdasarkan siasatan awal, Perodua Viva mengekori terlalu rapat Proton Persona lalu gagal mengawal kenderaan menyebabkan melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.

“Proton Persona yang dilanggar dari belakang masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki tiga beradik terbabit," katanya.

'Pulanglah segera, nak'

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


'Pulanglah segera, nak'
Darmawati mencium baju kegemaran Hani bagi melepaskan rindu.
Hani Syamira Alias
Hani Syamira Alias
REMBAU – “Tolonglah pulang segera, nak,” rayu Darmawati Idris, 53, kepada anak ketiganya, Hani Syamira Alias, 17, yang menghilangkan diri sejak 3 Julai lalu.

Darmawati yang bekerja sebagai penyelia asrama salah sebuah sekolah menengah di daerah ini terpaksa bercuti sejak Selasa lalu akibat mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, dia bimbang dan gusar apabila Hani gagal dihubungi apabila kali terakhir anaknya itu menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada anak bongsunya, Amirul Hakim, 16, Ahad lalu menyatakan dia tidak dapat pulang kerana kereta milik ibu rakannya rosak.

Bagaimanapun, katanya, SMS berkenaan tidak berbalas, manakala panggilan tidak berjawab sebaik saja Amirul membalas SMS bertanya bila kakaknya mahu pulang.

“Puas sudah kami sekeluarga mencari Hani melalui rakan-rakannya, namun mereka tidak mengetahui di mana dia berada.

“Sejak Hani hilang, saya sering menunggunya pulang ke rumah dan setiap kali itu saya akan duduk berhampiran pintu rumah,” katanya.

Darmawati berkata, dia pasti punca kehilangan anaknya itu kerana Hani tidak mempunyai masalah dengannya, malah sehari sebelum menghilangkan diri, Hani sempat membantu memandikannya kerana dia kurang sihat.

“Anak saya sememangnya sering menjaga saya semasa sakit dan sanggup menemani saya semasa ditahan susulan penyakit kencing manis selama berminggu-minggu di wad Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan Hospital Tampin tahun lalu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota Indah, dekat sini, semalam.

Berikutan kehilangan itu, Darmawati membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Kepada sesiapa yang mengetahui atau melihat Hani, boleh menghubungi talian 019-6137877 atau memaklumkan ke mana-mana balai polis terdekat.

'Bakal pengantin' menyamun

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 12 Julai 2013 0 Komen


'Bakal pengantin' menyamun
Kedai perabot yang menjadi mangsa samun tiga lelaki, petang kelmarin dengan salah seorang daripadanya berpura-pura menjadi bakal pengantin di Pekan Pedas.
REMBAU – Kunjungan tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan termasuk salah seorangnya bakal pengantin yang mahu membeli set bilik tidur rupa-rupanya hanya taktik licik bagi menyamun seorang peniaga di Pekan Pedas, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, V Indira, 51, tidak menyangka niat buruk kumpulan lelaki berkenaan kerana mereka nampak bersungguh-sungguh mahu membeli set bilik tidur pengantin di kedainya.

Menurutnya, selepas itu mereka bertanyakan sama ada set berkenaan dilengkapi dengan tilam atau tidak.

"Mereka memaklumkan mahu tilam jenis spring sebelum mengekori saya masuk ke bahagian belakang kedai untuk melihat tilam berkenaan.

"Bagaimanapun sebaik sampai di peti ais dapur, salah seorang lelaki berkenaan menolak saya. Saya yang terkejut terus menjerit meminta tolong," katanya ketika ditemui di kedainya, dekat sini, semalam.

Indira berkata, dia turut dimarahi penyamun berkenaan selain berbual dalam bahasa Tamil memandangkan dia tidak begitu memahami bahasa berkenaan.

"Mereka turut mencekik saya sebelum mengeluarkan parang panjang dari belakang badan. Malah mulut saya juga ditutup dengan tangan mereka.

"Namun saya bernasib baik apabila kelibat sebuah motosikal yang berhenti di depan kedai membuatkan penyamun melarikan diri setelah dimaklumkan oleh seorang rakan mereka yang menunggu di ruang hadapan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, penyamun berkenaan sempat melarikan beg tangan miliknya dan mengalami kerugian kira-kira RM800, lesen memandu dan kad bank.

"Saya sempat mengejar mereka yang melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna namun kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.

Suami isteri nyaris maut

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Suami isteri nyaris maut
Salim dan Jamaliah bernasib baik apabila konkrit pengadang jambatan menyelamatkan mereka dari terjatuh ke dalam sungai.
 
REMBAU – Berpantang maut sebelum ajal. Sepasang suami isteri bernasib baik apabila konkrit pengadang jambatan menjadi penyelamat setelah kereta dinaiki mereka nyaris terjatuh ke dalam sungai di kilometer 38.5 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, Salim Md Nor, 58, dan Jamaliah Alias, 48, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari Kampung Memperah ke Pekan Kota.

Salim berkata, kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila secara tiba-tiba kereta yang dipandunya hampir terbabas ke kiri jalan dan dia berusaha menekan brek bagi mengelakkan terbabas.

"Walau bagaimanapun kereta kami berpusing dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian tepi pengadang jambatan konkrit.

"Malah kedudukan kereta ini juga menghala kembali ke Pekan Memperah. Mujur ketika kejadian tiada kenderaan yang melalui kawasan berkenaan," katanya.

Dulang tembaga pusaka dikebas

Dikirim oleh Warieh Rabu, 10 Julai 2013 0 Komen


Dulang tembaga pusaka dikebas
Pintu pagar yang dipotong penyamun sebelum melarikan diri ke kawasan kebun berhampiran.
Dulang tembaga pusaka dikebas
Rasidah menunjukkan tempat menyimpan dulang hantaran tembaga lama yang dilarikan penyamun yang memecah masuk rumahnya di Kampung Bukit Kledang, semalam.
KOTA – Rasa tidak sedap hati seorang isteri yang sedang bekerja akhirnya terjawab apabila kediaman mereka di Kampung Bukit Kledang, di sini, dipecah masuk penyamun, petang kelmarin.

Rasidah Rasid, 36, berkata, dia menghubungi suaminya Azuwan Mihan, 31, memintanya suaminya itu pulang lebih awal ke rumah pusaka mereka kerana berasa ada sesuatu yang berlaku di kediaman itu.

Menurutnya, ketika itu dia sedang bekerja di Tol Simpang Ampat dan suaminya hanya memaklumkan kejadian itu selepas dia pulang dari tempat kerja pada jam 9 malam kerana tidak mahu dia berasa bimbang.

“Jika diikutkan dalam rumah ini sememangnya tidak ada barangan berharga. Namun, penyamun berkenaan melarikan kira-kira tujuh dulang hantaran tembaga dan alatan bagi merenjis pengantin yang merupakan pusaka turun-temurun keluarga kami.

“Hanya barangan berkenaan sahaja yang diambil dan penyamun berkenaan dipercayai melarikan diri menggunakan pintu di bahagian dapur  dan mengikut pagar yang menghala ke kawasan kebun di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Rasidah berkata, jika diikutkan kediaman berkenaan sudah tiga kali dimasuki penyamun dan pada kejadian terbaru ini penyamun mengumpil di dua tempat dalam rumah ini sebelum memasukinya.

“Mungkin pada kali pertama penyamun mengumpul di bahagian tengah rumah dan membuka tiga papan namun tidak berjaya memasukinya kerana terdapat almari diletakkan di lokasi berkenaan.

“Jadi, penyamun mengumpil bahagian tingkap papan rumah berdekatan ruang tamu dan masuk melalui lokasi berkenaan untuk menyelongkar bahagian dalam rumah, " katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes berkenaan kini masih dalam siasatan.

Menjerit sebelum meragut

Dikirim oleh Warieh Selasa, 9 Julai 2013 0 Komen


Menjerit sebelum meragut
Ellamah menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pedas berhubung kes ragut berhampiran Pekan Pedas, semalam.
 
REMBAU – Seorang wanita diragut  dua lelaki bersenjatakan pisau ketika dia dalam perjalanan ke salun rambut di Pekan Pedas dari kediamannya di Taman Koperasi KSNS Pedas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.05 pagi itu, mangsa, A. Ellamah, 59, berjalan seorang diri sebelum diragut berhampiran persimpangan tiga jalan utama Seremban-Rembau-Kundur.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian dia tiba-tiba mendengar suara lelaki yang menjerit kepadanya.

“Dua lelaki itu menaiki sebuah motosikal berwarna hitam tiba-tiba menjerit kepada saya. Saya yang bimbang tetap meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun, dua lelaki berkenaan berpusing kembali dan menghalang jalan saya.  Dalam sekelip mata sahaja salah seorang daripada mereka mengeluarkan pisau dari pinggang seluar dan mengacukan kepada saya sebelum melarikan beg tangan saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Ellamah berkata, susulan kejadian berkenaan, rantai tangan dan cincin emas, wang tunai RM100 serta dokumen pengenalan dirinya dilarikan penyamun berkenaan yang mana jumlah kerugian dianggarkan lebih RM3,000.

Menurutnya, jika sebelum ini dia ingat barangan kemasnya yang disimpan dalam beg lebih selamat dan dia tidak menjadi mangsa ragut namun lain pula yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes berkenaan kini masih dalam siasatan.

Gerak hati selamatkan rumah pusaka

Dikirim oleh Warieh Isnin, 8 Julai 2013 0 Komen


Gerak hati selamatkan rumah pusaka
Kalimah menunjukkan bahagian rumahnya di Kampung Rendah yang terbakar semalam.
REMBAU – Gerak hati seorang warga emas untuk segera pulang ke rumahnya di Kampung Rendah, dekat sini, petang kelmarin selepas membantu merewang kenduri di rumah saudaranya berjaya menyelamatkan rumah pusakanya berusia lebih 50 tahun dari rentung terbakar.

Kalimah Harun, 68, berkata, pada mulanya dia dinasihatkan oleh seorang saudara untuk bermalam sahaja di rumah saudaranya itu memandangkan cucu yang dijaganya, Farisya Natasha Mohd Fadzli, 11, menyertai program berkhemah di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, dia menolak pelawaan berkenaan kerana tergerak hati untuk pulang segera ke rumahnya lebih-lebih lagi dia belum menunaikan solat Asar dan ingin melakukannya di rumah sahaja.

“Sebaik tiba di kawasan rumah, mak cik ternampak kepulan asas, mak cik ingat jiran sebelah membakar sampah. Tapi, sebaik sahaja mak cik membuka pintu rumah berdekatan bahagian dapur, mak cik terdengar bunyi benda meletup-letup.

“Tidak lama selepas itu, mak cik lihat api sudah marak membakar dinding papan dapur rumah mak cik yang terletaknya peti suis utama dan terus menjerit meminta pertolongan jiran serta saudara yang tinggal berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, di sini, petang kelmarin.

Kalimah berkata, sambil meminta pertolongan, dia menarik paip getah dan menyemburkan air di bahagian yang terbakar dan saudara mara serta jiran turut membantu memandam kebakaran sementara menunggu anggota bomba dan penyelamat tiba.

Susulan kejadian, lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Abdul Jalil Jasin bergegas ke lokasi berkenaan.

Berhenti kerja jaga ayah

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 6 Julai 2013 0 Komen


Berhenti kerja jaga ayah
Ibrahim (dua, kanan) yang kini dijaga anak dan isteri terharu ketika dikunjungi Khamsiah (berdiri, tiga kanan) dan Faizah (tiga, kanan) dalam lawatan rumah ke rumah sempena Program Sehari Bersama Warga Seberang Batu Hampar, semalam.
REMBAU – Kasih anak kepada bapa menyebabkannya nekad berhenti kerja di salah sebuah kilang di Serdang, Selangor tiga tahun lalu bagi menjaga bapanya itu yang berhadapan masalah kesihatan.

Siti Hajar Ibrahim, 34, berkata, dia mengambil keputusan berhenti selepas 12 tahun bekerja setelah ayahnya, Ibrahim Salleh, 72 mulai sakit sejak 2010 dan disahkan menghidap strok tahap dua pada 2011.

Menurutnya, biarpun sedar bakal kehilangan pendapatan bulanan sekitar RM1,300 sebulan, dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik harus berkorban bagi memastikan bapanya mendapat penjagaan sewajarnya.

"Mak, Rahimah Hasan aktif dalam aktiviti kampung dan mencari pendapatan sampingan dengan kemahiran mengurut.

"Memang saya kini tiada pendapatan bulanan, namun apabila mengenangkan pengorbanan abah yang hanya bekerja sebagai tukang kayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membesarkan saya sehingga tamat persekolahan
menyebabkan saya hanya menyerahkan kepada ALLAH SWT berkaitan masa depan saya," katanya ketika ditemui sempena Program Sehari Bersama Warga Seberang Batu Hampar di Masjid Kariah Batu Hampar, dekat sini, semalam.

Pada program anjuran bersama Penel Penasihat/ Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan (KK) Rembau dan Masyarakat Kelab Kebajikan dan rekreasi (KeK-R) berkenaan, sebanyak 30 sumbangan disampaikan termasuk lima sumbangan
rumah ke rumah bersama pakar perubatan ke rumah pesakit kronik.

Turut hadir, Pegawai Perubatan 2 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rembau, Dr Faizah Osman; Pegawai Perubatan KK Rembau, Dr Khamsiah Ujang dan Nazir Masjid Kariah Seberang Batu Hampar, Zakaria Ma’mor.

Sementara itu, Khamsiah berkata, program berkenaan merupakan sebahagian usaha pihaknya menerapkan kesedaran dalam kalangan masyarakat kepentingan menjaga kesihatan dan melakukan pemeriksaan secara konsisten.

Menurutnya, kunjungan seumpama ini sememangnya dilakukan dari masa ke semasa di mana sepanjang tahun lalu sahaja kita mempunyai kira-kira lapan pesakit terlantar yang menerima rawatan di rumah.

“Malah, kita harap usaha seperti ini akan mendapat sokongan dan kerjasama masyarakat setempat yang mana sasaran kita agar mereka memahami kepentingan penjagaan kesihatan ini mengikut panduan yang kita berikan melalui ceramah kesihatan," katanya.

Cacat penglihatan bukan penghalang baca al-Quran

Dikirim oleh Warieh Isnin, 1 Julai 2013 0 Komen


Cacat penglihatan bukan penghalang baca al-Quran
Abdullah menyampaikan hadiah kepada Asyikin yang merangkul johan Tilawah al-Quran Perempuan OKU Penglihatan (Terbuka).
REMBAU - Walaupun mengalami masalah cacat penglihatan dan anggota badan, Nor Asyikin Baharudin, 36, tidak menjadikannya sebagai satu alasan untuk meneruskan rutin hariannya iaitu membaca al-Quran.

Asyikin berkata, sekiranya mempunyai masa lapang semasa menjaga kedai runcit di Bengkel Seri Perkasa, Johol, dia pasti akan membaca al-Quran Braille.

Menurutnya, dia yang menyertai bengkel itu sejak empat tahun lalu tidak pernah ketinggalan menyertai pertandingan tilawah al-Quran anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Cuma tahun ini, saya menjadi peserta tunggal pertandingan dan menjuarainya. Namun, saya berharap kategori bagi OKU cacat penglihatan ini mendapat sambutan pada masa akan datang dan setiap daerah dapat menghantar wakil masing-masing.

“Malah, saya harap individu seperti saya tidak akan merasa rendah diri dan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak menyertai acara seperti ini,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Nasyid

Peringkat Negeri JKM Negeri Sembilan 2013, dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Abdullah Hanafi berkata, program berkenaan bertujuan menanam minat membaca, memahami dan membudayakan al-Quran tanpa mengira peringkat usia terutamanya dalam JKM dan institusi di bawahnya.

“Diharap dengan cara ini kita dapat menerapkan nilai-nilai Islam dan amalan berhibur secara Islam yang boleh diamalkan oleh seluruh warga JKM," katanya.

Tumpang rumah kebajikan

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 29 Jun 2013 0 Komen



Tumpang rumah kebajikan
Neesanthini menunjukkan keadaan leher Ganapathy yang patah ketika ditemui di Rumah Kebajikan Vivekananda, semalam.
REMBAU – Nasib enam beranak yang terumbang ambing setelah ketua keluarga mereka terlantar di hospital selepas terbabit dalam kemalangan 19 April lalu, akhirnya terbela apabila mereka berpeluang menumpang teduh di Rumah Kebajikan Vivekenanda Rembau, dekat sini, kira-kira sebulan lalu.

I Neesanthini, 25, berkata, suaminya, S Ganapathy terbabit dalam kemalangan ketika ingin menjemput anak sulung mereka, G Surthesh, 8, pulang dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, selepas kejadian itu, suaminya ibarat mati hidup semula apabila ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selama dua minggu dan ditahan di wad selama dua bulan.

“Saya seolah-olah buntu untuk memikirkan ke mana hala tuju kami sekeluarga lebih-lebih lagi kami mempunyai empat anak yang masih kecil iaitu berusia satu tahun hingga lapan tahun.

“Malah, lebih membuatkan saya gusar ialah tempat bekerja suami saya iaitu di ladang lembu juga sudah mengarahkan kami keluar dari rumah ladang kerana suami saya tidak mampu bekerja selain dinasihatkan doktor untuk tidak banyak bergerak selama setahun,” katanya ketika ditemui di Rumah Kebajikan Vivekananda, dekat sini, semalam.

Neesanthini berkata, mujur guru besar sekolah anaknya ada membantu memberikan nombor telefon Rumah Kebajikan Vivekananda untuk membolehkannya mencari perlindungan sementara menunggu suaminya pulih.

“Saya memang bimbang kerana kami sekeluarga tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah usaha saya memohon bantuan rumah melalui e-Kasih juga masih belum berhasil sehingga ke hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Kebajikan Vivekananda, RD Ramesh Patel berkata, buat masa ini pihaknya sedia membantu keluarga berkenaan dengan mencari tempat tinggal berdekatan rumah kebajikan.

Menurutnya, malah anak-anak Neesanthini juga berpeluang mendapat kemudahan sama dengan kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan.

“Kini Neesanthini bekerja di sini dengan membantu menguruskan rumah kebajikan ini bersama-sama kakitangan serta sukarelawan yang lain," katanya.

Tiga kereta terlibat kemalangan

Dikirim oleh Warieh Isnin, 24 Jun 2013 0 Komen


Tiga kereta terlibat kemalangan
Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan itu.
REMBAU – Tiga kereta terlibat dalam kemalangan apabila sebuah kereta melanggar belakang sebuah lori di lorong kiri sebelum dirempuh sebuah kereta lain di kilometer 229, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 12.30 pagi itu, dua mangsa yang menaiki Proton Saga, Abang Jameel Mujahid Abang Borhanuddin, 20, berasal dari Bentong, Sarawak dan rakan, Yusnaziha Madadida Wan Yusof, 19, dari Kota Tinggi, Johor dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Melaka.

Saksi kejadian, Zairulrizal Zainal, 38, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke Segamat dari Kuala Lumpur dan ternampak kemalangan yang berlaku kira-kira 500 meter dari keretanya.

"Saya sempat mengelak Proton Saga yang berada di tengah jalan sebelum berhenti dan keluar membantu menyelamatkan mangsa," katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Saga dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban manakala dua lelaki dan seorang perempuan yang menaiki Perodua Alza dipercayai warganegara asing hanya mengalami kecederaan ringan.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook