Menara Jam Seremban adalah merupakan salah satu menara jam yang terbesar di Malaysia ketika itu. Menara jam ini dibina oleh Majlis Perbandaran Seremban pada awal tahun 1981 bersempena dengan pembangunan terminal bas Seremban yang baru. Kedudukannya atas titik pertemuan Jalan Sungai Ujong dan Jalan Tuanku Munawir berhadapan muara Sungai Ujong adalah amat strategik bagi memberitahu orang ramai disinilah Bandar Seremban.
Menara Jam Seremban ini mengambil ilham kepada Menara Jam Gadang di Bukit Tinggi Indonesia, ketika ini hubungan antara Kerajaan Negeri dan Pihak Provisi Sumatera Barat adalah sangat akrab di sebabkan budaya minangkabau yang diamalkan oleh kebanyakan rakyat kedua-dua buah negeri ini. Rupabentuk menara jam ini kemungkinan diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu Dato' Seri Utama Rais Bin Yatim, beliau juga merupakan Yang Dipertua pertama Majlis Perbandaran Seremban.
Berketinggian 18 meter, Jam besar ini bergerak secara mekanikal dan terdiri dari empat buah jam/empat muka jam yang menghadap ke empat arah penjuru mata angin dengan setiap muka jam berdiameter 80 cm. Menara jam ini direkabentuk dengan mengikut rekabentuk bangunan minangkabau dengan atas atapnya melengkung seolah-olah seperti tanduk kerbau. Tiangnya pula mengambil ilham dari ruang depan bangunan Istana Gadang di Minangkabau. Walaubagaimanapun tidak diketahui siapakah arkitek bangunan menara jam ini. Menara Jam ini satu ketika dahulu akan berbunyi sekiranya jarum jam menunjukkan pukul 12 tengahari atau 12 tengah malam.
Bangunan ini menjadi mercu tanda kepada Bandar Seremban, ramai dari pelancong luar tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Menara Jam Seremban ini. Menara Jam Seremban ini juga menjadi panduan kepada orang ramai mengenai waktu dan masa terkini.
Setelah berkhidmat untuk Bandar Seremban selama 14 tahun, akhirnya Menara Jam kebanggaan penduduk Seremban ini diruntuhkan pada tahun 1994 untuk memberi laluan kepada pembangunan Terminal Bas yang baru.
Gambar terakhir yang dapat dirakam pada tahun 1993 perhatikan kepada kayu yang reput dan logo MPS telah ditukar kepada penaja - Kredit kepada pemilik gambar |
Namun begitu kenangan serta signifikannya kepada masyarakat Negeri Sembilan terutamanya penduduk Seremban tidak akan dilupakan begitu sahaja. Menara Jam Seremban akan terus dikenang sebagai ikon Bandar Seremban yang telah hilang.
0 Komen