Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bencana. Papar semua catatan

Kenal pasti punca banjir kilat: Aminuddin

Dikirim oleh Warieh Selasa, 18 September 2018 0 Komen



PORT DICKSON - Kerajaan negeri akan mencari dan mengenalpasti punca kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Ladang Sengkang, Linggi baru-baru ini.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kejadian banjir kilat di kawasan itu bukan perkara baharu, sebaliknya pernah berlaku sejak bertahun dahulu semasa di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN.
Menurut beliau, pihaknya bersama agensi kerajaan akan mencari dan mengenalpasti punca utama berlakunya kejadian banjir bagi memastikan tiada perkara sama berulang.
“Kejadian ni bukanlah perkara baru, sejak dulu lagi kawasan ini kerap dilanda banjir kilat.
“Sekarang ini, kerajaan negeri akan mencari dan mengenalpasti punca utama kejadian banjir kilat sekaligus menyelesaikannya.
“Daripada tinjauan yang dilakukan tadi, saya dapati sistem saliran dan saluran kampung itu bermasalah, ada yang tersumbat sehingga air tidak dapat mengalir dengan sempurna, jadi mereka yang terlibat terutamanya pemilik tanah di situ dan tanah ladang perlu ambil perhatian  dengan membersihkan kawasan mereka dengan sempurna,” katanya.
Selain itu katanya, hujan lebat berlarutan dari pagi hingga tengah hari menyebabkan air lambat mengalir ke laut dan kesan air pasang besar menyebabkan berlaku banjir kilat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Sungai Raya Linggi, semalam.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Wanita dan Masyarakat negeri, Nicole Tan.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam masa terdekat.
Seramai 12 keluarga membabitkan 57 orang terlibat dalam kejadian banjir kilat, bagaimana pun hanya tiga keluarga sahaja yang di pindah ke pusat pemindahan.



Penduduk dakwa aduan tidak dipeduli

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Julai 2013 0 Komen


Penduduk dakwa aduan tidak dipeduli
Beginiah keadaan tanah runtuh yang menimpa kediaman Jagjeet (kanan) sejak November lalu.
Penduduk dakwa aduan tidak dipeduli
Kanvas digunakan MPS untuk menutup kawasan tanah runtuh.
SEREMBAN - “Tiada gunanya mengadu, jawapan diterima tetap sama,” demikian keluhan seorang penghuni Taman Chip Aik, di sini, yang kecewa terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan enggan mempedulikan masalah tanah runtuh dihadapi sejak November lalu.

Jagjeet Singh, 39, mendakwa, walaupun berkali-kali membuat aduan, tiada tindakan oleh PBT untuk menangani gelongsoran tanah di belakang rumahnya selepas tembok pengadang setinggi kira-kira dua meter yang dibina sejak 10 tahun lalu pecah dan runtuh.

“Dari  SMS, emel, panggilan telefon sehinggalah berjumpa sendiri dengan mereka. Namun, jawapan diterima cukup menghampakan.

“Menurut mereka, kerja pembaikan masih tidak dapat dijalankan kerana belum ada peruntukan,” katanya.

Jagjeet bagaimanapun berkata, penjelasan diberikan agak tidak masuk akal dan sukar diterima.

“Jika difikirkan secara logik, takkanlah dari November sehingga kini masih belum dapat peruntukan. Sedangkan seperti diketahui umum, Majlis Perbandaran Seremban (MPS)  mempunyai sumber kewangan kukuh.

“Wakil MPS pernah datang ke sini untuk meneliti kerosakan dan menutup runtuhan terbabit menggunakan kanvas. Namun, itulah kali pertama dan terakhir mereka berbuat sesuatu,” katanya.

Kata Jagjeet, dia bercadang  membaiki kerosakan dialami menggunakan wang sendiri, kemudian menuntut segala kos ditanggung daripada mereka. Malangnya, rancangan itu tidak dipersetujui MPS.

“Bayangkan, belakang rumah saya tidak ubah seperti kawasan air terjun. Bezanya, air turun mencurah-curah bercampur  tanah. Bagi mengelakkan masuk ke rumah, saya terpaksa pasang paip untuk menyalurkannya ke tempat lain," katanya.

Sementara itu, Adun Lobak, Siow Kim Leong  berkata, pihaknya mengajukan hal ini kepada MPS minggu lalu, tetapi menerima respons lebih mengecewakan.

“Jika dengan Jagjeet, mereka menjelaskan belum dapat peruntukan buat masa ini. Bagaimanapun, kita pula dimaklumkan sememangnya tiada peruntukan langsung untuk membantu Jagjeet.

“Oleh itu, saya akan berjumpa sendiri dengan pihak MPS minggu depan membincangkan hal ini supaya masalah dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.

Kejutan banjir lumpur

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Kejutan banjir lumpur
Penduduk bertungkus-lumus membersihkan rumah mereka selepas banjir lumpur surut, semalam.
KUALA PILAH – Penduduk Rumah Rakyat Selaru yang tinggal di lorong belakang berhadapan bukit dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu melibatkan enam rumah.

Penduduk, Jamilah Ujang, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk menyediakan juadah berbuka puasa.

“Makcik tidaklah bimbang sangat kerana biasanya tiada apa-apa berlaku kalau hujan lebat. Tapi, petang semalam (kelmarin), makcik dengar bunyi kuat dari garaj kereta.

"Makcik keluar ke pintu depan dan terkejut apabila melihat garaj kereta runtuh akibat banjir lumpur dari atas bukit  itu. Habis jalan dipenuhi air lumpur macam air sungai," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kali kedua sejak dia tinggal di rumah terbabit.

Sementara itu, Neriam Md Noh, 60, berkata, kelmarin merupakan kejadian banjir yang paling teruk pernah berlaku di kawasan perumahan itu.

"Bila lihat air deras, makcik cepat-cepat buka jeriji penutup longkang supaya lumpur masuk ke dalamnya dan tidak ke rumah makcik," katanya.

Menurutnya, banjir lumpur itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penanaman kelapa sawit di bukit berkenaan, manakala longkang dibina pihak berkaitan pecah.

“Sebelum penanaman kelapa sawit, kawasan ini tidak pernah mengalami banjir lumpur. Tetapi sejak kerja tebang pokok dilakukan, kawasan ini sering dinaiki air. Kami yang tinggal di lorong belakang menjadi mangsa.

“Lebih menyedihkan, waktu kejadian, beberapa penghuni tiada di rumah.

Akibat kejadian itu, katanya, dia terpaksa membersihkan rumah sejak sahur sehingga tengah hari, semalam.

Hujan tidak, tapi banjir kilat

Dikirim oleh Warieh Ahad, 16 Jun 2013 0 Komen


Hujan tidak, tapi banjir kilat
Aliran air yang memenuhi halaman rumah Azizah masih belum surut di Kampung Repah, semalam.
Hujan tidak, tapi banjir kilat
Md Ali menunjukkan arah air arus deras yang menyebabkan dua rumah kedai dan sebuah rumah berhadapan dengan banjir kilat.
TAMPIN – "Tidur kami lima sekeluarga tengah malam tadi terganggu apabila menyedari sudah berada di atas tilam yang basah setelah air bergenang di dalam rumah kedai,". Luah Md Ali Abdullah, 50, ketika ditemui di premis rumah kedai di Kampung Repah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, dua buah kedai dan sebuah rumah berhadapan dengan masalah banjir kilat separas betis apabila paip pecah di tepi jalan utama berhampiran persimpangan masuk jalan Tampin-Air Mawang.

Berikutan kejadian itu, pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) datang sekitar jam 2 pagi bagi menutup paip air yang pecah.

Md Ali berkata, dia berasa pelik berikutan ketika kejadian tidak berlaku hujan, tetapi rumah dinaiki air.

Menurutnya, dia bergegas membuka pintu hadapan dan terperanjat apabila air menderu masuk ke dalam kedainya yang turut menjadi tempat tinggal mereka sekeluarga.

"Saya panik melihat air deras mengalir masuk ke dalam kedai sebelum menjerit mengejutkan anak dan jiran.

"Saya juga berusaha menyelamatkan barangan dan dokumen penting namun barangan runcit, kasut dan lain-lain sudah hanyut dibawa air," katanya.

Sementara Azizah Baharom, 65, berkata, pada malam kejadian dia masih belum tidur susulan berkumpul bersama anak, menantu dan cucu yang pulang ke kampung.

"Mak cik terkejut apabila mendengar jeritan jiran yang menyatakan berlakunya banjir.

"Air naik ke paras betis dalam sekelip. Ketika itu mak cik dengar bunyi seperti arus sungai. Mujur ada anak-anak yang pulang membantu menyelamatkan barangan di kawasan rendah," katanya.

Pekedai, Ahmad Ali Yusof, 57, berkata, dia hanya datang melihat keadaan kedainya kira-kira jam 6.30 pagi dan tidak menyangka kejadian paip pecah menyebabkan banjir buruk seperti itu.

Menurutnya, di bahagian hadapan kedai yang sudah diusahakannya sejak 20 tahun lalu, selut tanah setebal 10 sentimeter sudah memenuhi ruangan berkenaan sehingga dia terpaksa menggunakan cangkul bagi membersihkan kawasan berkenaan.

"Sebelum ini jika hujan lebat, memang ada air yang akan melimpah ke bahagian hadapan kedai, namun belum pernah lagi masuk ke dalam," katanya.

Ahmad berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi masalah itu lebih-lebih lagi mereka juga perlu meneruskan operasi perniagaan.

"Susulan kejadian ini saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1,000," katanya.

Nelayan rugi ribuan ringgit

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 14 Jun 2013 0 Komen


Nelayan rugi ribuan ringgit
Ching Dong menunjukkan botnya yang pecah.
PASIR PANJANG – Kejadian ribut yang berlaku di perairan Port Dickson dan kawasan sekitarnya malam kelmarin mengakibatkan beberapa nelayan mengalami kerugian ribuan ringgit.

Ini disebabkan bot dan peralatan menangkap ikan yang diletakkan di pengkalan nelayan masing-masing mengalami kerosakan.

Nelayan, Lee Ching Dong, 26, berkata, dia menambat bot fiber yang baru dibeli kira-kira lima tahun lalu di Pengakalan Nelayan Telok Sinting.

“Bot itu rosak teruk yang mana bahagian dindingnya pecah berikutan dipukul ombak besar dalam kejadian ribut malam tadi,” katanya.

Ching Dong berkata, kejadian angin ribut dan laut bergelora kuat itu berlaku sekitar jam 7 malam.

“Saya hanya menyedari bot rosak selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan nelayan. Saya sangka hanya berlaku sedikit kerosakan tetapi rupa-rupanya dinding sampan pecah dan tidak boleh digunakan lagi.

“Buat sementara ini, saya akan ikut ayah turun ke laut menggunakan botnya untuk aktiviti nelayan, " katanya.

Menurutnya, hanya itu yang mampu dia lakukan sebelum membeli bot baru.

Bagaimanapun, untuk membeli bot baru ia memerlukan modal yang besar.

“Saya berharap akan ada bantuan yang disalurkan sama ada dari persatuan mahupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), " katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang, Aznam Ali berkata, mana-mana nelayan di bawah PNK Telok Kemang yang mengalami kerosakan
bot dan peralatan nelayan akibat bencana semalam boleh mengemukakan surat permohonan bantuan kepada LKIM.

“Bagaimanapun surat permohonan itu perlu melalui PNK Telok Kemang dan pihaknya akan terus mengajukan permohonan itu kepada LKIM.

“Nelayan perlu membuat laporan polis terlebih dahulu berhubung kejadian itu dan mengemukakan surat dalam tempoh 60 hari selepas hari kejadian. Permohonan akan dipertimbangkan oleh LKIM mengikut peruntukan yang sewajarnya,” katanya.

5 kali banjir dalam seminggu

Dikirim oleh Warieh Isnin, 10 Jun 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
10 Jun 2013
5 kali banjir dalam seminggu
Kamarudin (kiri) menunjukkan keadaan air yang tidak mampu mengalir dengan baik akibat pembetung kecil di tepi jalan berhampiran Perkampungan Orang Asli Kampung Ulu Chembong.
REMBAU – Seorang penduduk di Kampung Chembong Kecil, dekat sini kesal apabila rumahnya dinaiki air sebanyak lima kali dalam masa seminggu susulan ketiadaan saliran longkang yang sempurna.

Abdul Rahman Yunus, 52, berkata, dia sudah menetap di situ sejak 1981 lagi dan masalah ketiadaan sistem saliran sempurna sehingga rumahnya dibanjiri air memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, dia tidak pernah menyampaikan aduan secara rasmi, namun sudah menyuarakan masalah berkenaan kepada wakil rakyat setempat yang ada berkunjung ke rumahnya dalam sesi lawatan kerja dan kempen pilihan raya umum lalu.

“Malah, saya juga dimaklumkan yang masalah saya ini membabitkan kos tinggi.

"Jika hujan lebat berlarutan selama dua jam pasti halaman rumah dinaiki air. Mujur saya sudah membuat tembok di hadapan rumah bagi mengelak air melimpah ke dalam rumah," katanya.

Abdul Rahman berkata, dia berharap agar agensi berkaitan dapat mengambil langkah tepat dan proaktif dalam mengatasi masalah ini memandangkan pada 2010 mereka sudah pun meninjau masalahnya itu.

Bagi Kamarudin Ibrahim, 24, pula berkata, selain masalah yang dihadapi Abdul Rahman, masalah sistem pembetungan yang dilihat sudah tidak mampu menampung aliran air di tepi jalan di Perkampungan Orang Asli Ulu Chembong juga perlu diberi perhatian.

"Air tidak mampu mengalir dengan baik dan saya bimbang jalan dari Sepri ke Taman Rembau Utama makin mendap serta mengundang bahaya kepada orang awam dan pengguna," katanya.

Sementara itu, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, dia sedia maklum mengenai masalah berkenaan dan sudah pun melawat kawasan berkenaan malam kelmarin.

“Oleh itu, pihak saya akan mengemukakan permohonan kepada pejabat daerah bagi tujuan pembinaan longkang yang bersesuaian di kawasan berkenaan untuk dialirkan ke sungai berhampiran," katanya.


Wartawan Sinar Harian
10 Jun 2013
Projek pembinaan sebelah punca tanah runtuh
Hasnah menunjukkan keadaan tanah tebing di rumahnya yang sudah runtuh, semalam.
SEREMBAN – Sebuah rumah di Kampung Bukit Temiang, dekat sini berdepan risiko apabila sempadan tanah kediaman berkenaan mulai runtuh berikutan projek pembinaan bersebelahan yang dipercayai tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Pengadu, Hasnah Daud, 51, berkata, sejak kerja-kerja pembinaan tersebut dilakukan, tanah di tepi rumahnya itu semakin terhakis sehingga menyebabkan beberapa tanamannya turut musnah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku disebabkan proses pemotongan tanah dilakukan kontraktor tersebut, selain gagal menyediakan tembok konkrit di tebing itu.

“Dulu kawasan tanah di rumah ini setara dengan tanah sebelah, namun sejak kerja pembinaan dilakukan, sempadan tanah saya mula mengecil disebabkan berlakunya beberapa runtuhan sejak empat hari lalu.

“Tiang elektrik di rumah ini juga terpaksa dialihkan ke tempat lain, berikutan tebing di kawasan tersebut sudah lembut disebabkan tiada tembok penahan atau batu konkrit untuk menghalang tanah kami dari runtuh," katanya.

Menurutnya, keadaan semakin serius apabila tibanya musim hujan apabila seluruh kawasan tepi tanah itu mulai retak, sekaligus akan mengundang masalah tebing runtuh.
“Jika dibiarkan, saya bimbang kawasan rumah kami ini akan terjejas, sekaligus memudaratkan ahli keluarga yang tinggal berdekatan kawasan ini,” katanya.
Hasnah berkata, kejadian itu merupakan kejadian pertama berlaku sejak lebih 40 tahun dia dan ibunya tinggal di situ.

Dua kali rumah diserang ribut

Dikirim oleh Warieh Isnin, 20 Mei 2013 0 Komen


NURULATIQ AHMAD BANDI
20 Mei 2013
Dua kali rumah diserang ribut
Mohd Nizam memanjat bumbung bagi menggantikan atap rumah yang roboh dilanda ribut, semalam.
PORT DICKSON – Sebuah keluarga terpaksa menanggung kerugian berikutan rumahnya dilanda ribut sebanyak dua kali sepanjang Mei ini, sehingga menyebabkan barang serta peralatan dalam rumah rosak.

Penduduk, Mohd Nizam Othman, 36, berkata, dalam kejadian terbaru kira-kira 1 pagi, semalam, bumbung rumahnya diterbangkan angin dan dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM5,000.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dan keluarga sedang tidur.

"Angin bertiup kencang diikuti dengan hujan lebat sebelum 15 minit kemudian saya terdengar bunyi dentuman kuat di atas bumbung.

"Saya segera keluar rumah dalam keadaan hujan untuk memastikan dari mana punca bunyi tersebut sebelum mendapati sebahagian besar bumbung di bilik utama sudah diterbangkan angin," katanya.

Ketika kejadian, katanya, terdapat enam ahli keluarganya di dalam rumah termasuk isterinya bersama dua anak berusia 6 dan 7 tahun dan adik iparnya yang sedang mengandung tujuh bulan dan suami.

"Mujur masih ada lagi bumbung rumah yang masih elok dan kami semua berteduh di situ sehinggalah hujan berhenti kira-kira jam 3 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mohd Nizam berkata, sebelum ini, kejadian sama berlaku beberapa hari sebelum PRU13 lalu.

Katanya, waktu itu, bumbung bahagian belakang rumah diterbangkan angin dan dia terpaksa menggantikannya dengan zink terpakai kerana tidak mampu membeli yang baru.

Pekerja kontrak itu berkata, dalam dua kejadian ribut itu, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

"Tidak dinafikan ada beberapa pihak berkuasa datang ke rumah mengambil butiran kejadian.

Namun saya terkilan kerana tidak menerima bantuan bencana walaupun sudah diajukan kepada pihak berkenaan," katanya.

Menurutnya, rumah yang didiaminya itu adalah rumah pusaka peninggalan orang tuanya dan sudah mendiaminya sejak 20 tahun lalu.

Sementara itum kejadian ribut itu turut melibatkan beberapa rumah dan sebuah sekolah tabika, di sini.

31 rumah, premis perniagaan rosak

Dikirim oleh Warieh Isnin, 15 April 2013 0 Komen


Khemah majlis perkahwinan terbalik dan menghempap bumbung rumah selepas ribut melanda Taman Anggerik, Telok Kemang, Negeri Sembilan, awal pagi semalam. 
 
TELOK KEMANG 14 April - Sebanyak 31 buah rumah dan premis perniagaan mengalami kerosakan akibat dipukul ribut yang melanda sekitar Port Dickson dekat sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku pada pukul 1.20 pagi itu turut menyebabkan papan tanda, bendera parti politik dan tiang elektrik tumbang.
Penduduk, Norisah Abdul Latif, 56, berkata, selain rumahnya mengalami kerosakan, deretan khemah yang dipasang sempena meraikan majlis perkahwinan anaknya turut diterbangkan angin dan menimpa bumbung rumah jirannya.
"Namun mujurlah majlis telah selesai semalam. Angin tiba-tiba bertiup sangat kuat dan beberapa minit selepas itu berlaku hujan.
"Setelah reda, saya melihat khemah dan tiang lampu menghempap rumah saya dan jiran-jiran," katanya yang menginap di Taman Anggerik dekat sini.
Penduduk di Kampung Air Meleleh, Md. Rusdi Hamid, 63, memberitahu, beberapa perabot di dalam rumahnya rosak selepas atap rumahnya diterbangkan ribut.
"Antaranya tilam, perabot dan beberapa peralatan elektrik. Ini pengalaman kedua berlaku selepas kali pertama tahun lepas. Kerugian dianggarkan sebanyak RM20,000 bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala," jelasnya.
Peniaga, Sahar Jantan, 56, berkata, dia mengetahui khemah tempatnya berniaga rosak selepas menerima panggilan telefon berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 pagi.
"Khemah dan pelbagai pakaian yang dijual rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Ini menyebabkan saya tidak dapat menjalankan perniagaan sehingga segala kerosakan dibaiki dan membeli pakaian baru daripada pembekal.
"Apa yang mengecewakan, kejadian ini berlaku pada hari minggu yang menjadi tumpuan pelancong," ujar peniaga di pesisir pantai Telok Kemang itu.
Sementara itu, Pegawai Barisan Nasional (BN) Telok Kemang, Kamil Aziz memberitahu, semua kerosakan rumah penduduk di kawasan Parlimen Telok Kemang yang terlibat dalam ribut itu akan dibaiki.
"Pengerusi BN Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah mengarahkan pegawainya untuk melihat kawasan rumah penduduk yang terlibat bagi menilai kos untuk membaikinya.
"Penilaian awal kami mendapati sebanyak 31 rumah terlibat yang mana anggaran membaik pulih ialah sebanyak RM100,000," katanya.

RM800,000 atasi masalah

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 15 Februari 2013 0 Komen


V. S. Mogan (kiri) bersama beberapa penduduk meninjau kawasan yang mengalami masalah tebing runtuh di Sungai Muar berhampiran pekan lama Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. -utusan/ SAJIDA ASARULAH KHAN 
 
JEMPOL 14 Feb. - Sebanyak RM800,000 telah diperuntukkan untuk mengatasi beberapa masalah rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk V. S. Mogan berkata, peruntukan itu telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat lawatan ke daerah Jempol pada Januari lalu.
Beliau yang juga Ahli Exco kerajaan negeri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan untuk membina tebing bagi mengatasi masalah tanah runtuh di Sungai Muar berhampiran pekan lama Rompin, dekat sini.
"Masalah ini telah berlarutan hampir dua tahun menyebabkan penduduk mulai bimbang keselamatan mereka. Tebing itu akan dibina menggunakan konkrit dan ia akan dijalankan pada bulan Mac ini," katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, terdapat 10 unit rumah kedai berhampiran kawasan itu yang jaraknya hanya lebih kurang tiga meter sahaja dari tebing berkenaan.
"Tanah di tepi sungai itu semakin terhakis akibat musim hujan dan kita bimbang dengan kedudukan bangunan kedai tersebut. Saya amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana membantu penduduk menyelesaikan masalah ini," ujarnya.
Mogan menjelaskan, sebanyak RM300,000 akan digunakan untuk membina pembentung dan meluruskan laluan air sungai di Taman Saujana, dekat sini.
"Laluan lama telah dibina pada tahun 2005 yang tidak sistematik lagi. Jadi kita akan luruskan laluan ini dan ia akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau menambah, peruntukan untuk kawasan itu bertambah setiap tahun dengan RM96,750 pada 2008 meningkat kepada RM203,790 pada (2009, RM331,580 (2010), RM342,650 (2011) dan RM367,000 pada tahun lalu.
Katanya, pihaknya akan melancarkan sebuah buku yang bertajuk Agenda DUN Jeram Padang untuk diedarkan kepada penduduk dalam jangka masa terdekat.
"Buku ini dilancarkan untuk memaklumkan kepada penduduk mengenai pembangunan di kawasan ini sepanjang saya berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan mereka.
"Buku 24 muka surat ini mengandungi gambar dan maklumat tentang pencapaian DUN dari tahun 2008 sehingga 2012. Kita mahu penduduk tahu bahawa segala janji yang saya lafazkan telah ditunaikan dan ia bukanlah sekadar janji kosong," ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat dan memberi perhatian serius terhadap amalan mendengar masalah rakyat.
Malah menerusi program MyKasih, katanya, seramai 362 orang telah menerima bantuan barang keperluan bernilai RM80 setiap seorang yang diberi pada setiap bulan bagi tempoh satu tahun.

Tak sempat selamat perabot

Dikirim oleh Warieh Isnin, 11 Februari 2013 0 Komen


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2013
Tak sempat selamat perabot
Keadaan rumah Zainal selepas banjir kilat.
Tak sempat selamat perabot
Adnan dan Zainal (kanan) melihat paras air banjir kilat yang melanda rumahnya.
KUALA PILAH – Hujan lebat selama dua jam tanpa henti menyebabkan sebuah rumah, dekat sini ditenggelami air sehingga ke paras lutut.

Kejadian itu berlaku pada 7 petang setelah hujan lebat bermula 5 petang hingga 9 malam, kelmarin.

Mangsa, Zainal Kidam, 61, berkata, dia terkejut kerana sejak 1995, rumahnya belum pernah dinaiki air.

"Selalunya air hanya memasuki halaman rumah sahaja tetapi banjir kali ini yang paling teruk.

"Hujan lebat tidak berhenti selain dipercayai air dari Sungai Mekong naik menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, air naik dengan deras menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan perabot rumah dan air mulai surut jam 10 malam.

Katanya, ketika kejadian dia bersama isteri, Noriah Abdul Kadir, 56, manakala anak-anak bekerja.

"Mujur cuti Tahun Baru Cina, maka anak-anak boleh membantu membersihkan rumah," katanya yang juga pesara tentera pulang ke kampung tersebut pada 1990 bersama isterinya selepas berpencen.

Katanya, rumahnya berhampiran sungai dan anaknya sudah membesarkan anak sungai bagi mengelakkan banjir berlaku.

"Namun usaha itu tidak berjaya ekoran pembetung di Sungai Cheriau bersaiz kecil. Apabila kapasiti air hujan meningkat, pembetung kecil itu tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

"Tambahan pula, apabila ada sampah atau kayu yang menghalang, banjir kilat berlaku kerana air tidak dapat mengalir," katanya.

Malah katanya, berharap pihak berkaitan dapat mengatasi masalah itu dengan menggantikannya kepada pembetung berbentuk U supaya air dapat mengalir dengan baik ketika hujan lebat.

Sementara itu, atas keprihatinan, Adun Pilah, Adnan Abu Hassan telah menziarahi rumah mangsa bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan turut menghulurkan bantuan segera seperti selimut seperti barang keperluan dapur.

Banjir kilat selepas hujan lebat

Dikirim oleh Warieh Khamis, 8 Disember 2011 0 Komen



MOHD. Shahril Bahaman menunjukkan hakisan tanah selepas dikorek oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan air melimpah di Kampung Batu 4, Ulu Bendul, Kuala Pilah, baru-baru ini.


KUALA PILAH 7 Dis. - Penduduk di Kampung Batu 4 dekat sini, meminta kerajaan negeri menyekat aktiviti pengambilan pasir sungai di situ yang menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Mereka mendakwa, aktiviti itu juga menyebabkan arus sungai menjadi deras dan meruntuhkan tebing sungai.

Penduduk juga, kata mereka, mengalami kesukaran apabila jalan di kampung tersebut diliputi tanah merah kesan daripada banjir kilat berkenaan.

Seorang penduduk, Habibah Idris, 57, mendakwa aktiviti pengambilan pasir itu menyebabkan banyak pokok tumbang dan air sungai naik dengan cepat hingga berlaku banjir kilat.

"Pada mulanya saya dapati tiada sebarang hakisan tanah, tetapi apabila hujan, air mula bertakung dan membanjiri rumah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, penduduk kampung berharap kerajaan bertindak mengatasi masalah itu selain meminta pembinaan jalan berturap serta membaiki kawasan yang terhakis.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Shahril Bahaman, 36, berkata, aktiviti pengambilan pasir menyebabkan limpahan air hujan mengalir dengan deras dan berlaku runtuhan tanah berhampiran rumah penduduk.

Ujarnya, ketiadaan tebatan banjir juga menyebabkan rumah penduduk sering digenangi air sedalam 0.3 meter setiap kali musim hujan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Kejadian hari ini dipercayai berpunca daripada kerja-kerja mengorek tanah sejak setahun lalu," katanya.

Negeri Sembilan siap sedia hadapi banjir - MB

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 2 Disember 2011 0 Komen


SEREMBAN 1 Dis. - Kerajaan negeri sudah bersedia untuk menghadapi banjir sekiranya ia melanda negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, seluruh jentera bagi menghadapi bencana alam itu telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan hujan kerap ketika ini.

Pada masa sama, katanya, penduduk terutamanya di kawasan rendah diminta bersiap sedia bagi mengelakkan mereka terperangkap sekiranya banjir berlaku dengan cepat.

"Barang-barang berharga dan penting perlu diletakkan di tempat tinggi dan penduduk perlu meninggalkan rumah dengan segera jika diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

"Tindakan ini juga penting kerana jika paras air naik dengan cepat, penduduk menjadi kelam kabut kerana mahu menyelamatkan barangan tersebut sebelum berpindah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga mahu para pemimpin di peringkat akar umbi bersedia menghadapi bencana alam itu terutamanya memastikan kerja-kerja menyelamat dibuat dengan sebaik mungkin.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, kerajaan negeri telah mengenal pasti kedai di kawasan dilanda banjir yang boleh membekalkan barangan keperluan dengan segera kepada mangsa di pusat pemindahan.

Katanya, perkara itu diberi perhatian serius kerana kerajaan tidak mahu mangsa menghadapi masalah mendapatkan barangan keperluan semasa banjir.

"Barang-barang seperti makanan, selimut dan tikar adalah antara barangan yang perlu dibekalkan segera di tempat yang dilanda banjir," ujarnya.

Mengenai tebatan banjir, beliau berkata, jawatankuasa sempadan bersama antara negeri ini, Johor dan Melaka telah ditubuhkan dengan diterajui oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jelasnya, ia bertujuan supaya pelan tindakan bersama dapat dilakukan memandangkan Lembangan Sungai Muar yang menjadi punca banjir membabitkan ketiga-tiga negeri itu.

Penduduk bimbang hakisan tanah

Dikirim oleh Warieh Khamis, 18 Ogos 2011 0 Komen

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgjABAzFNtlRAgkI5NGdd59JYLWi3M5EDn01fAOJjpMX5tlL12MM8S3q5emGLJR4hcqxAVRZxUGzQ_KDM3lVfuYzLnWFHItIDabY4WId92k-HuMimSxGZawsxLOAEDb3gfhvj097wPK8Fsq/s1600/jalan+runtuh.jpg

SEREMBAN 17 Ogos - Seorang penduduk di Kampung Jimah Baru dekat sini meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi membendung hakisan tanah sebatang sungai yang kini semakin menghampiri rumahnya.

Mohammed Noor Dollah, 47, mendakwa hakisan itu berpunca daripada perbuatan mengempang aliran air di hulu sungai yang mengakibatkan arus deras ketika air dilepaskan pada waktu tertentu.

Dakwanya lagi, perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam projek pembinaan di hulu sungai.

"Air dilepaskan menyebabkan arus menjadi deras dan menghakis tebing sungai. Hakisan itu juga menyebabkan banyak tanaman penduduk musnah," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, arus yang besar juga menyebabkan banjir kilat yang memusnahkan tanaman dan haiwan peliharaan selain sisa kayu yang tersadai di tepi sungai.

Beliau berkata, perbuatan mencuci jentera dari tapak pembinaan itu juga menyebabkan air sungai tercemar oleh sisa minyak.

"Saya mengharapkan tindakan daripada pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini sebelum menyambut hari lebaran yang bakal tiba. Masalah ini menyukarkan kami membuat persiapan kerana bimbang segala yang dibuat musnah akibat banjir.

"Jambatan menghubungkan kami ke jalan yang menghala ke kebun turut musnah," katanya.

Hakisan tebing ancam nyawa

Dikirim oleh Warieh Selasa, 1 Jun 2010 0 Komen

PEDAS - Keadaan tanah tebing di belakang rumah seorang penduduk di Kampung Pedas Tengah, di sini, berhampiran Sungai Pedas yang semakin terhakis dan sudah berlarutan sejak empat tahun lalu amat membimbangkan pemiliknya.

Hamzan Shariff, 55, ketika ditemui Sinar Harian berkata, tanah yang terhakis semakin menghampiri pagar di belakang rumahnya.

"Hakisan berlaku kerana keadaan sungai bengkok menyebabkan air tertumpu di bahagian belakang rumah. Keadaan semakin bertambah buruk apabila hujan lebat sehingga meruntuhkan tebing.

“Saya khuatir, jika masalah ini tidak ditangani segera, keselamatan diri tidak terjamin, apatah lagi jarak antara sungai dan rumah hanya kira-kira 100 meter sahaja," katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan harus berusaha mengambil langkah mengatasi keadaan hakisan itu kerana ia membabitkan soal nyawa dan kepentingan penduduk.

"Sebelum berlaku kejadian tidak diingini, pihak berkenaan perlulah bertindak dengan proaktif bagi mengurangkan kebimbangan penduduk, selain memberi jaminan keadaan di kawasan terbabit selamat dan tidak membahayakan nyawa mereka.

"Jangan biarkan masalah ini bertambah rumit. Langkah yang boleh diambil adalah dengan memasang batu sangkar bagi mengelakkan tanah tebing runtuh dan terhakis akibat arus.

“Masalah ini bukanlah perkara baru kerana sudah dimaklumkan pada pihak berkenaan namun sehingga kini, aduan yang dibuat tiada jalan penyelesaian," katanya.


BAHAU – Hujan lebat selama lebih satu jam malam semalam menenggelamkan beberapa kawasan kediaman dan taman perumahan penduduk sehingga ke paras lutut.

Banjir kilat kali ini antara yang teruk pernah berlaku dan kawasan terlibat adalah Taman ACBE, Taman Satelite, Kampung Indah serta Kampung Batu Bakar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong turun padang meninjau keadaan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

Menurutnya, keadaan banjir kilat itu jarang berlaku di kawasan Bahau khususnya penempa-tan penduduk sekitar dan hal ini mungkin disebabkan penebangan hutan dilakukan secara besar-besaran.

“Banjir kilat ini adalah bencana dicipta manusia dan saya berasa kesal dengan pihak terbabit kerana memusnahkan kawasan tadahan air yang menyumbang kepada banjir kilat.

“Saya menyarankan supaya kerajaan membuat perancangan teratur sebelum melakukan sesuatu projek yang mampu menghapuskan alam sekitar dan kawasan tadahan air,” katanya.

Rata-rata penduduk yang terbabit tidak sempat menyelamatkan harta benda seperti tilam, perabot dan almari rumah.

Sementara itu, Kok Seong berkata, surat secara rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan akan ditulis untuk memaklumkan mengenai bencana itu untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Saya juga akan membawa isu ini ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang untuk mengetengahkan berhubung masalah ditanggung penduduk setempat,” katanya.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook