Tak sempat selamat perabot
Keadaan rumah Zainal selepas banjir kilat.
Tak sempat selamat perabot
Adnan dan Zainal (kanan) melihat paras air banjir kilat yang melanda rumahnya.
KUALA PILAH – Hujan lebat selama dua jam tanpa henti menyebabkan sebuah rumah, dekat sini ditenggelami air sehingga ke paras lutut.

Kejadian itu berlaku pada 7 petang setelah hujan lebat bermula 5 petang hingga 9 malam, kelmarin.

Mangsa, Zainal Kidam, 61, berkata, dia terkejut kerana sejak 1995, rumahnya belum pernah dinaiki air.

"Selalunya air hanya memasuki halaman rumah sahaja tetapi banjir kali ini yang paling teruk.

"Hujan lebat tidak berhenti selain dipercayai air dari Sungai Mekong naik menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, air naik dengan deras menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan perabot rumah dan air mulai surut jam 10 malam.

Katanya, ketika kejadian dia bersama isteri, Noriah Abdul Kadir, 56, manakala anak-anak bekerja.

"Mujur cuti Tahun Baru Cina, maka anak-anak boleh membantu membersihkan rumah," katanya yang juga pesara tentera pulang ke kampung tersebut pada 1990 bersama isterinya selepas berpencen.

Katanya, rumahnya berhampiran sungai dan anaknya sudah membesarkan anak sungai bagi mengelakkan banjir berlaku.

"Namun usaha itu tidak berjaya ekoran pembetung di Sungai Cheriau bersaiz kecil. Apabila kapasiti air hujan meningkat, pembetung kecil itu tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

"Tambahan pula, apabila ada sampah atau kayu yang menghalang, banjir kilat berlaku kerana air tidak dapat mengalir," katanya.

Malah katanya, berharap pihak berkaitan dapat mengatasi masalah itu dengan menggantikannya kepada pembetung berbentuk U supaya air dapat mengalir dengan baik ketika hujan lebat.

Sementara itu, atas keprihatinan, Adun Pilah, Adnan Abu Hassan telah menziarahi rumah mangsa bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan turut menghulurkan bantuan segera seperti selimut seperti barang keperluan dapur.