Khobar Orang Nogori

Sumber Berita Mengenai Negeri Adat Perpatih.




untuk pengiklanan sila email kepada bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2

USIM destinasi ke-4 disinggahi program promosi derma organ

Dikirim oleh ebook searching Tuesday, December 20, 2011 0 Komen



Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah (kanan) melepaskan peserta Walkaton Jelajah Kempen Pendermaan Organ di USIM, Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 20 Dis. - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini dipilih sebagai destinasi kunjungan keempat program Jelajah Promosi Pendermaan Organ Negara di peringkat Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Upacara perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lam Thye dalam ucapan ringkasnya berkata, program tersebut bertujuan memupuk sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menderma organ.

''Jelajah ini telah diadakan di Melaka, Kedah dan Sarawak dan bagi negeri ini kita telah memilih Usim sebagai salah satu destinasi untuk mempromosikan kempen menderma organ bagi Negeri Sembilan.

''Ini merupakan destinasi keempat jelajah ini dan merupakan penutup program promosi pendermaan organ pada tahun ini," katanya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung senario pendermaan organ di negara ini, beliau memberitahu, rakyat Malaysia telah menunjukkan perubahan positif terhadap kesedaran menderma organ.

''Ini kerana kita dapat lihat wujudnya jumlah penderma dan pengikrar pendermaan organ dari tahun ke tahun.

''Statistik menunjukkan, sepanjang tahun ini jumlah pengikrar yang mendaftar sehingga bulan November mencatatkan seramai 25, 719 orang." katanya.

Jelasnya lagi, berdasarkan kepada statistik Pusat Sumber Pemindahan Kebangsaan, golongan berumur 11 hingga 30 tahun merupakan bilangan pengikrar paling ramai yang membabitkan jumlah 103,611 individu.

''Ini merupakan satu perubahan yang membanggakan kerana kesedaran di kalangan golongan muda untuk tampil mendaftar sebagai pengikrar semakin meningkat pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, melalui pelaksanaan kempen kesedaran pendermaan organ yang dijalankan terutamanya menerusi media, ia telah berjaya meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi negatif rakyat sekali gus memperlihatkan respons positif terhadap pendermaan organ.


SEREMBAN 20 Dis. - Siasatan polis percaya tindakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Taman Rasa Sayang dekat Senawang di sini, memandu sebuah bas kilang tengah malam semalam, adalah kerana terdesak hendak melarikan diri selepas terlibat dalam satu pergaduhan di situ.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin berkata, remaja tersebut yang melalui kawasan itu secara kebetulan ternampak kunci kenderaan berkenaan ditinggalkan pemandunya lalu menghidupkan enjin dan memandunya.

"Berdasarkan siasatan awal, remaja terbabit dalam keadaan terdesak selepas bergaduh dengan sekumpulan remaja di taman itu. Remaja itu juga tidak tinggal di taman perumahan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyiasat kemungkinan remaja itu mempunyai niat hendak menggunakan bas tersebut untuk melanggar kumpulan remaja yang bergaduh dengannya.

"Empat pemilik kenderaan yang rosak selepas dilanggar bas berkenaan telah membuat laporan polis semalam," ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penduduk Taman Rasa Sayang di Senawang dekat sini gempar selepas sebuah bas kilang yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tiba-tiba merempuh empat buah kereta diletakkan di taman perumahan itu, tengah malam Ahad lalu.

Kata Saiful Azly, remaja terbabit kini ditahan reman selama tiga hari sehingga hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

PESTANS kecewa gelagat PSM Oleh Hussain Said

Dikirim oleh ebook searching Monday, December 19, 2011 0 Komen


hussain@bharian.com.my
2011/12/20

Masih belum lulus permohonan jadi ahli gabungan sejak Jun lalu

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) terkilan dengan gelagat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih belum meluluskan permohonan untuk menjadi ahli gabungan badan induk itu yang sudah dikemukakan sejak Jun lalu.
Timbalan Presiden PESTANS, Zambry Fareed berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan itu di Pejabat PSM di Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, tetapi hingga hari ini badan induk itu belum memberi sebarang keputusan.
“Namun, apa yang musykil jika kami belum menjadi ahli gabungan, mengapa penyertaan kami dalam Kejohanan Piala Presiden PSM diterima,” katanya.

Zambry berkata, pihaknya hanya menyedari PESTANS masih belum menjadi ahli gabungan selepas Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail memintanya keluar ketika menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PSM, Sabtu lalu.

“Saya akui tidak menerima surat jemputan untuk menghadiri mesyuarat itu, tetapi menerima jemputan menerusi laman sosial Facebook. Tetapi, saya agak terkilan dengan cara saya diminta keluar, malah beberapa ahli Majlis Tertinggi PSM juga menyuarakan kekesalan dengan tindakan itu.

“Apa pun, saya menegaskan penyertaan PESTANS sebagai ahli gabungan PSM adalah untuk membantu PSM membangunkan serta memajukan permainan tradisi ini, apa lagi, ketika ia berada dalam kemerosotan yang menuntut semua pihak bersatu memulih dan mengangkat martabat permainan ini semula.
“Malah, komitmen kami sudah terbukti dengan menghantar banyak regu menyertai pelbagai kejohanan termasuk anjuran PSM dengan pembiayaan sendiri,” katanya.

Zambry berkata, PESTANS adalah persatuan sepak takraw yang baru dihidupkan di Negeri Sembilan selepas persatuan lama sebelum ini tidak aktif sejak empat tahun lalu.

Warga emas maut kemalangan motosikal

Dikirim oleh ebook searching 0 Komen


SEREMBAN 19 Dis. - Hasrat seorang warga emas untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital selepas mengalami penyakit semput tidak kesampaian selepas dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 2.5 Jalan Jelebu, dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Saari Mohd. Ali, 62, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditemui oleh orang ramai dalam keadaan terbaring di tepi jalan kira-kira pukul 7 pagi selepas dipercayai terbabas ketika menaiki motosikalnya itu.

Seorang rakan sekerja mangsa, Mohd. Saad Alias, 60, berkata, sebelum kejadian dia bersama Saari sedang bekerja di sebuah kilang kira-kira 100 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Dia yang terkejut dengan kejadian yang menimpa sahabatnya memberitahu, pada pukul 4.30 pagi, Saari yang berasal dari Rembau dekat sini ada mengadu bahawa dia mengalami lelah dan mahu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Dia bertegas untuk pergi seorang diri dengan menunggang motosikal Honda Ex-5 tetapi selepas beberapa jam saya hairan kerana dia tidak pulang ke tempat kerja.

"Saya kemudian menghubungi anak Saari tetapi dimaklumkan bahawa dia juga tidak pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di sini.

Namun jelasnya, kira-kira pukul 7 pagi dia dimaklumkan oleh seorang rakannya, Saari ditemui terbaring dan tidak bernyawa di tepi jalan tidak jauh dari tempat dia bekerja.

"Untuk mendapatkan kepastian saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut apabila melihat mayat rakan saya terbaring kaku di sisi motosikalnya.

"Ketika ditemui mayat mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan cuma ada sedikit luka di bahagian tangan," jelasnya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.



Gerai menjual kayu gaharu antara tempat tumpuan di Minggu 1Malaysia Best di Rabat, Maghribi, kelmarin.


RABAT 19 Dis.- Percayakah anda bahawa kayu gaharu seberat satu gram dijual pada harga 90 Euro (RM371.70) di Maghribi?

Tidak hairanlah gerai menjual kayu gaharu yang diusahakan oleh Kedaik Agarwood Sdn. Bhd., di Minggu Karnival 1Malaysia Best di pekarangan pasar raya Aswak Assalam di sini menjadi tumpuan pengunjung.

Difahamkan, golongan pertengahan dan atasan masyarakat di negara ini sememangnya suka kepada bau-bauan harum daripada kayu gaharu.

Minyak pati kayu gaharu Malaysia seberat 1 gram dijual pada harga AS$30 dolar (RM112) manakala kayu gaharu pula sebanyak AS$45 dolar (RM144) di karnival ini.

Pada masa ini, kayu gaharu itu dicari oleh masyarakat Orang Asli di dalam hutan sekitar Terengganu, Johor dan Pahang sebelum dihantar di kilang milik Kedaik Agarwood, di Rompin, Pahang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Mohd. Sani Mistam (gambar) berkata, industri kayu gaharu mempunyai potensi untuk dimajukan dan meneroka pasaran global kerana pati kayu gaharu ini boleh diproses kepada pelbagai bauan minyak wangi.

"Minyak gaharu ini kemudiannya dicampur dengan campuran buah-buahan dan bunga dengan pelbagai haruman supaya kewangiannya kekal lama," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dengan adanya industri kayu gaharu ini, beliau yakin ia boleh memberi peluang kepada komuniti Orang Asli menambah pendapatan mereka selain mencari buah-buahan hutan lain untuk menampung kehidupan seharian.

Melihat akan potensi itu, Jakoa telah menanam 4,500 batang pokok gaharu dalam kebun getah di perkampungan Orang Asli Belihoi, dekat Seremban untuk mengembangkan lagi industri tersebut.

Mohd. Sani memberitahu, pihaknya juga bercadang untuk menanam pokok gaharu di beberapa lagi kawasan perkampungan Orang Asli di seluruh negara dan tempoh matang pokok tersebut ialah sekitar 8 hingga 10 tahun. - Utusan


SEREMBAN 18 Dis. - Penambahan ilmu agama serta pemantapan akidah antara usaha berterusan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam kalangan saudara baru di negeri ini.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuklah mengadakan kelas-kelas pengajian Islam secara berterusan untuk saudara baru yang baru memeluk agama Islam.

''Selain itu juga, kita menyediakan program-program keagamaan termasuklah D'Alam Saudara Muslim, Kursus Tasawwuf Islam, D'Hijrah Suadara Muslim, D'Syahadah Muslim, solat terawih di perkampungan Orang Asli dan bantuan kewangan MAINS.

''Bagi mengilap kefahaman mereka mengenai ilmu agama dan pemantapan akidah, kesemua saudara baru ini turut dihantar mengikuti pengajian di Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)," katanya di sini.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Besar menjelaskan, urusan hal ehwal saudara baru adalah dibawah tanggungjawab Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah JHEAINS.

Katanya, antara peranan yang dimainkan oleh unit berkenaan termasuklah memberi perhidmatan berkaitan saudara baru seperti memeluk agama Islam, pengurusan kursus dan program.

''Unit juga berperanan dalam aspek pengurusan dakwah di perkampungan Orang Asli selain menguruskan bantuan serta kebajikan saudara-saudara baru," jelas beliau.

Jelas Mohamad, ini selaras dengan hasrat pihaknya untuk terus meningkatkan lagi syiar Islam di negeri ini melalui pendidikan yang berterusan dalam memastikan mereka yang memeluk agama Islam diberi pemantapan dari aspek ilmu agama dan akidah.



SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa Jabatan Imigresen negeri dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sekitar Nilai, Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 18 Dis. - Sikap seramai 20 pelajar kolej termasuk dua warga Nigeria tidak membawa dokumen pengenalan diri semasa keluar ke bandar menerima padah apabila mereka ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen negeri di sekitar Nilai, di sini malam tadi.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, mereka yang ditahan dalam operasi pukul 9 malam itu, hanya mengemukakan kad pelajar dan surat dari sebuah kolej swasta di sini, kononnya adalah penuntut di kolej berkenaan.

"Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan dokumen sah atau pas pelajar, mereka gagal berbuat demikian.

"Mereka yang ditahan ialah dua rakyat Nigeria, Nepal (tiga), Mesir (tiga), Myanmar (sembilan) dan Republik Of Guinea (tiga)," katanya ketika ditemui selepas operasi di sini semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun.

Kata Faizal Fazri, semua warga asing tersebut ditahan untuk siasatan lanjut kerana kad pelajar dan surat daripada kolej berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai dokumen perjalanan yang sah.

"Kita tidak tahu sama ada dokumen yang diberikan mereka itu benar atau palsu atau taktik terbaharu warga asing untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

"Pihak Imigresen akan menyiasat dakwaan mereka ini termasuk berhubung dengan pihak kolej terbabit untuk mengetahui status sebenar mereka sebelum mengambil tindakan seterusnya," ujarnya.



OMARDIN Mauju beramah mesra dengan kontinjen muda dari India selepas merasmikan Kejohanan Silambam Sedunia Kali Kedua di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 18 Dis. - Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) mendesak kerajaan tidak lagi berkompromi dengan mereka yang sanggup mencemar agama Islam dan merendahkan martabat bangsa Melayu selain sanggup mencabar undang-undang negara.

Mahagurunya, Tan Sri Omardin Mauju berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertegas dalam soal itu kerana pelbagai isu yang berlaku ketika ini bukan sahaja memalukan, malah merosakkan akidah umat Islam dan umat Melayu.

Merujuk kes seorang pemuda Melayu yang dilaporkan berkahwin dengan seorang lelaki warga asing di luar negara, katanya, perkara itu amat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku.

"Saya sendiri tidak faham mengapa lelaki berkenaan bertindak sedemikian. Mungkin dia dipergunakan oleh segelintir pihak yang mahu menjatuhkan imej bangsa Melayu dan agama Islam. Ini perkara yang serius dan perlu diambil perhatian kerana maruah bangsa Melayu dan akidah umat Islam telah tercalar.

"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya berharap kerajaan jangan tunggu untuk mengambil tindakan kerana kalau dibiarkan, ia akan merosakkan anak muda di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Silambam Sedunia Kali Kedua di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Jelas Omardin, beliau percaya ada segelintir pihak yang menjadi dalang di sebalik perbuatan songsang lelaki berkenaan berdasarkan gambar pemuda berkenaan yang mengenakan pakaian tradisional Melayu pada hari perkahwinannya itu.

"Kenapa dia tidak pakai pakaian Barat sahaja pada upacara songsang itu? Sudahlah berkahwin cara Kristian. Memang saya nampak ada unsur sabotaj untuk menjatuhkan Melayu dan Islam," katanya.

Justeru beliau menyeru kepada semua NGO memerangi perkara seperti itu kerana jika dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan akidah umat Islam malah menjadi barah kepada generasi muda akan datang.

J. Sham terkenang rumah nombor 66

Dikirim oleh ebook searching 0 Komen



SEBELUM bergelar penyanyi J. Sham merupakan seorang guru muzik.


Malah, penyanyi berusia 67 tahun ini juga sukar melupakan kenangan mencipta lagu tersebut.

Kata J. Sham, lagu itu antara yang terawal diciptanya sebelum dia berkahwin di mana ia telah melonjakkan namanya sebagai penyanyi pop yeh-yeh pada tahun 1960-an.

Menurut datuk kepada dua orang cucu ini, lagu Suratku Untukmu secara tidak langsung mengingatkannya pada rumah nombor 66 Jalan Seremban-Tampin yang pernah didudukinya.

Katanya, di situlah lagu malar segar yang penuh nostalgia itu diciptanya empat dekad lalu.

"Apabila bercakap tentang lagu itu, saya pasti akan teringatkan rumah itu yang saya sewa dari tahun 1966 hingga 1969. Idea mencipta lagu dan lirik lagu Suratku Untukmu itu saya dapat sewaktu menyewa selama tiga tahun di situ. Banyak kenangan sewaktu tinggal di situ.

"Saya pun tidak tahu apa jadi dengan rumah itu tetapi dengar cerita ia masih diduduki sampai sekarang. Ketika menyewa di rumah itu, saya bekerja sebagai guru bahasa Inggeris dan muzik di Sekolah Menengah Datuk Taha, Gemenceh, Negeri Sembilan," katanya kepada S3.

Jelas J. Sham yang kali terakhir muncul dengan lagu baru berjudul Mencari Sinar Bahagia pada tahun 2008, biarpun mula menceburi bidang perguruan tetapi minatnya dalam dunia nyanyian sukar dibendung. Apatah lagi, ketika itu dia juga seorang guru muzik.

Justeru, selain sibuk dengan tugasnya sebagai guru sekolah, dia juga mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian pada awal tahun 1966. Lonjakan irama pop yeh-yeh yang sedang hangat ketika itu meluap-luapkan lagi semangatnya untuk terus terbabit dalam bidang muzik.

"Ketika itu, saya menjadi guru sepenuh masa dan menyanyi hanya sambilan sahaja. Tetapi saya rasa seperti terbabit dalam bidang muzik sepenuh masa kerana banyak mengajar mata pelajaran muzik di sekolah. Selepas itu, saya mula mendalami muzik secara lebih serius.

"Saya mula menjadi pensyarah muzik di Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1973 hingga 1979 sebelum melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Birmingham, England.

"Pulang dari luar negara, saya kemudiannya menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur sehingga tahun 1999 sebelum bersara dengan jawatan terakhir saya ialah Ketua Jabatan Muzik di maktab tersebut," ujarnya.

Biarpun telah bersara sebagai pensyarah muzik tetapi beliau tidak boleh melupakan bidang nyanyian yang telah menjadi darah dagingnya. Tidak hairanlah sehingga kini, dia masih terus menyanyi dan menerima undangan mengadakan persembahan pentas di merata-rata tempat.

Bagaimanapun, penyanyi itu yang kini menetap di Kajang, Selangor berkata, dia tidak menggunakan ilmu dan kepakarannya dalam bidang nyanyian bagi membantu golongan penyanyi muda meskipun setelah dia bersara sebagai pensyarah muzik.

"Saya bukannya tidak mahu mengajar penyanyi baru atau membuka kelas vokal selepas bersara. Tetapi saya sengaja tidak mahu berbuat begitu kerana ia akan 'mengikat' kerjaya saya sebagai penyanyi. Ini kerana, semua itu memerlukan komitmen yang tinggi.

"Dulu semasa mengajar, kebanyakan pelajar saya terdiri daripada bakal guru muzik di sekolah. Malah, ada di antara mereka yang kini bergelar profesor muzik di universiti tempatan. Pendekatan mengajar untuk akademik dan penyanyi komersial tidak sama," katanya.

J. Sham yang turut popular dengan lagu Di Pinggir Kali, Resam Dunia, Ku Akan Pulang, Kelohan Gemala, Gadis Negeri Sembilan dan Diam Diam menambah, dia bersyukur kerana biarpun telah bersara sebagai pensyarah muzik tetapi dia masih belum bersara sebagai penyanyi.

N. Sembilan temui pengganti

Dikirim oleh ebook searching 0 Komen



Mohamad Hasan bersama pegawai serta skuad Negeri Sembilan musim 2012 pada majlis memperkenalkan pemain di Hotel Klana Resort, Seremban, semalam.


Oleh Farabi Sheikh SaidSEREMBAN - Biarpun kehilangan beberapa bintang utama, Negeri Sembilan tetap mantap dengan kehadiran dua pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jean-Emmananuel Effa Owona dari Cameroon dan Marquen Nuquen Gocalves Ferreira dari Brazil mengikat kontrak selama setahun dengan PBNS.

Sebelum ini, Owona pernah yang bermain di bahagian serangan dalam Liga Perancis dan Qatar manakala Ferreira pula di posisi pertahanan pernah bermain dalam Liga Jepun.

"Selain pemain import itu, enam pemain tempatan yang disenaraikan ialah Mohd. Zulfaizham Kamis dan Ahmad Shakir Md Ali dari Kedah FA, Norismaidham Ismail dan Mohd Nazrin Mohd Nawi (KLFA), Rashid Mamud (Felda United FC) dan Badrul Zaman Abd Halim (PKNS FC)," katanya.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain pasukan Liga Super Negeri Sembilan untuk musim 2012 di sini, semalam.

Beliau turut memberitahu PBNS telah membuat persiapan yang secukupnya bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan kombinasi pemain yang mempunyai kebolehan masing-masing.

"Saya menaruh keyakinan bahawa kombinasi pemain lama yang dipimpin oleh ketua pasukan Shukor Adan, pemain baru ini akan dapat menyesuaikan diri mereka dengan pasukan negeri ini.

''Biarpun tahun ini kita menjuarai Piala Malaysia 2011, tetapi kita tidak meletakkan sasaran. Namun, kita hendak supaya pasukan Negeri Sembilan lebih baik daripada musim ini tanpa sebarang tekanan di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd. Azraai Khor Abdullah bermain dengan cemerlang ," katanya.

Sementara itu, Mohd. Azraai Khor berkata, beliau optimis dengan kemampuan kombinasi pemain baru dan lama.

Ujarnya, pengalaman membariskan pemain muda ketika di Kedah akan diterapkan untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Ramai pemain muda yang diuji telah menunjukkan permainan yang memberangsangkan malah berbakat menjadi pemain yang matang," ujarnya.

Katanya, sebagai persiapan mengharung liga pasukan Negeri Sembilan akan ke Perth, Australia minggu depan untuk bermain dua perlawanan persahabatan.

Bunuh: Polis cari 'Budin'

Dikirim oleh ebook searching 0 Komen


SEREMBAN 15 Dis. - Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki bagi membantu menyelesaikan satu kes bunuh seorang mangsa lelaki di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ulu Branang, Lenggeng dekat sini pada 8 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, lelaki berkenaan dikenali dengan 'Budin' atau nama sebenar Zaharuddin Sabirin yang memegang kad pengenalan bernombor 571013-05-5393.

"Alamat terakhirnya adalah di Lorong Senu 1, Taman Dato Hormat, Petaling Jaya, Selangor atau Kampung Sungai Machang, Hulu Lenggeng.

"Polis meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau pernah melihat lelaki ini untuk tampil memberi maklumat bagi membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kes bunuh itu, Hamdan memberitahu, mangsa dikatakan dipukul di belakang kepala dalam kejadian pada 8 Disember itu.

"Selepas kejadian itu, mangsa pulang ke rumah, namun akibat hentakan itu dia mengalami kesakitan dan mengambil keputusan mendapatkan rawatan sehari kemudian di Hospital Tuanku Ja'afar di sini.

"Bagaimanapun, pada 10 Disember kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mangsa disahkan meninggal dunia akibat mengalami pendarahan beku di kepala hasil bedah siasat yang dijalankan," ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

MAINS catat kutipan zakat RM51j

Dikirim oleh ebook searching 0 Komen



Pengerusi AgroBank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek berjumlah RM26,200 kepada Mohamad Hasan pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2010 & Sumbangan Agrobank Negeri Sembilan di Klana Resort, kelmarin.


SEREMBAN 15 Dis. - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) mencatatkan kutipan zakat mencecah RM51 juta sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah tersebut meliputi kutipan pelbagai jenis zakat yang diterima daripada individu termasuk badan korporat untuk diagihkan kepada golongan susah di negeri ini.

''Namun jumlah keseluruhan agihan mencapai RM53 juta lebih daripada jumlah yang kita kutip tahun ini. Jumlah tersebut merupakan lebihan wang zakat bagi tahun lalu.

''Wang zakat ini kita perlu agihkan sebaik mungkin kerana ia tidak boleh disimpan dan merupakan hak golongan asnaf," katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2010 & Sumbangan Agrobank Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini semalam.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, secara purata, hampir RM5.3 juta zakat diagihkan kepada penerima yang layak di seluruh negeri ini.

''Setakat ini, seramai 5,000 golongan asnaf telah menerima agihan wang zakat ini. Manakala 12,000 penerima berkala menerima bantuan zakat daripada Baitulmal," ujarnya.

Jelas Mohamad, jumlah kutipan zakat di negeri ini amat memberangsangkan kerana nilainya bertambah setiap tahun.

''Salah satu kunci kejayaan ini adalah disebabkan kita berjaya menguruskan wang zakat ini dengan baik.

Orang ramai tahu kita lakukan dengan telus, sebab itu semakin bertambah orang membayar zakat di negeri ini.

''Kejayaan untuk menguruskan wang zakat ini dengan baik juga secara tidak langsung menyaksikan MAINS menerima penarafan empat bintang daripada Ketua Audit Negara," katanya.

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

Followers

    beritan9

    Loading...