Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label utusan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label utusan. Papar semua catatan




SEREMBAN 10 Mei - Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan apabila memperoleh 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
BN yang menang 22 kerusi DUN pada PRU-13, hilang enam daripadanya iaitu Pilah, Ampangan, Klawang, Labu, Lenggeng dan Paroi.
Enam belas kerusi yang dimenanginya ialah Serting, Jeram Padang, Palong, Pertang, Sungai Lui, Juasseh, Senaling dan Seri Menanti. BN turut menang di Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemencheh.
Keputusan itu menyaksikan gabungan pembangkang PKR membentuk kerajaan buat kali pertama di negeri ini selepas memperoleh 20 kerusi.
DAP dijangka menjadi parti paling berpengaruh dalam kerajaan negeri kelak apabila memenangi semua 11 kerusi ditandinginya, berbanding PKR lima dan PAN empat. Sebuah lagi parti, PPBM gagal mendapat sebarang kerusi.
Bagi kerusi Parlimen pula, BN menang tiga daripada lapan kerusi iaitu Rembau, Jempol dan Jelebu. Bagaimanapun, dua kerusi iaitu Kuala Pilah dan Tampin yang sebelum ini milik BN dirampas PKR.
Kedua-dua kerusi ditandingi pemimpin berpengalaman, Datuk Seri Hasan Malek yang tewas dengan majoriti 200 undi di Kuala Pilah, manakala Datuk Seri Shaziman Abu Mansor kecundang dengan 1,002 di Tampin.
Gabungan pembangkang PKR terus mengekalkan pengaruh di Parlimen Seremban, Rasah dan Port Dickson apabila menang dengan majoriti lebih besar.
Pengerusi gabungan pembangkang negeri, Aminuddin Harun ketika mengumumkan kemenangan itu malam tadi berkata, parti tersebut akan memohon perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk membentuk kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Sudah tentu ada pemimpin baru akan menerajui mandat negara dan tidak kurang ada juga yang meninggalkan rakyat termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada tengah malam tadi, beliau yang lebih mesra dipanggil ‘Tok Mat’ itu mengambil kesempatan untuk bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang menyokongnya selama ini.

Rata-rata netizen di laman media sosial meluahkan rasa hiba dan sedih apabila mendapat tahu mengenai keputusan tersebut. Ini kerana ramai yang berkata beliau telah banyak berjasa dan melakukan yang terbaik untuk negeri itu namun keputusan adalah muktamad.
Menurut seorang pengguna Facebook, Tok Mat telah melakukan tanggungjawab sebaik mungkin ketika menguruskan pimpinan dan pentadbiran di negeri itu. Namun mungkin disebabkan pucuk pimpinan utama, rakyat terpaksa menolak kerajaan pusat secara menyeluruh.

Filem KABALI cetus fenomena ditayangkan esok

Dikirim oleh Warieh Khamis, 21 Julai 2016 0 Komen

Filem Kabali lakonan bintang legenda Rajinikanth mencipta sejarah apabila memilih Malaysia sebagai destinasi tayangan perdana di dunia.

Filem tersebut menerima sambutan hangat daripada peminat pada tayangan perdananya yang berlangsung di pawagam Federal di sini malam ini.

Selain itu, filem itu juga mencipta sejarah apabila menjadi filem Tamil pertama yang dialih ke Bahasa Melayu.

Ia akan mula ditayangkan serentak di seluruh dunia bermula esok (22 Julai) dan versi Bahasa Melayu pada 29 Julai depan.


KHALID Yunus dan Samy Vellu menaikkan bendera Malaysia di Kedutaan Indonesia dan menurunkan lambang Pancasila.

SEKALIPUN Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman menyedari perasaan marah rakyat Malaysia sedang memuncak terhadap Presiden Sukarno yang melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia, tetapi apabila sekumpulan pemuda yang menunjuk perasaan pada 17 September 1963 di Kuala Lumpur meminta supaya beliau memijak simbol Pancasila negara Indonesia, Tunku enggan berbuat demikian.
Simbol itu telah diturunkan dari bangunan Kedutaan Indonesia di Jalan Ampang dan diheret dengan skuter dan motosikal ke kediaman Perdana Menteri di Jalan Dato Onn.
Khalid Yunus pemberita Utusan Melayu yang dihantar untuk meliputi tunjuk perasaan itu telah bertukar menjadi penunjuk perasaan yang menurunkan simbol itu dari anjung bangunan kedutaan.
Menurut Khalid apabila sampai di kediaman Tunku, mereka telah memanggil Tunku keluar dan kemudian mengusung Tunku dan menyuruh Tunku, "pijak! pijak! pijak!" simbol yang dibawa oleh mereka itu tetapi apabila Tunku enggan, mereka meletakkan Tunku di atasnya. Tunku berkata "awatlah hampa buat aku macam ni".
Khalid nampak air mata Tunku tergenang tetapi tidak tahu sebabnya sama ada kerana terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan jiwanya atau kerana terharu dengan sikap mereka.
Sebagai Ketua Pemberita pada masa itu saya telah menugaskan Khalid untuk meliputi suatu perhimpunan yang dirancang secara kilat bagi membalas tindakan pemuda-pemuda Indonesia di Medan menunjuk perasaan dan menawan Konsul Malaysia di Medan.
Saya yang turut hadir di perhimpunan itu akhirnya terpaksa mengambil alih tugas Khalid membuat liputan dan menulis berita mengenainya kerana beliau tidak lagi menjalankan tugasnya sebaliknya berada di barisan depan pemuda-pemuda yang berarak dari suatu perhimpunan ramai yang bermula dari Padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru.
Perhimpunan itu telah mendengar ucapan-ucapan penuh bersemangat dan berapi-api mengecam konfrontasi. Di antara pemidatonya ialah Ketua Pengarang Utusan Melayu, Melan Abdullah yang muncul sebagai Ketua Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang ditubuhkan secara kilat untuk melancarkan perang saraf ke seluruh negara bagi memerangi konfrontasi Indonesia.
Perarakan ke Jalan Ampang itu membawa sepanduk anti Parti Komunis Indonesia (PKI) dan mengecam Menteri Luar Indonesia Subandrio dan Presiden Sukarno. Salah satu sepanduk itu berbunyi "Sukarno kuda tunggangan Aidit."
perisytiharan
Tunjuk perasaan itu berlaku menjelang perisytiharan penubuhan Malaysia pada petangnya tanpa mempedulikan bantahan Indonesia yang menganggapnya sebagai gagasan penjajah. Pada hari itu juga hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia diputuskan.
Dalam perisytiharan penubuhan Malaysia itu Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberitahu perhimpunan lebih 20,000 orang di Stadium Merdeka.
''Kami bersedia untuk mengawal dan mempertahankan negara kami daripada serangan musuh dengan apa juga kuasa yang ada pada kami dan juga dengan nyawa kami" (lihat Looking Back )
Dalam perang saraf menentang Indonesia, Malaysia menumpukan serangan kepada PKI yang dipimpin oleh D.N. Aidit dan juga Subandrio. Sukarno lebih dilihat sebagai telah dipergunakan oleh PKI.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie telah mendapat maklumat dari berbagai sumber, tentang Sukarno tidak lagi dapat menolak kekuatan PKI. Antaranya ialah dari Duta Indonesia di Singapura, Sugiharto yang merupakan orang Sukarno.
Ghazali telah bertanya kepada Sugiharto kenapa Presiden Sukarno nampak bimbang dengan beberapa pihak yang dijemput untuk menyertai persidangan puncak antaranya dengan Tunku Abdul Rahman di Tokyo pada Jun 1963. Sugiharto memberitahu Ghazali bahawa PKI adalah sangat tidak senang dengan rancangan pertemuan ini. (Lihat buku Ghazali Shafie terbitan UKM: Memoir on The Formation of Malaysia)
Ini, kata Ghazali menghairankan kerana selalunya Sukarno bercakap besar mendakwa beliau dapat mengawal PKI dan juga PKI tidak boleh mempengaruhinya, malah ini dipercayai oleh Amerika. Sugiharto memberitahu itu "hanyalah gendang kosong" dan beliau meminta Malaysia tidak menjadikan ini sebagai propaganda. Ghazali segera sedar bahawa Sugiharto adalah president's man yang anti komunis.
Perkara ini lebih jelas lagi dalam buku Leftenan Jeneral Kemal Idirs "Bertarung dalam Revolusi. Beliau yang tidak bersetuju dengan Sukarno telah ditugaskan dalam masa konfrontasi untuk menyusun gerakan menyerang Malaysia dari Sumatera.
Mencerminkan
Di muka 191 buku ini, Kemal menulis, ''Perubahan politik Bung Karno mencerminkan suasana yang makin keruh. Semula dia beranggapan dengan karisma dan kepimpinannya dia dapat menguasai PKI. Ini meniupkan angin sejuk bagi mereka yang bergerak di tengah PKI dengan politik Nasakom (Gagasan Sukarno untuk menyatukan nasionalis, agama dan komunis).
''PKI tidak mensiasiakan kesempatan itu. Mereka duduk di pundak Bung Karno, secara cerdik mempergunakan kesempatan untuk kepentingan mereka sekali gus memupuk kekuatan di tengah masyarakat. Pada tahun 1965, pada perayaan hari ulang tahun PKI, suasana di tiap kota berubah bagaikan lautan komunis. Bendera merah bergambar pada palu arit berkibar di depan rumah anggota mahupun simpatisannya sepanjang hari baik di kota mahupun di desa.
''Bung Karno selalu merasa mampu mengatasi PKI kerana menganggap mereka adalah Komunis Nasional. Apakah Bung Karno tidak mengetahui hubungan PKI dengan China Komunis itu sangat erat? Bahkan pola PKI adalah juga pola China Komunis yang sudah beralih dari Rusia," kata Kemal.
Sebenarnya punca ketakutan di pihak tentera dan nasionalis Indonesia itu yang anti komunis adalah juga merupakan ketakutan yang pada Tunku Abdul Rahman. Tunku takut kepada komunis kerana komunis di Malaysia adalah sebahagian besar orang Cina.
Tunku telah pun memberitahu Sukarno ketika beliau menemuinya sebagai Ketua Menteri Malaya dalam tahun 1956 bahawa orang Melayu di negara kecil Malaya melihat Indonesia sebagai negara yang dapat memberikan pimpinan dan bantuan sekalipun telah merdeka dan berdaulat (Lihat Looking Back).
Tunku tentu mempunyai banyak sebab untuk tidak mahu memijak simbol negara Indonesia. Di antaranya ialah kerana sikap beliau yang sederhana yang selalu tergambar dalam pendekatan politiknya dan juga dalam sikap hidupnya.
Khalid Yunus yang mencatat sejarah sebagai orang yang berada di barisan depan dalam tunjuk perasaan yang pertama di negara ini terhadap Indonesia telah meninggalkan bidang kewartawanan di usia mudanya. Beliau menyertai politik.
Beliau antara lain pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian Tan Sri Samad Idris, Setiausaha Parlimen dan juga Timbalan Menteri Penerangan.
Sejak persaraannya dari politik, Khalid aktif dalam bidang kesukanan. Beliau sekarang menjadi Presiden Persatuan Kembara Malaysia. Jika dalam usia mudanya beliau memanjat dan memacakkan bendera Malaysia di bangunan Kedutaan Indonesia, di dalam usianya yang menjangkau 70-an beliau telah mendaki beberapa gunung di dalam dan di luar negara dan memacak bendera Malaysia di mana beliau sampai.
Di antara gunung yang telah didakinya ialah di gunung tertinggi di Perancis Mont Blanc, gunung tertinggi di benua Amerika Selatan Gunung Acongcagoa Argentina, gunung tertinggi di Afrika, Kilimanjaro Tanzania, Gunung Kerinci di Indonesia dan Gunung Everest. Sekalipun beliau tidak sampai ke puncaknya tetapi setakat mana beliau sampai di sana beliau memacakkan bendera negara.
Sumber Utusan

Kemudahan untuk penduduk Seremban

Dikirim oleh Warieh Isnin, 16 Mac 2015 0 Komen








SEREMBAN 3 Feb. - Penduduk daerah Seremban akan menikmati perkhidmatan bas henti-henti dengan lebih efisien selepas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menandatangani persetujuan bersama dengan syarikat bas, Cityliner, baru-baru ini
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan persetujuan itu SPAD telah meluluskan jumlah laluan sehala daripada 137 kilometer kepada radius yang baharu iaitu 447 kilometer bagi daerah Se­remban, sekali gus meliputi kawasan taman perumahan serta laluan yang sebelum ini tidak dalam senarai jarak perjalanan.
“Melalui perkembangan itu, orang ramai akan mendapat perk­hidmatan bas henti-henti lebih baik, di mana menjadi tunjang kepada sistem perkhidmatan bas awam di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
“Antara laluan tambahan itu meliputi kawasan Nilai selain kawasan taman perumahan dalam daerah Seremban. Itu adalah transformasi fasa satu melibatkan daerah Seremban terlebih dahulu dan selepas ini daerah lain juga akan melalui proses serupa,” jelasnya.
Dalam masa sama, Mohamad berkata, kerajaan negeri mencadangkan supaya Cityliner terus diberikan hak tunggal pengendali bas hent-henti di daerah Seremban ini kerana pengalaman sedia ada, selain telah pun melakukan perkhidmatan itu pada waktu ini.
“Tidak perlu ada syarikat bas pesaing di daerah Seremban kerana pasarannya adalah kecil. Cuma SPAD dan kerajaan negeri akan memantau corak perkhidmatan yang diberikan supaya mengikut peraturan, jadual dan sepertimana yang telah dipersetujui bersama,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan negeri tidak mahu syarikat bas yang dilantik itu mengabaikan perkhidmatan kerana hanya faktor tiada persaingan dan hendaklah bertanggungjawab memberikan perkhidmatan yang terbaik, sekali gus menjayakan hasrat kerajaan mensejahterakan rakyat.
Pada 25 Januari lalu, SPAD menerusi Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (Sbst) memperkenal konsep baharu perkhidmatan di Seremban dan Kangar, Perlis.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, skim baharu ini bakal dilancarkan di Seremban April ini, manakala di Perlis pada Jun depan.

Kapten dapat ganti rugi RM100,000

Dikirim oleh Warieh Rabu, 5 Jun 2013 0 Komen


SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini semalam mengarahkan sebuah restoran membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada seorang anggota tentera berpangkat Kapten selepas wanita itu cedera terkena minyak panas di premis tersebut tiga tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan kehadiran plaintif, Nurul Syazwani Azman Shah, 26, dan peguam Nooron Aini Zakaria yang mewakili defendan, Nelayan Seafood and Catering Sdn. Bhd.
Turut hadir bersama Nurul Syazwani ialah peguamnya, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.
Sejurus selesai prosiding, Nurul Syazwani yang bertugas di Kem Rasah di sini berkata, dia bersyukur dengan keputusan tersebut selepas tiga tahun menderita akibat kecederaan yang dialami.
Beliau memberitahu pemberita di luar mahkamah, kejadian itu berlaku pada 3 November 2013 kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia mahu makan di restoran yang terletak di Rahang dekat sini.


KARI kepala kambing menjadi sajian tradisi di Negeri Sembilan.


PERNAH dengar atau mencuba masakan kari kepala kambing. Mungkin ada yang tidak lalu makan sebaik mendengarnya. Namun, bagi sesetengah orang ia adalah hidangan istimewa yang amat menyelerakan dan satu masa dahulu sangat terkenal di perkampungan tradisional Melayu.
Contohnya di Rembau dan Jelebu, Negeri Sembilan, masih terdapat adat kenduri-kendara yang mengamalkan hidangan kari kepala kambing. Di kedua-dua daerah itu, yang mengamalkan adat Perpatih, masih ada yang akan menghidangkan masakan itu terlebih dahulu untuk dijamah oleh Buapak (ketua) atau Tok Empat sebelum ia dihidangkan kepada saudara-mara terdekat dan tetamu lain.
Baru-baru ini, Pengurus Felda Sungai Lui, Ahmad Said Hassan, 55, telah menyambut kelahiran cucu sulungnya dengan kenduri doa selamat berserta akikah dan tahlil secara gotong-royong di Felda berkenaan.
Teknik yang teliti
Proses penyediaan mudah iaitu selepas disembelih dan dibersih, kepala kambing dikumpul dan dipanggang hingga hangus sebelum tanduknya dibuang dan kesan hangus dikikis hingga bersih.
Jangan sesekali gunakan parang atau kapak untuk membelah kepala kambing sebaliknya, ia memerlukan kemahiran dan teknik tertentu bagi mengelakkan otak kambing daripada hancur.
“Gunakan pisau tajam untuk membuat hirisan bermula dari rahang hingga ke leher kambing, ngangakan mulut kambing dan tarik dua rahang ke arah berbeza secara perlahan-lahan hingga kepala terbelah dua,” kata Ahmad Said.
Membelah bahagian tengkorak juga memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
“Ketuk tengkorak perlahan-lahan menggunakan hujung tajam mata pisau ala-ala tukang yang membuat ukiran kayu. Ini untuk memastikan ia retak secara lurus dan bentuk otak dapat dikekalkan dalam dua bahagian.
“Gigi dan telinga kambing ditanggal dan dibuang, manakala bahagian lidah pula dikeluarkan kerana ia paling enak digoreng menggunakan tepung rangup Goreng Pisang Crispy Cap Masjid,” jelasnya lagi.
Beliau memilih tepung serbaguna keluaran Felda itu yang bukan sahaja sesuai diadun menjadi jemput-jemput, malah untuk menggoreng ayam, udang, sukun dan tempe selain dijamin halal serta bersih.
Sementara itu, ambil tali perut kambing, yang dibersihkan menggunakan air kapur, dan lilit kepala kambing tadi dengan berhati-hati bagi mengekalkan kedudukan otak dalam tengkoraknya.
Istimewa dari Sungai Lui
Jika mengikut resipi Sungai Lui, kepala kambing yang telah dililit perlu direbus dalam air kelapa sehingga kulit menjadi sangat lembut sebelum dimasak menggunakan serbuk kari kambing.
“Lagipun bahagian kari kepala kambing yang paling sedap ialah otak dan kulitnya,” tambah bapa kepada enam anak yang telah berkhidmat 35 tahun di Felda Negeri Sembilan.

DI Syria, kepala kambing sering dihidang dengan nasi mandy Yaman.


Cara masakan kari kepala kambing berbeza bergantung kepada tempat. Di Negeri Sembilan, masakan itu hanya mengandungi kepala kambing dan kentang semata-mata yang enak dimakan bersama sambal belacan serta pajeri terung.
Di Kedah, ia biasanya dimasak bersama umbut pisang manakala di kawasan Pantai Timur kepala kambing biasanya dicampur bersama daging kambing dan mumbang iaitu tempurung kelapa muda yang lembut untuk dimasak ala gulai kawah.
Kari yang sudah dimasak
Melihatkan gulai kari itu masih mengekalkan bentuk kepala kambing, tidak hairan kalau ada yang tidak sanggup memakannya, tetapi bagi Ahmad Said tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kambing itu disembelih sempurna.
“Lagipun sebagai akikah, seluruh tubuh haiwan itu dari kepala hingga ekor dimanfaatkan sepenuhnya dan hanya dijamu kepada orang Islam,” jelasnya sambil menambah bahagian kaki dan tulang kambing pula enak dimasak sup.
Untuk catatan, akikah bagi seorang bayi adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Namun, bagi orang yang berkemampuan lebih afdal jika melakukan akikah dengan tujuh ekor kambing atau seekor lembu atau unta bagi seorang anak.
Kepala kambing Jordan
Berbeza pula hidangan masakan kepala kambing di negara-negara Arab.
Hidangan masakan kepala kambing yang disaji sebagai sup mahupun sandwic adalah paling popular dan menjadi tumpuan khususnya pelajar Malaysia di ibu kota Jordan, kata Pengurus Agensi Pelancongan HZ Travel & Tour Sdn. Bhd., Muhamad Hazimin Sulaiman.
“Rasanya sesiapa yang pernah belajar atau tinggal di sana pasti pernah menikmati keenakan sup kepala kambing yang dimakan bersama nasi di sebuah restoran popular, Restoran Kaherah, yang terletak di Balad Amman,” jelasnya.
Bagaimanapun, jika ke Balad Amman, beliau lebih gemar mengunjungi kawasan Souq Khadr Balad bagi menikmati sup kepala kambing di Restoran Anwar Quds serta sandwic kepala kambing yang terkenal di Cafe Hanani.
“Di kawasan Shariq Sagaf Sil pula, ada sebuah restoran popular bernama Abu Musa hanya menyediakan masakan dengan membakar atau merebus bahagian otak, hati, testis, limpa dan kepala kambing untuk dimakan dengan roti,” tambah beliau.
Berbeza dengan cara di Jordan yang menghidangkan kepala kambing lengkap dengan tulangnya kepada pelanggan, peniaga makanan di Syria meracik dan mengasingkan isi kepala kambing dari tulangnya sebelum dihidang.
“Jika ke Syria pula, hidangan kepala kambing paling enak dimasak dalam nasi mandy Yaman,” kata Muhamad Hazimin.
– Bernama

'Amanah cukup berat'

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 17 Mei 2013 0 Komen


Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Khairy Jamaluddin mengakui beliau memikul amanah yang berat apabila dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan semalam, menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang berpindah ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Melalui laman sosial, Twitter miliknya sebaik sahaja pelantikan semalam, beliau berkata: “Alhamdulillah dan terima kasih semua atas mesej tahniah.
“Amanah yang berat. Mohon idea dari rakan-rakan semua untuk masa depan sukan dan belia."
Sementara itu, ketika dihubungi, beliau berkata tumpuannya sudah tentu kepada pembangunan belia dan sukan.
“Saya akan cuba melakukan transformasi orang muda yang mana saya berperanan untuk lebih rapat dengan golongan tersebut," katanya.
Menurutnya, beliau memerlukan masa dua minggu untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak sebelum membuat sebarang perancangan.
“Saya akan cuba melakukan transformasi dengan membawa suara anak muda ke dalam Kabinet," ujar beliau.
Khairy, yang dilahirkan pada 19 Januari 1976 adalah Menteri Belia dan Sukan paling muda yang pernah dilantik memegang jawatan tersebut.
Khairy pertama kali bertanding di Parlimen Rembau, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada PRU-13 lalu.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007 hingga 2010.
Khairy pernah terbabit dalam rancangan realiti sukan popular, MyTeam. Pasukan itu beraksi dalam Liga Perdana pada 2007 sebelum bergabung dengan Perak UPB dan dikenali sebagai UPB-MyTeam.
Beliau menjadi Presiden pasukan tersebut sehingga berjaya muncul naib juara Liga Perdana 2007 dan beraksi dalam Liga Super pada 2008.


Kakitangan Samsung SDI menanam pokok sempena Kempen Hijau di Hutan Lipur Lintang Lenggeng, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN 15 Mei - Sebanyak 53 pekerja Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd. (Samsung SDI) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan turun padang menjayakan program tanam pokok sempena Kempen Hijau di Hutan Lipur Lintang Lenggeng, dekat sini hari ini.
Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia kilang berkenaan, Dzulfadly Vasan Abdullah berkata, program itu susulan usaha berterusan syarikat berkenaan dalam menjayakan Kempen Hijau.
"Hari ini, kami mahu bergerak seiring dengan usaha kerajaan negeri terhadap Kempen Hijau dan menaja sebanyak 150 anak pokok daripada tiga jenis untuk generasi akan datang.
"Pokok-pokok itu terdiri daripada jenis Bouganvilla, siang-malam dan lily dan kami turut menyediakan baja organik untuk pokok yang baru ditanam," katanya ketika ditemui pemberita dalam program itu.
Menurutnya, Samsung SDI menggalakkan kakitangannya mengaplikasi matlamat Kempen Hijau itu dalam rutin harian di pejabat mahupun di rumah.
"Sebagai contoh kita telah mengurangkan penggunaan bahan cucian yang mengandungi bahan kimia berbahaya dan mengurangkan kawasan merokok di kawasan kilang," katanya.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Servis dan Keselamatan kilang sama, Ismanizam Yahaya berkata, pada 1999, Samsung menjadikan Hutan Lipur Lintang Lenggeng ini sebagai 'hutan angkat' syarikat itu.
"Program ini adalah salah satu aktiviti sosial korporat Samsung SDI untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan menjaga kebersihan alam sekitar terutama hutan simpan negara," katanya.


SEREMBAN 16 Mei - Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda utama iaitu melahirkan murid yang seimbang berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara.
Pengarah Pelajaran negeri, Kalsom Khalid berkata, di bawah tema sambutan Hari Guru 2013, 'Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda', mengkehendaki semua guru bersama-sama membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia sebagaimana yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.
''Selaras dengan tema tersebut, pameran pendidikan sempena Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan Paroi ini, yang berlangsung sekarang hingga Ahad ini, amat relevan untuk memberikan penjelasan kepada guru dan masyarakat tentang dasar dan program pendidikan itu.
''Ini telah dimanifestasikan melalui terowong masa dan lain-lain pempamer dari Kementerian Pelajaran. Pengunjung yang datang ke Paroi itu nanti akan merasai perubahan itu apabila mereka menjelajah dalam khemah yang disediakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Kalsom, pameran dari Kementerian Pelajaran itu adalah berkonsepkan Kelestarian Pendidikan Dulu, Kini dan Masa Depan.
''Pengunjung akan melihat pelbagai info dan kejayaan pelbagai dasar kementerian antaranya ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2015, Pembudayaan Sains dan Teknologi, Inovasi Guru, Buku dan Karya Penulisan Guru, Program 1 Murid 1 Sukan, Guru Muda 1 Malaysia dan sebagainya.
''Agensi luar kementerian juga turut serta dalam pameran ini seperti Sekolah Amanah, Sekolah Antarabangsa, Penerbitan dan Penterjemahan Buku, Peralatan Pengajaran dan Pembelajaran dan lain-lain," kata Kalsom.
Beliau juga menjelaskan melalui pameran pendidikan ini, masyarakat dan komuniti setempat akan mendapat informasi yang jelas tentang perubahan-perubahan yang berlaku di dalam dunia pendidikan dalam negara ini serta cabaran yang perlu dihadapi.
''Banyak idea kreatif dan inovatif dipamerkan dan diharapkan warga pendidik, pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat akan beramai-ramai hadir dan memperoleh banyak informasi berguna," katanya.
Pada Jumaat (17 Mei), pelbagai acara menarik akan berlangsung di Pameran dan Festival Hari Guru 2013 di kompleks ini sempena sambutan Hari Guru 2013 bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan ia termasuklah pertandingan choral speaking, pelancaran buku, ceramah agama, selain jualan buku.
Manakala hari Sabtu akan dilangsungkan aktiviti melukis, penampilan Upin dan Ipin, mewarna, persembahan Sci-Fi Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) seta konsert Apo Kono Eh Jang yang menampilkan artis terkenal tanah air.
Pada hari Ahad pula berlangsung aktiviti interaktif, pertandingan akhir Bintang Suara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan pentarama.

Gabung tindakan tepat - TPM

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


MUHYIDDIN Yassin melakukan gimik Pelancaran Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi. Turut kelihatan dari kiri Abdul Ghafar Mahmud, Idris Jusoh, Mohamad Hasan, Mary Yap Kain Ching, P. Kamalanathan dan Dr. Rosli Mohamed. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN 
 
SEREMBAN 16 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung adalah satu keputusan tepat.
Kata Timbalan Perdana Menteri, pelantikan seorang Menteri Kedua juga melambangkan keprihatinan kepimpinan Perdana Menteri untuk melihat bidang pendidikan di negara ini dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara.
Muhyiddin juga berkata, beliau telah mendapat keizinan daripada Perdana Menteri supaya menggunakan nama Kementerian Pelajaran sahaja bagi penggabungan dua kementerian.
Menurutnya, sebelum ini, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi diumumkan sebagai Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.
''Dengan penggabungan kedua-dua kementerian ini kita akan dapat melaksanakan dasar yang lebih seragam di semua peringkat pendidikan, di samping berkongsi sumber dan kepakaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita.
''Usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan digembleng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara," kata beliau ketika melancarkan sambutan Hari Guru kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Sambutan Hari Guru kali ke-42 tahun ini membawa tema, Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda, sekali gus mencerminkan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih cemerlang di negara ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi berkata, setiap institusi pendidikan dalam negara ini perlu mewujudkan suasana yang kondusif untuk membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab.
Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan keberanian guru di Lahad Datu, Sabah ketika berhadapan dengan situasi pertempuran serangan pengganas Kiram, baru-baru ini.
"Saya mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Cikgu Saabi Hasin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Buani Lahad Datu yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak murid belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan dan minum mereka.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada dalam kawasan pertempuran dan mengajar murid dari sekolah berlainan," katanya di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini malam tadi.
Justeru kata Muhyiddin, ini adalah contoh guru yang disanjung tinggi.

Uji kebijaksanaan, kreativiti

Dikirim oleh Warieh Rabu, 15 Mei 2013 0 Komen


Peserta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan meraikan kejayaan mereka sebagai johan dalam kategori Robocon.
REMBAU 13 Mei - Bidang robotik sememangnya bukanlah sesuatu yang asing buat masyarakat di negara negara ini, malah mempunyai pengikutnya tersendiri yang bergerak dalam skala kecil.
Biarpun bidang ini masih lagi di peringkat awal dan memerlukan penerokaan serta penyelidikan yang lebih meluas, namun beberapa usaha awal telah dijalankan bagi membuka luas bidang ini bagi membolehkan orang ramai turut sama dalam teknologi robotik.
Untuk itu, Cabaran Robot JTM 2013 yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) merupakan salah satu cara terbaik bagi mendidik budaya inovatif dan kreatif dalam kalangan pelatih di pusat latihan berkenaan.
Ketua Pengarah JTM, Datuk Romli Hassan berkata, Cabaran Robot JTM 2013 yang dianjurkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas itu merupakan salah satu platform bagi warga ILJTM mengasah bakat dan kreativiti dalam teknologi.
Malah katanya, penganjuran program seperti ini dilihat sebagai wadah bagi mencungkil kebolehan pelajar dalam usaha melahirkan sebahagian teknokrat yang memajukan industri di negara ini kelak.
"Malah jika diperhalusi, kerajaan juga menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) telah memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan meningkatkan daya saing modal insan dan menyokong pertumbuhan inovasi.
"Jadi saya merasakan pertandingan seperti ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberikan pendedahan kepada warga ILJTM berkenaan teknologi robotik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut tentang pertandingan itu, Romli menjelaskan, ini merupakan satu persediaan bagi pasukan ILJTM untuk menyertai Pertandingan Robocon peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 22 hingga 27 Mei ini.
Jelas beliau, sebanyak 32 ILP, lapan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) menyertai program ini yang pertandingan itu didokong oleh SIRIM Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.
"Kita melihat penyertaan kali ini cukup menggalakkan dan percaya bahawa pertandingan seperti ini akan menarik minat semua pihak untuk menceburi bidang teknologi robotik ini.
"Pertandingan ini diadakan pertama kali di Tokyo, Jepun dan dianjurkan oleh Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) yang mempunyai keahlian lebih 100 badan penyiaran daripada 50 negara seluruh dunia.
"Peserta akan mereka cipta robot menggunakan teknologi dan kreativiti dalam satu pertandingan yang terbuka berdasarkan kepada tema yang dipilih dan kategori, antaranya Robocon dan RoboRumblez," katanya.
Romli berharap pertandingan yang diadakan setiap tahun ini bukan dilihat sebagai satu aspek untuk mencari kemenangan semata-mata, tetapi bertujuan menguji kebijaksanaan dan kreativiti dalam menyelesaikan misi dan visi mereka untuk mencapai sebarang objektif.
"Malah penganjuran pertandingan ini juga adalah salah satu strategi untuk melahirkan saintis dan jurutera mekanikal yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, malahan antarabangsa," katanya.

Keunikan 'Boom Tempayan Jelebu'

Dikirim oleh Warieh Khamis, 9 Mei 2013 0 Komen


Kuih 'Boom Tempayan Jelebu' yang dimasak Siti Haminah Kadir dijual 40 sen sebiji.
JELEBU 8 Mei - Jika ada peminat tegar kuih tradisional boom, jangan lepaskan peluang untuk menikmati kelazatan kuih 'Boom Tempayan Jelebu' yang mempunyai rasa yang sangat unik.
Terletak di Kampung Chennor kira-kira 3 kilometer dari pekan Kuala Klawang, gerai itu sangat mudah dicari memandangkan lokasinya betul-betul di tepi jalan dan mudah dikenal pasti melalui sepanduk yang dipasang.
Bagi yang ingin mencuba kuih 'Boom Tempayan Jelebu', waktu operasi adalah setiap hari kecuali Isnin bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 malam.
Perkara yang menyebabkan kuih itu menjadi pilihan para pengunjung adalah keunikan cara pembuatannya serta teknik memasak yang sangat menarik.
Apa yang uniknya, adunan kuih diletakkan di dalam tempayan yang kemudiannya menghasilkan rasa berbeza 'Boom Tempayan Jelebu' itu daripada kuih boom yang biasa yang dijual di luar sana.
Tambahan pula, saiznya yang agak besar dijual dengan harga yang sangat berpatutan iaitu semurah 40 sen sebiji.
Pemilik gerai, Siti Haminah Kadir, 55, berkata, pada mulanya dia bersama suaminya, Abdul Rahim Wahab, 56, hanya menjual roti canai dan nasi lemak.
"Dua tahun selepas itu, timbul idea oleh suami saya untuk menghasilkan kuih boom tempayan ini yang kemudiannya mendapat sambutan yang hangat sehingga kini," ujarnya.
Siti Haminah berkata, resipi turun temurun tersebut sebenarnya berasal daripada keturunan suami iaitu neneknya yang tinggal di Kampung Kemin, dekat sini.
"Sebagai penambahan rasa, saya turut mencipta sambal tumis untuk dimakan bersama-sama kuih tersebut bagi menyeimbangkan serta menambahkan lagi kelazatan kuih boom itu," ujarnya.


Nor Hayati Mohammed (kanan) tekun mencuci kenderaan pelanggan di pusat perniagaan Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. 
 
JEMPOL 8 Mei - Biarpun kerja mencuci kenderaan biasanya dilakukan golongan lelaki namun hari ini cabaran itu dipikul wanita dalam usaha menambah pendapatan bagi menyara kehidupan harian.
Hal itu dibuktikan beliawanis, Anira Malip, 22, dari Felda Gugusan Raja Alias Dua, dekat sini yang bertekad membuka perniagaan mencuci kenderaan.
"Pada mulanya, hasrat ini mendapat tentangan keluarga, akhirnya ramai pula rakan yang dahulu bersekolah bersama, mahu membantu," katanya di sini, hari ini.
Tambah Anira, cuma seorang sahaja rakan lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jempol dekat sini yang mahu turut serta dalam perniagaan itu.
"Bila kami memulakan operasi, pelbagai ragam pelanggan diterima. Mereka tidak yakin dengan kemampuan pencuci kenderaan wanita seperti kami.
"Apa pun ramai yang berbangga kerana kami dapat memberi perkhidmatan mencuci kenderaan. Mereka akui, kerja yang kami lakukan lebih cermat, bersih dan memuaskan," katanya.
Kedai yang dibuka sejak Mac lalu kini menerima bilangan kenderaan yang banyak setiap hari.
"Modal saya sekitar RM10,000 dan itulah duit simpanan yang saya ada. Perniagaan ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam," katanya.
Dalam pada itu rakannya, Nor Hayati Mohammed, 22, melahirkan rasa gembira selepas berjaya membuktikan kepada masyarakat luar golongan wanita juga boleh melakukan pelbagai kerja.
"Saya seronok apabila mengetahui Anira mahu membuka kedai dan menawarkan pekerjaan kepada saya.
"Walaupun saya sedang bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar raya, saya berhenti kerja kerana mahu memberikan sokongan kepadanya" katanya.

Ubah kerusi DAP Lukut kepada BN

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 3 Mei 2013 0 Komen


Vincent Yeong Seng Wong (kanan) bersama barisan Gerak Gempur BN bersiap sedia untuk berkempen ketika ditemui di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson, baru-baru ini.
TELOK KEMANG 2 Mei - Pembangkang sudah lenyap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut. Calonnya dari DAP, Ean Yong Tin Sin sudah tidak ada pengaruh lagi.
Ini kerana, calon Barisan Nasional (BN) di situ, Vincent Yeong Seng Wong mula melebarkan keyakinan rakyat, malah kehadirannya di setiap pelosok sudah diterima kerana rakyat percaya dengan dasar yang dibawa BN, rakyat didahulukan dalam manifestonya.
"Teorinya mudah, DAP tidak buat kerja di DUN Lukut. Cakap bolehlah. Ini tidak serupa dengan BN, kita cakap penuh dengan isu. Bila janji, kita tepati," kata Seng Wong kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, sokongan masyarakat Cina di DUN Lukut sudah berubah dan prinsipnya mudah, jika mana-mana parti yang dapat meyakinkan kaum Cina dalam hal kesejahteraan, keamanan, ekonomi, maka mereka akan memilih parti itu.
"Dalam BN semuanya sudah terbukti dan kita punyai semua resipi itu. DAP tidak ada kerana mereka mengutamakan hak individu dalam parti dan sebab itulah krisis dalaman mereka kian meruncing," ujarnya.
Kata Seng Wong, BN pernah menang kerusi DUN Lukut pada 2004 dan ia bukanlah kubu kuat pembangkang.
"Rakyat mahukan perubahan di sini. Ini baru ubah namanya. Kita perlu memastikan kerusi DUN Lukut diubah kepada BN," ujarnya.
Seng Wong yang memegang pelbagai jawatan dalam persatuan Cina peringkat daerah dan negeri berkata, peranannya itu akan memberi peluang terbaik untuk menerang kepada ahli persatuan terutama kaum Cina mengenai perjuangan dan agenda BN.
Antara jawatan yang disandang beliau ialah Pengerusi Persatuan Cina Daerah Port Dickson, Pengerusi Persatuan Perniagaan Cina Negeri Sembilan, Pengerusi Ahli Lembaga Sekolah Menengah Chun Hwa Port Dickson dan Penyelaras Pusat Khidmat BN DUN Lukut.
"Saya yakin dan percaya, ahli dalam persatuan yang saya sertai menyokong perjuangan BN. Saya juga melihat kaum Melayu dan India di kawasan ini juga telah kembali menyokong BN," katanya.
Menurut beliau, sebagai bekas Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) beliau mempunyai pengalaman berkhidmat kepada rakyat.
Seorang pengundi DUN Lukut, Liang Yock Chooy, 59, memberitahu, dia akan terus memberi sokongan kepada BN kerana kecewa dengan khidmat pembangkang selama ini.
"Saya berharap kaum Cina memberi sokong kepada BN memenangi DUN ini. Pembangkang tidak buat kerja selama mereka berkhidmat," katanya.
Sementara itu, Cheok Wah Seng, 55, juga berharap BN menang kali ini berkata, rata-rata penduduk kesal mempunyai wakil rakyat pembangkang kerana beliau tidak mampu membawa sebarang pembangunan di pekan Lukut.


Abu Ubaidah Redza (tengah) beramah mesra dengan penduduk kampung selepas majlis cukur jambul dan mengetuai bacaan doa di sebuah rumah| di Ampangan, Seremban, baru-baru ini.
SEREMBAN 2 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Abu Ubaidah Redza, 61, tidak asing lagi bagi penduduk di kawasan itu, malah kelibatnya sentiasa dapat dilihat rakyat yang mesra menyapa beliau sebagai 'Haji Abu' di Ampangan, dekat sini.
Penampilannya yang bersahaja dan kadang-kala berkain pelekat dan berketayap amat disenangi penduduk di kawasan itu apatah lagi Abu Ubaidah sering dipanggil mengetuai bacaan tahlil dan yasin di rumah penduduk dalam majlis kenduri.
Baru-baru ini, beliau turut mengunjungi rumah penduduk di kawasan itu dalam majlis cukur jambul dan mengetuai bacaan doa.
Pendek kata, Haji Abu adalah "imam" bagi penduduk di DUN Ampangan tersebut.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Abu Ubaidah berhadapan saingan daripada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Kamarul Baharin Abbas di kerusi DUN Ampangan.
Kata Abu Ubaidah, perjuangan politiknya adalah berteraskan keikhlasan dalam usaha membantu rakyat menerima pembangunan selain menjaga kebajikan mereka.
"Alhamdulillah, setakat ini saya melihat maklum balas dan sokongan daripada penduduk amat positif. Jika saya dipilih saya amat bersyukur dan berjanji akan memberikan yang terbaik.
"Apapun saya tidak mahu bercakap tentang parti lain, yang penting kita jaga 'rumah' kita sendiri, kalau kita buat baik, Allah SWT akan balas dengan baik, kerana semua orang ada silap masing-masing, saya juga pernah buat salah dan kita bukan bersifat maksum seperti nabi," katanya.


Mohd. Ghazali Abdul Wahid (tiga dari kiri) bersalaman dengan Pengerusi COMBI KRT Taman Tuanku Jaafar Fasa 3 (Zon A), Salim Ramli (tiga dari kanan) dalam majlis meraikan kemenangan Konvensyen COMBI 2013 Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Aktiviti KRT Taman Tuanku Jaafar Fasa 3 di Seremban, semalam.
SEREMBAN 2 Mei - Turun bertemu rakyat bukanlah untuk bermegah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi adalah tanggungjawab Barisan Nasional (BN) mendengar kehendak rakyat untuk diberi perhatian segera.
Calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid berkata, antara pendekatan yang dilakukannya ialah mendengar, mencatat dan bertindak terhadap mana-mana keperluan yang perlu disegerakan.
"Pertama, kita mesti hormat kepada penduduk. Janganlah semasa berkempen, kita terus meninggi diri. Pengundi perlu didekati dengan berhemah dan itulah prinsip saya," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Tuanku Jaafar, dekat sini hari ini.
Tambahnya, tempoh terakhir berkempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu rakyat dan usaha meyakinkan mereka memilih BN Ahad ini.
"Sokongan pengundi terhadap BN amat positif. Tambahan pula dasar, transformasi dan manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah semakin sebati dalam diri rakyat," katanya.
Beliau yang merupakan bekas kakitangan syarikat telekomunikasi gergasi negara, Telekom Berhad (TM) negeri ini berkata, jentera BN telah lama digerakkan dalam kawasan DUN Paroi dan kali ini akan diperkuat dengan nilai-nilai kepimpinan yang berdasarkan syarak.
"Inilah masanya untuk kita menjadikan BN sebagai platform memperkukuhkan silaturrahim antara pemimpin dan rakyat, sekali gus membuktikan kepada pembangkang BN adalah parti yang menyatukan penduduk dan semua kaum," tegasnya.
Dalam majlis di Taman Tuanku Jaafar (TTJ) itu, beliau turut meraikan Kawasan Rukun Tetangga TTJ Fasa 3 Zon A yang mempunyai sebanyak 333 buah rumah dengan jumlah penduduk sekitar 1,500 orang selepas muncul johan Konvensyen COMBI peringkat negeri kategori poster baru-baru ini.


Mohammad Razi Kail menunjukkan Direktori Pelancongan Negeri Sembilan yang memberi panduan kepada para pelancong untuk mengunjungi Kuala Pilah, semalam.
KUALA PILAH 2 Mei - Sebanyak 62,373 orang termasuk 3,121 pelancong antarabangsa telah mengunjungi daerah Kuala Pilah sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, jumlah tersebut meningkat dengan ketara berbanding 31,456 orang pada 2011 dan 29,456 pada 2010.
Sebelum ini, pelancong hanya mempunyai dua pilihan tempat penginapan sama ada Rumah Rehat Kuala Pilah atau Seri Menanti Resort tetapi kini mereka juga boleh menginap di hotel Desa Inn, Melang Inn atau inap desa Laman Bangkinang.
Sementara itu, statistik Jabatan Kerja Raya menunjukkan lebih 23,000 kenderaan menggunakan Jalan Seremban-Kuala Pilah setiap hari kerana Hutan Lipur Ulu Bendul yang popular terletak di tengah-tengah laluan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, semua statistik itu memberi petunjuk bahawa Kuala Pilah telah meningkat naik sebagai destinasi pelancongan popular di negeri ini.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh berkata, Kuala Pilah adalah destinasi pelancongan sejarah dan kebudayaan dengan Bandar Diraja Seri Menanti menjadi ikon utama yang menjadi tarikan.
"Terdapat empat komponen penting di bandar tersebut iaitu bangunan istana lama yang berusia lebih 100 tahun yang telah dimartabatkan sebagai warisan kebangsaan dan kini dikenali sebagai Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.
"Sementara itu, Istana Besar Seri Menanti yang terletak bersebelah dengannya juga adalah satu tarikan tersendiri kepada pelancong," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohammad Razi, dua komponen lain yang menyokong industri pelancongan di situ ialah Seri Menanti Resort yang dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM7 juta daripada Kementerian Pelancongan dan padang golf 18 lubang, Kelab Golf Diraja Seri Menanti.
Tambahnya, setiap tahun Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah menjadi tapak program Pesta Persukuan Adat Perpatih yang sudah memasuki siri ke-12 tahun lalu.
"Disebabkan hanya negeri ini yang mengamalkan adat perpatih, pesta ini menjadi satu tarikan unik dan tersendiri kepada pengunjung termasuk dari luar negara seperti Singapura," ujarnya.
Mohammad Razi menarik perhatian, kejayaan program inap desa mendorong ramai pengusaha menjalankan perniagaan itu.
Kata beliau, inap desa di negeri ini dianggap unik kerana memperkenalkan budaya dan cara hidup adat perpatih yang hanya diamalkan di negeri ini.
Jelasnya, inap desa memberi pendapatan secara terus kepada pengusahanya sekali gus menawarkan peluang ekonomi kepada penduduk desa.
"Sektor pelancongan di Kuala Pilah khususnya dan negeri ini amnya memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk parti pembangkang dan penyokongnya untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi.
"Janganlah kita mengutuk produk sendiri kerana kesan negatifnya akan dirasai oleh semua orang yang terlibat dalam bidang pelancongan," tegas beliau.

Pembangkang seronok dengan mimpi ciptaan mereka

Dikirim oleh Warieh Selasa, 23 April 2013 0 Komen


TAMPIN 22 April - Mimpi pembangkang sejak akhir-akhir ini semuanya terarah kepada 'mencapai bintang di langit' dan bukan mimpi berkisar 'berpijak di bumi nyata'.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, keadaan pembangkang semakin teruk dan minda mereka sudah di luar kawalan kerana berkempen mengatakan semua kerusi di bawah Parlimen itu serta di kawasan lain boleh dimenangi.
"Nampaknya pembangkang sedang dilanda mimpi ngeri untuk diri mereka sendiri. Untuk makluman pembangkang, pengundi tidak bermimpi seperti mereka kerana pengundi sudah tahu untuk memilih siapa. Tentulah mereka memilih BN kerana kita laksanakan kerja dengan realiti, janji ditepati.
"Kita bukan cakap seolah-olah orang dilamun mimpi, tidak nampak apa-apa tetapi bercakap seperti ada di depan mata," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shaziman yakin semua kerusi di bawah Parlimen ini akan disapu bersih oleh BN dalam pilihan raya ini dan tumpuan merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah daripada DAP akan dipertingkatkan.
"BN meletakan Yap Seong Fook menentang penyandang daripada DAP, S. Veerapan. Pada 2008, kita tewas tipis dengan 553 undi sahaja. Kali ini, kita akan menang besar di situ," tegasnya.
Mengenai lawannya daripada Pas, Abd Razakek Abd Rahim, Shaziman memberitahu, ini adalah kali ketiga pertembungan mereka di kerusi itu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Shaziman menewaskan Abd. Razakek dengan majoriti 13,079 undi.


RASAH 22 April - Rakyat tidak perlu ragu untuk memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini kerana BN terbukti memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rasah, Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata, janji sudah ditepati dan semakin ramai rak-yat menolak pembangkang.
''Pengundi sudah bosan dengan corak kempen mereka yang asyik bercakap soal janji, sedangkan hakikatnya, tidak ada janji yang ditepati pembangkang.
''Hari ini yang membela nasib rakyat ialah BN dan itu pembangkang tidak boleh nafikan kerana ia telah dibuktikan," katanya ketika mengiringi calon BN bagi kawasan Parlimen Rasah, Teo Eng Kian dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Senawang, David Choong Vee Hing di sini hari ini.
Katanya, dalam kempen pemimpin mesti bersikap jujur kepada pengundi dan menyatakan apa yang dibuat bukan sekadar retorik untuk memancing undi.
''Pembangkang kata mereka bukan kerajaan yang memerintah dan sebab itulah tidak berupaya bantu rakyat. Bagi kita, itu bukan alasan kerana membantu rakyat tidak perlu menunggu ada kerajaan.
''Jika mereka tidak tahu menjaga rakyat, serahkan sahaja tugas itu kepada BN. Kami tahu apa hendak dilakukan," katanya.
Sementara itu, Vee Hing berkata, kawasan DUN Senawang mempunyai potensi besar untuk dimenangi kerana rakyat tahu calon DAP, P. Gunasekaren tidak banyak menyumbang untuk membangunkan kawasan, apatah lagi mensejahterakan rakyat.
''Mana bukti pembangunan yang dilakukan oleh DAP di Senawang, kalau bukan semuanya adalah usaha dan komitmen kerajaan BN," tegasnya.
Bagi Eng Kian, walaupun cabarannya besar dalam kerusi Parlimen Rasah ini, ia bukan halangan kerana BN telah lama berkhidmat di sini berbanding penyandangnya yang dahulu, Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook.
Katanya, sebab itulah Siew Fook melarikan diri ke Parlimen Seremban dan memberikan kerusi 'malang' DAP itu kepada bekas ADUN Bahau, Teo Kok Seong.
''Kita yakin dengan kerja keras yang dilakukan BN dan jentera parti, Parlimen Rasah akan dirampas semula dari DAP. Rakyat dan akar umbi sudah pun menolak DAP sejak beberapa tahun lalu dan kini mereka mahukan BN di kawasan Parlimen ini," katanya.


ZAHARI
 
KUALA PILAH 22 April - Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan legasi kecemerlangannya membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah selepas memperoleh mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.
Ketua Kampung Tanah Melintang, Terap, Peraku dan Peraku Seberang, Zahari Basir, 63 berkata, terlalu banyak pembangunan yang dibawa ke bandar, mahupun kampung di dalam kawasan DUN ini.
''Di kawasan Kampung Tanah Melintang ini sendiri banyak bangunan yang telah dibaiki dan dinaik taraf seperti bangunan Sekolah Kebangsaan Tanah Melintang dan balai raya.
''Seiring dengan keperluan masyarakat di sini untuk melakukan aktiviti komuniti dan bersosial, kerajaan juga telah mewujudkan sebuah pusat Komuniti Bestari 1Malaysia yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
''Di sinilah penduduk dapat menjalankan aktiviti bersama seperti sukaneka, gotong royong, sambutan Maulud Nabi dan pelbagai sambutan keagamaan," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, baru-baru ini kerajaan BN telah menaik taraf jalan alternatif sepanjang 1.5 kilometer dari Kampung Peraku hingga ke Kampung Tebuk di sini.
''Dulu jika ada bencana alam yang berlaku jambatan yang menyambungkan kedua-dua jalan ini akan rosak dan membahayakan keselamatan penduduk, kini sebuah laluan alternatif telah dibina.
''Malah jalan-jalan yang rosak di kampung itu turut diturap dan dibaiki sekiranya ia pecah-pecah akibat laluan kenderaan berat," katanya.
Menurut Zahari, sebelum ini setiap kali banjir kilat air Sungai Pilah akan naik ke paras yang membahayakan hingga menenggelami lantai rumah-rumah yang terletak berdekatan dengan sungai tersebut.
''Setelah Pegawai Daerah Kuala Pilah melawat keadaan rumah-rumah itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri terus datang meluruskan sungai itu, kini rumah-rumah tersebut tidak lagi dinaiki air jika hujan lebat," katanya.
Sementara itu, dia memberitahu usaha-usaha kerajaan BN bukan hanya setakat pembangunan tempat dan bangunan malah turut melibatkan pembangunan modal insan penduduk di situ.
''Penduduk di sini turut menerima bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk memberi peluang kepada kaum wanita yang mempunyai kemahiran dalam bidang Industri Kecil sederhana (IKS) memulakan perniagaan mereka.
''Mereka diberi bantuan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 dan mereka akan membayar balik pinjaman tersebut setiap bulan, bantuan ini merupakan motivasi kepada penduduk kampung untuk berdikari dalam perniagaan," katanya.
Sementara itu, Bendahari, JKKK Taman Pinggiran Bandar, Najib Mohammad, 38, menjelaskan sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat dan teknologi zaman ini, kewujudan Pusat Info Desa di kawasan perumahan taman tersebut menarik minat penduduk untuk mendekati bidang berkenaan.
''Pusat Info Desa ini dilaksanakan melalui beberapa peringkat dan setakat ini mendapat respons yang cukup baik daripada semua golongan penduduk.
''Kerajaan BN telah menyumbang 15 buah komputer untuk kegunaan penduduk belajar menggunakan komputer di samping memberi akses kepada internet secara percuma," katanya.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook