Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label pelaburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelaburan. Papar semua catatan

4,000 unit PR1MA di bandar Seremban

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 18 Januari 2013 0 Komen

SEREMBAN 16 Jan. - Lebih 4,000 unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan menjadi komponen utama dalam projek pembangunan tanah milik kereta api di sini yang dirancang dimulakan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan PR1MA dengan reka bentuk kondominium itu bertujuan memenuhi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah sendiri.
Beliau berkata, pembinaan PR1MA di situ akan membolehkan mereka yang berkenaan bekerja dan tinggal di kawasan bandar.
"Pembangunan tanah milik Perbadanan Aset Kereta Api seluas 32 hektar itu telah diluluskan mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri pada pertengahan bulan lalu.
"Pembangunan ini yang akan dikenali sebagai Daerah Perniagaan Baru bagi Seremban merangkumi pembangunan semula stesen kereta api Seremban dan pusat beli-belah serta perniagaan berdasarkan kepada model KL Sentral," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.
Menurutnya, pembangunan tanah kereta api itu bertujuan menampung pembesaran perbandaran Seremban yang semakin pesat saban tahun.
"Oleh itu, kita bercadang menggabungkan semua keperluan bagi memastikan pembangunan itu benar-benar memberikan manfaat kepada negeri dan daerah ini," ujarnya.
Mohamad menjelaskan, pembangunan itu akan dijalankan secara fast track dengan semua kementerian, agensi kerajaan dan kerajaan negeri bergabung di bawah satu jawatankuasa bertujuan melancarkan pembinaannya kelak.

Dua syarikat labur RM3 bilion

Dikirim oleh Warieh Rabu, 15 Ogos 2012 0 Komen


SEREMBAN 11 Ogos - Dua syarikat antarabangsa mengesahkan untuk membuka kilang mega di negeri ini selepas perjanjian ditandatangani bersama kerajaan negeri baru-baru ini melibatkan jumlah pelaburan baru melebihi RM3 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perjanjian dalam Ramadan itu dibuat kira-kira dua minggu lalu dengan kesepakatan dicapai bersama pihak pelabur untuk membuka kilang mega di Sendayan dekat sini.
"Sebuah syarikat dari Perancis telah membuat pengesahan itu untuk menjalankan operasi membuat brek kapal terbang di Sendayan iaitu kilang ketiga mereka selepas di Perancis dan Amerika Syarikat," katanya di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, melalui perjanjian tersebut syarikat antarabangsa itu akan membuat pelaburan melebihi RM1.3 bilion untuk membangunkan sektor perkilangan komposit berkenaan, menempatkan komponen dan struktur teknologinya.
Ini kata Mohamad, bagi memastikan Sendayan menjadi satu lagi pusat pemasangan dan pemasaran strategik untuk pembekalan komponen utama kapal terbang bagi keperluan syarikat penerbangan serantau.
"Apabila siap kelak, ia akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan untuk terlibat dalam sektor perkilangan berteknologi tinggi selaras dengan kehendak kerajaan melahirkan pekerja mahir," ujarnya.
Sementara itu, sebuah lagi kilang antarabangsa akan beroperasi di kawasan berkenaan untuk membangunkan dan memasarkan fiber kertas bagi di peringkat antarabangsa dengan nilaian pelaburan baru melebihi RM1.7 bilion.
"Persetujuan ini juga telah ditandatangani baru-baru ini dan akan diumumkan kelak. Ini sekali gus merangsang peningkatan pelaburan baru dalam tempoh terdekat," ujarnya.
Kata Mohamad lagi, tahun lalu sahaja menunjukkan lonjakan ketara dalam iklim pelaburan apabila negeri itu mencatatkan kedudukan keempat menerima pelaburan baru terbanyak.
"Pertumbuhan ekonomi kita amat baik dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat angka 5.9 peratus. Ini kerana kejayaan kita menguruskan ekonomi negeri dengan baik selain mengamalkan tatacara kerja yang mesra pelabur," katanya.

Malaysia destinasi pelaburan penting Denmark

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 2 Disember 2011 0 Komen


SEREMBAN 1 Dis. - Malaysia dianggap sebagai salah sebuah destinasi pelaburan terpenting bagi Denmark apabila dengan kejayaan merekodkan hasil perdagangan mencecah 200 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun lalu.

Duta Denmark ke Malaysia, H.E Svend Waever berkata, pelaburan Denmark di Malaysia pada tahun 2010 berjumlah RM2.23 bilion.

''Malaysia merupakan antara lokasi perdagangan yang rancak dalam dunia buat masa ini. Pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia bagi tahun lalu sahaja mencatatkan sebanyak RM28 bilion.

''Maka sebab itu lebih 90 syarikat Denmark memilih Malaysia sebagai destinasi mereka untuk menjalankan perniagaan termasuk pengimport, pengedar dan agen kepada produk Denmark," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kilang Pengeluaran Produk FiberTex Personal Care's (Fibertex) iaitu kilang menghasilkan produk pembuatan lampin bayi, dewasa dan wanita di Nilai 3 di sini hari ini.

Menurut Waever, antara faktor yang menarik minat syarikat Denmark untuk bertapak dan melebarkan sayap mereka di negara ini berikutan perkembangan ekonomi tempatan berterusan, kerjasama komersial selain hubungan baik diplomatik antara dua negara ini.

''Ini dapat dibuktikan menerusi beberapa produk serta syarikat yang telah lama berada di negara ini seperti syarikat perkapalan Maersk Line; produk makanan, Sunquick dan Kledsens butter Cookies, Emborg Cheese dan produk farmaseutikal, Novo Nordisk

''Antara produk pengguna Denmark yang turut popular di negara seperti Lego, Pandora, Ecco Shoes dan Bang & Olufsen," ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung pembukaan kliang pengeluaran Fibertex, Waevar berkata, kilang pengeluaran di Nilai itu merupakan kilang pertama syarikat itu dibuka di luar Denmark.

''Produk mereka mendapat permintaan yang meluas di seluruh dunia, di mana 80 peratus dieksport ke merata dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fibertex, Peter Andersen berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 55,000 tan material bagi penghasilan lampin bayi, dewasa dan tuala wanita setahun menerusi pembukaan kilang barunya itu.

''Jumlah tersebut merupakan lebih 50 peratus kapasiti produk yang dikeluarkan oleh Fibertex setahun,'' jelas Andersen.

Boustead jawab isu beli ESSO

Dikirim oleh Warieh Rabu, 7 September 2011 0 Komen

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/3/3c/Esso_gas_station_finland.png
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/09/07

Nafi mahu tutup loji penapisan di Port Dickson, berhentikan pekerja

BOUSTEAD Holdings Bhd (BHB) berkata, ia sudah mengemukakan tawaran harga berdaya saing dalam bidaan dikemukakannya bagi membeli perniagaan hiliran ExxonMobil International Holdings Inc di negara ini.
Syarikat dikuasai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu menjelaskan bida yang dikemukakannya kepada ExxonMobil pada Julai lalu itu meliputi cadangan membeli 65 peratus ekuiti ESSO Malaysia Bhd, 100 peratus ekuiti dalam ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd serta 100 peratus ekuiti dalam ExxonMobil Borneo Sdn Bhd.
Katanya, bagi tawaran membeli 65 peratus ekuiti ESSO Malaysia, harga dikemukakannya sudah mengambil kira kepentingan pemegang saham minoriti dengan berlandaskan harga purata saham syarikat peruncitan minyak itu bagi tempoh antara 3 Januari hingga 30 Jun lalu pada RM3.943 sesaham.

Ia turut menafikan mempunyai hasrat untuk menutup loji penapisan milik ESSO Malaysia di Port Dickson atau memberhentikan mana-mana petugasnya.

Sebaliknya, katanya, bidaan yang dikemukakan itu dibuat berdasarkan kesinambungan perniagaan, yang mana loji itu akan beroperasi seperti biasa.

“BHB mendapati terdapat maklumat tidak tepat seperti yang dilaporkan, justeru ingin membuat penjelasan,” kata syarikat itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, merujuk kepada kenyataan ExxonMobil di satu sidang akhbar pada 28 Ogos lalu.
Pada sidang akhbar itu, Naib Presiden ExxonMobil, Stafford T Kelly, berkata penjualan pegangannya dalam ESSO Malaysia kepada San Miguel Corp dilakukan kerana konglomerat Filipina itu menawarkan harga tertinggi iaitu RM3.50 sesaham atau RM614.25 juta berserta pakej terbaik.

Katanya, pakej dimaksudkan itu termasuk ketersediaan San Miguel meneruskan operasi dua loji penapisan minyak syarikat itu di Port Dickson, Negeri Sembilan, sambil menjamin peluang pekerjaan buat 750 kakitangan tempatan ExxonMobil sedia ada.

Beliau juga menjelaskan, ExxonMobil sudah melakukan proses secara terbuka serta adil, dan sudah memaklumkan kepada semua pihak berminat bahawa hanya tawaran bagi pakej keseluruhan (iaitu membabitkan ESSO Malaysia, ExxonMobil Malaysia dan ExxonMobil Borneo) akan dilayan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika ditanya mengenai perkembangan penjualan itu berkata, kementeriannya setakat ini masih belum menerima permohonan rasmi daripada ExxonMobil perkara itu.

“Jika kita sudah menerima permohonan itu, kementerian akan menimbang cadangan pelupusan kepentingan itu dengan teliti, dengan mengambil kira semua aspek dan kepentingan. Setakat ini kementerian belum menerima sebarang dokumen permohonan dari kedua-dua syarikat itu,” katanya ketika ditemui selepas dialog sehari antara kementeriannya dengan pengendali taman industri halal, pengendali logistik halal dan pemaju swasta di Kuala Lumpur, semalam.

Beberapa pihak sebelum ini membantah langkah ExxonMobil menjual ekuiti dalam ESSO Malaysia itu kepada sebuah syarikat asing kerana berpendapat perniagaan peruncitan minyak yang dianggap sebagai aset strategik negara seharusnya dikuasai oleh syarikat tempatan.

Harga yang dikemukakan syarikat Filipina itu juga menjadi isu kerana ia adalah 29 peratus lebih rendah berbanding harga ESSO Malaysia pada sesi akhir dagangan di Bursa Malaysia ketika pengumuman penjualan itu dibuat pada 18 Ogos lalu, iaitu RM4.95 sesaham.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook