Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label BH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BH. Papar semua catatan

BN tak mampu lawan Anwar - Aminuddin

Dikirim oleh Warieh Khamis, 13 September 2018 0 Komen


SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dijangka tidak mampu memberi saingan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, tidak lama lagi.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang juga Menteri Besar, berkata beliau yakin Ketua Umum PKR itu akan mendapat sokongan besar pengundi di kawasan berkenaan.
"Kita tiada masalah dengan siapa saja calon yang akan diletakkan UMNO atau BN kerana sejarah membuktikan PKR memang mendapat sokongan besar pengundi sejak merampas kawasan itu daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
"Tetapi, kita tetap menghormati mereka dan mengharapkan sokongan pengundi dan penyokong PKR berterusan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian sijil pelantikan pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini, hari ini.
Pengosongan kerusi terbabit diumumkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur, hari ini.
Tindakan itu bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya akan turut merangka strategi khas bagi menghadapi kemungkinan BN bekerjasama dengan PAS ketika PRK Parlimen Port Dickson.
Katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat untuk membentuk jawatankuasa pilihan raya esok.
Aminuddin berkata, PKR negeri juga akan mengadakan satu majlis untuk meraikan Anwar dan menjemputnya hadir dalam masa terdekat, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat mendampingi bakal Perdana Menteri itu.
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, menyambut baik keputusan Anwar untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.
"Sebagai komponen PH, kami memberi sokongan penuh dan bersiap sedia untuk menggerakkan jentera parti bagi menghadapi PRK di Port Dickson," katanya.


EXCO NS angkat sumpah

Dikirim oleh Warieh Rabu, 23 Mei 2018 0 Komen



Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.
Mereka yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada istiadat itu adalah lima ADUN DAP, PKR (tiga) dan Parti Amanah Negara (PAN) (dua).
Turut berangkat pada majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-'Abidin.
Hadir sama, Undang Luak Rembau, Datuk Muhammad Sharip Othman; Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak dan Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Mendahului senarai mengangkat sumpah jawatan adalah ADUN Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek daripada PKR; Mohamad Taufek Abd Ghani (PAN-Paroi); Ismail Ahmad (PKR-Labu); dan Bakri Sawir (PAN-Klawang).
Ia diikuti ADUN Pilah, Mohamad Nazarudin Sabtu daripada PKR; Teo Kok Seong (DAP-Bahau); S Veerapan (DAP-Repah); dan J Arul Kumar (DAP-Nilai).
Turut dilantik Nicole Tan Lee Koon (DAP-Bukit Kepayang) dan Choo Ken Hwa (DAP-Lukut).
Wakil rakyat DAP paling ramai dilantik sebagai EXCO kerana parti itu menang 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), manakala PKR dan AMANAH masing-masing menang enam dan tiga kerusi.
Aminuddin sebelum ini, dilaporkan berkata kerajaan negeri PH mengekalkan bilangan EXCO seperti kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN, namun membuat sedikit penambahbaikan pada jenis portfolio.

Aminuddin Harun Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 12 Mei 2018 0 Komen






KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah di sini, pagi ini.
Aminuddin, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menyempurnakan upacara angkat sumpah itu pada jam 10.40 pagi di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin.
Hadir sama Undang Luak Rembau, Datuk Muhammad Sharip Othman; Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah dan Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.
Aminuddin sebelum itu menghadap Tuanku Muhriz bagi menyerahkan watikah pemilihannya sebagai Menteri Besar pada Khamis lalu.


Mohamad Hasan menang tanpa bertanding DUN Rantau

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 28 April 2018 0 Komen


MOHAMAD Hasan bersama Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta calon calon yang lain berarak ke Pusat Penamaan calon di Dewan Seri Rembau, Rembau bagi Pilihan Raya ke 14. - Foto Hazreen Mohamad

REMBAU: Penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi menang tanpa bertanding apabila calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau di sini, hari ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub, membuat pengumuman itu selepas proses penamaan calon tamat sebentar tadi.
Difahamkan, calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mohamad yang mula bertanding di kerusi itu dalam PRU-11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.
Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.
Mohamad ketika ditemui selepas pengumuman itu turut menafikan tuduhan BN mempunyai kaitan dengan kegagalan Dr Streram menyerahkan borang pencalonan, sebaliknya menegaskan proses itu dikendalikan sepenuhnya oleh SPR tanpa pembabitan pihak luar.
"PRU bukan diuruskan oleh BN. Beliau tak boleh masuk ke dewan bukan salah kami, ini bukan kerja BN, malah saya tidak boleh buat apa-apa.
"Saya difahamkan SPR tak benarkan beliau masuk kerana tidak kemukakan pas calon," katanya.
Beliau berkata, semua calon BN bagi Parlimen Rembau akan pulang ke kawasan masing-masing selepas ini untuk menggerakkan jentera pilihan raya dan beliau sendiri akan turut turun padang bersama-sama membantu mereka.

Polis mati tertembak hadapi masalah keluarga

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 22 Julai 2016 0 Komen



KOTA TINGGI: Anggota polis yang terbunuh dalam pergaduhan dengan isterinya, dipercayai menghadapi masalah rumah tangga sejak kira-kira dua tahun lalu. Kakak mangsa, Rahimah Meskam, 42, berkata adik bongsunya itu, Mohd Fazli Meskam itu juga pernah memaklumkan, isteri pernah menjalani rawatan di sebuah hospital di Kota Kinabalu akibat tekanan perasaan. Katanya, arwah sekeluarga pulang ke kampung mereka di FELDA Air Tawar 4, dekat sini, selama beberapa hari kira-kira dua minggu sebelum Aidilfitri dan turut memaklumkan mengenai masalah rumah tangganya. "Saya paling rapat dengan arwah dan sering berhubung, malah arwah juga sering meluahkan perasaan mengenai masalah rumah tangga dan meminta pendapat saya. "Arwah seorang yang penyayang dan berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga, selain amat menyayangi dua anak mereka yang berusia lima tahun dan tiga tahun," katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya di FELDA Air Tawar 4, di sini, hari ini. 

Rahimah berkata, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga dan ibunya, Mazenah Abu, 65, sering menangis mengenangkan arwah, manakala bapanya, Meskam Shawatt, 73, dalam keadaan uzur dan sukar untuk bercakap. Katanya, beliau tidak menyangka adiknya maut ketika bergelut dalam pergaduhan dengan isterinya walaupun mengakui pasangan itu turut bergaduh ketika pulang ke kampung pada Ramadan lalu. Beliau berkata, adiknya sudah 14 tahun bertugas di Sabah dan pernah memohon untuk berpindah ke Johor tetapi belum diluluskan. Beliau berkata, jenazah adiknya dijangka tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kira-kira jam 5 petang esok dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan FELDA Air Tawar 4. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi, anggota polis berpangkat koperal berusia 31 tahun maut akibat tertembak ketika bergelut dengan isterinya di rumah mereka di Cyber City Apartment, di Penampang, Sabah. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata sepasukan polis dikejarkan ke apartmen berkenaan sebaik menerima aduan orang awam pada jam 9.40 pagi dan menemui mangsa di ruang tamu rumah berkenaan. Siasatan awal tidak menolak punca kejadian mungkin ada kaitan masalah keluarga dan isteri mangsa kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.








KOTA KINABALU 21 Julai – Pertengkaran dipercayai menjadi punca isteri seorang anggota polis menembak suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di pangsapuri Cyber City Fasa 1 di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 9.40 pagi itu, Koperal Mohd. Fazly Meskan, 31, maut selepas tembakan yang dilepaskan isterinya, Noraini Wahiman, 28, menembusi dada mangsa.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dan isterinya di dalam rumah mereka sehingga menyebabkan tembakan dilepaskan.
“Polis menerima aduan daripada orang awam mengenai bunyi tembakan di rumah mangsa dan segera menghantar anggota ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa terbaring di lantai ruang tamu rumah.
“Pergelutan dipercayai berlaku, namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca pertengkaran itu dan bagaimana pistol jenis Steyr berkenaan boleh digunakan serta motif utama tembakan dilepaskan,” katanya dalam sidang akhbar di tempat kejadian.

Salehhudin berkata, ketika kejadian, dua anak mangsa yang berumur 3 dan 5 tahun turut berada di rumah itu tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, mangsa berkhidmat sebagai anggota polis sejak 2010 dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.
Salehhudin menambah, isteri mangsa yang berasal dari Felda Sening, Kota Tinggi, Johor ditahan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

1MDB: Tiada bukti dana digelapkan - Peguam Negara

Dikirim oleh Warieh Khamis, 21 Julai 2016 0 Komen

Peguam Negara menegaskan tiada sebarang bukti diperoleh daripada mana-mana siasatan agensi penguat kuasa undang-undang yang menunjukkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) digelapkan.  Tan Sri Mohamed Apandi Ali menerusi satu kenyataan hari ini, berkata saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) adalah berhubung penyitaan beberapa aset dan ia sedang didengar di Mahkamah Sivil. 

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding terhadap individu yang melakukan sebarang perbuatan salah laku jenayah sekiranya terdapat bukti kukuh.  "Setakat ini, tiada sebarang dakwaan jenayah dibuat terhadap mana-mana individu atas kesalahan menyalahgunakan dana 1MDB," menurut kenyataan itu.

Mohamed Apandi, berkata Jabatan Kehakiman AS juga tidak menamakan Perdana Menteri sebagai defendan dalam saman sivil berkenaan.  Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada Jabatan Kehakiman AS bagi mendapatkan maklumat mahupun bukti berhubung perkara berkenaan.  "Pihak Pejabat Peguam Negara mengalu-alukan permohonan itu kerana ia sejajar dengan komitmen dalam kerjasama serta kolaborasi antarabangsa untuk memerangi rasuah serta kegiatan pengubahan wang haram. "Hingga hari ini, pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap 1MDB. Oleh itu, sebarang kenyataan serta maklumat berhubung perkara berkenaan adalah tidak wajar kerana akan menjejaskan siasatan," katanya.

Dianggarkan hanya antara 1,200 hingga 2,000 orang sahaja daripada 25,000 kakitangan perkhidmatan awam yang bersara wajib setiap tahun terbabit dengan cadangan lanjutan usia persaraan kepada 62 tahun.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata pelaksanaan itu juga tidak membabitkan semua perjawatan, cuma bagi jawatan kritikal dan profesional untuk menampung keperluan tenaga pakar dalam negara. Beliau berkata, kakitangan kumpulan profesional seperti pensyarah, hakim, jurutera dan pakar runding misalnya, memiliki kepakaran tertentu dan pengalaman luas yang masih diperlukan industri bagi meningkatkan ekonomi selain, menampung keperluan semasa.

"Apabila hendak menuju ke negara maju empat tahun lagi, kita memerlukan dasar yang dapat diterima secara sejagat dengan anggaran lima hingga lapan peratus yang akan bersara setiap tahun sahaja dikekalkan ...tidak semua kakitangan awam. "Kita menggesa kerajaan untuk mengkaji semula sama ada dasar usia persaraan 62 tahun perlu dilaksanakan atau tidak selain, menyemak semula skim gaji penjawat awam yang sudah 15 tahun tidak dikemaskini," katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri CUEPACS, hari ini. Yang hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Semalam, CUEPACS dalam temu bual program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel yang disiarkan secara langsung mencadangkan kerajaan mewujudkan satu dasar baharu untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam kepada 62 tahun. Tahun lalu, CUEPACS turut melontarkan cadangan sama namun ditolak kerajaan. Azih berkata, antara perkara yang perlu diteliti kerajaan termasuk, kemampuan penjawat awam dengan gaji semasa memiliki pendapatan mencukupi untuk membeli rumah, menyediakan pendidikan anak dan bersaing dengan peningkatan 10 kali ganda indeks pengguna dan kos sara.

Di samping itu, CUEPACS turut menyeru kerajaan supaya tidak mengehadkan atau 'mengunci' pengisian jawatan baharu akibat kekosongan persaraan jawatan sebaliknya, membuka peluang kepada graduan muda berkelayakan daripada pelbagai bidang. "Ketua agensi juga diminta mengambil tindakan drastik dan merancang pelan penggantian enam bulan sebelum kekosongan supaya tidak berlaku kekurangan pekerja," katanya.

Mayat mangsa lemas ditemui terdampar

Dikirim oleh Warieh Rabu, 5 Jun 2013 0 Komen


Port Dickson: Mayat kanak-kanak malang, Sofrina Husna Herry Judra Jhcoendra, 11,yang lemas bersama sepupunya, Khairul Afrizal, 14, ketika mandi bersama keluarga di Pantai 3, Telok Kemang, di sini, petang Ahad lalu, ditemui jam 8.20 malam kelmarin.
Mayatnya ditemui terdampar oleh orang awam di Pantai 1, kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD).

Pengarah Operasi Daerah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim V Pannir Selvan Veloo berkata,  operasi mencari dan menyelamat hampir 30 jam itu ditamatkan sejurus mayat disahkan Sofrina Husna oleh ahli keluarganya.
“Pihak kami turut berterima kasih kepada peniaga dan pengunjung yang sukarela membantu operasi mencari mangsa di persisir pantai,” katanya.

Beliau berkata, Sofrina Husna adalah mangsa kedua yang lemas di pantai ini selepas sepupunya, Khairul yang berjaya diselamatkan oleh orang awam, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di HPD.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihati orang ramai terutamanya ibu bapa supaya tidak sambil lewa sebaliknya peka terhadap keselamatan ahli keluarga masing-masing ketika beriadah di pantai ini dan tidak menyerahkan sepenuhnya kepada agensi atau pasukan keselamatan bertugas.
“Pengunjung juga perlu peka dan apabila arahan kecemasan dikeluarkan oleh pengawal pantai, mereka mesti mematuhinya. Kedegilan pengunjung yang tidak menghiraukan amaran hanya akan merugikan mereka dan besar kemungkinan tragedi lemas berulang,” katanya.

Difahamkan, selain operasi mencari dan menyelamat daripada pasukan keselamatan, bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan di kawasan pantai berhampiran lokasi oleh ahli keluarga atas inisiatif Persatuan Peniaga Pantai Telok Kemang sebelum membawa kepada penemuan mayat mangsa.

Lima kali bedah kepala

Dikirim oleh Warieh 1 Komen


Oleh Amran Yahya

Jelebu: “Semuanya seperti tiada kesudahan dan sehingga kini kepala Noratikah sudah dibedah lima kali sejak 2011 dan terbaru pada 5 dan 14 April lalu. Dia juga sudah menjalani puluhan rawatan radioterapi dan kimoterapi. Selepas ini tak tahu apa yang terpaksa dilakukan ke atas anak saya lagi.”
Begitu kata Suraya Mohd Samsi, 32, yang pasrah menjaga anak perempuannya, Noratikah Mohd Shafie, 14, yang menghidap barah otak sejak tiga tahun lalu ketika ditemui di Hospital Jelebu, di sini, semalam.
Menurut Suraya, Noratikah sebelum ini seorang periang dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain, namun kini anaknya terlantar di hospital dan semua pergerakan memerlukan bantuan.

Katanya, penyakit anaknya mula dikesan ketika berusia 11 tahun apabila Noratikah mengadu sakit kepala selain mata kabur dan kerap muntah.
FotoNORATIKAH terlantar di hospital menjalani rawatan sejak 2011.

“Noratikah dibawa untuk rawatan di Hospital Jelebu dan doktor mengesahkan dia menghidap sawan dan perlu dirawat doktor pakar di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ombak makan dua nyawa

Dikirim oleh Warieh Selasa, 4 Jun 2013 0 Komen


Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Walaupun panik melihat sepupu dan adik dihanyutkan arus deras, saya mampu menjerit meminta tolong sebelum seorang lelaki terjun ke laut dan berenang bagi menyelamatkan mereka.
“Disebabkan ombak terlalu kuat, lelaki itu kembali ke pantai dan mengambil jet ski bersama dua rakannya sebelum berjaya membawa sepupu ke darat, manakala adik masih gagal dikesan sehingga sekarang,” kata Nor Humaira Herry, 17, semalam.

Dia menceritakan insiden adik perempuan, Sofrina Husna, 11, dan sepupunya, Mohamad Khairul Afrizal, 13, lemas ketika mandi di Pantai 3, Telok Kemang, di sini, petang kelmarin.
Kejadian berkenaan berlaku kurang dua jam selepas mayat pembantu sambilan bot pelancong, Mohd Syahir Hashim, 35, ditemui terapung, selepas terjatuh dari ‘banana boat’ akibat dipukul ombak berhampiran Pantai Cahaya Batu 4, di sini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Mohamad Khairul sempat diselamatkan pengusaha bot pelancong, Mohd Azhar Idris, 21, namun disahkan mati oleh doktor di Hospital Port Dickson (HPD), manakala Sofrina Husna masih hilang dan operasi mencarinya masih dilakukan.

Menurut Nor Humaira, ketika kejadian, adik bongsunya sedang mandi bersama beberapa ahli keluarga dan pengunjung lain sebelum berlaku ombak besar disusuli angin kencang.
Katanya, dia bersama beberapa ahli keluarga dari Sungai Ramal Baru, Kajang, Selangor, menaiki empat kenderaan ke Port Dickson untuk mandi laut.

“Kejadian sedih ini amat tidak diduga dan harapan saya adik segera ditemui oleh pasukan penyelamat. “Adik seorang yang aktif di sekolah dan sering mewakili sekolah dalam sukan hoki dan olahraga. Kami hanya tiga beradik perempuan dan dia anak bongsu,” katanya.
Sementara itu, bapa Mohamad Khairul, Afrizal Muslim Nazir, 43, berkata, dia sekeluarga reda dengan takdir menimpa dan berterima kasih kepada orang awam yang turut membantu.

Katanya, jenazah anak ketiga daripada lima beradik itu dibawa ke Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kajang.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, sebaik terdengar jeritan memaklumkan ada orang lemas, dia hanya terfikir untuk menyelamatkan mangsa dan bergegas ke laut.

“Selepas gagal menarik tangan kanak-kanak itu kerana ombak kuat saya bersama dua rakan menaiki jet ski untuk menyelamatkannya.

“Ketika itu saya lihat tangannya (Mohamad Khairul) tenggelam timbul dan dapat menarik dan mendukungnya ke atas jet ski lalu membawa ke darat.

“Anggota bomba yang tiba kemudian memberikan bantuan kecemasan dengan melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum dihantar ke HPD dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM),” katanya. Penguasa Bomba, Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan operasi pada jam 5 petang kejadian sebelum dihentikan jam 8 malam kelmarin.

“Operasi mencari disambung hari ini (semalam) bermula jam 7.30 pagi dengan Skuad Menyelam Bomba dan akan diteruskan hingga mangsa ditemui,” katanya.

Turut berada di tempat kejadian, Exco Pelancongan Tun Hairuddin Abu Bakar dan Pengarah Bomba Negeri Sembilan Penolong Kanan Pesuruhanjaya Bomba Norazam Khamis.

Tunjuk isyarat lucah

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Oleh Suraya Roslan

Nilai: Seorang pelajar wanita warga China di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu kota yang diberkas Jabatan Imigresen Negeri Sembilan kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri, bertindak biadab apabila menunjukkan isyarat lucah terhadap penguat kuasa dan jurugambar bertugas.
Dalam operasi enam jam bermula jam 11 pagi di sebuah penempatan kolej swasta di Mantin, di sini, semalam, pelajar terbabit dipercayai cuba menimbulkan provokasi dan suasana tegang.
Difahamkan, dia bersama teman lelakinya warga Iran dikatakan sanggup datang dari ibu kota semata-mata memadu kasih sebelum dicekup dalam sekatan jalan raya.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata, operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan itu menahan 27 warga asing membabitkan pelbagai kesalahan.
FotoWANITA warga China (dua dari kanan) menunjukkan isyarat lucah kepada jurugambar dan anggota penguat kuasa.

“Pasangan kekasih berusia 20-an itu berang apabila ditahan penguat kuasa dan mempersoalkan kenapa gambar mereka dirakam.

Pencari besi maut redah jalan gelap

Dikirim oleh Warieh Selasa, 28 Mei 2013 0 Komen

 

Jempol: Tindakan dua sahabat yang juga pencari besi buruk menunggang motosikal tanpa lampu belakang mengundang padah apabila mereka maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku jam 9.10 malam apabila kedua-dua mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Keratong menuju ke Bahau dan turut membawa muatan besi buruk.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa meredah laluan gelap menuju ke Bahau dengan motosikal mereka tiada lampu belakang.
Beliau berkata, berikutan itu, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari arah sama tidak menyedari kehadiran motosikal mangsa lalu merempuhnya dari arah belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan pembonceng motosikal, Mohd Finizam Abd Samad, 27, tercampak ke dalam longkang dan maut di tempat kejadian, manakala penunggang yang belum diketahui identiti tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

“Daripada siasatan awal, polis mendapati kedua-dua mangsa adalah anak peneroka di FELDA Serting Hilir dekat sini. Namun, seorang daripada mereka iaitu penunggang motosikal tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan kita masih menyiasat kes berkenaan supaya ahli keluarga mangsa dapat datang ke hospital untuk menuntut jenazah,” katanya.
Hamzah berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu sudah membuat laporan polis sejurus selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nilai: Seorang lelaki yang sedang berkebun di sebelah rumahnya di Jalan Melati, di sini, parah apabila terkena empat das tembakan yang dilepaskan oleh penjenayah, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 30-an cedera di belakang badan akibat ‘diserang hendap’ penyerangnya, namun kini keadaannya stabil di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Nasir Senit berkata, mangsa yang ketika itu berkebun berdekatan rumah teres itu dipercayai didatangi individu tidak dikenali yang kemudian melepaskan beberapa das tembakan dari arah belakang. “Mangsa dipercayai bersendirian ketika itu kemudian mengerang meminta tolong sebelum jirannya datang membantu dan membawanya ke hospital.
“Pemeriksaan awal mendapati, terdapat empat kesan kecederaan di belakang badan mangsa tanpa membabitkan kecederaan yang serius,” katanya. Nasir berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif serangan.

Perompak loghat utara

Dikirim oleh Warieh Selasa, 21 Mei 2013 0 Komen


Oleh Suraya Roslan

Nilai: “Perompak itu cuba berkomunikasi menggunakan loghat utara seolah-olah berlagak orang tempatan, namun saya tahu mereka ialah warga asing,” kata adik ipar kepada pegawai tertinggi polis di Bukit Aman selepas kediamannya di Mantin, di sini, dipecah masuk lima perompak bersenjatakan parang menyebabkan kerugian lebih RM50,000, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kontraktor dan isterinya berusia 51 tahun yang juga adik kelima kepada pegawai itu bersama dua anak berusia 17 dan 22 tahun turut diacu dengan parang sebelum diikat menggunakan dawai. Mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohd, 56, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri tidur sebelum tiba-tiba anak lelakinya mengetuk pintu bilik tidur.

“Sebaik membuka pintu bilik, saya terkejut seorang daripada perompak itu bertindak mengacukan parang dan meminta saya diam.
“Perompak itu mengikat kedua-dua tangan saya dan meminta wang serta pelbagai barangan berharga manakala isteri hanya duduk diam di atas katil dalam keadaan menggigil,” katanya.

Menurutnya, penjenayah itu mengambil masa lebih satu jam menggeledah rumah mereka sebelum melarikan diri dengan pelbagai barangan berharga termasuk telefon bimbit, komputer riba, sejumlah wang tunai dan barangan kemas bernilai lebih RM50,000.

“Seorang daripada mereka memegang penyapu dan mengawasi kami manakala empat yang lain sibuk menggeledah. “Perompak itu hanya mengeluarkan tiga perkataan iaitu ‘steady’, ‘cool’ dan diam,” katanya yang bersyukur keluarganya tidak dicederakan dalam kejadian itu. Sumber polis berkata, ketika kejadian pasangan itu tidur sebelum pintu bilik mereka diketuk.
Katanya, apabila mangsa membuka pintu, lima lelaki bertopeng menyerbu masuk dan terus mengacukan parang di kepala suami wanita itu.

“Hasil siasatan awal, kami mendapati, suspek memotong pagar dan jeriji besi tingkap di belakang rumah untuk masuk ke dalam kediaman mangsa.
“Sebaik memasuki rumah, suspek kemudian mengikat tangan pasangan itu sebelum mengurung empat beranak berkenaan dalam sebuah bilik,” katanya di sini, semalam. Katanya, semua suspek dipercayai warga asing menggeledah rumah mangsa lebih sejam sebelum melarikan diri menggunakan kereta diparkir di luar rumah.

“Selepas semua suspek melarikan diri mangsa kemudian dapat membuka ikatan sebelum menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan,” katanya.

Kata sumber lagi, semua mangsa tidak diapa-apakan oleh penjenayah berkenaan tetapi masih trauma dengan kejadian itu.

“Buat masa ini kami sedang mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kes itu namun enggan mengulas lanjut.

Bom tepi pantai

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Oleh Mohd Khidir Zakaria dan Abnor Hamizam Abd Manap

Port Dickson: Tiga bom lama ditemui dalam kejadian berasingan di Pantai 3, Telok Kemang, di sini, dengan kejadian terbaru kira-kira 7.30 pagi semalam apabila seorang peniaga menemuinya di kawasan berpasir di hadapan kedainya.
Peniaga, Yap Kooi Kiong, 43, berkata, dia tidak jadi membuka kedai dan terus meminta rakan menghubungi Balai Polis Telok Kemang memaklumkan penemuan bom itu.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bom yang ditemui di pantai ini akan dimusnahkan di sini oleh Unit Pemusnah Bom dan arahan menutup kedai serta menjauhi kawasan pantai akan dikeluarkan pihak berkuasa berkenaan,” katanya.

Yap berkata, dia percaya akan ada lagi penemuan bom lama memandangkan kawasan ini baru siap ditambak kira-kira sebulan lalu.
FotoBOM yang dijumpai peniaga dihadapan kedainya.

“Ada kemungkinan semasa proses tambak menggunakan pasir di sini, bom berkenaan turut disedut sama oleh kapal korek pasir dan dibawa ke sini (Telok Kemang) untuk proses tambak,” katanya.

Pengiring Tunku Ismail parah

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 12 April 2013 0 Komen


Pengiring  Tunku Ismail parah  
Osman (tiga dari kanan) melawat Zaini di HTJ, Seremban, semalam. - Foto Hazreen Mohamad
 
Seremban: Dua pengiring Tunku Mahkota Johor (TMJ) parah apabila kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 267.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, seorang penunggang motosikal, Hishamuddin Abdullah, 43, turut maut apabila Yamaha FZ 150 dinaikinya terbabas ke dalam longkang ketika cuba mengelak kemalangan itu.
Jurucakap polis berkata, pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki lima anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) melanggar bahagian kanan belakang sebuah lori membawa muatan besi di lorong kiri, menyebabkan kenderaan JMF terbabas dan remuk teruk.


Pemandu dan penumpang depan parah, manakala tiga penumpang di belakang cedera ringan. Pemandu treler tidak cedera.

Penunggang motosikal maut

Bagaimanapun, seorang penunggang motosikal di belakang kedua-dua kenderaan terbabit, terbabas ke dalam longkang ketika cuba mengelak kemalangan itu dan mati di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala, katanya di sini, semalam.

Difahamkan Toyota Hilux JMF terbabit adalah sebahagian sembilan kenderaan konvoi mengiringi Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pulang ke Johor Bahru selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang, Kuala Lumpur, kelmarin.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Langgar lopak air

Sementara itu, seorang anggota JMF yang cedera, Zaini Mohd Gahob, 28, menerima kunjungan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) sempena lawatan Hari Polis, berkata kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air.


Nilai: Ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan rasa gundah rakyat ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hangat apabila menyiarkan berita palsu dalam laman sosial Facebook (FB) Tun Dr Mahathir Mohamad meninggal dunia.
Mantan Perdana Menteri dan negarawan ulung berusia 88 tahun itu yang masih sihat bertenaga dan terkenal dengan sikap tenangnya, bagaimanapun tidak mempamerkan riak marah apabila ditanya mengenainya malah tersenyum.

“Ada kenyataan saya meninggal dunia? You (awak) lapor kata ada bercakap dengan saya (sambil tersenyum).
“Ini apa yang mat saleh kata ‘wishful thinking’. Mereka harap pada pemikiran mereka supaya saya dah mati dijadikan kenyataan.

“Itu pihak dioranglah (pihak yang siar berita palsu itu), yang nak bunuh saya pun ada juga. “Tetapi Alhamdulillah sampai sekarang saya boleh duduk dekat sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada majlis pelancaran Kelab Menjenayahkan Perang (CWC) di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang juga penaung kelab CWC itu dan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed.
Berita palsu dalam laman sosial FB disiarkan kelmarin, memetik Dr Mahathir dilaporkan meninggal dunia pada jam 5.24 minit kerana serangan jantung. Siaran tidak bertanggungjawab itu turut menyiarkan kononnya beliau rebah di Perhimpunan UMNO di Muar petang kelmarin dan sehubungan itu, negara akan berkabung dua hari selain kononnya difahamkan PRU-13 akan dilewatkan sedikit tarikhnya.

Sementara itu, Dr Mahathir juga enggan melayan cabaran Pengerusi Parlimen DAP Lim Kit Siang, 72, supaya beliau bertanding menentangnya di Parlimen Gelang Patah, Johor.
“Saya bukan bertanding dan bukan pun penasihat. Dia (Kit Siang) penasihat parti (DAP) yang begitu kuat, jadi dia patutlah bertanding. Saya tak payah bertandinglah.

“Kalau dia nak jawab apa yang saya kata, dia jawab dan saya jawab balas, tetapi tak payah debatlah,” katanya.

Ketika ditanya peluang Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 kali ini, katanya, sudah tentu kemenangan BN akan melebihi PRU 2008.

‘Jangan marah YB nyanyi saja’

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 6 April 2013 0 Komen


Oleh Suraya Roslan

Batu Kikir: “Kalau hendak wakil rakyat yang menyanyi, tidak apalah. Bagaimanapun, jika wakil rakyat tidak buat kerja sebaliknya hanya menyanyi, jangan marah kerajaan,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengulas pencalonan Wan Aishah Wan Ariffin yang dijangka bertanding di Parlimen Jempol.
Menurutnya, keputusan PAS meletakkan penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu taktik untuk kepentingan parti berkenaan. “PAS sanggup meletakkan sesiapa saja termasuk penyanyi untuk memenangi pilihan raya, terpulang kepada rakyat untuk memilih.

“Malah, keputusan meletakkan Aishah sebagai calon parti itu untuk bertanding di negeri ini tidak mengejutkan,” katanya selepas majlis penyerahan dan pengisytiharan solat Jumaat di Masjid Kariah Serting Tengah dekat sini, semalam.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dilaporkan dalam satu majlis di Markas PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur, mengumumkan Aishah bertanding di Parlimen Jempol.

Pengumuman itu menimbulkan kekecohan di kalangan pemimpin PAS Jempol kerana pada ceramah di FELDA Raja Alias Empat dekat sini sebelum itu, wartawan diberitahu Ketua Dewan Pemuda PAS Jempol, Mohd Fairuz Mohd Isa, dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen itu.

Sementara itu Mohamad berkata, keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan calon dan pengagihan kerusi lebih awal daripada hari penamaan calon adalah tepat.
“Ini memberi peluang kepada Barisan Nasional memperkenalkan calon, terutama yang kali pertama bertanding kepada rakyat dengan lebih teratur,” katanya.


Jempol: Seorang lelaki terbunuh manakala enam lagi cedera termasuk seorang bayi berusia tiga bulan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 20, Jalan Bahau-Keratong di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, P Kumaran, 37, yang memandu Proton Iswara maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk. Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Perodua Viva dari Keratong dinaiki dua lelaki berusia 50-an cuba memotong sebuah kenderaan.

“Bagaimanapun, pemandu kereta itu tidak sempat memasuki kembali laluannya lalu bertembung lori enam tan dari arah bertentangan.
“Akibat rempuhan itu, Perodua Viva bergesel dan merempuh kereta Proton Iswara dipandu Kumaran yang datang dari Bahau,” katanya di sini, semalam. Hamzah berkata, rempuhan itu menyebabkan kereta Perodua Viva berpusing bersama Proton Iswara sehingga ke kanan jalan.

“Kumaran maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala isterinya berusia 30-an, anak perempuan berusia dua tahun dan bayi lelaki berusia tiga bulan cedera ringan.

“Dua lelaki yang menaiki Perodua Viva dan pemandu lori cedera dan mereka kini dirawat di Hospital Jempol,” katanya.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook