Pembinaan Bazar Melayu dapat memenuhi
keperluan penduduk setempat dan menyumbang kepada pembangunan usahawan
bumiputera di Kuala Pilah.
KUALA PILAH 12 Feb. - Sebanyak sembilan tonggak utama pembangunan
yang dilakukan oleh kerajaan secara holistik sejak 2006 telah banyak
memberikan manfaat serta kesejahteraan kepada penduduk di daerah ini.
Tonggak tersebut ialah pembangunan infrastruktur, ekonomi, perumahan
rakyat, pendidikan dan latihan, kesihatan, rekreasi dan sukan,
kebajikan, pertanian dan pembinaan masjid serta surau.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek (
gambar)
berkata, lebih RM300 juta telah dibelanjakan untuk tujuan itu dan
jumlah tersebut meningkat dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan
rakyat setempat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah menjelaskan, kesemua
projek pembangunan itu dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN)
dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat sejak negara merdeka pada
1957.
''Sebagai kerajaan yang mengutamakan rakyat, para pemimpinnya tidak
pernah berhenti daripada memikir dan merancang pelbagai program dan
projek yang mampu membawa manfaat dan faedah kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan tajaan akhbar
Utusan Malaysia di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Pilah di sini baru-baru ini.
Hasan menaja sebanyak 10,000 naskhah akhbar
Utusan Malaysia
sempena Kempen 1Rumah 1Utusan yang akan diagihkan secara percuma kepada
masyarakat, khususnya di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam
Parlimen berkenaan selama empat minggu mulai minggu lalu.
Beliau berkata, sebanyak RM45.7 juta dibelanjakan oleh kementeriannya
bagi menaik taraf jalan luar bandar di DUN Johol, Juasseh dan Pilah
serta jalan pintas dari Jalan Tung Yen ke Jalan Bahau di sini dengan
peruntukan sebanyak RM3.6 juta daripada Jabatan Perdana Menteri dan
Pejabat Kemajuan negeri.
''Kemajuan yang paling ketara ialah projek menaik taraf Jalan Bukit
Putus fasa 1 sebanyak RM65 juta yang telah siap dan digunakan sejak 2009
serta fasa 2 bernilai RM12 juta yang sedang dalam pembinaan dan
dijangka siap pada April ini.
''Projek ini amat penting kerana kadar trafik di laluan itu telah
mencatatkan jumlah kenderaan lebih 23,000 buah sehari," ujarnya.
Sementara itu, Hasan menjelaskan, kementeriannya juga telah
membelanjakan lebih RM16.35 juta untuk melaksanakan projek bekalan air
luar bandar di daerah Kuala Pilah.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM12 juta dibelanjakan untuk
kemudahan bekalan membabitkan Kampung Langkap - Ulu Mampas dan Kampung
Chergun di dalam DUN Seri Menanti dan DUN Juasseh.
Tambahnya, sebanyak 450 buah rumah di Kampung Gunung Pasir, Seri
Menanti juga mendapat manfaat daripada pembinaan sebuah rumah pam,
penyambungan paip retikulasi dan sebuah menara tangki air dengan
kapasiti 100,000 gelen sehari yang membabitkan perbelanjaan sebanyak
RM3.7 juta.
''Tangki air juga disediakan untuk empat buah kampung di Kampung Juasseh Tengah dengan kos sebanyak RM650,000," katanya.
Dalam pada itu, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) turut melaksanakan
projek pembangunan semula Pekan Rabu dan Bazar Melayu bernilai RM3.5
juta yang memberi imej baru kepada kawasan perniagaan usang di pekan
Kuala Pilah.
Tambahnya, sebanyak RM1 juta dibelanjakan untuk kedai desa, projek
usahasama dengan UDA di pekan Juasseh yang memberi peluang ruang niaga
yang selesa kepada peniaga bumiputera.