Pensyaraj Kolej Komuniti Jempol (KKJ), yang juga Pengurus Projek, Naeemah Yusof berkata, selaras dengan perkembangan globalisasi, kursus ini juga dirangka untuk melahirkan komuniti yang kompetitif, kreatif, inovasi dan mempunyai keupayaan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
“Kursus anjuran KKJ melalui Program latihan 1Malaysia ini adalah antara lain untuk menerapkan nilai-nilai keusahawanan dan membimbing peserta untuk membina kerjaya dalam perniagaan coklat buatan tangan.
“Secara tidak langsung dapat melahirkan usahawan terampil dalam perniagaan coklat sekali gus menerapkan kemahiran teori dan praktikal kepada peserta.
“Ianya berkonsep praktikal ‘hands-on’ sesuai untuk peserta yang ingin membuat coklat mengikut cita rasa sendiri, sedap, mudah, murah dan halal,” katanya.
Naeemah berkata, pembuatan coklat juga boleh menggunakan peralatan sedia ada di rumah.
Kemahiran yang akan diperoleh oleh peserta berpotensi untuk membina perniagaan bermula dari rumah.
Seramai 23 peserta yang terdiri daripada komuniti setempat dari Gemas, Kuala Pilah, Jempol dan Seremban hadir menyertai kursus.
Peserta, Hajara Bibi Asansi, 50 berkata, tidak menyangka hasilnya begitu cantik dan berwarna-warni.
“Mudah sahaja untuk membuatnya. Saya berhasrat untuk membuat dan menjualnya di kedai saya.
“Sesiapa pun boleh buat, tidak kira lelaki atau perempuan. Asalkan ada minat, mereka juga boleh buat berniaga.
“Zaman sekarang serba moden dan canggih. Tiada yang mustahil, saya yakin, kalau bergerak serius dalam perniagaan coklat ini, boleh jadi usahawan berjaya,” katanya.
0 Komen