Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label USIM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label USIM. Papar semua catatan

USIM diberi tawaran

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 6 September 2013 0 Komen



  • USIM diberi tawaran Mohamad bersalaman dengan pelajar pada Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baru Sarjana Muda Sesi Akademik 2013/2014, di Stadium Tertutup Nilai.

NILAI – Kerajaan Negeri menawarkan kerusi profesor dalam bidang penyelidik kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tawaran Penubuhan Kerusi Profesor Kerajaan Negeri Sembilan itu bagi membantu USIM dalam kewangan selain melihat universiti itu mencipta kejayaan sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa.

“Bagaimanapun, penubuhan kerusi profesor di USIM itu akan boleh ditentukan dalam perbincangan yang dimulakan tahun depan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baru Sarjana Muda Sesi Akademik 2013/2014, di Stadium Tertutup Nilai, kelmarin.

Terdahulu beliau menyampaikan amanat kepada 2,162 pelajar baru yang mengikuti 25 program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Hadir sama, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Timbalan Naib Censelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumnai (HEPA) USIM, Datuk Mohd Asim Dollah.

Mohamad berkata, walaupun USIM adalah sebuah IPTA yang masih baru namun universiti ini sudah banyak mencipta kedudukan yang baik dalam kalangan IPTA di negara ini.

“Saya berharap cadangan bagi menubuhkan satu kerusi profesor tetap di universiti dapat diterima semua yang sekali gus akan dapat membantu pihak universiti bagi mengadakan penyelidikan  di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Asma berkata pihak universiti menerima baik cadangan kerajaan negeri dan akan berbincang bidang kajian yang dilaksanakan nanti.

“Terima kasih kepada menteri besar di atas tawaran ini dan ia adalah satu cara untuk USIM terus ke hadapan dalam bidang ilmiah,” katanya.

BLISS eratkan hubungan penduduk, USIM

Dikirim oleh Warieh Rabu, 10 April 2013 0 Komen


Sebahagian kanak-kanak dari Taman Nilai Perdana yang menyertai bengkel celik solat menerusi program Belia Islam Selamat dan Sejahtera anjuran USIM di Taman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini. 
 
SEREMBAN 9 April - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperluaskan aktiviti kemasyarakatannya menerusi penganjuran program Belia Islam Selamat dan Sejahtera (BLISS) yang diadakan bersama penduduk Taman Nilai Perdana, Nilai, dekat sini baru-baru ini.
Program anjuran penuntut yang menganggotai Pembimbing Rakan Universiti (PRU) USIM itu merupakan kerjasama antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT) penduduk taman berkenaan.
Pengarah program, Syazwani Salleh berkata, objektif pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk berkongsi ilmu, selain mengeratkan hubungan antara penduduk dengan penduduk sekitar.
''Pelbagai program telah diatur bersama penduduk kawasan berkenaan seperti bengkel membuat kek, jahitan manik, caklempong dan celik solat.
''Kami amat berbesar hati menerusi sambutan serta penyertaan daripada penduduk setempat yang meliputi pelbagai peringkat umur," katanya di sini baru-baru ini.
Syazwani berkata, pihaknya berharap untuk meneruskan program tersebut pada masa akan datang berikutan respons penduduk yang amat menggalakkan.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim memberitahu, usaha pihak USIM untuk mendekati masyarakat melalui program komuniti sedemikian amat dihargai dan dialu-alukan.
''BLISS menjadi salah satu platform bagi warga universiti untuk berkongsi kemahiran dan ilmu bersama penduduk setempat yang pastinya memberikan manfaat bersama," ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak 10 peserta berusia sembilan hingga 17 tahun terpilih untuk mengikuti bengkel kesenian alat muzik Negeri Sembilan iaitu permainan caklempong.
Bengkel berkenaan akan diadakan berasingan bertempat di kampus universiti itu yang dikendalikan oleh Urus Setia Kebudayaan Pelajar USIM.

USIM teraju penubuhan I-IQRA

Dikirim oleh Warieh Rabu, 27 Mac 2013 0 Komen


SEREMBAN 26 Mac - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi peneraju terhadap penubuhan Konsortium Pengajian Tinggi Institusi Islam, Kualiti Akademik dan Kemajuan Penyelidikan (I-IQRA) yang diamanahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Beberapa siri perbincangan telah dijalankan antara USIM bersama institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negara ini dalam usaha memperkemaskan lagi kertas konsep dan pelan tindakan penubuhan I-IQRA.
Antara institusi yang terlibat termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, konsortium berkenaan diyakini berupaya untuk membentuk sinergi dalam kalangan ahlinya ke arah memacu kemajuan pelbagai bidang berteraskan Islam

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130327/ws_06/USIM-teraju-penubuhan-I-IQRA#ixzz2OgpxhFpK
© Utusan Melayu (M) Bhd

BIMB salur RM50,000 bantu penuntut USIM

Dikirim oleh Warieh Khamis, 21 Mac 2013 0 Komen


Asma Ismail (tengah) menerima cek replika sumbangan zakat BIMB daripada Norasni Ayob sambil disaksikan Mohamed Asin Dollah di universiti berkenaan di Seremban, baru-baru ini.
SEREMBAN 20 Mac - Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM50,000 kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk diagihkan kepada penuntut kurang berkemampuan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah berkata, zakat tersebut akan disalurkan kepada penuntut berkenaan dalam usaha membantu meringankan beban kewangan mereka.
"Pihak universiti amat berterima kasih dan menghargai inisiatif pihak korporat ini ke arah meringankan beban kewangan penuntut yang kurang berkemampuan terutama bagi menjelaskan yuran pengajian mereka," katanya di sini semalam.

Kerajaan NS sumbang RM500,000 kepada USIM

Dikirim oleh Warieh Rabu, 13 Mac 2013 0 Komen


MOHAMAD Hasan menyampaikan replika cek bernilai RM500,000 kepada Dr. Asma Ismail sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan kepada USIM di Nilai, Seremban, hari ini. Turut serta Profesor Emeritus Dr. Abdul Shukor Hussin (kiri). - BERNAMA
 
NILAI 12 Mac - Kerajaan Negeri Sembilan memberikan sumbangan RM500,000 kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam usaha membantu universiti tersebut meningkatkan penyertaan pelajar mereka dalam aktiviti pembangunan dan pengantarabangsaan pelajar.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap dengan sumbangan itu ia dapat mencetuskan pelajar yang lebih beriltizam untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang berupaya meningkatkan kemahiran insaniah mereka.
"Ia juga memberi ruang kepada pelajar untuk mencurahkan khidmat bakti seperti kerja-kerja amal kepada masyarakat di pelbagai peringkat tanpa mengira bangsa mahu pun agama, sama ada di dalam atau di luar negara," katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu serta pelancaran program IM4U Outreach Centre dan University Transformation Centre di USIM, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin; Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Timbalan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah.
Bercakap kepada pemberita, Mohamad turut menyifatkan program 1M4U Outreach Centre sebagai program yang dekat di hatinya kerana kerajaan dapat menjalin kerjasama dengan belia melalui aktiviti yang dirasakan sesuai.
"Seharusnya para belia mesti dibimbing sebaik mungkin agar mempunyai minda terbuka dan tidak terlibat dengan gejala tidak sihat yang boleh merugikan masa depan negara.
"Program sebegini yang dilaksanakan pihak USIM juga adalah sesuatu yang tepat pada masanya seperti mana hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat golongan belia melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan yang dapat mendatangkan faedah kepada kumpulan sasaran," katanya.
Katanya, kerajaan adalah sebagai pemudah cara dengan bantuan kewangan, tunjuk ajar dan sebagainya untuk golongan belia dalam memastikan segala aktiviti berjalan lancar. - BERNAMA

2,146 pelajar USIM terima KADS1M

Dikirim oleh Warieh Rabu, 20 Februari 2013 0 Komen


PARA pelajar menerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Seremban, baru-baru ini. 
 
SEREMBAN 19 Feb. - Sebanyak 2,146 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan 9,089 pula Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah RM2.27 juta di sini baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan, pemberian KADS1M dan BB1M merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memastikan golongan pelajar juga dapat diberikan perhatian ekoran kos sara diri yang terus meningkat.
Malah katanya, menerusi pemberian inisiatif itu juga sudah pasti bebanan untuk membeli buku oleh para pelajar dapat diringankan sepanjang mereka meneruskan pengajian di universiti berkenaan.
''Sebanyak 206 syarikat termasuk koperasi telah menyertai KADS1M dengan menawarkan diskaun antara dua hingga 60 peratus bagi pembelian buku, alat tulis, pakaian, kesihatan, peruncitan, penginapan, produk teknologi maklumat, automotif dan lain-lain.
''Ini melambangkan usaha dan sinergi antara kerajaan dan sektor swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat yang bukan sahaja memanfaatkan golongan pelajar, malah menjana pulangan perniagaan dalam jangka masa panjang," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan BB1M dan KADS1M di Galeri Hal Ehwal Pelajar, USIM yang turut dihadiri Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah.
Sementara itu, Asma dalam ucapannya mahu supaya para pelajar memanfaatkan kemudahan yang diberikan menerusi KADS1M dan BB1M ke arah tujuan yang berfaedah dan sentiasa bijak dalam melakukan perbelanjaan seharian.
Malah katanya, para pelajar seharusnya mendahulukan kewajipan dan keperluan sebagai seorang pelajar menerusi pembelian yang memberikan manfaat dan tujuan ilmiah sepanjang mereka menuntut di sini.
''Pada masa yang sama saya ingin ingatkan kepada para pelajar supaya tidak menjual baucar atau kad berkenaan kepada mereka yang sering melihat keuntungan semata-mata," jelas beliau.

Naib Canselor USIM dikurnia DSDK oleh Sultan Kedah

Dikirim oleh Warieh Rabu, 6 Februari 2013 0 Komen



SEREMBAN 5 Feb. - Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Asma Ismail (gambar) dikurniakan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, baru-baru ini.
Darjah kebesaran tersebut yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada beliau sempena hari keputeraan baginda yang ke-85 pada 20 Januari lalu.
Dr. Asma yang memulakan tugas di USIM pada 1 Disember tahun lalu merupakan wanita pertama yang menerajui universiti tersebut dan merupakan Naib Canselor ketiga selepas Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda.
Dalam majlis itu, sebanyak 60 orang lagi turut menerima darjah kebesaran sama.
Antara penerima DSDK yang lain ialah Datin Tunku Marina Tunku Annuar; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dr. Ismail Salleh; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim; Ahli Dewan Negara, Senator Muhamad Yusof Husin; Pegawai Daerah Langkawi, Harun Jasin; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan Tunku Muzafar Shah Tunku Jaafar Laksamana.

USIM destinasi ke-4 disinggahi program promosi derma organ

Dikirim oleh Warieh Rabu, 21 Disember 2011 0 Komen



Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah (kanan) melepaskan peserta Walkaton Jelajah Kempen Pendermaan Organ di USIM, Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 20 Dis. - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini dipilih sebagai destinasi kunjungan keempat program Jelajah Promosi Pendermaan Organ Negara di peringkat Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Upacara perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lam Thye dalam ucapan ringkasnya berkata, program tersebut bertujuan memupuk sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menderma organ.

''Jelajah ini telah diadakan di Melaka, Kedah dan Sarawak dan bagi negeri ini kita telah memilih Usim sebagai salah satu destinasi untuk mempromosikan kempen menderma organ bagi Negeri Sembilan.

''Ini merupakan destinasi keempat jelajah ini dan merupakan penutup program promosi pendermaan organ pada tahun ini," katanya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung senario pendermaan organ di negara ini, beliau memberitahu, rakyat Malaysia telah menunjukkan perubahan positif terhadap kesedaran menderma organ.

''Ini kerana kita dapat lihat wujudnya jumlah penderma dan pengikrar pendermaan organ dari tahun ke tahun.

''Statistik menunjukkan, sepanjang tahun ini jumlah pengikrar yang mendaftar sehingga bulan November mencatatkan seramai 25, 719 orang." katanya.

Jelasnya lagi, berdasarkan kepada statistik Pusat Sumber Pemindahan Kebangsaan, golongan berumur 11 hingga 30 tahun merupakan bilangan pengikrar paling ramai yang membabitkan jumlah 103,611 individu.

''Ini merupakan satu perubahan yang membanggakan kerana kesedaran di kalangan golongan muda untuk tampil mendaftar sebagai pengikrar semakin meningkat pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, melalui pelaksanaan kempen kesedaran pendermaan organ yang dijalankan terutamanya menerusi media, ia telah berjaya meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi negatif rakyat sekali gus memperlihatkan respons positif terhadap pendermaan organ.

Tuanku Aishah Canselor USIM

Dikirim oleh Warieh Khamis, 8 Disember 2011 0 Komen



Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud memperkatakan sesuatu kepada penerima anugerah cemerlang dari kiri, Muhamad Firdaus Ab. Rahman, Mohd. Shahrul Faizie Zaini, Mohd. Ashrafulzaim Abdul Wahab dan Ummi Farhan Omar pada Konvokesyen Ke-9 USIM di PICC, Putrajaya, semalam. - mingguan/hanafi khamis


PUTRAJAYA 3 Dis. - Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor wanita kedua Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Baginda dimasyhurkan bagi menggantikan bekas Canselor pertama universiti tersebut, Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Pemasyhuran baginda diumumkan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Muhamad Muda yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Konvokesyen USIM Kesembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, baginda bertitah, sistem pendidikan berteraskan ilmu Islam merupakan pemangkin kepada umat Islam terutamanya yang berada di rantau Asia Tengah.

Titah baginda, jaringan hubungan luar bersama negara Islam lain perlu diperkukuhkan supaya hasrat dan cita-cita tersebut terlaksana.

"Setelah lebih 10 tahun universiti ini membangun, ia telah menjadi salah satu institusi Islam yang disegani di rantau ini kerana graduan USIM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah dalam bidang kokurikulum.

"Kecemerlangan dalam bidang seperti perbahasan, kesenian dan kebudayaan Islam, sukan dan juga hubungan antarabangsa adalah satu tanda ukur bahawa USIM mampu mengorak langkah lebih maju ke hadapan dalam merealisasikan dasar pendidikan tinggi negara.

"Malahan, cendekiawan yang diasah oleh USIM juga mampu mengorak langkah ke peringkat global dan memperkenalkan pendidikan tinggi berasaskan ilmu naqli dan ilmu aqli," titahnya.

Turut berangkat pada majlis itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,196 graduan berjaya menerima ijazah dalam bidang masing-masing.

Dua graduan turut dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Mohd. Shahrul Faizie Zaini dan graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Muhamad Firdaus Ab. Rahman berdasarkan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum termasuk aktif dalam perbahasan.

Sementara itu, Anugerah Canselor diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Ummi Farhana Omar, manakala penerima anugerah Pingat Emas Naib Canselor pula diterima graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah, Mohd. Ashrafulnizam Abdul Wahab.

RM8,750 bakal jadi habuan kaki pancing di Tasik USIM

Dikirim oleh Warieh Isnin, 5 Disember 2011 0 Komen


SEREMBAN 2 Dis. - Kaki pancing berpeluang merebut hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM8,750 menerusi pertandingan memancing terbuka yang diadakan di Tasik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena sambutan Pesta Konvokesyen Ke-9 (C-Fest 9) USIM 2011, Ahad ini.

Eksekutif Pemasaran Zon Tengah 4 Utusan Melayu (M) Bhd., Zailani Md Ali berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada orang ramai bermula pukul 8 hingga 12 tengah hari pada hari berkenaan.

''Pemenang tempat pertama berpeluang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500, tempat kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan keempat (RM500).

''Peserta yang berjaya menduduki tempat kelima hingga ke-20 (RM150) sementara tempat 21 hingga ke 40 (hamper)," katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, setiap penyertaan akan dikenakan yuran sebanyak RM30 dan 250 peserta terawal berdaftar akan menerima kemeja-t pertandingan.

''Sebarang pertanyaan berhubung pertandingan ini boleh menghubungi Nordin pada talian 019-3522046 atau Idris (013-3052811)," ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Zailani, pertandingan mewarna sempena C-Fest 9 turut diadakan di Stadium Tertutup Nilai, Nilai pada Ahad ini.

''Pertandingan ini terbuka kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 12 tahun. Penyertaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu berumur 5 hingga 12 tahun, 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun.

Maklumat lanjut berhubung pertandingan mewarna boleh hubungi Ahmad Hatim di talian 019-7207092 atau 06-7672979 (Zairina/Shahri).



PELAJAR USIM tidak melepaskan peluang menyertai permainan Dart pada Pesta Konvokesyen USIM di Stadium Tertutup Nilai, semalam.


SEREMBAN 2 Dis. - Stadium Tertutup Nilai, dekat sini bakal digegarkan dengan persembahan artis terkenal tanah air melalui penganjuran konsert Pancaindera yang diadakan sempena sambutan Pesta Konvokesyen Edisi Ke-9 (C-Fest 9), esok.

Menurut Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd., Mohammad Fahmi Asraf Khan, konsert tersebut bakal menampilkan penyanyi terkenal seperti Aishah, Heliza, Aiman, Irma Hasmi dan Amin Idris, kumpulan nasyid In-team, Nubhan Nasir Wahab, Fazli Zainal dan Adam.

''Konsert Pancaindera ini akan dilangsungkan di pentas khas yang disediakan di perkarangan Stadium Tertutup Nilai bermula pukul 8.30 malam esok. Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan konsert ini," katanya di sini, hari ini.

Jelas Mohammad Fahmi, selain konsert itu, pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan pelakon terkenal yang akan hadir di gerai jualan Utusan Malaysia bertempat di perkarangan stadium berkenaan.

''Antara pelakon yang akan hadir esok ialah Zain Saidin, Razali Hussain, Ery Putra dan Hairi,

''Manakala pada hari Ahad, pelakon yang akan hadir termasuk Fida Ibrahim, Amar Bahrain, Tan Suhaimi, dan Bienda," ujarnya.

C-Fest 9 yang berlangsung empat hari bermula hari ini hingga 4 Disember ini dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang pesta tersebut seperti pameran kereta, karnival kerjaya, pertandingan nasyid terbuka, futsal, mewarna dan bola jaring.

Sambutan pesta tersebut turut dimeriahkan dengan pembukaan 140 gerai jualan, konsert Pancaindera, jualan buku dan majalah, pertandingan memancing dan karaoke oleh Utusan Malaysia.


SEREMBAN 2 Dis. - Pengunjung serta penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berasa amat teruja dengan aktiviti serta pengisian menarik yang diadakan sepanjang penganjuran Pesta Konvokesyen edisi ke-9 (C-Fest 9) USIM 2011 bermula semalam hingga Ahad ini.

Menurut seorang pengunjung, Mohd. Hairon Razak, 21, aktiviti serta program yang diadakan pada C-Fest tahun ini lebih menarik berbanding tahun sebelumnya.

"Kehadiran pengunjung juga dilihat lebih ramai dan program yang disediakan menarik, lebih-lebih lagi apabila C-Fest tahun ini mendapat kerjasama dengan Utusan Malaysia.

"Pelbagai aktiviti boleh didapati di sini, tetapi bagi saya dan rakan-rakan, kami tidak mahu lepaskan peluang untuk membeli buku yang dijual pada harga murah di sini," katanya ketika ditemui di gerai jualan C-Fest 9 di pekarangan Stadium Tertutup Nilai, Nilai di sini, hari ini.

Bagi Nurul Huda Ismail, 24, menerusi program yang disediakan sepanjang pesta empat hari, ia diyakini bukan sahaja dapat menarik pengunjung dari kalangan penuntut malah penduduk sekitar kawasan tersebut.

''Kami amat seronok dan terkejut apabila berkunjung ke C-Fest kali ini, ia lebih meriah dan pembukaan gerai pelbagai aktiviti oleh Utusan Malaysia menambahkan lagi kerancakan pesta ini," katanya.

Rakannya, Nur Aima Amir, 21, berkata, dia bersama rakan berasa teruja dengan penganjuran konsert Pancaindera anjuran Utusan Malaysia malam esok yang bakal menampilkan ramai artis terkenal tanah air.

''Pesta C-Fest empat hari ini kali ini dianjurkan secara besar-besaran, ia memang menyeronokkan kami dan sebagai pengunjung pelbagai pengalaman baru dapat diperoleh di sini seperti contoh di gerai mengambil foto studio, lukisan karikatur dan banyak lagi," katanya.

Dalam pada itu, kata seorang penuntut, Maz Izatul Shima Mahazir, 21, yang ditugaskan bagi mengendali kelancaran gerai jualan C-Fest, tanggungjawab berkenaan membantu dirinya memahirkan kemahiran insaniah serta pengurusan peniagaan.

''Pengalaman ini amat berharga buat diri saya, ia mendidik saya untuk lebih berdedikasi, bertanggungjawab serta komited terhadap tugas yang diberi,'' ujarnya.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook