SEREMBAN 2 Dis. - Stadium Tertutup Nilai, dekat sini bakal digegarkan dengan persembahan artis terkenal tanah air melalui penganjuran konsert Pancaindera yang diadakan sempena sambutan Pesta Konvokesyen Edisi Ke-9 (C-Fest 9), esok.
Menurut Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd., Mohammad Fahmi Asraf Khan, konsert tersebut bakal menampilkan penyanyi terkenal seperti Aishah, Heliza, Aiman, Irma Hasmi dan Amin Idris, kumpulan nasyid In-team, Nubhan Nasir Wahab, Fazli Zainal dan Adam.
''Konsert Pancaindera ini akan dilangsungkan di pentas khas yang disediakan di perkarangan Stadium Tertutup Nilai bermula pukul 8.30 malam esok. Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan konsert ini," katanya di sini, hari ini.
Jelas Mohammad Fahmi, selain konsert itu, pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan pelakon terkenal yang akan hadir di gerai jualan Utusan Malaysia bertempat di perkarangan stadium berkenaan.
''Antara pelakon yang akan hadir esok ialah Zain Saidin, Razali Hussain, Ery Putra dan Hairi,
''Manakala pada hari Ahad, pelakon yang akan hadir termasuk Fida Ibrahim, Amar Bahrain, Tan Suhaimi, dan Bienda," ujarnya.
C-Fest 9 yang berlangsung empat hari bermula hari ini hingga 4 Disember ini dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang pesta tersebut seperti pameran kereta, karnival kerjaya, pertandingan nasyid terbuka, futsal, mewarna dan bola jaring.
Sambutan pesta tersebut turut dimeriahkan dengan pembukaan 140 gerai jualan, konsert Pancaindera, jualan buku dan majalah, pertandingan memancing dan karaoke oleh Utusan Malaysia.


0 Komen