SEREMBAN 2 Dis. - Pengunjung serta penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berasa amat teruja dengan aktiviti serta pengisian menarik yang diadakan sepanjang penganjuran Pesta Konvokesyen edisi ke-9 (C-Fest 9) USIM 2011 bermula semalam hingga Ahad ini.
Menurut seorang pengunjung, Mohd. Hairon Razak, 21, aktiviti serta program yang diadakan pada C-Fest tahun ini lebih menarik berbanding tahun sebelumnya.
"Kehadiran pengunjung juga dilihat lebih ramai dan program yang disediakan menarik, lebih-lebih lagi apabila C-Fest tahun ini mendapat kerjasama dengan Utusan Malaysia.
"Pelbagai aktiviti boleh didapati di sini, tetapi bagi saya dan rakan-rakan, kami tidak mahu lepaskan peluang untuk membeli buku yang dijual pada harga murah di sini," katanya ketika ditemui di gerai jualan C-Fest 9 di pekarangan Stadium Tertutup Nilai, Nilai di sini, hari ini.
Bagi Nurul Huda Ismail, 24, menerusi program yang disediakan sepanjang pesta empat hari, ia diyakini bukan sahaja dapat menarik pengunjung dari kalangan penuntut malah penduduk sekitar kawasan tersebut.
''Kami amat seronok dan terkejut apabila berkunjung ke C-Fest kali ini, ia lebih meriah dan pembukaan gerai pelbagai aktiviti oleh Utusan Malaysia menambahkan lagi kerancakan pesta ini," katanya.
Rakannya, Nur Aima Amir, 21, berkata, dia bersama rakan berasa teruja dengan penganjuran konsert Pancaindera anjuran Utusan Malaysia malam esok yang bakal menampilkan ramai artis terkenal tanah air.
''Pesta C-Fest empat hari ini kali ini dianjurkan secara besar-besaran, ia memang menyeronokkan kami dan sebagai pengunjung pelbagai pengalaman baru dapat diperoleh di sini seperti contoh di gerai mengambil foto studio, lukisan karikatur dan banyak lagi," katanya.
Dalam pada itu, kata seorang penuntut, Maz Izatul Shima Mahazir, 21, yang ditugaskan bagi mengendali kelancaran gerai jualan C-Fest, tanggungjawab berkenaan membantu dirinya memahirkan kemahiran insaniah serta pengurusan peniagaan.
''Pengalaman ini amat berharga buat diri saya, ia mendidik saya untuk lebih berdedikasi, bertanggungjawab serta komited terhadap tugas yang diberi,'' ujarnya.


0 Komen