Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label kepenggunaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kepenggunaan. Papar semua catatan

KPDNHEP rampas barang tiruan pelbagai jenama

Dikirim oleh Warieh Selasa, 17 Julai 2018 0 Komen




SEREMBAN – Sebanyak 1,682 barang tiruan pelbagai jenama dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan pada 10 Julai lalu sekitar Seremban dan Senawang.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Zubir Amsa berkata, kesemua barangan yang disita itu dianggarkan bernilai RM39,816.

“Sebanyak 11 premis perniagaan diperiksa secara serentak dalam serbuan yang dilakukan bersama 20 anggota penguat kuasa termasuk wakil daripada jenama terlibat.

“Hasil intipan yang dilakukan selama dua minggu itu, akhirnya membuahkan hasil apabila kita berjaya merampas beberapa barangan seperti baju T, kasut, seluar, beg, topi dan selipar dengan menggunakan perihal dagangan palsu,” katanya pada sidang media di sini.
Menurutnya, antara jenama terlibat ialah Adidas, Nike, dan Reebok yang kebanyakan dijual untuk pasaran negeri ini dan juga negeri bersempadan seperti Melaka dan Selangor.

“Hasil serbuan ini kita berjaya mengesan seorang lelaki berusia 40an, dipercayai pemilik premis yang juga merupakan pengedar utama barangan tiruan tersebut,” katanya.

Katanya, pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada barangan tiruan dijual secara terbuka di negeri ini.

“Kerjasama dan maklumat orang ramai sangat diperlukan bagi mengesan aktiviti penjualan barangan tiruan,” katanya.


"Milo Mantin" Tiruan

Dikirim oleh Warieh Isnin, 16 Mac 2015 0 Komen







SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan (KPDNKK), berjaya merampas produk minuman Milo tiruan dengan nilai rampasan RM250,000 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah taman perumahan mewah di Mantin, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Saifulbahri Abdul Kadir berkata, produk tiruan itu dikesan melalui aduan orang awam yang mencurigai aktiviti tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, melalui pemeriksaan yang dilakukan bersama wakil Nestle di Taman Mulia itu, terdapat beberapa bekas berisi Milo tiruan yang belum dibungkus dalam rumah tersebut.

"Hasil pemeriksaan kita dapati terdapat sebanyak 225 bungkusan yang berisi milo tiruan disimpan di dalam sebuah bilik.

"Kita percaya bungkusan berjenama Milo itu sedia untuk dipasarkan di sekitar negeri ini dan kawasan berhampiran.

"Milo ini disahkan tiruan berdasarkan cara proses yang dilakukan adalah menyalahi proses sebenar yang dilakukan di kilang Nestle sahaja.

"Dengan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan Seksyen 8," katanya.

Mudahkan orang ramai buat aduan

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Julai 2013 0 Komen


Mudahkan orang ramai buat aduan
Mohd Talal (kiri) mengiringi Abu Ubaidah mengedarkan risalah berkaitan PPDNKK kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan, petang kelmarin.
 
SEREMBAN – Bagi memudahkan orang ramai membuat aduan berhubung kenaikan harga barang, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) menempatkan kaunter khidmat pengguna di beberapa lokasi terpilih sekitar negeri ini.

Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Talal Abu Bakar berkata, kaunter khidmat pengguna yang ditempatkan pada waktu pagi serta dilengkapi alat timbangan itu akan beroperasi sepanjang Ramadan.

“Lokasi terpilih itu seperti Pasar Ampangan, Pasar Kuala Pilah, Pasar Port Dickson dan Pasar Besar Seremban.

“Sekiranya pembeli melihat harga dikenakan itu tinggi berbanding berat asal, pengguna boleh semak dengan menimbang semula berat barangan tersebut secara terus di kaunter PPDNKK disediakan supaya tindakan segera boleh diambil,” katanya ketika melawat Bazar Ramadan Ampangan sempena ‘Ops Harga 2013’  di sini, kelmarin.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, Abu Ubaidah Redza.

Mohd Talal berkata, selain itu, PPDNKK turut menempatkan kaunter sama tanpa alat timbangan di beberapa bazar Ramadan terpilih.

“Bazar Ramadan terpilih itu seperti di Seremban 2, Senawang, Ampangan, Paroi, Kuala Pilah, Batu Kikir dan Port Dickson.

“Kita juga menempatkan kaunter khidmat pengguna di pusat perdagangan terpilih seperti di Nilai 3, Bahau Square dan Tampin Square,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sejak kaunter ini dibuka.

Ayat al-Quran silap, KDN serbu premis jual khat

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 5 Julai 2013 0 Komen


Ayat al-Quran silap, KDN serbu premis jual khat
Shafie (kanan) memeriksa perhiasan khat sambil dibantu oleh Norazle.
 
NILAI - Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pemeriksaan mengejut di beberapa premis menjual barangan perhiasan khat berasaskan ayat suci al-Quran di kawasan perindustrian Nilai 3, semalam.

Operasi bersepadu yang bermula sekitar jam 11 pagi itu disertai 45 anggota dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran (PQ) KDN Putrajaya, Selangor dan Melaka/Negeri Sembilan.

Ketua Unit Penguatkuasaan PQ Putrajaya, Norazle Sulaiman berkata, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebanyak 17 daripada 29 premis diperiksa dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Akta 326).

“Selain itu, kita juga berjaya merampas sejumlah 507 perhiasan khat dianggarkan bernilai RM44,330,” katanya.

Sementara itu, mengulas punca perhiasan khat tersebut dirampas, Naib Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran KDN, Shafie Shaari menjelaskan, terdapat kesilapan pada petikan ayat al-Quran dipamerkan.

“Kita menyarankan pengusaha perhiasan khat supaya membuat semakan dengan pihak KDN sebelum memasarkan sesuatu produk bagi mengelakkan perkara sebegini berulang,” katanya.

Aduan diterima

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 15 Jun 2013 0 Komen


Aduan diterima
Manickam (tiga, kiri) beramah mesra dengan penduduk sekitar Rompin yang hadir di pejabatnya, semalam.
ROMPIN - Permohonan penduduk sekitar Felda Palong Satu dan Dua yang menggesa klinik desa sedia ada dinaik taraf akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat.

Adun Jeram Padang, L Manickam berkata, namun sebelum itu, beliau akan mengambil kira beberapa faktor berkaitan.

Menurutnya, selain itu, beliau juga akan memandang serius pembinaan pondok polis dan Rela di dua kawasan Felda berkenaan.

"Memandangkan ia kawasan Felda, saya akan panjang permohonan penduduk kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kerana kita memerlukan lokasi sesuai untuk membina dua bangunan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Manickam berkata, beliau juga akan menyiasat dakwaan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Raya mengenai ambulans yang dipercayai enggan masuk ke perkampungan tersebut dengan alasan jalan sedia ada sukar untuk dilalui.

"Walau bagaimanapun untuk permulaan kita akan membuat jalan berturap ke perkampungan tersebut dan Kampung Orang Asli Panchor. Perkara ini juga akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

"Saya juga difahamkan ada penempatan masyarakat Orang Asli di sini masih menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih,” katanya.

Ketika ditanya pandangannya mengenai dua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) yang juga ahli MCA yang bertindak meletakkan jawatannya atas dasar mengikut kenyataan pimpinan tertinggi MCA pusat, Manickam enggan mengulas lanjut.

Katanya, beliau menunggu keputusan tertinggi MCA dan BN untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, bagi lanjutan JKKK sehingga Disember ini, Manickam mengharapkan kerjasama semua pihak agar tetap membantunya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan rata-rata individu yang datang ke pejabat Dun Jeram Padang di sini, adalah berkaitan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Manickam berkata, ada permohonan mereka ditolak kerana tidak menepati syarat sedia ada, namun bagi permohonan warga emas yang sememang penerima JKM yang mahu bantuan dinaikkan,  beliau tidak dapat memberikan jawapan tepat susulan jumlah bantuan tersebut sudah ditetapkan oleh JKM.

“Namun, saya akan panjangkan isu ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mesyuarat nanti," katanya.

Tawar harga ayam murah

Dikirim oleh Warieh Rabu, 13 Mac 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2013
Tawar harga ayam murah
Siti Nurul Haida (empat, kiri) menyerahkan cek bayaran semula 70 sen kepada Nor Bakiah.
PORT DICKSON - Pengguna mampu berjimat sehingga RM3 jika membeli ayam segar yang dijual di pasar tani seluruh negeri ini.

Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Siti Nurul Haida Ibrahim berkata, terdapat 25 pasar tani di seluruh negeri ini yang menyediakan ayam segar dengan kadar harga berpatutan.

“Sebagai contoh, di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson, seorang peniaga ayam menjual dengan harga RM6.60 sekilo berbanding harga pasaran biasa RM7.50, di sini pembeli boleh berjimat sehingga RM1.90.

“Harga ayam diletakkan sebagai subsidi 70 sen berikutan permintaan tinggi pelanggan terhadap komoditi berkenaan. Bagaimanapun, Fama tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa barangan yang dijual di pasar tani disubsidikan seperti ayam,” katanya kepada  Sinar Harian pada program Pasar Tani Bersama Pelanggan dan Penyerahan kanopi kepada Peserta JBD di Pasar Tani Batu 4 Port Dickson.

Hadir sama, Penyelaras Pasar Tani negeri, Mohd Sidin Omar; Pegawai Fama daerah, Roasli Abd Hamid dan Pengerusi Pasar Tani Batu 4, Roslan Abd Aziz.

Siti Nurul Haida berkata, peserta pasar tani yang terlibat adalah peserta Jimat Belanja Dapur (JBD).

“Selain meletakkan harga yang berpatutan selaras dengan program JBD, peniaga ini juga menurunkan lagi harga ayam tersebut sehingga RM0.70 seekor, dan Fama akan membayar semula harga tersebut kepada peniaga terbabit.

“Sepanjang bulan lalu, Fama telah membayar hampir RM15,000 kepada peniaga dan ini sekaligus memberikan purata keseluruhan penjimatan yang diperoleh pelanggan pasar tani. Jumlah itu sebenarnya masih belum merangkumi penjimatan yang diberikan melalui program JBD,” katanya.

Tambahnya, tawaran harga murah ini bermula sejak Februari lalu dan akan diteruskan sepanjang tahun ini.

Peniaga ayam, Nurasyikin Jasni, 21, berkata, bekalan ayamnya bertambah setiap kali jualan, antara 30 hingga 40 ekor selepas Fama memperkenalkan subsidi sebanyak 70 sen seekor itu.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan masih belum tahu berkaitan penawaran harga murah ini dan mereka gembira apabila dimaklumkan perkara tersebut.
“Setiap minggu pelanggan semakin bertambah dan saya yakin pada minggu akan datang jumlah jualan ayam akan meningkat,” katanya.

Manakala, manurut Nor Bakiah Mohd Shariff, 37, jika kebiasaannya dia menjual ayam sekitar 100 ekor, selepas program subsidi 70 sen seekor ini, dia terpaksa menambah sehingga 40 ekor ayam untuk sekali perniagaan.
Jelasnya, ini adalah jumlah untuk berniaga di Pasar tani Batu 4 belum lagi di pasar tani lain.
“Permintaan semakin meningkat berikutan penawaran harga yang rendah di sini berbanding pasar lain,” katanya.

Pejabat tribunal terima 520 aduan

Dikirim oleh Warieh Selasa, 19 Februari 2013 0 Komen





JEMPOL 18 Feb. - Pejabat Tribunal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri ini telah menerima 520 jenis aduan tentang barangan dan perkhidmatan bagi tahun lalu.
Ketua Seksyennya, Kasman Abdul Rahim berkata, daripada jumlah tersebut, pihaknya telah membuka kertas siasatan untuk 330 kes sahaja.
"Baki kes itu kita serahkan ke jabatan lain kerana bukan di bawah bidang kuasa KPDNKK. Daripada 330 kes, 170 kes merupakan aduan ketidakpuasan pengguna tentang perkhidmatan yang diterima.
"Antaranya ialah pengguna telah membayar sesi rawatan untuk menjadi kurus. Namun, selepas menjalani beberapa sesi yang ditawarkan, pengguna masih tidak mendapat berat yang ideal.
"Pengguna berhak untuk membawa kes ini kepada tribunal kerana mereka telah membayar perkhidmatan, namun gagal mendapat keputusan yang dijanjikan," jelasnya.

Harga minyak di Malaysia kelapan paling murah di dunia

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 15 Februari 2013 0 Komen


Harga minyak di Malaysia, iaitu pada RM7.29 segelen atau RM1.90 seliter yang kelapan paling murah di dunia, demikian mengikut kajian dibuat oleh agensi berita kewangan antarabangsa, Bloomberg.

Mengikut kajian bertajuk ‘Highest & Cheapest Gas Prices by Country’ itu, harga petrol di negara ini dalam dolar Amerika Syarikat (AS) adalah pada AS$2.36 segelen, juga paling murah di Asia Tenggara.
Kajian dibuat berdasarkan himpunan profil data daripada Associates for International Research Inc (AIRINC); portal pemantau tenaga Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF); dan Energy Information Administration dari Amerika Syarikat (AS).

Bloomberg dalam kajiannya membabitkan 60 negara itu menyenaraikan Venezuela sebagai negara dengan harga petrol paling murah di dunia, diikuti Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Nigeria, Malaysia, Mexico dan AS.

Turki disenaraikan sebagai negara dengan harga petrol paling mahal di dunia, diikuti Norway, Belanda, Itali, Portugal, Greece, Sweden, Belgium, Perancis dan Denmark.

Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia berada di tempat ke-11, Thailand (13), Filipina (17) dan Singapura ke-22).

Harga petrol di Singapura dijual pada AS$6.26 atau RM19.43 segelen; Indonesia (AS$3.66 atau RM11.31 segelen); Thailand (AS$4.42 atau RM13.65 segelen); dan Filipina (AS$4.87 atau RM15.05 segelen).
Purata 1.17 liter sehari

Bagi Malaysia, kajian Bloomberg itu menyatakan, seorang rakyat di negara ini perlu membelanjakan 7.5 peratus daripada purata gaji harian mereka, iaitu AS$32 (RM98.90) sehari untuk membeli segelen petrol.

Mengikut kajian itu, secara purata seorang penduduk negara ini menggunakan 0.31 gelen (1.17 liter) petrol sehari.

Sebagai perbandingan di rantau ini, seorang penduduk di Indonesia dengan purata pendapatan harian AS$11 (RM33.99) perlu membelanjakan 33 peratus, manakala di Thailand yang penduduknya memiliki purata gaji harian AS$17 (RM52.53) pula 25 peratus.

Rakyat Filipina dengan pendapatan harian AS$7.11 (RM21.96) perlu membelanjakan purata 69 peratus, sementara penduduk Singapura yang memperoleh purata pendapatan harian AS$139 (RM429.5) sehari sebanyak 4.5 peratus.

Berbanding sembilan negara dengan harga petrol paling murah pula, yang mana kecuali Mexico adalah dalam kalangan 20 negara yang memiliki rizab minyak terbesar, penduduk Venezuela dengan purata pendapatan harian AS$31 (RM95.79) hanya perlu membelanjakan 0.2 peratus, manakala penduduk Arab Saudi dengan purata pendapatan harian AS$64 (RM197.76), sebanyak 0.7 peratus.

Penduduk Kuwait pula dengan purata pendapatan harian AS$123 (RM380.07) perlu membelanjakan 0.7 peratus; sementara penduduk Mesir dengan purata pendapatan harian AS$9.04 (RM27.93) pula sebanyak 13 peratus.

Di UAE, penduduknya dengan purata pendapatan harian AS$180 (RM556.20) perlu membelanjakan satu peratus dan penduduk di Iran dengan purata pendapatan harian AS$18 (RM55.62), sebanyak 12 peratus.

Penduduk di Nigeria yang memiliki purata pendapatan harian AS$4.74 (RM14.64) perlu membelanjakan 49 peratus, manakala penduduk Mexico dengan purata pendapatan harian AS$29 (RM89.61) sebanyak 11 peratus. Penduduk di AS dengan purata pendapatan harian AS$140 (RM432.60) pula perlu membelanjakan sebanyak 2.4 peratus.

Berbanding Turki, rakyatnya yang berpendapatan purata AS$30 (RM92.70) sehari pula perlu membelanjakan purata 33 peratus daripada gaji mereka untuk membeli segelen bahan api itu.

Kerja sehari setengah

Sementara itu, rakyat Pakistan dengan purata pendapatan harian sekitar AS$3.55 (RM10.96) sehari, iaitu paras paling rendah dalam kalangan 60 negara dikaji, terpaksa bekerja kira-kira sehari setengah hanya untuk membeli segelen petrol.

Negara yang dipilih dalam kajian Bloomberg itu adalah negara yang memiliki purata pendapatan individu minimum AS$3.50 (RM10.81) sehari, manakala harga petrol yang dinyatakan pula berasaskan pada harga segelen petrol biasa tanpa plumbum dalam nilai dolar AS.

Harga yang diambil kira pula ialah yang paling murah bagi setiap negara berikutan gred petrol berbeza mengikut negara.

Maklumat data negara yang terbabit dalam kajian itu diperoleh agensi berita itu daripada CIA World Factbook dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

93 murid dapat cermin mata

Dikirim oleh Warieh Rabu, 15 Ogos 2012 0 Komen


JEMPOL 10 Ogos - Seramai 93 murid yang menghadapi masalah penglihatan diberikan cermin mata percuma melalui program pemberian cermin mata dan bulan kemerdekaan di Dewan Majlis Daerah Jempol, di sini semalam.
Penasihat MIC Bahagian Jempol, Datuk Dr. L. Krishnan berkata, cermin mata yang disumbangkan pihak parti dan Kelab Lions Bahau itu merupakan aktiviti tahun dan dilakukan sejak 11 tahun lalu bagi keselesaan pelajar.
''Kita telah mengadakan pemeriksaan mata ke atas murid berumur 10 tahun minggu lalu kerana mereka bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dua tahun lagi.
''Menjadi harapan kita, selepas itu mereka dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran serta melakukan persediaan awal menghadapi peperiksaan tersebut," katanya.
Sementara itu, pelajar, R. Navaneeta, 10 dari Sekolah Kebangsaan Air Hitam Jempol dekat sini mengucapkan terima kasih di atas pemberian cermin mata tersebut.
''Saya memang menghadapi masalah rabun jauh dan cermin mata baru ini akan memudahkan saya melihat tulisan di papan hitam," katanya.
Bagi Chew Li Ying, 10 pula, dia sudah memiliki cermin mata sebelum ini tetapi sudah terlalu lama.
''Gembira sangat bila dapat cermin mata baru, tidak perlu keluarkan wang dan ini adalah hadiah dan dorongan kepada saya untuk belajar lebih rajin," jelasnya.
Nurul Ain Mohamad, 10 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung San memberitahu, dia bukan sahaja menerima cermin mata baru tetapi dibenarkan memilih bingkai sendiri.
''Terima kasih kepada mereka yang prihatin. Selepas ini, saya dapat melihat dengan baik dan masalah rabun jauh akan selesai," ujarnya.

Waspada hamper tamat tempoh

Dikirim oleh Warieh Rabu, 7 September 2011 0 Komen


SEREMBAN 6 Sept. - Orang ramai dinasihat supaya tidak tertipu dengan tindakan licik segelintir pasar raya dan kedai runcit di negeri ini yang mengambil kesempatan sempena musim perayaan untuk menjual hamper mengandungi barangan makanan yang sudah tamat tempoh.

Ingatan itu diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi yang meminta orang ramai tidak ghairah membeli hamper tanpa memeriksa terlebih dahulu.

Katanya, taktik berkenaan dilihat sebagai cara peniaga untuk menghabiskan stok-stok lama jualan barangan mereka kerana pembeli tidak dapat melihat satu persatu setiap barang yang telah dibalut menjadi set hamper musim perayaan.

''Kita tidak nafikan perkara itu mungkin berlaku di beberapa buah pasar raya dan kedai runcit di negeri ini kerana itulah cara mereka untuk menghabiskan stok lama melalui bungkusan hamper yang menarik buat pengguna.

''Apatah lagi apabila tibanya musim Aidilfitri, orang ramai masing-masing mengambil cara mudah dengan memberikan hamper ketika mengunjungi rumah terbuka," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata Hasim, orang ramai dinasihatkan supaya memeriksa terlebih dahulu isi kandungan hamper berkenaan bagi mengelakkan mereka terus ditipu oleh peniaga yang mementingkan keuntungan semata-mata.

''Kita juga menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri sekiranya berlaku sebarang penipuan di kalangan peniaga," katanya.



Mi segera yang bersawang dan berulat yang dibeli oleh Syed Mazlan Syed Zubir di sebuah pasar raya di Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 6 Sept. - Seorang kakitangan kerajaan terkejut selepas salah satu bungkusan mi segera berjenama terkemuka yang dibelinya di sebuah pasar raya di sini didakwa bersawang dan berulat.

Syed Mazlan Syed Zubir, 42, berkata, kejadian berkenaan disedari oleh isterinya ketika hendak menyediakan hidangan itu kepada anak perempuannya yang berusia enam tahun baru-baru ini.

"Setelah memeriksa dengan teliti, saya dapati ada benda asing menyerupai sawang labah-labah dan ulat berada di permukaan mi segera itu," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan tarikh luput yang tertera pada pembungkus mi segera itu adalah pada 11 September ini.

"Agak trauma juga saya selepas ini untuk menikmati mi segera tersebut kerana bimbang mengandungi ulat," dakwanya.

Syed Mazlan berkata, syarikat pengeluar mi segera tersebut perlu menjalankan pemeriksaan secara lebih teliti dan kerap ke atas produk makanan mereka yang dijual bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Bekalan raya dijamin cukup

Dikirim oleh Warieh Isnin, 22 Ogos 2011 0 Komen

SEREMBAN 21 Ogos – Bekalan bahan makanan keperluan, terutama makanan basah di negeri ini menjelang Aidilfitri dijangka mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, kerajaan negeri peka dengan keperluan orang ramai, terutamanya masyarakat Islam sempena perayaan itu.

Tambahnya, ini termasuklah bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam serta daging bagi orang ramai di negeri ini.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dengan bahan keperluan makanan bagi menyambut Aidilfitri kali ini kerana kita telah pun mengambil inisiatif untuk memastikan barang keperluan mencukupi.

“Tambahan pula beberapa projek yang dijalankan seperti Ladang Rakyat, kini telah mengeluarkan hasil untuk keperluan setempat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yunus juga menjelaskan, kesemua barangan keperluan akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ia mencukupi untuk orang ramai.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya barangan makanan tidak mencukupi, pihaknya akan mengimport bekalan dari negeri lain bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Bahkan, kata beliau, kebanyakan barangan ketika ini dijual dengan harga yang berpatutan, termasuk di beberapa kawasan seperti di Jelebu, Seremban dan beberapa kawasan lain di negeri ini.

Pembekal pakaian tiruan ditahan

Dikirim oleh Warieh Khamis, 18 Ogos 2011 0 Komen



SEREMBAN – Seorang lelaki ditahan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri kerana disyaki membekal pakaian berjenama tiruan di sekitar Nilai 3 dan pasar malam di negeri ini, 13 Ogos lalu.

Pemangku Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Nor Musa berkata, lelaki terbabit ditahan dalam serbuan oleh enam pegawai penguat kuasa di sekitar Nilai dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang.

“Sebanyak 350 pakaian memaparkan dua jenama terkemuka disyaki tiruan ditemui dalam sebuah van yang dilihat dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah premis perniagaan di Nilai 3.

“Semua pakaian dianggarkan bernilai kira-kira RM5,900 dan van jenis Toyota itu disita,” katanya ketika mengesahkan serbuan itu, di sini, semalam.

Menurutnya, semua pakaian berjenama tiruan itu dipercayai akan dijual kepada orang ramai pada Aidilfitri ini.

Kata Mohd Nor, kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana disyaki menggunakan perihal dagangan palsu.

“Sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Manakala, bagi kesalahan berulang, pesalah boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Krisis gula akan berakhir - MB

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 11 Jun 2010 0 Komen

SEREMBAN 10 Jun - Kerajaan negeri yakin bekalan gula tambahan sebanyak lima peratus oleh kerajaan akan menamatkan krisis gula yang melanda negeri ini sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tambahan bekalan gula tersebut yang mula diedarkan kepada pemborong, peruncit dan pasar raya mulai hari ini diharapkan dapat melegakan penduduk.

"Bekalan gula tambahan ini di samping kuota bekalan bulanan sebanyak 3,200 tan metrik adalah untuk menangani krisis gula yang berlaku disebabkan oleh pembelian panik di kalangan penduduk negeri ini bukan kerana gula tidak cukup," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Katanya, krisis gula yang melanda negeri ini sukar ditangani akibat sikap penduduk yang bimbang dengan masalah kekurangan gula sehingga menyebabkan pembelian panik.

"Perkara ini sukar diatasi jika pengguna terus mengamalkan pembelian panik yang juga menjadi punca utama krisis gula di negeri ini.

"Kalau dulu mereka membeli hanya sekilo dua tetapi kini tiga empat kilogram, jadi bukan mustahil kalau keadaan ini berlaku," katanya.

Beliau pada masa yang sama turut menyeru orang ramai agar jangan mempercayai khabar angin tentang kekurangan gula.

"Jangan dengar khabar angin bahawa gula tidak ada kerana kerajaan memberikan jaminan yang akan menambah bekalan jika berlaku kekurangan dan kilang-kilang juga telah menambah pengeluaran ke seluruh negeri," katanya.

Tak sayang nyawa

Dikirim oleh Warieh Isnin, 7 Jun 2010 0 Komen

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

2010/06/07

Ibu bapa, sekolah perlu bendung pelajar tak pakai topi keledar

SENAWANG: Pemandangan pelajar sebuah sekolah di sini menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semakin berleluasa dan menjadi perkara biasa walaupun mereka berisiko mengalami kecederaan parah, terutama di bahagian kepala jika terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Tinjauan Berita Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang di sini sepanjang minggu lalu mendapati kebanyakan pelajar terbabit menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar ketika pergi dan pulang dari sekolah setiap hari.
Sikap generasi muda ini juga mungkin hasil ‘didikan’ ibu bapa sendiri yang turut mengabaikan keselamatan apabila menghantar dan mengambil anak di sekolah dengan motosikal tanpa bertopi keledar.

Difahamkan antara punca keadaan ini berlaku adalah kerana mereka tinggal di kawasan perumahan berdekatan menyebabkan topi keledar dianggap sebagai menyusahkan sedangkan jarak antara rumah dan sekolah tidak begitu jauh. Ibu bapa juga tidak begitu mengambil berat terhadap pemakaian topi keledar, malah dianggap sebagai perkara kecil.

Bagaimanapun, majoriti penduduk menyifatkan keadaan ini sebagai membahayakan pelajar dan perlu ditangani oleh pihak berkuasa.

Jamilah Osman, 55, berkata bilangan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah semakin ramai, tetapi kebanyakan mereka tidak mementingkan keselamatan diri.

Katanya, keadaan itu juga mungkin berlaku kerana faktor usia yang muda dan mungkin tidak mempunyai lesen memandu menyebabkan undang-undang jalan raya dipandang mudah.
“Saya juga menyalahkan sikap ambil mudah ibu bapa yang sepatutnya memastikan anak menggunakan topi keledar. Malang tidak berbau, kemalangan boleh berlaku di mana-mana walaupun jarak antara rumah dan sekolah tidak begitu jauh,” katanya.

Beliau mencadangkan pihak sekolah mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan terhadap pelajar yang tidak menggunakan topi keledar serta memastikan setiap pelajar terbabit mempunyai lesen memandu yang sah dan dilindungi insurans.

V Saravathi, 43, turut kesal dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak menggunakan topi keledar kerana menunjukkan teladan yang tidak baik kepada generasi muda, terutama anak mereka sendiri.

“Saya sering melihat ibu bapa membiarkan anak menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan mungkin juga tanpa lesen memandu.

“Malah, mereka sendiri tidak memakai topi keledar. Ini yang menyebabkan kebanyakan pelajar terbabit bersikap acuh tidak acuh untuk menggunakan topi keledar dan tidak peduli teguran pihak lain, termasuk guru kerana ibu bapa sendiri tidak marah atau menegur mereka,” katanya.

Katanya, ibu bapa terbabit tidak sepatutnya membiarkan perkara itu kerana pemakaian topi keledar bukan sekadar untuk mematuhi undang-undang tetapi menjaga keselamatan pengguna.

Pelajar, Nur Athirah Ibrahim, 16, berkata ramai rakannya menunggang motosikal ke sekolah tanpa memakai topi keledar kerana rumah berdekatan sekolah.

“Sekolah ini terletak di kawasan perumahan menyebabkan mereka malas memakai topi keledar. Saya tidak berani menegur kerana itu adalah hak masing-masing, tetapi ibu bapa dan sekolah perlu prihatin terhadap masalah ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dengan melakukan pemeriksaan mengejut serta menyaman pelajar terbabit serta mengadakan kempen penerangan di sekolah dari semasa ke semasa

Usaha kurangkan 50% kematian

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 4 Jun 2010 0 Komen


Mohd. Rusdi Ismail (tengah) menasihati pelajar sekolah yang tidak mematuhi peraturan jalan raya pada Program Advokasi Khas dan Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Dato’ Sedia Raja, Rembau, kelmarin.


REMBAU 3 Jun – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri ini menyasarkan pengurangan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus pada tahun ini berbanding 2009.

Pengarahnya, Mohd. Rusdi Ismail berkata, langkah itu selari dengan hasrat JKJR untuk mengurangkan jumlah kematian terutamanya di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.

Katanya, berdasarkan statistik, 70 peratus daripada 334 kes kematian yang dicatatkan tahun lalu adalah berpunca daripada penunggang dan pembonceng motosikal.

‘‘Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan yang terbabit itu berumur dalam lingkungan 16 hingga 17 tahun.

‘‘Berpandukan kajian, kumpulan umur itu merupakan pelajar sekolah menengah dan faktor utama mereka terlibat dengan kemalangan adalah disebabkan kurang kesedaran tentang etika keselamatan jalan raya selain mengingkari undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

Mohd. Rusdi berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan Program Advokasi Khas dan Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di Sekolah Menengah Dato’ Sedia Raja di sini, semalam.

Sehubungan itu, jelas Rusdi, pihaknya kini menjadikan pelajar sekolah menengah sebagai kumpulan sasar utama dalam menjalankan kempen kesedaran keselamatan jalan raya bagi tahun ini.

‘‘Tahap kesedaran kumpulan ini masih rendah terutamanya di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penunggang dan pembonceng motosikal di kawasan luar bandar dilihat lebih bebas menunggang kenderaan itu tanpa memakai topi keledar dan lebih mendukacitakan tidak mempunyai lesen yang sah.

Justeru, Rusdi menyeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain pihak sekolah memberikan kerjasama dengan memantau aspek keselamatan anak dan pelajar mereka.

‘‘Ini penting jika ibu bapa sendiri tidak boleh menasihati anak-anak mereka siapa lagi yang mampu berbuat demikian,” tegasnya.

Pada program tersebut, kira-kira 30 penunggang motosikal ditahan untuk pemeriksaan selain beberapa pembonceng diarahkan menyerahkan topi keledar mereka yang tidak diluluskan pihak berkuasa untuk digantikan dengan topi keledar baru.

Di samping itu, beberapa penunggang motosikal turut dikenakan tindakan saman kerana melanggar peraturan jalan raya.

Bekalan gula di pasaran ditambah

Dikirim oleh Warieh Khamis, 27 Mei 2010 0 Komen

2010/05/27

PORT DICKSON: Bekalan gula di pasaran negeri ini akan ditambah sebanyak lima peratus atau 160 tan setiap bulan mulai bulan depan sebagai persediaan awal menghadapi permintaan yang dijangka meningkat sepanjang cuti sekolah dan musim perayaan.

Penggunaan gula di negeri ini setiap bulan ketika ini adalah kira-kira 3,200 tan dan pertambahan bekalan itu menjadikan penggunaan gula meningkat kepada 3,360 tan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, berkata pertambahan itu bukan kerana negeri ini menghadapi masalah kekurangan bekalan gula sebaliknya langkah proaktif menangani masalah kekurangan bekalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, berkata pertambahan itu bukan kerana negeri ini menghadapi masalah kekurangan bekalan gula sebaliknya langkah proaktif menangani masalah kekurangan bekalan.
“Kita tidak mahu permintaan yang dijangka meningkat itu akan menyebabkan pengilang dan pengusaha PKS serta orang ramai menghadapi masalah,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Program Rakan Pengguna, di sini, semalam.

Hasim berkata, jika bekalan gula tidak cukup, orang ramai marah dan menyalahkan kerajaan.

Beliau berkata, bekalan gula di negeri ini ketika ini mencukupi dan hanya beberapa kawasan didapati menghadapi masalah itu, tetapi tidak membimbangkan.

SEREMBAN 26 Mei - Masalah kekurangan gula di beberapa daerah di negeri ini berlaku kerana orang ramai terutamanya peniaga restoran dan makanan membeli secara berlebihan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, wujud suasana panik selepas ada khabar angin berlakunya kekurangan gula, seperti yang dialami beberapa negeri lain.

''Jadi saya nasihatkan mereka supaya jangan panik dan membeli berlebihan tetapi belilah mengikut keperluan saja.

''Apatah lagi bekalan gula mencukupi termasuk tambahan bekalan sebanyak 100 tan metrik yang akan dibawa masuk untuk menampung kegunaan penduduk," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohamad mahu pengawasan dilakukan di kawasan sempadan negeri ini bagi mengelakkan krisis gula menjadi parah.

''Pemantauan juga akan dipergiatkan di sempadan-sempadan negeri di mana kegiatan penyeludupan gula dikatakan aktif," katanya.

Tambah Mohamad, bekalan gula tersebut lebih mencukupi namun akan ditambah mengikut keperluan semasa pengguna.

Beliau menambah, para peruncit dan pemborong gula di negeri ini juga dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan termasuk menyorok gula.

'Kalau mahu gula beli lebih RM100'



2010/05/27

SEREMBAN: Kegiatan licik sebuah syarikat pemborong di Jalan Dato Siamang Gagap, di sini, yang mengenakan syarat ‘gila’ kepada pelanggan terutama peniaga dengan mewajibkan pembelian barang melebihi RM100 jika mahu membeli gula terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.

Difahamkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan selepas syarikat berkenaan mendapati permintaan pasaran gula pasir daripada pelanggan di negeri ini tinggi berbanding biasa. Kesempatan berkenaan diambil syarikat terbabit dengan mengenakan syarat tidak munasabah semata-mata mengaut keuntungan segera.


Bagaimanapun, perbuatan itu tidak bertahan lama apabila diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan diketuai Timbalan Pengarahnya, Mohd Nor Musa, kira-kira jam 11.30 pagi.


Mohd Nor berkata, serbuan dilakukan hasil aduan awam berhubung perkara itu dan pihaknya melakukan tindakan lanjut dengan menghantar beberapa pegawai untuk melakukan penyamaran.


Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook