SEREMBAN 21 Ogos – Bekalan bahan makanan keperluan, terutama makanan basah di negeri ini menjelang Aidilfitri dijangka mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, kerajaan negeri peka dengan keperluan orang ramai, terutamanya masyarakat Islam sempena perayaan itu.
Tambahnya, ini termasuklah bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam serta daging bagi orang ramai di negeri ini.
“Orang ramai tidak perlu bimbang dengan bahan keperluan makanan bagi menyambut Aidilfitri kali ini kerana kita telah pun mengambil inisiatif untuk memastikan barang keperluan mencukupi.
“Tambahan pula beberapa projek yang dijalankan seperti Ladang Rakyat, kini telah mengeluarkan hasil untuk keperluan setempat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Yunus juga menjelaskan, kesemua barangan keperluan akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ia mencukupi untuk orang ramai.
Bagaimanapun kata beliau, sekiranya barangan makanan tidak mencukupi, pihaknya akan mengimport bekalan dari negeri lain bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Bahkan, kata beliau, kebanyakan barangan ketika ini dijual dengan harga yang berpatutan, termasuk di beberapa kawasan seperti di Jelebu, Seremban dan beberapa kawasan lain di negeri ini.
0 Komen