Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan

Asal Usul Jempol

Dikirim oleh Warieh Isnin, 6 Mei 2024 0 Komen

Jempol ketika zaman masyurnya merupakan pertemuan Sungai Muar, Sungai Jempol dan Sungai Serting yang juga dikenali sebagai jalan penarikan

Jempol merupakan salah sebuah daerah dalam Negeri Sembilan Darul Khusus, yang juga merupakan daerah terbesar dari jumlah tujuh daerah kesemuanya (Jempol, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan Port Dickson). Terdapat beberapa cerita atau mitos yang tersebar berkenaan penamaan ‘Jempol’ sebagai nama daerah ini. Antaranya sebuah kisah yang bermula daripada pemilik nama seorang gadis desa yang mati dibunuh akibat fitnah dan hasad dengki manusia.


    " Nama Jempol kononnya diambil dari peristiwa tersebut yang mana gadis yang dibunuh itulah yang bernama Sri Jempol. Selain itu, terdapat juga cerita yang mengaitkan nama Jempol ini dengan nama sebuah sungai di sini. Jempol seperti juga daerah-daerah di Negeri Sembilan yang lain, amat berpegang teguh kepada adat. Adat yang paling popular di sini dan daerah sekitarnya adalah Adat Perpatih. Sehingga kini, adat tersebut masih diamalkan walaupun golongan muda masa kini semakin meminggirkan adat-adat tersebut."


Semasa peneroka awal orang asli yang membuat penempatan di kawasan antara dua siku sungai yang hampir-hampir bertemu antara keduanya iaitu Sungai Serting yang mengalir ke Sungai Pahang dan satu sungai yang pada masa itu cuma dikenali dengan Sungai Leban Condong Tupai Batuk yang mengalir ke Sungai Muar. Penempatan yang ada di kuala sungai itu dikenali dengan nama Penarikan atau dikenali juga sebagai Jambu Lapan.

Luak Jempol sekarang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kuala Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Bahau (Serting) dan Ulu Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Pilah.


Asal nama Jempol itu kononnya diambil dari nama seorang anak tempatan yang bernama JEMPO. Individu berkenaan dikatakan telah mati terbunuh atau dibunuh sama ada akibat dari kejahatannya sendiri atau dihukum  akibat dari fitnah yang memalukan diri dan keluarga. Dan semua cerita-cerita itu berakhir dengan tragedi kematian yang mengerikan kepada individu yang bernama Jempo itu.


Disamping itu terdapat pula perselisihan maklumat sama ada orang yang bernama Jempo itu seorang lelaki atau seorang perempuan.


Versi yang mengisahkan si Jempo itu nama seorang lelaki diringkaskan seperti berikut: -

"Seorang pemuda yang gagah perkasa bernama Jempo itu adalah anak kepada Tok Batin bernama Leban Condong seorang ketua orang asli tempatan dengan isterinya bernama Danau Rasau seorang wanita yang datang dari tanah Minang (sebenarnya Leban Condong dan Danau Rasau itu adalah nama tempat).

Anak Tok Batin si Jempo itu selain dari gagah perkasa beliau juga mempunyai perangai jahat dan ditakuti penduduk yang tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghalang kelakuan buruknya itu.

Pada satu ketika Jempo telah jatuh hati kepada seorang anak gadis kampungnya bernama Melor. Kerana tidak mendapat layanan dari pihak keluarga gadis itu, pada suatu hari dalam perjalanan pulang dari ‘huma’ Melor telah ditahan oleh Jempo dan akhirnya Melor diperkosa yang menyebabkan gadis itu mengandung.

Si Jempo terus berleluasa dengan perangai jahat bersikap ‘membujur lalu melintang patah’ terhadap mana-mana juga perempuan yang dihajatinya menyebabkan beliau mempunyai musuh sekeliling pinggang. Akhirnya Jempo mati terbunuh semasa terjun mandi dari atas sebatang pokok leban yang condong ke dalam sungai di tempat permandian yang telah sedia dipasang ranjau-ranjau tajam (buluh yang telah diruncingkan) oleh musuh-musuhnya yang telah bermuafakat untuk membunuhnya secara begitu kerana membalas dendam".


Versi-versi yang mengisahkan Jempo itu nama dari seorang perempuan diringkaskan cerita-ceritanya seperti di bawah ini: -

"Jempo adalah seorang anak gadis kepada seorang Tok Batin. Jempo merupakan seorang gadis cantik dan telah bertunang dengan seorang perantau bernama ‘Tengkek’ (Tengkek nama sebuah kampung di Ulu Jempol).

Pada satu ketika si Tengkek dengan tunangnya si Jempo itu telah ‘berselingkuh’. Perkara itu berlaku berulangkali sehingga diketahui oleh orang kampung yang telah bertindak mengadukan perkara itu kepada ayahnya Tok Batin. Setelah disiasat perkara itu didapati benar berlaku yang menyebabkan Tok Batin merasa sangat malu. Tok Batin mengambil keputusan anaknya si Jempo itu mesti dihukum bunuh dengan cara dipaksa terjun ke dalam sungai yang telah sedia dipasang ranjau. Jempo menemui ajalnya disitu. Dengan kematian Jempo yang sangat tragis begitu maka sungai tempat berlakunya pembunuhan tersebut dipanggil Sungai Jempo mengambil sempena namanya yang akhirnya dinamakan sebagai Sungai Jempol"

masih kelihatan alur sungai jalan penarikan ini di Kg Jambu Lapan


Dalam buku Luak Tanah Mengandung susunan Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar semasa beliau menjadi setiausaha kepada Dato’ Penghulu Luak Jempol YM Dato’ Haji Mohd Hashim bin Abdullah dalam perkara ini beliau menulis: -

"Luak Jempol dikatakan mengambil sempena nama sungai yang mengalir di daerah ini iaitu Sungai Jempol. Nama sungai ini pula diambil daripada peristiwa pembunuhan ke atas seorang gadis bernama Jempo yang dijatuhkan hukum sula di hujung pasir sungai. Mayat gadis itu kemudiannya dibuang ke dalam sungai.

Daripada cerita lisan orang tua-tua, peristiwa ini berlaku menimpa keluarga To’ Pilih, apabila anak gadisnya bernama Jempo didapati bersalah melakukan perbuatan sumbang. Jempo seorang gadis cantik di Kampung Terentang Ulu Jempol di kawasan Leban Condong. Ramai pemuda terpikat dengan kecantikannya. Masing-masing berusaha untuk memenangi hati gadis berkenaan.

Setelah Jempo didapati melakukan perbuatan sumbang, dia dijatuhkan hukuman bunuh dengan disula (di tepi sungai). Darahnya mengalir dari hulu hingga ke kuala sungai. Dengan kejadian itulah nama sungai berkenaan ditukar kepada Jempo dan akhirnya menjadi Jempol. Sebelum itu nama tempat berkenaan dikenali sebagai ‘Penarikan' ".


Fakta tulisan ini agak mengelirukan kerana Kampung Terentang atau Leban Condong itu berada di Ulu Jempol manakala Penarikan itu berada di Kuala Jempol. Jarak keduanya lebih kurang 15 kilometer. Penarikan dan Kampung Terentang selain dari dipisahkan oleh jarak yang begitu jauh dan dipisahkan pula oleh sebaris bukit yang bernama Bukit Sempit. Dengan itu tidak mungkin Kampung Terentang juga bernama ‘Penarikan’ kecuali kalau pada masa itu Sungai Jempol bernama Sungai Penarikan.


Batin Pak Sudum Durai yang meneroka perkampungan di Danau Rasau Ulu Jempol itu pun tidak tahu nama sungai itu Sungai Jempol. Ada satu ungkapan dalam terombo Dato’ Batin Jempol menyebut...

 "semasa Jempol belum bernama Jempol, Jempol bernama Loban Condong".


Kisah peristiwa seorang gadis bernama Jempo anak To’ Batin yang telah dihukum sula kerana tuduhan berlaku sumbang ini juga ada ditulis oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman bin Ahmad dalam risalah ‘Sejarah Asal Usul Jempol, Luak dan Suku’ yang dikatakanya salah satu cerita asal nama Jempol. Begitu juga cerita yang hampir  serupa terdapat di dalam Terombo Dato’ Batin Jempol.


Tetapi kalaulah cerita itu benar, yang nyatanya nama To’ Batin Pilih yang menjatuhkan hukuman sula kepada anaknya seorang perawan yang bernama Jempo itu bukanlah salah seorang Batin yang berasal dari Dato’-Dato’ Batin Biduanda Salasilah. Kerana di dalam salasilah Dato’ Batin Jempol itu tidak terdapat nama To’ Batin Pilih dan dalam sejarah waris ini tidak pernah ada seorang perawan atau pun janda yang pernah dihukum sula kerana kesalahan seperti itu. Dan lagi, kejadian itu dikatakan berlaku di Loban Chondong (Kampung Terentang sekarang ini). Bukan berlaku di Danau Rasau.




Dato’ Paduka Tuan Abdul Rahman menulis lagi dalam risalahnya itu iaitu salah satu cerita yang menjadi asal nama Jempol itu dikisahkan begini: -


monumen yang didirikan bagi menceritakan jalan penarikan ini

"Menurut sumber lisan orang tua-tua, mengenai asal usul nama Jempol itu dikaitkan dengan kedatangan sembilan (9) orang bersaudara serta pengikutnya dari Pasri Sumatera. Mereka mencari perlindungan dan penempatan baru, kerana tempat tinggal mereka (di Sumatera) akan mengalami bencana gunung berapi.  

Rombongan itu telah berhenti di satu kuala sungai (Penarikan) untuk menambah barang keperluan. Salah seorang daripada mereka iaitu Datuk Sempadang telah mengarahkan pengikutnya pergi mencari dan meninjau di persekitaran kuala sungai itu, kira-kira setengah batu jauhnya.

Diberitakan bahawa kawasan tersebut menarik dan cantik. Oleh demikian Datuk Sempadang telah menamakan kuala sungai tersebut sebagai Jempol (cantik) dari kuala hingga ke hulunya. 

Bedasarkan maklumat yang menyenangkan itu Datuk Sempadang mengambil keputusan untuk menetap di situ bersama-sama dengan pengikutnya. Kawasan tersebut dijadikan penempatan dan kawasan pertanian yang mana ia telah menarik ramai perantau-perantau yang turut serta pula menetap di situ".


Berdasarkan cerita ini nampaknya menggambarkan semasa sembilan orang perantau yang diketuai oleh Datuk Sempadang sampai ke Penarikan yang akhirnya membuat penempatan baru dan menamakan tempat itu Jempol, kumpulan beliaulah orang pertama sampai di situ. Sebelumnya tidak ada sesiapa yang menduduki kawasan itu. Berbeza dengan apa yang digambarkan oleh Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar dalam tulisannya menggambarkan tempat yang bernama Penarikan itu telah pun sedia diteroka sejak sebelum Portugis mengalahkan Sultan Mahmud di Pagoh dan Bentayan. Bahkan Penarikan telah pun didiami orang sejak Kerajaan Melayu masih berkuasa di Melaka. Hang Tuah pernah melalui jalan disitu semasa pergi  ‘mencuri’ Tun Teja di Pahang, apalagi dijumpai pula sebuah kubur bernama Tun Sin bertarikh kurun ke-13 (1264) di situ yang dapat membuktikan benarnya tempat itu sudah lama didiami orang.


Tulisan yang dibuat oleh Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar dalam buku 'Luak Tanah Mengandung’ dicatatkan di sini antara lain:


Cikgu Buyong Adil dalam bukunya ‘Sejarah Pahang’ (DBP,1972) menuliskan Penarikan sebagai jalan penting dalam hubungan Melaka dan Pahang sejak beberapa abad lalu. Beliau (Cikgu Buyong Adil) menceritakan -

"…Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat pada tempat yang bernama Penarekan, lalu berjalan darat kira-kira sejauh 300 ela, masuk pula ke Sungai Jempol; menghilir (nya ) Sungai Jempol masuk ke Sungai Muar lalu sampai ke Muar (di Johor). Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah mereka dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar)…"


Sekiranya nama Jempol menggantikan Penarikan, bermakna pertukaran nama itu berlaku selepas Tun Sri Lanang Mengarang buku ‘Sejarah Melayu’ sekitar abad ke-17. Tun Sri Lanang dalam Sejarah Melayu masih menggunakan nama Penarikan apabila menulis mengenai wilayah Jempol.


Apakah gadis Jempo yang dihukum sula itu berlaku sekitar abad ke-18. Tun Seri Lanang menulis dalam Sejarah Melayu begini: -

"…Maka Sang Setia pun mati; maka Pagoh pun alah. Maka Sultan Ahmad pun undur ke Ulu Muar, lalu ke Penarikan. Maka Bendahara pun mati, ditanamkan orang di Lubuk Batu; itulah disebut orang Dato’ di Lubuk Batu…"


Sumber Sejarah Melayu itu menunjukkan Penarikan sudah didiami orang sejak pemerintahan kerajaan Melayu Melaka lagi. Kedudukan kampung Penarikan ini amat sesuai dengan bercucuk tanam. Penduduknya lebih ramai tinggal di tepi-tepi sungai hingga ke Jempol. Di situ terletak pertemuan beberapa kuala sungai yang mengalir ke Sungai Muar.


Sesetengah berpendapat nama ‘Penarikan’ itu diambil bersempena dengan ramai orang tertarik untuk berhijrah ke perkampungan di situ. Tetapi ada sesetengah pihak mendakwa pertemuan beberapa kuala sungai itu seolah-olah bertarik-tarikan. Disamping terdapat juga sebuah bukit berhampiran kawasan ini dikenali sebagai Bukit Penarik.


Perjanjian Persetiaan Persekutuan Negeri Sembilan 1895

Dikirim oleh Warieh Rabu, 11 Julai 2018 0 Komen

Negeri Sembilan telah terbentuk melalui satu perjanjian yang telah ditandatangani diantara Yamtuan Seri Menanti Almarhum Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah dengan Empat Undang (Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol) dan Tengku Besar Tampin untuk menubuhkan sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan pada 08 Ogos 1895. Perjanjian ini adalah lanjutan daripada perjanjian yang ditandatangani pada 13 Julai 1889 mengenainya.
Almarhum Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah

Perjanjian Persekutuan Negeri Sembilan 1895 telah membawa kepada penubuhan sebuah Majlis Persekutuan Negeri Sembilan. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 19 Oktober 1895. Ahli-ahlinya selain Residen British terdiri daripada Yamtuan Mohammad, Dato Bandar Ahmad (Sungai Ujong), Dato Syed Ali (Jelebu), Dato Serun (Rembau), Dato Wan Omar (Johol), Tengku Muda Chik Seri Menanti (pakcik Yamtuan Mohamad), Tengku Dewa (Tampin), Dato Mohamad Bastan (Linggi) dan Kapitan Chin Who serta Kapitan Lee Sam.

Buku The Statesman's Year-Book diedit oleh M. Epstein ada menyebut mengenai perjanjian ini.


Melalui perjanjian tersebut mereka bersetuju meletakkan diri mereka di bawah perlindungan Kerajaan British. Sebagai langkah awal Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles Bullen Hugh Mitchell melantik Martin Lister sebagai Residen Negeri Sembilan yang pertama.
 Martin Lister sebagai Residen Negeri Sembilan yang pertama

Di antara beberapa peraturan yang diluluskan dalam mesyuarat pertama ini adalah mengenai kod buruh, kod perlombingan, peraturan pencen, peraturan mengenai jalan keretapi, peraturan bagi mencegah jenayah dan peraturan mengenai sewa rumah. Para pembesar juga bersetuju untuk menggunakan sebuah bendera bagi persekutuan Negeri Sembilan.
Tujuan penubuhan Majlis tersebut adalah untuk membincangkan dasar-dasar yang hendak dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Walaupun ahli-ahli dalam Majlis Negeri berhak mempersoal sesuatu polisi tersebut namun mereka tidak mempunyai hak untuk menolak atau menerima polisi memandangkan keputusan mutlak terletak di tangan Residen.

Sejarah: Kewujudan Pawangan di Seremban

Dikirim oleh Warieh Isnin, 25 Julai 2016 0 Komen


Panggung Wayang pertama di Seremban Sapphire Theatre (1949)


Pangung wayang.. itu adalah nama pawagam pada masa dulu. Pada sekitar tahun 1960 dan akhir 90 an Pusat hiburan dan reakreasi keluarga ini menjadi tempat paling utama dilawat sekiranya  ke bandar. Banyak kenangan yang mencetus nostalgia dikalangan pengemar filem takhkala menontonnya di Panggung Wayang. Membeli tiket wayang bukanlah mudah, jika filemnya memang menarik, di dukungi pula artis popular dan ditayang di hujung minggu, memang akan berbaris panjanglah penonton tersebut untuk membeli tiket. Pergaduhan dikalangan pembeli tiket adalah pekara biasa dialami, apa tidaknya bila penonton yang tidak sabar untuk membeli tiket memotong barisan sesuka hati maka akan berlakulah perkelahian yang tidak diingini. Harga tiket ketika itu pula tidaklah membebankan sekitar 25 sen sehingga RM 3 berbanding harga tiket sekarang. Bagi golongan perokok tegar pula mereka tidak akan segan silu merokok di dalam panggung wayang disebabkan peraturan di pangung wayang tidaklah seketat peraturan sekarang, jadi tidak hairan asap rokok turut mewarnai pancaran cahaya filem. Kehadiran Aci dan mamu menjual kacang putih dan air turut memeriahkan kawasan panggung.

Antara pekara menarik mengenai pangung wayang dahulu akan berlaku waktu rehat sebentar disebabkan penukaran roll filem, disebalik penukaran tersebut akan kedengaran iklan-iklan selingan dari corong suara pangung wayang mempromosi produk-produk kesihatan dan sebagainya. Sepekara yang menarik adalah lagu Kebangsaan akan kedengaran sebelum filem ditayangkan, semua akan berdiri untuk menghormati lagu negaraku yang berkumandang, inilah punca orang lama dulu lebih patriotik berbanding orang muda sekarang. Untuk penonton pula ada class' tempat duduk, sekiranya penonton mempunyai tiket third clas' maka mendongaklah kepala untuk menonton layar wayang kerana berada di barisan paling hadapan layar. Pekara yang paling menarik adalah Poster Iklan  yang besar yang diletakkan diluar Panggung adalah di lukis sendiri oleh kakitangan pangung wayang tersebut!

Di Bandar Seremban telah wujudnya pangung wayang seawal tahun 1950 lagi. Pangung Wayang yang pertama didirikan di Seremban adalah Sapphire Theatre dikatakan telah didirikan pada tahun 1946 lagi. Bangunan ini masih wujud dan sekarang telah di ambil alih oleh syarikat perabot. Pada Tahun sekitar 1960 wujud pula pangung wayang Ruby di Jalan Dato Sheikh Ahmad, Pangung wayang ini yang pertama berkonsep kompleks wayang yang boleh memuatkan sekitar 300 penonton pada satu-satu masa, berada berhampiran perhentian bas semestinya panggung ruby ini meningalkan nostalgia kepada mereka yang pernah merasa keseronokan menonton wayang disini. Bangunan ini masih wujud hingga sekarang dan dijadikan pusat karaoke keluarga.

Panggung REX Seremban (1959) Perhatikan logo Show Brothers

Panggung wayang yang terbaik yang ada di bandar Seremban satu ketika dulu adalah Panggung REX dan Capitol. Kedua-dua pangung wayang yang dibina sekitar akhir 
tahun 1950 ini akan bersaing sesama sendiri dalam usaha merebut hati penonton. Panggung Capitol secara tradisinya akan menayang filem-filem Hollywood dan Bollywood serta Filem-filem melayu bukan keluaran Shaw Brother'. Panggung  Rex pula dikhaskan untuk filem-filem terbitan produksi Shaw Brothers' iaitu produksi yang terkenal dalam mengeluarkan filem melayu dan cina. Kedua- dua kompleks panggung ni rata-rata boleh menampung sekitar 1000 penonton dalam satu masa. Kedua-dua pangung ini sentiasa mendapat sambutan hangat dari penonton disebabkan kemudahannya yang lebih baik serta filem-filem yang terkini membuatkan penonton wajib akan mengunjungi pangung ini. Kedua pangung wayang ini sudah tidak wujud lagi apabila telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada kewujudan bangunan komersial,

selain itu terdapat juga panggung mini yang menayangkan filem-filem kelas ketiga dan filem dari negara china india dan taiwan iaitu Plaza Metropole, Panggung Cathay dan Odeon. Ketiga-tiga pangung ini mendapat sambutan dari kebanyakan penonton yang malas' untuk beratur untuk menonton wayang di Panggung lain. Ketiga-tiga pangung ini juga turut dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan komersial 
Plaza Metropole (1967) bangunan ini kini didirikan kedai kasut bata berhadapan dengan Perpustakaan Negeri.
Pembangunan Kompleks Pangung Wayang yang lebih moden seperti GSC dan MBO yang lebih menawarkan keselesaan serta berada dalam kompleks membeli belah terkemuka terus melenyapkan Panggung Wayang Konvesional. Kewujudan Hiburan digital yang hanya boleh diakses melalui talian juga telah memberi alasan bahawa panggung wayang kini tidak lagi mendapat tempat di hati peminat filem. Namun begitu bagi golongan peminat yang pernah merasa terhibur dengan perkhidmatan panggung wayang akan merasa nostalgianya pengalaman mereka untuk diwarisi dan dikongsi dengan golongan muda yang akan datang.

Elak sejarah Jempol terkubur

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Februari 2016 0 Komen

Elak sejarah Jempol terkubur

JEMPOL - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) akan meneruskan kajian dan mendokumentasikan sejarah di daerah ini sebagai warisan serta menyebarkan ilmu pengetahuan.
Penolong Kurator Unit Adat Perpatih bahagian Antikuiti, LMNS, Asrul Affendi Kamaruzzaman berkata, ketika ini pihaknya telah menjalankan kajian tentang ‘boko’ dan sejarah asal-usul Luak Jempol.
“Dijangka tahun ini ada satu lagi kajian di Jempol, kajian seumpamanya ini turut dijalankan di beberapa daerah lain.
“Apa yang dilakukan ini adalah sebagai menyediakan pengetahuan khususnya kepada generasi muda hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menjalankan pertemuan ringkas dengan Datuk Adat Luak Jempol, Datuk Shahbandar Ali Naam di Kampung Kuala Sialang, baru-baru ini.
Pertemuan tersebut bertujuan menjalankan kajian asal-usul Luak Jempol yang turut dihadiri Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah bahagian Antikuiti, LMNS, Mohd Nazim Abd Gaman.
Asrul Affendi berkata, maklumat berhubung kajian itu tidak dipamerkan, sebaliknya dijadikan sebagai bahan rujukan kepada penyelidik dan pelajar yang terlibat dalam bidang berkaitan.
“Kita harap dengan usaha kecil ini dapat bantu mereka yang berkenaan selain mengelakkan maklumat sejarah yang ada daripada ditelan zaman.
“Kita juga mengalu-alukan mana-mana cadangan untuk kita jalankan kajian yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.
Asrul Affendi berkata, berhubung asal-usul Luak Jempol pula, maklumat sejarah yang diberikan mudah difahami seperti mana yang diceritakan Ali.
“Secara ringkasnya, menurut beliau (Ali) berdasarkan daripada buku tulisan tangan Ujang Dohat, sejarah asal-usul Luak Jempol bermula apabila kedatangan Datuk Sepedang bersama sembilan keluarga dari Padang Luas, Sumatera,” katanya.

Kisah sebalik Rumah Putih

Dikirim oleh Warieh 1 Komen

Kisah sebalik Rumah Putih





BAGI mereka yang pertama kali melalui pusat bandar Seremban, pasti akan terpegun dengan sebuah bangunan putih yang terletak di bulatan jalan berhampiran Wisma Negeri.
Kalau di Amerika Syarikat popular dengan Rumah Putih atau White House, tidak ketinggalan di Negeri Sembilan juga ada.
Mungkin ramai tidak tahu, di bangunan putih itulah pernah menjadi pusat pentadbir ketika penjajahan British dan juga pejabat kerajaan negeri sebelum ia berpindah ke bangunan baharu di Wisma Negeri sehingga kini.
Ia juga pernah menjadi perpustakaan negeri dan hari ini, menjadi salah satu mercu tanda di bandar Seremban.

Dibina pada 1912
Mengikut sejarah, bangunan Rumah Putih yang terletak di Jalan Dato’ Hamzah itu dibina pada 1912 oleh BP Habbach of Britain.
Menggunakan batu bata sebagai bahan asas dan dilepa dengan simen sebagai kekemasan, berbentuk memanjang dan beranjung, mengambil reka bentuk bangunan British. Bagi kerangka atap, kayu digunakan. 
Atap bangunan menggunakan genting dan telah ditukar dan bangunan ini kini hak milik Kerajaan Negeri Sembilan.
Selepas pejabat kerajaan negeri berpindah ke Wisma Negeri pada 1987, bangunan itu menjadi pejabat Perbadanan Perpustakaan Awam negeri (PPANS). 
Projek mengubahsuai dimulakan pada 29 Mac 1988 dengan peruntukan kerajaan persekutuan melalui Jabatan Perpustakaan Negara dan siap pada Mei 1989, sebelum dibuka kepada orang ramai pada Ogos 1989.
Sebelum PPANS berpindah di Bangunan Wisma Umno di Jalan Dato' Sheikh Ahmad, ia sekali dibaik pulih di bawah peruntukan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Selain itu, Rumah Putih pernah menempatkan pejabat menteri besar.
Pejabat itu diduduki dari Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama, Tun Abdul Malek Yusof sehingga Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. dari 1982-1997 sebelum pejabat Menteri Besar berpindah ke Wisma Negeri.
“Selama 15 tahun saya di situ sebelum pejabat pentadbiran kerajaan negeri berpindah ke Wisma Negeri.
“Saya yang memutuskan supaya bangunan itu menjadi perpustakaan negeri bagi memberi kemudahan kepada orang ramai berkunjung ke perpustakaan," kata Mohd Isa.
Bagaimanapun, katanya, keadaan sudah berubah dan persekitaraan dilihat tidak sesuai menyebabkan perpustakaan negeri berpindah ke bangunan lain.

Majlis peringati pahlawan
Bagi bekas Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Dewan dan Protokol), Datuk Amran Sameon, ketika perkhidmatannya sebagai pegawai kerajaan pada zaman Tan Sri Rais Yatim sebagai Menteri Besar, di Rumah Putih itulah menjadi pejabat sebagai menteri besar pada sekitar pertengahan 80an.
“Bangunan itu juga menjadi tempat saya bekerja. Banyak kenangan saya perolehi ketika bekerja di bangunan tersebut.
“Bangunan itu memang unik dengan reka bentuk kolonialnya yang menjadi tarikan kepada pengunjung dan pelancong luar pada hari ini,” katanya.
Selain itu, katanya, apa yang paling diingati satu majlis bagi memperingati pahlawan turut diadakan di hadapan bangunan itu.
“Di hadapan bangunan itu, setiap tahun kita mengadakan Hari Memperingati Pahlawan dengan turut dihadiri Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada masa itu.
“Itu sebabnya, jika semua orang melihat ada terdapat tugu peringatan di hadapan Rumah Putih ini,” katanya.
Beliau berkata, Rumah Putih ini mempunyai nilai sejarahnya tersendiri dan perlu dipelihara sebagai bangunan warisan.
"Sudah semestinya kenangan yang diperolehi pada zaman itu boleh diceritakan kepada generasi muda pada hari ini," katanya.

Diwartakan bangunan warisan
Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Selatan, Johar Kadir berkata, bangunan berkenaan telah diwartakan sebagai Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
“Pada tahun 2006-2007 kerajaan negeri memohon peruntukan daripada Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja konservasi terhadap bangunan tersebut, di mana pihak jabatan menyalurkan sejumlah peruntukan.
“Kerajaan negeri melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sebagai pegawai penguasa bagi cadangan kerja pemuliharaan bangunan perpustakaan lama negeri sebelum perpustakaan berpindah ke tempat lain,” katanya.
Kurator Bahagian Pengurusan Muzium, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip pula berkata, pihaknya telah membuat inventori terhadap bangunan tersebut.
“Tujuan inventori adalah untuk diangkat Jabatan Warisan Negara sebagai bangunan warisan untuk diiktiraf,” katanya.

Pulihara makam bersejarah- PAS

Dikirim oleh Warieh Ahad, 31 Mac 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
31 Mac 2013
Pulihara makam bersejarah
Ghazali (dua, kiri) turut menyertai gotong-royong membersihkan makam Datuk Lela Balang di Kampung Kota Lama.
KOTA – Pas Dun Kota dengan kerjasama Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Rembau mengambil inisiatif melaksanakan projek pemuliharaan tempat bersejarah di daerah ini.

Penyelaras Pas Dun Kota, Ghazali Mohd Som berkata, di peringkat Dun berkenaan, pihaknya memilih makam Datuk Lela Balang di Kampung Kota Lama yang sudah terbiar untuk dibersihkan melalui aktiviti gotong-royong.

Menurutnya, sewajarnya makam berkenaan dijadikan sebagai tempat warisan bersejarah kerana ia bukan hanya menjadi tempat tarikan pelancong, malah dapat membangkitkan semangat juang generasi muda apabila mengenali tokoh pemimpin adat mereka sendiri.
“Malah, generasi muda mungkin tidak menyedari banyak fakta sejarah antaranya peranan yang dimainkan masyarakat di Rembau yang terdiri daripada Orang Asli suku Jakun dan kaum pendatang dari Sumatera pada zaman kejatuhan kerajaan Islam Melaka untuk menghalau penjajah Portugis pada ketika itu dari bumi Tanah Melayu dan Nusantara.

“Sekiranya PR menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, kita akan mengusulkan beberapa cadangan dan kertas kerja berkaitan Adat Perpatih serta tempat bersejarah bukan sahaja di Rembau malah di seluruh Negeri Sembilan supaya ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak, baik dari sudut keagamaan, kebudayaan serta ekonomi,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Pas Dun Kota, Izamri Med dan Pengarah 2 Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Rembau, Rozmal Malakan.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Legasi bas hijau (Sumber : Google image)

Jika mengimbau kembali korpus sejarah pengangkutan awam negara, nama Foh Hup Omnibus Sdn. Bhd. pastinya menggamit kenangan ramai pengguna pengangkutan awam sekitar laluan Kuala Lumpur, Ulu Langat, Hulu Langat hingga Seremban. Syarikat Foh Hup Omnibus mulai beroperasi sekitar tahun 1937, ketika zaman emasnya, Foh Hup begitu dominan dan membina legasinya sendiri sebagai antara syarikat bas terbesar dan termaju di negara pada ketika itu. Malah jika berada di Puduraya, kelibat bas Foh Hup dengan berwarna hijau begitu banyak tersusun sedia menunggu penumpang di kebanyakkan platfom, seolah-olah Puduraya itu merupakan perhentian milik mereka, bas milik syarikat lain seakan sekadar "menumpang" sahaja dengan satu dua platfom sahaja.
Stesyen Bas Foh Hup di bandar kajang. (Sumber : NSTP)
Perkhidmatan termaju
Dengan prestasi kewangan yang kukuh, Foh Hup mampu menawarkan perkhidmatan yang termaju pada era 60an - 70an, berbanding syarikat Bas tempatan yang lain, mereka mampu memperolehi bas-bas dari model terkini dan mahal, umpamanya bas dari jenama Mercedes-Benz.

Foh Hup mengiklankan penggunanaan bas dari jenama Mercedes-Benz pada tahun 1962 (Sumber :NST, 24 April 1962 : 9)
Foh Hup bantu jayakan Pertandingan Membaca Al-Quran
Pada tahun 1970, ketika negara menganjurkan pertandingan membaca Al-Quran, Foh Hup Omnibus telah menawarkan perkhidmatan lima buah bus untuk membawa penonton yang ingin menyaksikan pertandingan tersebut yang diadakan di Stadium Merdeka dengan potongan separuh harga bagi tiket. Foh Hup akan mengambil penumpang di enam kawasan yang dipersetujui oleh pihak penganjur, iaitu di Batu 18, 16 dan 14 Ulu Langat, Balai Polis Batu 9 Cheras, Kampung Sungai Midah dan Balai Polis Kajang. Sementara lain-lain laluan adalah dibawah tanggungjawab syarikat bas lain seperti  Len, Len Chee, syarikat KL - Klang & Port Swettenham, Sri Jaya dan Len Seng.
Pengambilan kondukter bas wanita
Syarikat Foh Hup merupakan antara syarikat terawal yang memecah tradisi dengan mengambil wanita sebagai kondukter bas. Mulai tahun 1970, Foh Hup telah mengambil 20 orang pekerja wanita sebagai kondukter lalu memecah dominasi kaum lelaki yang menguasai jawatan tersebut secara total. Langkah berani ini kemudiannya diikuti oleh beberapa syarikat pesaing seperti Leng Seng.
Salah satu babak yang membabitkan bas Foh Hup  dalam filem "Tunang Pak Dukun" keluaran tahun 1960.
Kejatuhan syarikat- syarikat bas terawal
Namun perubahan prestasi ekonomi dan arus permodenan yang melanda industri pengangkutan awam memberi impak yang besar keatas syarikat gergasi ini serta beberapa syarikat bas yang sezaman dengannya. Masaalah kewangan telah menyebabkan syarikat- syarikat bas terawal seperti United North Malaya Transport Company, Chin Wah Company Omnibus, Eng Lip, Lian Hoe, Len Omnibus, Penang Yellow Bus, Toong Foong, Sum Omnibus serta Foh Hup Omnibus sendiri bergelut untuk meneruskan perkhidmatan mereka. Akhirnya satu persatu syarikat ini menamatkan perkhidmatan akibat tidak lagi mampu menampung kos operasi yang begitu tinggi berbanding pulangan yang diperolehi syarikat.
Notis pemberitahuan tenatang mogok kesatuan pekerja yang turut melibatkan kakitangan Foh Hup Omnibus pada tahun 1971.
Foh Hup Omnibus ditutup
Setelah sekian lama bertahan dengan masalah kewangan yang meruncing, akhirnya Syarikat ini terpaksa menghentikan operasinya. Apa yang menyedihkan, syarikat ini menghentikan operasinya secara mengejut pada pagi 18 April 2002, lalu menyebabkan ribuan pelajar dan pekerja yang sering menggunakan perkhidmatan ini terkandas di perhentian-perhentian bas setelah bas Foh Hup yang sering dinaiki tidak muncul seawal jam 6 pagi lagi. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Sungai Lui, Ulu Langat, Sungai Tekali, Semenyih, Lenggeng, Broga, Pajam, Kajang dan beberapa kawasan di Nilai dan Seremban, kerana Foh Hup adalah satu-satunya syarikat bas yang beroperasi di laluan berkenaan. Kawasan-kawasan lain masih bernasib baik kerana ada syarikat lain yang turut beroperasi di kawasan tersebut seperti Park May ( City Liner).
Bas - bas yang sepatutnya beroperasi itu rupanya telah dikumpulkan di depot simpanan bas yang terletak di Taman Jasmin, Kajang. Sebanyak 32 buah bas milik syarikat berkenaan ditinggalkan tanpa cukai jalan dan permit perjalanan oleh pihak pengurusan syarikat. Permit perjalanan yang diberikan kepada Foh Hup sah sehingga 2006, ertinya syarikat ini telah menamatkan operasinya hampir empat tahun lebih awal dari tarikh tamat permit.
Kerugian berpanjangan faktor syarikat ditutup
Laporan Zaini Raban ( Utusan Malaysia, 20 April 2002) berjaya mendapatkan penjelasan mengapa syarikat Foh Hup terpaksa "Gulung Tikar",  menurut Pengarah Urusan Foh Hup Omnibus sendiri, iaitu Encik Hee Then Mu, syarikat terpaksa menghentikan operasi akibat tanggungan kerugian yang berpanjangan mulai tahun 1994. Kerapuhan prestasi kewangan menjejaskan prestasi syarikat, akhirnya mereka kekurangan bas lalu gagal bersaing dengan syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan yang lebih baik.
Menurut beliau lagi, purata  kerugian Syarikat Foh Hup setiap bulan adalah sebanyak RM100,000, lalu kos operasi dan penyelenggaraan mulai terjejas. Akhirnya setelah 65 tahun beroperasi dan tegar melalui zaman emas dan murung, syarikat ini akhirnya terpaksa ditutup.
Tidak bergaji dan hilang pekerjaan
Penutupan syarikat Foh Hup telah membuka pekung yang tidak diketahui awam sebelum ini, 120 orang pekerjanya bukan sahaja telah kehilangan pekerjaan, malah lebih teruk dari itu, sebahagian daripada mereka tidak dibayar gaji sejak bulan mac tahun berkenaan, manakala sebahagian lagi menerima gaji secara ansuran. Laporan Sharifuddin Shaari ( Utusan Malaysia, 18 April 2002 ) turut menyebut tentang para pekerja yang tidak menikmati kenaikan gaji sejak empat tahun lalu selain caruman kedalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP) juga tidak dijelaskan oleh Foh Hup Omnibus sejak lima tahun lalu. Malah faedah lain yang layak diterima oleh para pekerja seperti faedah kesihatan, cuti tahunan dan pakaian seragam juga telah dibaikan oleh pihak syarikat atas faktor kewangan yang sangat meruncing.
Bas disita dan dilelong
Bagai jatuh ditimpa tangga, pada pengurusan Foh Hup sedang berkira-kira mencari penyelesaian bagi meneruskan semula operasi syarikat dan menyelamatkan 120 orang pekerja yang pernah mereka naungi, syarikat disabitkan dengan kesalahan kerana gagal menjelaskan caruman KWSP pekerja-pekerjanya yang seramai 120 orang itu. Laporan Zaini Rabin ( Utusan Malaysia, 20 April 2002) menyebut syarikat perlu menjelaskan caruman sebanyak RM737,587 yang tertunggak sejak Februari 1998 hingga Februari 2000. Pada 19 April 2002, pihak KWSP telah mengambil tindakan menyita kesemua 32 buah bas milik Foh Hup yang disimpan di depoh bas di Taman Jasmin, Kajang. Bas -bas Foh Hup di cawangan Seremban sebanyak 24 buah turut menerima nasib yang sama.
Atas arahan mahkamah, Foh Hup diberi tempoh dua minggu untuk menjelaskan caruman tersebut, jika gagal, kesemua buah bas yang telah disita itu akan dilelong dan hasilnya akan dicarum dalam akaun KWSP para pekerja yang terlibat. Malangnya, setelah tamat tempoh rundingan yang diberikan, pihak Foh Hup Omnibus masih gagal menjelaskan caruman KWSP para pekerjanya yang tertunggak, usaha mencari rakan kongsi baru bagi mendapatkan dana juga gagal. Atas kegagalan tersebut, pihak KWSP terpaksa mengambil tindakan melelong bas - bas serta aset lain milik Foh Hup yang berada di setiap cawangan. Lelongan bas-bas di cawangan Kajang beserta peralatan pejabat berjaya mengutip RM 164,000, baki selebihnya ditampung oleh hasil lelongan 24 buah bas di Cawangan Seremban.
Berkaitan dengan jumlah sebenar bas yang dimilik oleh Foh Hup Omnibus, disini terdapat percanggahan fakta, kerana laporan M.K Megan dan Cheah Chor Sooi (NST, 21 April 2002) menyebut keseluruhan bas milik syarikat Foh Hup adalah sebanyak 45 buah sahaja, tetapi hanya 38 sahaja yang dalam keadaan baik, sementara 7 buah lagi sedang dibaiki. 

Jejak akhir bekas bas-bas Foh Hup
Tiada maklumat apa yang terjadi keatas bas-bas yang dilelong, namun mungkin juga bas-bas berkenaan masih menabur jasa dan bakti tetapi dalam "rupadiri" yang berbeza, mungkin sudah "dijelmakan" semula sebagai bas sekolah atau bas kilang. Atau mungkin juga ada yang telah dibeli oleh syarikat pesaingnya dahulu.

Menjadi kenangan abadi
Berakhirnya legasi bas Foh Hup pastinya dirasai oleh rata-rata bekas penggunanya,  mana tidaknya nostalgia bersama bas ini bermula dari zaman kanak-kanak hingga ke alam persekolahan malah kelangsungan itu diteruskan hingga ke alam pekerjaan. Saya juga tidak terkecuali, merasai nostalgia tersebut, apatah lagi bas Foh Hup lah bas pertama yang saya naiki, dan kenangan itu saya kongsi bersama arwah datuk yang juga insan pertama yang membawa saya sampai ke Puduraya, "rumah" utama bas Foh Hup. 

Sebagai penutup, setinggi terima kasih buat semua bekas pekerja Foh Hup Omnibus yang selama mereka memberikan perkhidmatan telah memudahkan saya ke sekolah dan Universiti, jasa kalian dikenang dan tersemat dalam lipatan sejarah. Manalah tahu suatu hari nanti kita akan melihat semula kemunculan Foh Hup Omnibus.

Rujukan:
Cadangan Foh Hup jadi rakan kongsi dipertimbang (21 April 2002), Utusan Malaysia.
Gadis2 jadi kondakter: Belum ada ranchangan kata Sri Jaya ( 24 Januari 1970), Berita Harian. P.2


KWSP lelong 14 bas Foh Hup (30 Julai 2002), Utusan Malaysia.


M.K Megan, Cheah Chor Sooi. (21 April 2002). Foh Hup’s action wrong, says TWU , New Straits Times.

Perkhidmatan bas dan k-api khas ka-peraduan Kur’an (11 November 1970), Berita Harian. P.5

Sahbulan Mohamad. (18 April 2002). Foh Hup henti operasi dikesali , Utusan Malaysia.

Sharilfuddin Saari. (18 April 2002). Foh Hup henti opeasi mengejut, Utusan Malaysia.

Tiga syarikat ambil alih 15 laluan Foh Hup (24 April 2002), Utusan Malaysia.

Zaini Raban. (20 April 2002). Gagal mencarum: KWSP sita 32 bas Foh Hup, Utusan Malaysia.
 


Gambar Orang ramai sempena penubuhan Madrasah Islam di depan Balai Istana Seri Menanti bersama YM Tuanku Abd Rahman pada 1939 sumber http://maadah.blogdrive.com/archive/1.html

Sejarah Istana Seri Menanti

Seri Menanti adalah sebuah kawasan yang permai dengan tanah sawahnya menghijau dan bukit-bukit tersergam memagari sekitarnya.  Keindahan kawasan ini telah menjadikannya satu kawasan petempatan dan pusat pemerintahan Raja-raja Negeri Sembilan pada masa silam. Istana-istana indah dengan ukiran-ukiran yang menarik didirikan di sini sebagai tempat bersemayam Yang di-Pertuan.
Salah satu daripada istana yang masih utuh sehingga ke hari ini ialah Istana Lama Seri Menanti.  Istana ini penuh dengan keunikan dan keindahan yang juga digelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan. Istana ini masih kukuh tersergam menyaksikan arus pembangunan dan memendam segala rahsia silam.  Walaupun pembangunan pusat berlaku, tetapi ianya tetap dengan keaslian bentuknya sebagai sebuah istana yang menjadi lambang kebudayaan Melayu yang indah dan mempesonakan.
Seri Menanti dikatakan mendapat nama daripada tiga batang padi yang tumbuh di kawasan itu yang dinamakan Padi Menanti atau ‘semangat padi yang menanti'. Dalam bahasa Jawa, padi bererti `Seri', lalu ia diubah nama kepada Seri Menanti.  Di kawasan tiga batang padi ini juga dikatakan Istana Seri Menanti didirikan.



Istana setinggi empat tingkat ini pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Public Works Department  Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.
Istana Seri Menanti ini dibina bagi menggantikan Istana Pulih  yang telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Pembinaan istana ini bermula pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908. Belanja bagi pembinaan istana ini ialah sebanyak $45,000. Istiadat perasmian istana ini telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad ibni Almarhum Yamtuan Antah.

Yang di-Pertuan Besar menginginkan reka bentuk istana yang menunjukkan dan mempunyai pertalian dengan alam Minangkabau, maka istana ini bukan sahaja sekadar menyerupai reka bentuk bangunannya tetapi juga dilengkapi dengan bahagian-bahagian yang melambangkan kekeluargaan, pendidikan, kesenian asli dan lain-lain yang mempunyai perkaitan yang erat dengan Minangkabau.
Reka bentuk Istana ini amat menarik sekali.  Ianya mempunyai empat tingkat dengan setiap tingkat mempunyai bilik-bilik tertentu.  Misalnya pada tingkat pertama istana ini terdapat empat bilik dan beranda sepanjang 160 kaki.  Manakala tingkat keduanya pula mempunyai tiga bilik dan bilik-bilik itu didiami oleh kerabat-kerabat diraja.  Pada tingkat ketiga dan keempat pula masing-masing mempunyai satu bilik.  Tingkat ketiga adalah tempat kediaman Yamtuan Muhamad manakala tingkat keempat pula adalah tempat simpanan khazanah raja.
Mengikut Datuk Besar Meon, tidak ada sepucuk paku besi pun digunakan dalam pembinaan istana ini.  Semuanya diperbuat daripada kayu dari tiang hinggalah ke atapnya dan binaannya ‘dipaku' dengan kayu yang dipanggil pasak.


Istana ini juga mempunyai tiang setinggi 19.9 meter (65 kaki) dengan empat batang tiang tengahnya setinggi 170 kaki tiada bersambung.  Pada tiang-tiang ini juga diukir dengan ukiran-ukiran yang menarik dengan berbagai-bagai motif.
Empat batang tiang tengah istana ini yang sepanjang 170 kaki tiada bersambung itu diperbuat daripada kayu `Penak'.  Kayu tersebut diambil daripada Bukit pergai di Jelebu; Kayu-kayu ini dibawa dengan kereta lembu ke Seri Menanti.  Dikatakan juga bahawa setiap batang tiang 170 kaki itu ditarik oleh tiga buah kereta lembu.
Jumlah semua tiang yang menjadi penegak pada istana ini ialah sebanyak 99 batang yang melambangkan juak-juak hulubalang Negeri Sembilan yang seramai 99 orang.  Mengikut sejarah pembinaan istana ini setiap orang juak dan hulu balang itu memegang satu tiang semasa hendak menegakkan istana tersebut.  Sementara empat batang tiang tengahnya pula melambangkan empat orang besar istana (Orang Empat Istana).

Istana ini juga ditinggikan di bahagian hujung dan pangkal, manakala di bahagian tengahnya bermahligai tiga persada. Pada bahagian-bahagian istana ini juga diukir dengan ukiran-ukiran yang menarik dan bernilai tinggi.  Ukiran-ukiran itu terdiri daripada berbagai motif yang menggambarkan kemahiran seni ukir orang-orang Melayu yang berdasarkan kepada alam sekitar sebagai bahan adunan dalam hasil ukirannya.  Hasil ini juga melambangkan ketinggian budaya orang-orang Melayu.
Di antara bentuk-bentuk ukiran yang terdapat di istana ini adalah seperti bentuk lambai-lambai, awam berarak, bunga tampuk manggis, bunga semantung, gunung-gunung dan lain-lain.  Ini menunjukkan bahawa hal-hal alamiah tanah mengilhami seni ukir orang-orang Melayu.  Ini membuktikan kepekaan orang Melayu pada alam sekelilingnya. Oleh sebab itulah pada setiap ukiran di ruang dan anjung istana ini melambangkan kekayaan tatasusila dan kehalusan budi bahasa Melayu zaman lampau.

Selain tempat bersemayam baginda Yang di-Pertuan Besar, istana ini juga berfungsi sebagai tempat perjumpaan dan pengaduan daripada para pembesar dan rakyat jelata terutama pada hari-hari perjumpaan yang diadakan di balairung seri. Istana ini juga digunakan untuk upacara menghadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926. Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard turut hadir dalam upacara itu. Walau bagaimanapun mulai tahun 1931, istana ini tidak lagi menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan; sebaliknya sebuah istana yang lebih baru dan moden dibina berhampiran dengannya.



Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Istana ini kemudiannya dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga tahun 1992. Namun begitu, atas kesedaran DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai ‘Muzium DiRaja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium DiRaja adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan.
Mulai saat inilah Muzium DiRaja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga DiRaja. Setiap ruang diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium juga dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana. Muzium ini dipelihara dengan baik sebagai warisan sejarah kebudayaan untuk tatapan generasi kini dan akan datang. Ianya akan terus berdiri tegak di bumi Seri Menanti yang menjadi saksi sejarah silam dan masa hadapan.

ASAL USUL GAMBAR SULTAN PADA DUIT MALAYSIA

Dikirim oleh Warieh Selasa, 29 Januari 2013 1 Komen

 Mungkin masih ramai yang belum tahu siapakah gambar Sultan yang berada di dalam duit Malaysia kan?? dan dari mana asal usul gambar tersebut diambil.. Di sini aku nak kongsikan bersama anda semua asal usul gambar agung yang terdapat pada duit Malaysia ok.

ASAL USUL GAMBAR SULTAN PADA DUIT

Pada matawang Malaysia, tertera wajah
Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang
pertama yaitu Tuanku Abdul Rahman

Tuanku Muhammad dari NegEri Sembilan.

Beliau adalah yang Di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan (bertaraf Sultan atau
Raja) dari tahun 1933-1960.
Negeri Sembilan adalah sebuah negeri
yang dihuni oleh suku Minangkabau
semenjak abad ke-15 dan dinaungi
oleh kerajaan Melaka pada masa itu.

Apabila kerajaan Johor (pewaris kerajan
Melaka) lemah pada abad ke-18,
orang Minang meminta izin ke
Sultan Johor agar pemerintah
melindungi mereka. Permintaan itu
diperkenankan dan mereka kembali
ke tanah asal mereka di Pagaruyung
untuk meminta perlindungan dari
pemerintah Pagaruyung pada masa itu.

Raja Pagaruyung menghantar anaknya,
Raja Mahmud (Raja Melewar)
sebagai raja di Negeri Sembilan
yang pertama (bergelar yang
Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan).

Tuanku Abdul Rahman yang gambarnya
ada di mata uang Malaysia itu adalah
keturunan ke lima dari
Sultan Abdul Jalil, Raja Kecil dari
Pagaruyung.





Di atas merupakan kisah di sebalik wajah Agung yang berada di matawang Malaysia... Hebat kan?? adakah anda tahu tentang itu?? tentu ramai yang tak tahu kan??

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook