Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label ADUN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ADUN. Papar semua catatan

Sasaran hasil bukan cukai Negeri Sembilan realistik: MB

Dikirim oleh Warieh Khamis, 28 November 2019 0 Komen




SEREMBAN - Sasaran Hasil Bukan Cukai dalam Bajet Negeri Sembilan 2020 bernilai RM242.69 juta adalah realistik dan mengambil kira semua jangkaan hasil yang bakal diperolehi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penyediaan Bajet Negeri Sembilan 2020 berpandukan Pekeliling Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia.

“Secara tradisi hasil bukan cukai adalah penyumbang utama dalam kutipan hasil negeri berbanding hasil cukai.

“Rekod sehingga 25 November tahun ini, jumlah hasil bukan cukai yang telah dikutip sebanyak RM251.27 juta berbanding sasaran Bajet 2019 iaitu RM225.1 juta, pencapaian semasa tahun 2019 melepasi sasaran tahun 2020 iaitu RM242.69 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan (2020) 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata, antara sumber hasil bukan cukai adalah seperti premium tanah, permit, pendaftaran lesen, cas air mentah dan jualan bahan bercetak.

Jumaat lalu, Aminuddin membentangkan belanjawan berimbang RM457 juta bagi tahun 2020, meningkat 6.28 peratus atau RM27 juta berbanding RM430 juta pada belanjawan 2019.

Katanya, hasil bukan cukai disasarkan sebanyak RM242.69 juta manakala hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM152.45 juta dan menjangkakan akan memperolehi sebanyak RM61.86 juta bagi terimaan bukan hasil.

Ketika sesi pergulungan itu, Aminuddin turut menjelaskan berhubung isu tanah peneroka Kampung Serampang Indah (Ladang Gatco), Jempol di mana Jumaat ini akan diadakan sesi menandatangani borang (15 A) Pajakan Tanah di bawah Kanun Tanah Negara.

“Sesi ini melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan bersama 170 peserta yang bersetuju dengan penyelesaian dicadangkan kerajaan disaksikan pentadbir tanah.

“Proses penyaksian ini adalah proses yang perlu dipenuhi sebelum hak milik dikeluarkan kepada peserta,” katanya.

Aminuddin berkata, seramai 127 peserta akan menerima pajakan tanah empat ekar manakala 43 peserta lagi akan menerima pajakan tanah dua ekar dengan jumlah keseluruan melibatkan 594 ekar (1.61 hektar)

Persidangan DUN akan disambung pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/59403/EDISI/Melaka-NS/Sasaran-hasil-bukan-cukai-Negeri-Sembilan-realistik-MB
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

NS bakal wujud taska di tempat kerja

Dikirim oleh Warieh Selasa, 17 Julai 2018 0 Komen





SEREMBAN – Kerajaan negeri akan melaksanakan penyediaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di tempat kerja awam dan swasta tidak lama lagi.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, ini sebahagian manifesto Pakatan Harapan (Harapan) dan pihaknya sangat komited dalam merealisasikan perkara tersebut.


Menurutnya, beliau akan membuat kertas kerja bagi memastikan semua jabatan agensi kerajaan terutama yang ada di Wisma Persekutuan dan Wisma Negeri mempunyai taska.

“Saya akan dapatkan maklum balas semua pihak mengenai keperluan taska di tempat kerja, jika mempunyai permintaan yang tinggi kita akan laksanakan mengikut keperluan tempat tersebut.

“Selain itu, saya akan buat perjumpaan bersama semua syarikat swasta di negeri ini yang mempunyai ramai pekerja, agar memberi kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan taska di tempat kerja mereka.

“Saya yakin, jika semua pihak dapat bekerjasama dengan baik sudah pasti hasrat untuk menyediakan taska di tempat kerja dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Jualan Amal di Forest Height Senawang di sini, semalam.
Ujarnya, setiap jabatan agensi kerajaan mempunyai peruntukkan sekurang-kurangnya RM200,000 setahun untuk keperluan jabatan dalam menyediakan taska di tempat kerja, tetapi masih ada yang tidak menggunakannya.

Katanya, beliau berharap pada kali ini hasrat untuk menubuhkan taska di tempat kerja akan dapat dilaksanakan dengan sempurna, sekali gus memenuhi janji dalam manifesto Harapan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mendesak supaya meminda Akta Taska, agar membenarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pantau pengasuh yang mengasuh lebih daripada empat orang kanak-kanak di rumah dalam satu masa.
Katanya, sebelum ini, tiada sebarang undang-undang ditetapkan tetapi pada kali ini, pihaknya mendesak supaya pemantauan yang teliti perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang berlaku terhadap adik Adam berulang.

Mudahkan orang ramai buat aduan

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Julai 2013 0 Komen


Mudahkan orang ramai buat aduan
Mohd Talal (kiri) mengiringi Abu Ubaidah mengedarkan risalah berkaitan PPDNKK kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan, petang kelmarin.
 
SEREMBAN – Bagi memudahkan orang ramai membuat aduan berhubung kenaikan harga barang, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) menempatkan kaunter khidmat pengguna di beberapa lokasi terpilih sekitar negeri ini.

Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Talal Abu Bakar berkata, kaunter khidmat pengguna yang ditempatkan pada waktu pagi serta dilengkapi alat timbangan itu akan beroperasi sepanjang Ramadan.

“Lokasi terpilih itu seperti Pasar Ampangan, Pasar Kuala Pilah, Pasar Port Dickson dan Pasar Besar Seremban.

“Sekiranya pembeli melihat harga dikenakan itu tinggi berbanding berat asal, pengguna boleh semak dengan menimbang semula berat barangan tersebut secara terus di kaunter PPDNKK disediakan supaya tindakan segera boleh diambil,” katanya ketika melawat Bazar Ramadan Ampangan sempena ‘Ops Harga 2013’  di sini, kelmarin.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, Abu Ubaidah Redza.

Mohd Talal berkata, selain itu, PPDNKK turut menempatkan kaunter sama tanpa alat timbangan di beberapa bazar Ramadan terpilih.

“Bazar Ramadan terpilih itu seperti di Seremban 2, Senawang, Ampangan, Paroi, Kuala Pilah, Batu Kikir dan Port Dickson.

“Kita juga menempatkan kaunter khidmat pengguna di pusat perdagangan terpilih seperti di Nilai 3, Bahau Square dan Tampin Square,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sejak kaunter ini dibuka.

Adun biayai rawatan pesakit

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Adun biayai rawatan pesakit
Ravi (kiri) melihat keadaan tangan Kamaruzzam yang diserang strok.
PORT DICKSON – Seorang lelaki yang menghidap penyakit strok sejak empat bulan lega apabila menerima tawaran pembiayaan perubatan urutan tradisional daripada Adun Port Dickson, M Ravi.

Kamaruzzam Ab Karim, 40, berkata, dia diserang strok akibat tekanan darah tinggi dan ketika itu tinggal di Tawau, Sabah bersama isterinya sebelum pulang ke Rantau untuk tujuan perubatan.

Menurutnya, namun sebaik tiba di Seremban dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban lebih kurang seminggu, dia dibenarkan pulang.

"Saya diserang strok pada bahagian kanan badan dan doktor menetapkan tarikh untuk temu janji bagi tujuan perubatan adalah pada 10 Oktober akan datang.

“Dalam tempoh itu, tiada sebarang rawatan yang saya terima dan hanya bergantung kepada ubat darah tinggi. Saya ada juga ingin mencuba rawatan tradisional, tetapi saya tidak mampu kerana kosnya juga tinggi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabat Adun Port Dickson, baru-baru ini.

Bapa kepada lima anak ini juga berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai ejen pembekal rumpai laut di Sabah dan sekarang tidak lagi bekerja.

“Saya tidak bekerja buat masa ini dan terpaksa menumpang di rumah ayah. Ada juga hasrat untuk pulang semula ke Sabah kerana ketika di sana saya boleh mendapatkan perubatan tradisional secara percuma di kawasan kejiranan walaupun jarak untuk ke hospital memang agak jauh.

"Namun selepas menerima tawaran rawatan urutan tradisional daripada Adun Port Dickson, saya akan menangguhkan hasrat untuk pulang ke Sabah," katanya.

Sementara itu, Ravi berkata, Kamaruzzam datang ke pejabatnya untuk meminta bantuan dan selepas mendengar masalah dia, beliau menawarkan pembiayaan perubatan urutan tradisional.

“Sebelum ini, pernah ada kes yang sama seperti kes Kamaruzzam di mana seorang pemandu teksi mengalami strok dan terlantar. Namun selepas menerima rawatan urutan tersebut, lelaki itu boleh kembali bekerja memandu teksi.

“Saya harap selepas menerima rawatan itu, Kamaruzzam akan sembuh dan menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya.

Bazar Ampangan dijangka siap awal 2014

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 22 Jun 2013 0 Komen


Bazar Ampangan dijangka siap awal 2014
Abu Ubaidah (empat, kanan) melawat tapak projek Bazar Ampangan yang masih dalam pembinaan, semalam.
SEREMBAN – Projek pembinaan Bazar Ampangan bagi menggantikan Pusat Penjaja Ampangan, di sini, dijangka siap awal 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Abu Ubaidah Redza, yang turun melawat tapak projek berkenaan berkata, projek bernilai RM8.72 juta itu menunjukkan perkembangan yang baik.

“Projek pembinaan ini sudah 32 peratus siap berbanding jangkaan yang sepatutnya 29 peratus.

“Saya amat berpuas hati dengan hasil kerja kontraktor yang dilantik dan berharap projek ini siap dengan segera dan mencapai standard yang diinginkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Bazar Ampangan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Sabaruddin Sulaiman.

Menurutnya, projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu mampu menempatkan 60 para peniaga sebelum ini.

“Bangunan yang mempunyai reka bentuk seperti istana lama Seri Menanti ini lebih sistematik, bersih dan akan menjadi bangunan tersergam indah di Ampangan.

“Kita mahu para peniaga dan pelanggan selesa dengan bangunan baru ini dan projek ini sebagai tanda prihatin kerajaan kepada peniaga dan orang ramai,” katanya.

Abu Ubaidah yang juga Adun Ampangan, berkata, Bazar Ramadhan tetap akan dibuka di kawasan Ampangan iaitu kira-kira 200 meter dari tapak projek.

“Bazar Ramadhan akan dibuka di lokasi biasa seperti tahun yang lalu cuma kali ini kawasan tapak projek ini terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dilakukan,” katanya.

Dr Awaludin dilantik Speaker Dun Negeri Sembilan

Dikirim oleh Warieh Selasa, 18 Jun 2013 0 Komen


SEREMBAN - Anggota Dewan Undangan  Negeri (Adun) Kota, Datuk Dr Awaludin Said dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang baharu pada persidangan pertama (khas) penggal pertama Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
      
Awaludin, 52, menggantikan Datuk Razak Mansor.
  
Pelantikan Awaludin dicadangkan Menteri Besar yang juga Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan dipersetujui sebulat suara oleh semua Adun lain.
      
Awaludin kemudian mengangkat sumpah anggota Dewan dan diikuti 35 Adun yang lain dengan diketuai Menteri Besar.
      
Adun Kota itu yang berkelulusan sarjana perubatan dan pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya juga ialah Naib Ketua Umno Bahagian Rembau.

Dalam ucapannya selepas majlis angkat sumpah itu, Awaludin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar dan semua Adun yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memikul tanggungjawab itu.
  
"Ini ialah amanah besar yang perlu saya tunaikan. Saya  berjanji akan mencuba sedaya upaya untuk mengendalikan dewan yang  mulia ini dalam keadaan teratur dan baik. Saya harap semua ahli yang berhormat supaya mengikut peraturan dewan yang ditetapkan.
  
"Dewan ini merupakan satu dewan yang mulia dan kita harap supaya semua ahli yang berhormat dapat mempelajari selok-belok untuk berbahas membincangkan isu-isu dan membawa perkara berkenaan negeri ini, terutama isu yang melibatkan masalah rakyat supaya ia dapat dibahaskan dan dapat dibawa dan dicatitkan serta diambil tindakan oleh kerajaan. Marilah kita (Adun) menyampaikan hasrat besar rakyat melalui dewan yang mulia ini," katanya.
  
Sementara itu, Mohamad berkata pelantikan Dr Awaludin berdasarkan pengalamannya yang luas dan beliau yakin Dr Awaludin akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan menguruskan perjalanan persidangan dewan pada masa akan datang dalam keadaan yang tenteram dan harmoni.
  
Pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, Barisan Nasional (BN) memenangi  22 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan di Negeri Sembilan. Baki 14 lagi kerusi dimenangi pembangkang iaitu 11 oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (tiga).
      
Bagi kerusi parlimen pula, BN menang lima daripada lapan kerusi yang dipertandingkan iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. DAP pula memenangi kerusi parlimen Seremban dan Rasah manakala PKR kerusi Telok Kemang.  - Bernama

Shamsulkahar : Saya hormati keputusan pengundi

Dikirim oleh Warieh Isnin, 27 Mei 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2013
 Shamsulkahar Mohd Deli
Shamsulkahar Mohd Deli
JEMPOL - Adun Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli menghormati keputusan pengundi Dun Serting di sini, ketika PRU lalu selain akur BN sekadar memperoleh 50 peratus undi daripada masyarakat Cina.

Menurutnya, walau bagaimanapun BN tidak akan mengabaikan pembangunan di kawasan yang dimenangi pembangkang terutamanya Mahsan, Ladang Gaddes dan Sum Hup, Bahau.

"Walaupun kita hanya memperoleh sedikit undi daripada kaum Cina, namun bukan dasar BN untuk meminggirkan kawasan tersebut.

"Saya hormati keputusan mereka, tetapi saya difahamkan mereka tertipu dengan  janji pembangkang ketika saat akhir sebelum mengundi. Kita (BN) akan buat perancangan teliti supaya mereka yakin dengan BN," katanya.

Dalam pada itu, Shamsulkahar juga melahirkan rasa kecewa susulan tiga kawasan tersebut sebelum ini merupakan kubu kuat BN, namun beliau yakin usaha BN bagi mengembalikan sokongan masyarakat di kawasan itu akan menampakkan hasil.

Shamsulkahar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan berkata, program berbentuk perpaduan antara kaum akan diadakan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

"Diharap masyarakat dapat berfikiran positif dengan apa dilakukan BN sebelum ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada projek naik taraf pasar awam Bahau akan diteruskan atau sebaliknya berikutan terdapat desas desus mengatakan projek tersebut tidak akan dilaksanakan, Shamsulkahar menafikannya.

Katanya, projek itu tetap diteruskan dalam penggal ini, namun tidak dapat mengesahkan tarikhnya.
   

Wakil rakyat BN berpuas hati amanah dapat ditunai

Dikirim oleh Warieh Rabu, 27 Mac 2013 0 Komen


SEREMBAN 25 Mac - Rata-rata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berpuas hati amanah yang dipegang selama lima tahun dapat ditunaikan kepada rakyat.
ADUN Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, beliau amat berpuas hati kerana dapat melaksanakan tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam portfolio Pendidikan.
Menurutnya, ini hasil kerja semua pihak terutama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang membawa Negeri Sembilan berjaya digerakkan sebagai lembah ilmu.
‘‘Tugas sebagai wakil rakyat ini adalah besar. Hanya satu yang menjadi amalan iaitu jangan abaikan rakyat dalam segala bentuk. Harapan saya sesiapa yang menjadi calon perlu bekerja keras kerana kita telah diberi amanah," katanya.
ADUN Gemencheh, Datuk Kamil Abd. Aziz berkata, selama lima tahun menjadi wakil rakyat, beliau berasa amat berbangga kerana dapat berbakti kepada rakyat.
Tambah beliau lagi, jawatan tersebut adalah amanah rakyat yang perlu dipukul kerana mereka telah memberikan kepercayaan kepadanya.
‘‘Seperti yang sedia maklum, siapa yang menjadi wakil rakyat, tugas mereka tidak tentu masa tetapi kepenatan itu terbalas apabila amanah rakyat dapat disampaikan kepada mereka," katanya.
Bagi ADUN Kota, Datuk Dr. Awaluddin Said pula menyifatkan bertugas sebagai wakil rakyat sepanjang dua penggal adalah satu tanggungjawab besar.
‘‘Saya amat gembira kerana pelbagai kemajuan dan pembangunan dapat dibawa di kawasan Kota ini," katanya.
Sementara itu ADUN Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sepanjang lima tahun, beliau dapat menunaikan tanggungjawab tersebut walaupun terdapat sedikit kekurangan.

Dun Negeri Sembilan sah hingga tengah malam Rabu ini

Dikirim oleh Warieh Selasa, 26 Mac 2013 0 Komen


SYAMILAH ZULKIFLI
25 Mac 2013
Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
 
SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendiri Khamis ini jika tidak dibubarkan dan bukannya esok, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan petang ini.

Beliau berkata, terdapat kekeliruan membabitkan perjalanan Dun yang menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan di bawah Fasal 56(3) menyebut Dewan akan berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama.

“Jadi secara automatik ia akan dibubarkan selepas itu kecuali dibubarkan terlebih dahulu.

“Masalahnya ialah bagaimana untuk menentukan tempoh lima tahun itu bermula atau telah tamat dan dalam dalam hal ini, kita guna Akta Interpretasi 1984 dan 1967,” kata beliau pada sidang media diadakan di kediamannya di sini.

Menurutnya, dalam akta itu dinyatakan, di bawah Seksyen 54(1) "in computing time for the purposes of any written law (a) a period of days from the happening of any event or the doing of any act or thing shall be deemed to be exclusive of the day on which the event happens or the act or thing is done."

Mohamad berkata, ia bermaksud bahawa apabila mengira waktu atau tarikh bermulanya bila dalam akta itu, hari kejadian tidak dikira sebagai hari bermula, sebaliknya hari esoknya.

“Jadi dalam hal pembubaran Dun secara automatik hari kejadian atau hari wakil rakyat mengangkat sumpah iaitu pada 27 Mac 2008 tidak dikira sebagai hari pertama Dun berjalan.

"Ia dikira pada hari keesokannya iaitu pada 28 Mac 2008. Merujuk perkara itu, umur Dun kita akan sampai 27 Mac 2013 pada 12 tengah malamnya dan genaplah lima tahun serta terbubar pada 28 Mac 2013,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu kerajaan sementara akan ditubuhkan dan jika Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu membubarkan Dun berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 56(2), maka tarikh akhirnya ialah 27 Mac ini.

Tabah jaga ibu mertua

Dikirim oleh Warieh Khamis, 21 Mac 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
21 Mac 2013
Tabah jaga ibu mertua
Maimon (kanan) berbual dengan Mohammad Razi ketika menziarahi Wong Thai di rumahnya.
JUASSEH – Walaupun hanya berstatus menantu, tetapi itu bukan halangan buat seorang ibu tunggal untuk menjaga ibu mertuanya yang menghidap strok.

Maimon Mopo, 40,  berketurunan Orang Asli dari Pahang mendirikan rumah tangga seawal 16 tahun namun suaminya itu sudah meninggal dunia sejak 10 tahun lalu akibat serangan jantung.

Menurutnya, dia tinggal bersama ibu mertuanya, Wong Thai, 94, memandangkan mendiang suaminya anak bongsu daripada 10 beradik.

"Setelah berkahwin saya dikurniakan tiga anak. Saya sudah menganggap ibu mertua seperti ibu sendiri.

"Apabila suami tiada, saya mengambil alih tanggungjawab menjaganya. Sejak sebulan ini, ibu tidak boleh berjalan dan hanya terlantar sahaja di katil," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Bukit Gelugor, kelmarin.

Maimon berkata, dia memerlukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Bantuan itu diharap dapat menampung kos ubat-ubatan dan pembelian lampin pakai buang," katanya.

Katanya, dia akan tetapi menjaga ibu mertuanya hingga akhir hayat.

"Ini sudah tanggungjawab saya. Mungkin jika suami masih hidup, dia juga akan lakukan perkara sama seperti ini.

"Anak-anak juga sering menjenguk kami. Apabila tiba musim perayaan, adik beradik suami akan pulang berkumpul di rumah ini," katanya yang sudah memiliki tiga cucu.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Dun Juasseh menganjurkan lawatan Jalinan Mesra terhadap 10 rumah penduduk kampung Baru Bukit Gelugor yang terpilih.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Baru Bukit Gelugor, Wong Ah Siew.

Pekerja dinasihat henti mogok

Dikirim oleh Warieh Rabu, 20 Mac 2013 0 Komen


HAMIZAH BASIR
20 Mac 2013
Pekerja dinasihat henti mogok
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri Sembilan, Datuk V S Mogan.
SEREMBAN – Syarikat Recron (M) Sdn Bhd masih menunggu keputusan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) tentang penundaan pelaksanaan gaji minimum kepada lebih kurang 2,600 pekerja asingnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri Sembilan, Datuk V S Mogan, berkata,
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan memastikan Syarikat Recron (M) Sdn Bhd melaksanakan gaji minimum sebaik sahaja kerajaan melalui MPGN memberi keputusan ke atas permohonan majikan.

“Siasatan JTK pada 8 Mac lalu mendapati pihak syarikat telah mengemukakan satu permohonan kepada MPGN pada 26 Februari lalu untuk menundakan pelaksanaan perintah gaji minimum 2012.

“Permohonan ini adalah sejajar dengan keputusan kerajaan yang membenarkan majikan yang tidak berupaya melaksanakan gaji minimum kepada pekerja asing,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mogan berkata demikian ketika diminta mengulas isu lebih 2,600 pekerja asing syarikat berkenaan mengadakan mogok pada 8, 11 dan 12 Mac lalu ekoran pihak syarikat tidak melaksanakan gaji minimum.

Menurut Mogan, semasa kejadian mogok tersebut, permohonan majikan masih dalam pertimbangan MPGN.

“JTK dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) bersama pegawai-pegawai dari Kedutaan Bangladesh dan Kedutaan Vietnam telah mengadakan perjumpaan dengan semua pekerja asing bagi memaklumkan ketetapan kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012.

“Para pekerja telah dinasihatkan untuk memberhentikan tindakan mogok dan kembali bekerja sementara menunggu keputusan kerajaan ke atas permohonan majikan yang dibuat dalam masa sebulan,” katanya.

Mogan berkata, dakwaan yang mengatakan Pengarah JTK enggan berjumpa dan bercakap dengan pekerja adalah tidak benar.

“Kebanyakan pekerja menerima penjelasan yang diberikan dan kembali bekerja 13 Mac lalu,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai apa-apa kemusykilan dalam pelaksanaan gaji minimum boleh melayari laman sesawang Kementerian Sumber Manusia di www.mohr.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

FGVH berhasrat tembusi pasaran Afrika

Dikirim oleh Warieh Selasa, 12 Mac 2013 0 Komen


JEMPOL 11 Mac - Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVH) masih membuat kajian untuk menembusi pasaran di benua Afrika seperti yang dirancang sebelum ini.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, antaranya FGVH perlu melihat keluasan dan kesesuaian tanah yang ada di kawasan tersebut.
"Walaupun bakal mengambil masa, kita tetap berhasrat untuk mengembangkan pasaran FGVH ke benua tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Graduasi Sesi 2/2012 Kolej Yayasan Felda di Dewan Kompleks Belia dan Sukan dekat sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 128 pelajar Kolej Yayasan Felda Kampus Raja Alias dekat sini dan Kolej Yayasan Felda Kampus Kelana Jaya menerima sijil masing-masing.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar.

Wanita PR edar 500 bunga

Dikirim oleh Warieh Isnin, 11 Mac 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2013
SEREMBAN - Wanita Pakatan Rakyat (PR) mengedarkan lebih 500 bunga mawar kepada kaum wanita di sekitar Ampangan, semalam.
Bunga itu diedar sebagai menghargai golongan wanita  di negeri ini sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8 Mac.

Turut diedar risalah agenda berkebajikan wanita Malaysia yang mempunyai tujuh agenda iaitu pendidikan, peluang ekonomi, pendemokrasian politik, kelangsungan kesihatan dan hidup berkualiti, kesejahteraan sosial, penguatkuasaan undang-undang dan agenda wanita muda.

Ketua Muslimat Pas negeri, Fazilah Abu Samah berkata, PR sentiasa memartabatkan golongan wanita di negara ini.

“Agenda memartabatkan golongan wanita ini diterapkan dalam agenda pendidikan negara di mana kita menerapkan falsafah hormat wanita.

“Wanita dilihat sebagai penyumbang besar kepada negara dan pemberian bunga ini sebagai tanda penghargaan kita kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani; Ahli Parlimen Seremban, John Fernandez; Adun Temiang, Ng Chin Tsai dan Adun Ampangan, Rashid Latiff.

Surau siap dibina, tetapi tandas tiada

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 9 Mac 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
8 Mac 2013
Surau siap dibina, tetapi tandas tiada
Surau baru Bandar Dataran Segar yang siap dibina awal tahun ini tetapi tiada kemudahan tandas.
BANDAR DATARAN SEGAR, Port Dickson – Surau sudah tersergam indah, tetapi tandas tiada. Itulah yang berlaku di kawasan sekitar bandar, dekat sini apabila surau yang siap dibina sejak awal tahun ini tidak dilengkapi kemudahan tandas.

Rata-rata masyarakat Islam di kawasan ini memohon agar kerajaan menyalurkan peruntukan khas bagi menampung kos tambahan membina tandas di surau yang baru siap dibina.

Naib Pengerusi Surau, Mohd Sharif Pear Mohamad, 69, berkata, penyerahan kunci surau sudah pun dilakukan kepada ahli jawatankuasa surau oleh kontraktor pada 21 Februari lalu.

“Namun apa yang mendukacitakan kami, surau yang boleh memuatkan jemaah seramai 100 orang dalam satu masa ini tidak dilengkapi oleh kemudahan tandas.

“Apa yang dimaklumkan oleh kontraktor, peruntukan yang disalurkan sebanyak RM170,000 untuk membina surau tidak cukup untuk pembinaan kemudahan asas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Surau Bandar Dataran Segar semalam.

Mohd Sharif berkata, kontraktor ada memberitahu bahawa peruntukan hanya mencukupi bagi menampung kos untuk pembinaan tandas wanita sahaja.

“Tetapi akhirnya selepas pembinaan siap dan penyerahan kunci dilakukan, kedua-dua tandas pun tidak dibina.

“Ketiadaan kemudahan tandas memang mendatangkan kesukaran kepada pengguna surau dan amat berharap agar peruntukan segera disalurkan supaya kegunaan surau dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, selain surau, kemudahan pagar juga sangat diperlukan memandangkan terdapat banyak anjing yang berkeliaran di kawasan itu.

"Malah, kawasan parkir dan laluan masuk ke surau juga diharap dapat dibaiki berikutan keadaan tanah yang lecak sekiranya hujan mengundang ketidakselesaan pengguna.

"Oleh itu, kami harap kerajaan atau pihak berkenaan dapat memandang serius masalah ini dan mengambil tindakan segera," katanya.

Sinar Harian difahamkan, kos sebanyak RM170,000 ini adalah peruntukan yang disalurkan dari Jabatan Perdana Menteri melalui Adun Bagan Pinang untuk permasalahan rakyat.
Artikel Berkaitan

Pakar mula operasi Sabtu ini

Dikirim oleh Warieh Selasa, 5 Mac 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
5 Mac 2013
Yunus
Yunus ketika melakukan lawatan kerja di Pakar, semalam sambil diiringi Siti Nurul Haida dan Rasid.
Pakar
Pakar menjadi sebuah lagi pusat tumpuan ramai di Seremban.

SEREMBAN - Orang ramai terutama penduduk sekitar daerah ini akan memiliki banyak pilihan untuk membeli keperluan barangan dapur apabila Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) akan mula beroperasi di Jalan Seremban – Kuala Pilah mulai Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, Pakar merupakan satu tempat pilihan untuk memberi barang keperluan, terutama barang mentah.

Menurutnya, projek melibatkan kos RM3.6 juta itu diyakini dapat memberi kemudahan kepada masyarakat setempat selain memberi ruang kepada peniaga berniaga dalam keadaan selesa.

“Pakar yang merupakan infrastruktur kekal, akan mula operasi pada Sabtu ini dalam dua sesi iaitu dari jam 7 pagi sehingga 1 petang, dan 4 petang sehingga 12 malam, setiap hari kecuali Isnin.

“Di sini, kita menyediakan sebanyak 81 lot niaga kepada mereka yang ingin menjual pelbagai barangan tanpa had,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Pakar, semalam.

Turut serta, Timbalan Pengarah Fama negeri, Siti Nurul Haida Ibrahim dan Pengurus Pakar Paroi, Rasid Yusop.

Yunus berkata, Pakar di Negeri Sembilan merupakan projek kelima kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, selepas Seri Manjung, Perak; Jengka dan Bera, Pahang serta Satok, Sarawak, beroperasi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, selain perniagaan, ia juga boleh digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti komuniti setempat seperti kenduri kahwin atau majlis perasmian.


HASIM Rusdi (kiri) menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada majlis penyampaian baucer berkenaan di Kampung Tekir, Seremban, baru-baru ini.
SEREMBAN 4 Mac - Pembangunan holistik yang giat dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak hanya tertumpu di bandar semata-mata, malah aspek itu juga turut dirasai masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan Labu.
Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika ramai di antara mereka yang kini lebih senang dan selesa dengan menjadikan BN sebagai satu-satunya parti yang boleh bergantung harap untuk membela masyarakat Orang Asli.
Malah, jika diamati keperluan masyarakat Orang Asli di Labu, sebahagian besarnya telah dapat ditunaikan, selain bantuan lain daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).


HASIM Rusdi (kanan) meninjau dan berbincang dengan beberapa pegawai mengenai kemajuan di kawasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), baru-baru ini.
SEREMBAN 4 Mac - Biarpun wujud gerakan agresif pembangkang untuk menawan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, rakyat lebih tahu menilai, mana yang baik dan mana pula yang 'bermain wayang'.
Hakikatnya, lebih 15,000 pengundi di kawasan ini sudah dapat melihat secara nyata projek dan pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengetepikan agenda pembangkang yang dilihat mengkritik apa sahaja usaha baik melalui fakta yang diputar belit.
Jelas, pakatan pembangkang sama ada calonnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau sekutu yang lain, mereka boleh menabur janji, menyebar risalah, memesongkan pemikiran rakyat, tetapi rakyat sudah ambil maklum bahawa DUN Labu akan diberikan kepada BN pada pilihan raya umum nanti.

Bumbung asrama dibaik pulih

Dikirim oleh Warieh Selasa, 26 Februari 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
26 Februari 2013
Bumbung asrama dibaik pulih
Zaifulbahri (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama sambil diperhatikan Zamri (kiri), di SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail.
 
PEDAS – Pelajar dan ibu bapa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Haji Sail, kini lega apabila kerja-kerja membaik pulih bumbung asrama sekolah berkenaan yang rosak dalam kejadian ribut pada penghujung Disember 2011 sudah siap sepenuhnya.

Jurutera Daerah, Zamri Mat Kasim berkata, sebagai langkah mengatasi masalah itu, pihak sekolah menempatkan pelajar dari tiga bilik asrama di kuarters guru bagi membolehkan mereka menjalani sesi persekolahan sepanjang tahun lepas.

“Bagi pihak JKR, mereka mengambil langkah awal dengan menutup atap yang bocor dengan kanvas pada 14 Februari tahun lalu dan akhirnya kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan di bawah Pakej Rancangan Khas (PRK).

“Kerosakan akibat ribut itu membabitkan kerja-kerja baik pulih bangunan asrama putri dan putra Block A & B; bangunan B, C, D dan lain-lain lagi yang mana ianya membabitkan peruntukan RM544,000,” katanya sempena Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama di Dewan SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Azali Hashim dan Pengetua SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, Saiful Bahrin Abu.

Sementara itu, Zaifulbahri berkata, diharap warga sekolah terus meningkatkan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai aspek walaupun berhadapan bencana ribut.

“Walaupun begitu, pihak sekolah dapat menyediakan langkah tepat bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar dan dalam masa sama prestasi sekolah sebagai antara sekolah agama yang cemerlang tetap dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.


JELEBU 25 Feb. - Lebih 3,000 membanjiri kawasan Karnival Jelebu 1Malaysia dalam usaha mengeratkan hubungan kaum, selain memperkenalkan produk pengusaha tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, program itu berlangsung sejak Khamis lalu dan berakhir semalam, berjaya menarik ramai pengunjung pelbagai kaum ke karnival berkenaan.
Jelasnya, karnival ini melibatkan 30 jabatan kerajaan, selain 80 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), yang mana memberikan akses kepada pengunjung untuk mendapatkan produk terus daripada pembuatnya.
''Kita mengetengahkan aktiviti rakyat serta acara bola sepak. Kita libatkan Persatuan Orang Kerdil Malaysia dan menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 620 penerima.
''Sebanyak 50,000 benih ikan lampam telah pun dilepaskan di Sungai Klawang," katanya di sini hari ini.

Potensi Chuah dalam pelancongan

Dikirim oleh Warieh Selasa, 19 Februari 2013 0 Komen


Tempat istirahat dan bersantai yang disediakan untuk penduduk dan pelancong yang mengunjungi Sungai Nipah di Port Dickson, Telok Kemang. 
 
TELOK KEMANG 18 Feb. - Chuah yang terletak di Mukim Jimah, Port Dickson dekat sini mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang pelancongan terutamanya yang berkaitan dengan alam sekitar.
Tumbuhan semula jadi seperti pokok bakau dan aktiviti penternakan ikan sangkar oleh para nelayan di kawasan berkenaan memberikan daya tarikan yang tersendiri.
Kerajaan negeri juga mempunyai rancangan untuk membangunkan muara Sungai Bawah, Bukit Pelandok sebagai kawasan pelancongan pada masa hadapan.
Kerajaan juga tidak mengamalkan pilih kasih dalam melaksanakan projek pembangunan di kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook