Ravi (kiri) melihat keadaan tangan Kamaruzzam yang diserang strok.
Kamaruzzam Ab Karim, 40, berkata, dia diserang strok akibat tekanan darah tinggi dan ketika itu tinggal di Tawau, Sabah bersama isterinya sebelum pulang ke Rantau untuk tujuan perubatan.
Menurutnya, namun sebaik tiba di Seremban dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban lebih kurang seminggu, dia dibenarkan pulang.
"Saya diserang strok pada bahagian kanan badan dan doktor menetapkan tarikh untuk temu janji bagi tujuan perubatan adalah pada 10 Oktober akan datang.
“Dalam tempoh itu, tiada sebarang rawatan yang saya terima dan hanya bergantung kepada ubat darah tinggi. Saya ada juga ingin mencuba rawatan tradisional, tetapi saya tidak mampu kerana kosnya juga tinggi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabat Adun Port Dickson, baru-baru ini.
Bapa kepada lima anak ini juga berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai ejen pembekal rumpai laut di Sabah dan sekarang tidak lagi bekerja.
“Saya tidak bekerja buat masa ini dan terpaksa menumpang di rumah ayah. Ada juga hasrat untuk pulang semula ke Sabah kerana ketika di sana saya boleh mendapatkan perubatan tradisional secara percuma di kawasan kejiranan walaupun jarak untuk ke hospital memang agak jauh.
"Namun selepas menerima tawaran rawatan urutan tradisional daripada Adun Port Dickson, saya akan menangguhkan hasrat untuk pulang ke Sabah," katanya.
Sementara itu, Ravi berkata, Kamaruzzam datang ke pejabatnya untuk meminta bantuan dan selepas mendengar masalah dia, beliau menawarkan pembiayaan perubatan urutan tradisional.
“Sebelum ini, pernah ada kes yang sama seperti kes Kamaruzzam di mana seorang pemandu teksi mengalami strok dan terlantar. Namun selepas menerima rawatan urutan tersebut, lelaki itu boleh kembali bekerja memandu teksi.
“Saya harap selepas menerima rawatan itu, Kamaruzzam akan sembuh dan menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya.


0 Komen