Penduduk bertungkus-lumus membersihkan rumah mereka selepas banjir lumpur surut, semalam.
Kejadian kira-kira 5.30 petang itu melibatkan enam rumah.
Penduduk, Jamilah Ujang, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk menyediakan juadah berbuka puasa.
“Makcik tidaklah bimbang sangat kerana biasanya tiada apa-apa berlaku kalau hujan lebat. Tapi, petang semalam (kelmarin), makcik dengar bunyi kuat dari garaj kereta.
"Makcik keluar ke pintu depan dan terkejut apabila melihat garaj kereta runtuh akibat banjir lumpur dari atas bukit itu. Habis jalan dipenuhi air lumpur macam air sungai," katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kejadian itu merupakan kali kedua sejak dia tinggal di rumah terbabit.
Sementara itu, Neriam Md Noh, 60, berkata, kelmarin merupakan kejadian banjir yang paling teruk pernah berlaku di kawasan perumahan itu.
"Bila lihat air deras, makcik cepat-cepat buka jeriji penutup longkang supaya lumpur masuk ke dalamnya dan tidak ke rumah makcik," katanya.
Menurutnya, banjir lumpur itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penanaman kelapa sawit di bukit berkenaan, manakala longkang dibina pihak berkaitan pecah.
“Sebelum penanaman kelapa sawit, kawasan ini tidak pernah mengalami banjir lumpur. Tetapi sejak kerja tebang pokok dilakukan, kawasan ini sering dinaiki air. Kami yang tinggal di lorong belakang menjadi mangsa.
“Lebih menyedihkan, waktu kejadian, beberapa penghuni tiada di rumah.
Akibat kejadian itu, katanya, dia terpaksa membersihkan rumah sejak sahur sehingga tengah hari, semalam.


0 Komen