Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label perkhidmatan awam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perkhidmatan awam. Papar semua catatan

Negeri Sembilan akan menaikan gaji penjawat awam

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 3 Mei 2024 0 Komen



SEREMBAN - Sentuhan keanggunan dan keberlanjutan diperlihatkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dalam mengemban tanggungjawabnya terhadap kakitangan awam. Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dengan penuh tegas dan bijaksana mengumumkan kesungguhan kerajaan untuk menyelaraskan peningkatan gaji penjawat awam dengan polisi Persekutuan.

Dengan penuh kesedaran akan signifikannya peranan kakitangan awam dalam menerajui perkhidmatan awam, Setiausaha Kerajaan Negeri diarahkan untuk menyelidik secara menyeluruh mengenai isu ini. Keputusan kajian ini akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, menegaskan komitmen kerajaan terhadap kebajikan dan keadilan kakitangan awam.

"Maka dari itu, kami menyedari bahawa perkara ini mempengaruhi ramai individu, oleh itu ia perlu diselesaikan dengan sepenuhnya, selaras dengan polisi dan gred yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri," ungkapnya di Rumah Terbuka Aidilfitri di Wisma Persekutuan.

Walau bagaimanapun, di tengah-tengah aspirasi untuk meningkatkan taraf kehidupan kakitangan awam, Aminuddin turut mengakui bahawa kenaikan gaji ini akan menimbulkan beberapa implikasi kewangan terhadap negeri.

"Namun, saya berjanji bahawa kami akan menguruskannya dengan bijaksana dan akan memastikan sumber kewangan yang mencukupi bagi membayar lebih daripada 5,000 penjawat awam di negeri ini," jelasnya lagi.

Penekanan diberikan bahawa kenaikan gaji akan dibuat berdasarkan keputusan dan panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan, dan akan merangkumi pelbagai aspek, bukan sekadar gaji permulaan. Beliau menekankan pentingnya tanggungjawab serta komitmen dalam meningkatkan produktiviti dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

"Dengan pelaksanaan kenaikan ini, harapan kami agar setiap penjawat awam dapat lebih bermotivasi dan komited dalam menjalankan tugas dengan cemerlang. Setiap individu akan dipantau prestasinya; sesiapa yang tidak mencapai standard prestasi akan terjejas," ujarnya dengan tekad.

Dalam semangat untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berkualiti, langkah-langkah akan diambil untuk mengenal pasti dan membimbing golongan yang mungkin memerlukan bantuan dalam meningkatkan prestasi mereka.

"Walaupun jumlah mereka mungkin tidak besar, namun penting bagi kami untuk memberi peringatan bahawa setiap individu perlu memberi sumbangan yang bermakna kepada negara. Kami tidak boleh membenarkan mereka yang tidak mencapai standard prestasi menumpang kelebihan yang diberikan," tambahnya sambil menyampaikan kesedaran dan komitmen yang mendalam terhadap keadilan dan kesejahteraan kakitangan awam negeri.

Perjanjian Persetiaan Persekutuan Negeri Sembilan 1895

Dikirim oleh Warieh Rabu, 11 Julai 2018 0 Komen

Negeri Sembilan telah terbentuk melalui satu perjanjian yang telah ditandatangani diantara Yamtuan Seri Menanti Almarhum Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah dengan Empat Undang (Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol) dan Tengku Besar Tampin untuk menubuhkan sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan pada 08 Ogos 1895. Perjanjian ini adalah lanjutan daripada perjanjian yang ditandatangani pada 13 Julai 1889 mengenainya.
Almarhum Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah

Perjanjian Persekutuan Negeri Sembilan 1895 telah membawa kepada penubuhan sebuah Majlis Persekutuan Negeri Sembilan. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 19 Oktober 1895. Ahli-ahlinya selain Residen British terdiri daripada Yamtuan Mohammad, Dato Bandar Ahmad (Sungai Ujong), Dato Syed Ali (Jelebu), Dato Serun (Rembau), Dato Wan Omar (Johol), Tengku Muda Chik Seri Menanti (pakcik Yamtuan Mohamad), Tengku Dewa (Tampin), Dato Mohamad Bastan (Linggi) dan Kapitan Chin Who serta Kapitan Lee Sam.

Buku The Statesman's Year-Book diedit oleh M. Epstein ada menyebut mengenai perjanjian ini.


Melalui perjanjian tersebut mereka bersetuju meletakkan diri mereka di bawah perlindungan Kerajaan British. Sebagai langkah awal Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles Bullen Hugh Mitchell melantik Martin Lister sebagai Residen Negeri Sembilan yang pertama.
 Martin Lister sebagai Residen Negeri Sembilan yang pertama

Di antara beberapa peraturan yang diluluskan dalam mesyuarat pertama ini adalah mengenai kod buruh, kod perlombingan, peraturan pencen, peraturan mengenai jalan keretapi, peraturan bagi mencegah jenayah dan peraturan mengenai sewa rumah. Para pembesar juga bersetuju untuk menggunakan sebuah bendera bagi persekutuan Negeri Sembilan.
Tujuan penubuhan Majlis tersebut adalah untuk membincangkan dasar-dasar yang hendak dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Walaupun ahli-ahli dalam Majlis Negeri berhak mempersoal sesuatu polisi tersebut namun mereka tidak mempunyai hak untuk menolak atau menerima polisi memandangkan keputusan mutlak terletak di tangan Residen.

Dianggarkan hanya antara 1,200 hingga 2,000 orang sahaja daripada 25,000 kakitangan perkhidmatan awam yang bersara wajib setiap tahun terbabit dengan cadangan lanjutan usia persaraan kepada 62 tahun.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata pelaksanaan itu juga tidak membabitkan semua perjawatan, cuma bagi jawatan kritikal dan profesional untuk menampung keperluan tenaga pakar dalam negara. Beliau berkata, kakitangan kumpulan profesional seperti pensyarah, hakim, jurutera dan pakar runding misalnya, memiliki kepakaran tertentu dan pengalaman luas yang masih diperlukan industri bagi meningkatkan ekonomi selain, menampung keperluan semasa.

"Apabila hendak menuju ke negara maju empat tahun lagi, kita memerlukan dasar yang dapat diterima secara sejagat dengan anggaran lima hingga lapan peratus yang akan bersara setiap tahun sahaja dikekalkan ...tidak semua kakitangan awam. "Kita menggesa kerajaan untuk mengkaji semula sama ada dasar usia persaraan 62 tahun perlu dilaksanakan atau tidak selain, menyemak semula skim gaji penjawat awam yang sudah 15 tahun tidak dikemaskini," katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri CUEPACS, hari ini. Yang hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Semalam, CUEPACS dalam temu bual program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel yang disiarkan secara langsung mencadangkan kerajaan mewujudkan satu dasar baharu untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam kepada 62 tahun. Tahun lalu, CUEPACS turut melontarkan cadangan sama namun ditolak kerajaan. Azih berkata, antara perkara yang perlu diteliti kerajaan termasuk, kemampuan penjawat awam dengan gaji semasa memiliki pendapatan mencukupi untuk membeli rumah, menyediakan pendidikan anak dan bersaing dengan peningkatan 10 kali ganda indeks pengguna dan kos sara.

Di samping itu, CUEPACS turut menyeru kerajaan supaya tidak mengehadkan atau 'mengunci' pengisian jawatan baharu akibat kekosongan persaraan jawatan sebaliknya, membuka peluang kepada graduan muda berkelayakan daripada pelbagai bidang. "Ketua agensi juga diminta mengambil tindakan drastik dan merancang pelan penggantian enam bulan sebelum kekosongan supaya tidak berlaku kekurangan pekerja," katanya.

Habitat terganggu punca ular ‘lari’

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Februari 2016 0 Komen

Habitat terganggu punca ular ‘lari’

KUALA PILAH - Habitat ular terganggu antara faktor yang menyebabkan haiwan tersebut mencari tempat perlindungan baharu.
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kuala Pilah, Sarjan Majeran Lon, 54, berkata, pada tahun ini, JPAM mendapat lebih dari 10 panggilan kecemasan berkaitan ular memasuki kediaman penduduk.
“Faktor kediaman penduduk yang tak bersih, berhampiran kelapa sawit dan bersemak juga menggalakkan haiwan berbisa ini memasuki kawasan rumah mereka.
“Antara ular berbisa yang sering memasuki rumah termasuk ular kapak, ular senduk dan ular tedung selar yang boleh mengancam nyawa.
“Selain itu, faktor cuaca panas pada masa ini mendorong ular mencari kawasan yang sejuk termasuk memasuki ke dalam rumah atau di dalam enjin kenderaan,” katanya memberitahu reptilia tersebut biasanya tidak menyerang manusia.
Menurut Majeran, kebanyakan kes mangsa digigit ular kerana haiwan berbisa itu terkejut, terpijak atau habitatnya diganggu manusia.
“Sekiranya terserempak dengan ular, jangan cuba lari, tapi berhenti dan jangan bergerak. Selalunya ular akan berlalu pergi.
“Kadang-kala bila kita panik, secara tak langsung mendatangkan ancaman kepada ular. Jadi kerana itu ular akan gigit atau patuk kita,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, JPAM sentiasa bersedia menangani ancaman haiwan berbisa dan mempunyai anggota yang berkemahiran selain dilengkapi pelbagai peralatan.
“Setakat ini kes tangkapan ular dapat ditangani dengan baik dan tiada kes kritikal akibat patukan ular berbisa dalam kalangan anggota dilaporkan.
“Jadi saya menasihatkan orang awam supaya menghubungi JPAM sekiranya ada ular memasuki rumah dan jangan ambil tindakan yang boleh membahayakan nyawa,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihati penduduk, jika kediaman berhampiran ladang kelapa sawit atau belukar disaran menabur belerang di keliling rumah.

Muzium Negeri terima tetamu istimewa dari seberang

Dikirim oleh Warieh Isnin, 27 Mei 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2013
Muzium Negeri terima tetamu istimewa dari seberang
Asrul (empat, kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ketua LKAAM, Lubuk Sakti.
SEREMBAN – Muzium Negeri menerima lawatan 26 tetamu dari Lembaga Kerapatan Adat Alam Minangkabau (LKAAM).

Lawatan sehari yang diketuai Datuk Lubuk Sakti Djafri itu diisi dengan lawatan melihat pameran dan artifak serta taklimat disampaikan Penolong Kurator Bahagian Pengurusan Muzium, Asrul Effendi Kamaruzzaman.

Asrul berkata, kunjungan tersebut dapat memberi kefahaman dan pengetahuan kepada pelancong bahawa muzium bukan sekadar menjadi destinasi pelancongan menarik untuk dilawati, tetapi juga gedung ilmu.

“Muzium merupakan salah satu pilihan lokasi yang boleh dikunjungi oleh pelancong yang datang ke negeri ini.

“Malah, di sini juga tempat mereka boleh mendapat pengetahuan tentang sejarah dan adat istiadat yang menjadi kebanggaan penduduk Negeri Sembilan,” katanya

Menurutnya, kunjungan itu juga menjadi permulaan baik yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim  antara kedua belah pihak, selain usaha muzium dalam mempromosikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan menarik di negara ini.

Minta ditubuhkan jabatan ICT

Dikirim oleh Warieh Selasa, 14 Mei 2013 0 Komen


NUR SHARIEZA ISMAIL
13 Mei 2013
Minta ditubuhkan jabatan ICT
Omar (tengah) berkesempatan melawat pengunjung yang menderma darah pada Kempen Derma Darah sempena Hari Guru 2013 anjuran NUTP Cawangan Negeri Sembilan, kelmarin.
SEREMBAN – Kerajaan diminta menubuhkan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Jabatan Inovasi dalam pembentukan kabinet tidak lama lagi.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, dengan penubuhan jabatan itu, ia akan membolehkan 10,000 pegawai dan kakitangan ditempatkan di bawah satu bumbung seperti Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Audit Negara.

“Cadangan ini perlu dikaji kerana sudah tiba masanya pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan perlu mempunyai jabatan sendiri memandangkan buat masa ini, mereka ditempatkan di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Derma Darah sempena Hari Guru 2013 anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Negeri Sembilan, kelmarin.

Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan; Pengerusi NUTP Negeri Sembilan, Abu Bakar Ab Rahman dan Pengerusi Cuepacs Negeri Sembilan, Sazali Hussein.

Menurut beliau, apabila tertubuhnya Jabatan ICT dan Jabatan Inovasi, ia akan menjadi lebih mudah bagi kerajaan dalam merangka perancangan untuk meningkatkan kecekapan ICT dan inovasi dalam sektor awam.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, Cuepacs menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang peka terhadap kebajikan penjawat awam.

“Kita mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana mendapat semula mandat dan Cuepacs akan bekerjasama dengan kerajaan khususnya berkaitan kebajikan penjawat awam,” katanya.

Prestasi penjawat awam meningkat

Dikirim oleh Warieh Rabu, 10 April 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
10 April 2013
SEREMBAN – Kakitangan penjawat awam di negeri ini menunjukkan prestasi yang baik serta meningkat, sehingga menerima banyak surat pujian daripada orang awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau berbangga apabila kerajaan negeri menerima banyak pujian daripada orang awam yang berpuas hati tindakan serta layanan kakitangan awam di negeri ini.

“Saya bangga dengan pancapaian yang ditunjukkan jabatan di negeri ini kerana ia sentiasa mengutamakan pelanggan dan memberi perkhidmatan terbaik.

“Banyak surat yang saya terima menyatakan berpuas hati dengan layanan diberi, malah setiap masalah berbangkit juga berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat. Saya harap prestasi yang cemerlang sebegini dapat dikekalkan sampai bila-bila,” katanya
pada Majlis Makan Tengahari bersama Ketua-Ketua Jabatan di Royale Bintang Spa & Resort, di sini, semalam yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

KPT iktiraf 3 penyelidikan USIM

Dikirim oleh Warieh Rabu, 27 Mac 2013 0 Komen


Asma Ismail menerima sijil penghargaan daripada Ab. Rahim Md Noor pada majlis Malam Citra di Seremban, baru-baru ini.
SEREMBAN 26 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi mengiktiraf tiga penyelidikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berpotensi untuk dikomersialkan serta memenangi anugerah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan dalam tempoh 2011 dan 2012.
Penciptaan inovasi USIM itu meliputi penyelidikan berhubung Linguistik Bahasa Arab dengan Kaedah Muthla Takamuliah, Alatan Penyiasatan Forensik Digital dan Tekanan Keluarga E-Sohffanz.
Sehubungan itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail bersama penyelidik universiti itu telah dianugerahkan sijil penghargaan kementerian pada majlis Malam Citra yang diadakan baru-baru ini.


Mohamad Hasan beramah mesra serta menyampaikan anugerah kepada sebahagian penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2012 Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Seremban, malam semalam.
SEREMBAN 26 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu satu mekanisme diwujudkan untuk mencanangkan kerja baik yang dilakukan penjawat awam negeri ini supaya tanggapan buruk terhadap agensi kerajaan dapat dihakis.
Katanya, sudah sampai masanya label dan jenama baik penjawat awam itu diperkenalkan dalam kalangan masyarakat supaya mereka dapat berasa selesa, mudah dan gembira berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan di negeri ini.
"Janganlah ada yang hanya mendendangkan lagu buruk sahaja berkaitan penjawat awam. Kita perlu bangkit dan canangkan tahap kecemerlangan serta keupayaan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.


SEREMBAN 26 Mac - Kecemerlangan yang dipamerkan oleh penjawat awam di negeri ini telah menyumbang secara langsung kepada kejayaan pentadbiran kerajaan negeri pada tahun lalu.
Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, secara keseluruhannya pentadbiran kerajaan negeri telah berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negeri.
''Ini kerana kerja kuat yang ditunjukkan penjawat awam selain memudahkan cara kerja, telah menarik minat lebih ramai pelabur datang ke sini serta penerimaan baik rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan," katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 di Klana Resort di sini malam tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan melibatkan lebih 500 penjawat awam pentadbiran kerajaan negeri menerima anugerah tersebut.

MB Negeri Sembilan tegur pegawai tidak jujur

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 15 Mac 2013 0 Komen


SARINAH MAT KASIM
15 Mac 2013
SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegur perbuatan segelintir kakitangan awam di negeri ini yang tidak jujur apabila membocorkan rahsia jabatan kepada pihak tidak sepatutnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbuatan ini bertentangan dengan prinsip dan etika kakitangan kerajaan yang sepatutnya menyimpan rahsia jabatan dengan baik.

"Saya tahu, banyak rahsia kerajaan negeri bocor disebabkan terdapat segelintir pegawai kita yang tidak jujur, dengan memberi maklumat sulit kepada pihak tidak sepatutnya. Tindakan ini sepatutnya dihentikan," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 300 pegawai awam pada Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai-Pegawai di Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Speaker Dun, Datuk Razak Mansor.

Justeru Mohamad menasihatkan kakitangan awam supaya tidak melakukan khianat terhadap ketua jabatan mereka hanya semata-mata untuk kepentingan orang luar.

"Saya minta semua pegawai awam yang bekerja di Negeri Sembilan agar sentiasa bersikap jujur dan ikhlas dalam pekerjaan mereka.

"Jangan sesekali mengkhianati ketua mahupun pemimpin kita semata-mata mahu membantu pihak luar," katanya.

Mohamad  juga berkata, aduan mengenai cara kerja dan perkhidmatan kakitangan awam di negeri ini dilaporkan semakin menurun, berbanding pada  2008 apabila laporan yang diterima hampir 100 peratus.

Bagaimanapun, katanya, sehingga tempoh ini, pihaknya hanya menerima aduan mengenai kakitangan awam sebanyak 20 peratus sahaja.

“Saya berbangga dengan kadar penurunan aduan terhadap kakitangan awam negeri ini yang membuktikan bahawa setiap pekerja kita berada dalam keadaan bersedia dan berhemah dalam memberi perkhidmatan.

“Pada masa ini, saya kurang mendapat aduan, sebaliknya banyak menerima surat pujian daripada orang awam yang memuji kakitangan awam kita melayan mereka dengan baik, sehingga kesulitan dihadapi dapat diselesaikan. Syabas kepada semua," katanya.

CUEPACS sambut baik pengumuman Najib

Dikirim oleh Warieh Selasa, 12 Mac 2013 0 Komen


PUTRAJAYA 11 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII).
Presidennya, Datuk Omar Osman (gambar) berkata, berita baik tersebut sememangnya dinanti-nantikan hampir 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara dan diyakini mampu menjadikan mereka lebih produktif.
"Penjawat awam diingatkan supaya meningkatkan produktiviti dan mengikut saranan yang diberikan oleh Perdana Menteri.
"Iaitu jangan rasuah, menyalahguna kuasa dan jangan menyampaikan maklumat ke luar daripada lingkungan kita," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengumuman berita baik Perdana Menteri untuk penjawat awam sempena MAPPA XIII.
Menurut Omar, pihaknya bersetuju dengan langkah kerajaan menyelaraskan gred gaji pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Perkhidmatan Awam Am.
Beliau berkata, langkah drastik kerajaan itu perlu untuk menghormati peranan yang dimainkan oleh anggota keselamatan selama ini.
"Selepas ini ramai yang akan menyertai tentera dan polis disebabkan langkah penyelarasan ini," katanya.

PM umum berita gembira kakitangan awam 11 Mac?

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 1 Mac 2013 0 Komen


Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2013
Datuk Seri Dr Ali Hamsa
Datuk Seri Dr Ali Hamsa 
 
Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.

"Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti dan sampai ke tahap maksimum," katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM yang bersiaran semalam.

Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.

Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman secepat yang boleh.

Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula tahun ini kepada pesara kerajaan.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada 11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.

Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

"Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi kewangan yang lebih," katanya.

Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan berintegriti.

Katanya, tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. - Bernama

Muhyiddin minta sektor awam tunggu 'berita baik' PM

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 22 Februari 2013 0 Komen


JAMILAH HAMZAH
21 Februari 2013
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi 1.4 juta kakitangan awam akan menerima berita baik tidak lama lagi, yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, tuntutan dan rundingan yang telah dibuat oleh Cuepacs dan perdana menteri menunggu masa sesuai untuk  diumumkan.

"Banyak perkara telah dituntut oleh Cuepacs dan saya rasa sudah beberapa kali Cuepacs berjumpa dengan perdana menteri, ada serahkan surat dan memorandum.

"Apa yang dituntut oleh penjawat awam melalui Cuepacs telah dibawa ke perdana menteri dan insya-ALLAH mungkin ada berita baik tidak lama lagi.

"Kita tunggu dan bersabar sajalah bila dan apa yang akan diumumkan oleh perdana menteri nanti," kata beliau di hadapan 3,000 peserta pada Majlis Perjumpaan Khas Cuepacs bersama beliau hari ini di sini.

Bulan lalu, Muhyiddin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa masalahmereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara.

"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan, namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.

"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Presiden Umno berkata, penjawat awam merupakan tunggak utama bagi melaksanakan dasar dan plan pembangunan.

Muhyiddin juga berkata, Cuepacs membantu kerajaan dan penjawat awam berinteraksi untuk mencari mekanisme yang lebih berkesan bagi menyelesaikan apa jua perkara.

"Kita akui penjawat awam adalah tunggak utama kepada kerajaan dalam pembangunan ekonomi negara dan sebagainya.

"Namun, saya ucapkan tahniah kepada Cuepacs yang menjadi orang perantaraan antara kerajaan dan penjawat awam untuk mencari cara yang berkesan dalam menangani isu-isu berkaitan," katanya lagi.

Majlis perjumpaan ini juga adalah julung kali diadakan bagi membingcang masalah dan kekeliruan yang dihadapi oleh penjawat awam.

Pada program ini peserta berinteraksi secara langsung dengan Muhyiddin bertanyakan soalan yang berkaitan sektor awam.

CUEPACS syor kadar faedah rumah diturun

Dikirim oleh Warieh Rabu, 20 Februari 2013 0 Komen


PULAU PINANG 19 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan untuk kakitangan awam daripada empat peratus kepada satu peratus.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kadar empat peratus itu membebankan khususnya bagi penjawat awam gred rendah yang menikmati gaji di bawah RM2,000 sebulan.
"Bayangkan dengan gaji sebanyak itu dan terpaksa pula membayar faedah empat peratus untuk perumahan, kadar tersebut membebankan kerana perbelanjaan lain juga meningkat.
"Tambahan pula, ketika ini harga rumah semakin mahal kerana kebanyakannya dijual antara RM150,000 dan RM400,000," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Balai Bomba Bayan Baru, di sini hari ini.
Menurut beliau, kajian penurunan kadar faedah itu perlu dilakukan supaya penjawat awam daripada pelbagai gred berjumlah 1.4 juta orang akan menerima manfaatnya.

Jadikan 2013 sebagai tahun senyum: Cuepacs

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 15 Februari 2013 0 Komen



15 Februari 2013
Omar Osman
Omar Osman
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan penjawat awam menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang penuh dengan senyuman.

Presidennya, Datuk Omar Osman membuat saranan itu kerana mendapati budaya senyum masih kurang diamalkan dalam kalangan penjawat awam terutama semasa melayani pelanggan.

"Sudah banyak kempen senyum ini diadakan di mana-mana tempat namun kesedaran menerapkan budaya senyum ini masih rendah terutamanya semasa dalam situasi melayan pelanggan.

"Kalau boleh pagi-pagi datang kerja jangan bawa masalah peribadi datang ke pejabat. Sebagai pekerja berkaliber kita mesti tunjukkan semangat dengan penuh keceriaan. Kita kena fikir semua orang ada masalah dan kalau kita bawa 'mood' ceria ke tempat kerja, produktiviti kerja pun meningkat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan harus memberikan penekanan kepada isu berkenaan dalam setiap mesyuarat supaya budaya itu dirasakan menjadi satu tanggungjawab kepada setiap kakitangan.

"Memang kita akui setiap jabatan mempunyai piagamnya tersendiri dan kandungan piagamnya ada yang menyatakan budaya ini namun pelaksanaannya tidak begitu rancak di kalangan kakitangan.

"Malah ada sesetengah kakitangan diwajibkan memakai tag lambang senyum di uniform mereka tetapi apabila lambang senyum itu sekadar dijadikan hiasan ia dilihat sebagai simbol semata-mata," katanya.

Menurut Omar, beliau pernah menerima beberapa aduan berkenaan sikap atau layanan sesetengah kakitangan kerajaan yang tidak memuaskan semasa mendapatkan perkhidmatan.

"Apabila mendapat aduan seperti itu saya rasa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan dan pada pendapat saya kalau pekerjaan yang memerlukan kakitangan untuk berada di kaunter perlu diberikan kepada orang muda atau yang belum berkahwin kerana mereka mungkin tidak banyak masalah kekeluargaan lagi," katanya.

Beliau berkata ketua-ketua jabatan juga boleh mengundang Cuepacs untuk memberi taklimat berkenaan budaya berkenaan kepada kakitangan masing-masing.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati orang ramai mempunyai pendapat tersendiri berhubung budaya senyum.

Seorang pelajar, Razlina Ahmat, 24, berkata beliau amat kecewa kerana masih ramai memandang remeh budaya senyum.

"Banyak saya lihat iklan mengamalkan budaya senyum di merata-rata tempat tetapi kebanyakan iklan hanya menjadi bahan bacaan semata-mata. Tidak salah jika kita senyum pada orang lain kerana bukan sahaja nampak manis malah akan mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain," katanya.

Pekerja swasta, Ismadi Adnan, 26, berpendapat seseorang profesional seharusnya tidak membawa masalah di rumah ke tempat kerja.

"Saya akui semua orang mempunyai masalah tersendiri namun sebagai seorang yang profesional mereka mestilah pandai membezakan antara masalah peribadi dan tempat kerja," katanya. - Bernama

Seorang pegawai, 11 anggota bomba dikenakan tindakan

Dikirim oleh Warieh Khamis, 7 Februari 2013 0 Komen


SAADON Moktar (tengah) beramah mesra dengan sebahagian wakil media selepas menyampaikan sijil penghargaan sempena majlis perbarisan tahunan di pekarangan Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di Seremban 2, semalam. 
 
SEREMBAN 6 Feb. - Seorang pegawai dan 11 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ini telah dikenakan tindakan tata tertib atas pelbagai kesalahan termasuk salah laku disiplin sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar berkata, pegawai terbabit dibuang kerja kerana tidak hadir bertugas lebih 14 hari serta gagal dikesan manakala 11 anggota lain dikenakan tindakan antaranya kenaikan gaji ditahan dan diberi amaran.
"Saya meminta ketua Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negeri ini mengawal sepenuhnya pergerakan pegawai dan anggota mereka bagi memastikan tidak ada pegawai yang terlibat dengan salah laku.

Pesara perlu jadi duta - MB

Dikirim oleh Warieh Rabu, 6 Februari 2013 0 Komen


MOHAMAD Hasan (kiri) bersalam dan beramah mesra dengan sebahagian pesara kerajaan dalam Majlis Penghargaan Pesara 2012 di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN 5 Feb. - Para pesara kerajaan di negeri ini dinasihatkan menjadi duta kepada kerajaan dalam menerangkan fakta dan menangkis segala tohmahan yang dilemparkan pihak berkepentingan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, masyarakat melihat pesara kerajaan mempunyai maklumat dan keupayaan dalam menerangkan segala fakta apatah lagi ada dalam kalangan mereka yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam jabatan dan agensi kerajaan.
Malah kata beliau, mereka juga boleh berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan bagi membolehkan setiap perkara yang berlaku di tempat mereka dapat diperjelaskan.
...

Polis giat latih 300 AIO berpangkat Sarjan

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 18 Januari 2013 0 Komen

JEMPOL 17 Jan. - Sebanyak 300 pelatih kini sedang giat menjalani latihan bagi mengisi kekosongan jawatan Penolong Pegawai Penyiasat (AIO) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan.
Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM, Datuk Shahbudin Abdul Wahab berkata, kesemua pelatih terbabit terdiri daripada anggota polis dan orang awam yang mempunyai taraf pendidikan peringkat diploma.
"Mereka merupakan peserta siri kedua bagi tahun ini yang akan menjalani latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
"Peserta sesi pertama melibatkan 400 peserta telah tamat menjalani latihan pada 5 Januari lalu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Komandan Pulapol Air Hitam, di sini semalam.
Jelasnya, pelatih berkenaan terdiri daripada anggota PDRM lelaki dan wanita namun bagi kategori orang awam pengambilan hanya dilakukan terhadap pelatih lelaki.

MAINS perhebat unit dakwah dan masjid

Dikirim oleh Warieh Rabu, 15 Ogos 2012 0 Komen


MOHAMAD Hasan bergambar bersama sebahagian nazir, imam dan guru takmir selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Klana Resort, Seremban, semalam. 
 
SEREMBAN 13 Ogos - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan memperhebatkan unit dakwah dan masjid supaya syiar Islam dapat terus dikembangkan di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia perlu supaya golongan sasar seperti mualaf, Orang Asli dan golongan istimewa dapat diberikan perhatian sewajarnya oleh pendakwah serta jawatankuasa masjid seluruh negeri.
"Golongan cacat penglihatan juga perlu dibimbing termasuk pada peringkat ini menyediakan pendakwah khususnya pelajar yang baru balik dari Mesir untuk mempelajari tulisan braille dan membantu dalam hal ini," katanya di Klana Resort di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada nazir, imam dan guru takmir seluruh negeri ini di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pendakwah hendaklah sentiasa mendekati golongan mualaf dan Orang Asli supaya mereka tidak melihat keputusan memeluk Islam itu sebagai satu beban dalam kehidupan kelak.
"Masjid yang berperanan sebagai pusat komuniti dan ibadah hendaklah juga bertindak sebagai penjana ekonomi dengan diwujudkan koperasi masjid selain program ilmu untuk manfaat umat Islam sekalian," katanya.
Dalam pada itu Mohamad berkata, keyakinan syarikat besar membayar zakat kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) membolehkan ia mengumpulkan RM58 juta bagi membantu asnaf.
Tegasnya, dalam tempoh setengah bulan pertama pada tahun ini sahaja, PZNS telah mengumpul zakat sebanyak RM31 juta.
"Tahun lalu seramai 5,820 orang menerima bantuan bulanan di bawah asnaf fakir dan miskin manakala bantuan berkala yang pelbagai pula melibatkan lebih 12,000 orang yang diuruskan Baitulmal.
"Tahun lalu juga sebanyak RM1.7 juta dibelanjakan untuk memberi bantuan pesakit buah pinggang dan pada tahun ini MAINS meningkatkan jumlah itu kepada RM2.2 juta," tegasnya.
Pada majlis hari ini, MAINS yang memperoleh keuntungan melalui pelaburannya menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM927,000 kepada lebih 1,500 orang nazir, imam dan guru takmir.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook