Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label kebajikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kebajikan. Papar semua catatan

Kenal pasti punca banjir kilat: Aminuddin

Dikirim oleh Warieh Selasa, 18 September 2018 0 Komen



PORT DICKSON - Kerajaan negeri akan mencari dan mengenalpasti punca kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Ladang Sengkang, Linggi baru-baru ini.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kejadian banjir kilat di kawasan itu bukan perkara baharu, sebaliknya pernah berlaku sejak bertahun dahulu semasa di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN.
Menurut beliau, pihaknya bersama agensi kerajaan akan mencari dan mengenalpasti punca utama berlakunya kejadian banjir bagi memastikan tiada perkara sama berulang.
“Kejadian ni bukanlah perkara baru, sejak dulu lagi kawasan ini kerap dilanda banjir kilat.
“Sekarang ini, kerajaan negeri akan mencari dan mengenalpasti punca utama kejadian banjir kilat sekaligus menyelesaikannya.
“Daripada tinjauan yang dilakukan tadi, saya dapati sistem saliran dan saluran kampung itu bermasalah, ada yang tersumbat sehingga air tidak dapat mengalir dengan sempurna, jadi mereka yang terlibat terutamanya pemilik tanah di situ dan tanah ladang perlu ambil perhatian  dengan membersihkan kawasan mereka dengan sempurna,” katanya.
Selain itu katanya, hujan lebat berlarutan dari pagi hingga tengah hari menyebabkan air lambat mengalir ke laut dan kesan air pasang besar menyebabkan berlaku banjir kilat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Sungai Raya Linggi, semalam.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Wanita dan Masyarakat negeri, Nicole Tan.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam masa terdekat.
Seramai 12 keluarga membabitkan 57 orang terlibat dalam kejadian banjir kilat, bagaimana pun hanya tiga keluarga sahaja yang di pindah ke pusat pemindahan.








SEREMBAN - Seramai 430 peniaga di Pasar Besar Seremban dikecualikan bayaran sewa bermula 1 Ogos ini sehingga 31 Disember.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata ini bagi membantu meringankan beban peniaga yang kini mengalami kerugian akibat kekurangan pengunjung sejak tingkat atas pasar tersebut terbakar tahun lalu.

Katanya, pihaknya menerima rungutan daripada peniaga di pasar ini yang terpaksa menanggung kerugian kerana kurang pembeli, selain masalah parkir yang sangat terhad berikutan peniaga yang terjejas berniaga sementara di ruang parkir.

“Kita sedia maklum masalah yang dihadapi peniaga di sini, sejak tingkat atas terbakar perniagaan mereka agak merosot kerana kurang pengunjung.

“Disebabkan itu kita setuju untuk memberi pengecualian bayaran sewa selama lima bulan bermula 1 Ogos ini sehingga hujung tahun dengan bayaran antara RM100 sehingga RM200.

“Kerja-kerja pembinaan dan naik taraf tingkat atas sudah memasuki 70 peratus dan kita berharap ia dapat dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebelum Tahun Baru Cina tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat di Pasar Besar Seremban pagi tadi.
Pada 9 September tahun lalu, Pasar Besar Seremban terbakar menyebabkan keseluruhan tingkat satu musnah dengan melibatkan sebanyak 197 gerai.
Berikutan itu, kerajaan Negeri melalui beberapa kementerian terlibat memperuntukkan RM12 juta bagi projek menaik taraf bahagian yang musnah tersebut.
Buat masa ini, kesemua peniaga yang terlibat berniaga di perkarangan parkir Pasar Besar Seremban itu, sementara menunggu kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya.


NS bakal wujud taska di tempat kerja

Dikirim oleh Warieh Selasa, 17 Julai 2018 0 Komen





SEREMBAN – Kerajaan negeri akan melaksanakan penyediaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di tempat kerja awam dan swasta tidak lama lagi.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, ini sebahagian manifesto Pakatan Harapan (Harapan) dan pihaknya sangat komited dalam merealisasikan perkara tersebut.


Menurutnya, beliau akan membuat kertas kerja bagi memastikan semua jabatan agensi kerajaan terutama yang ada di Wisma Persekutuan dan Wisma Negeri mempunyai taska.

“Saya akan dapatkan maklum balas semua pihak mengenai keperluan taska di tempat kerja, jika mempunyai permintaan yang tinggi kita akan laksanakan mengikut keperluan tempat tersebut.

“Selain itu, saya akan buat perjumpaan bersama semua syarikat swasta di negeri ini yang mempunyai ramai pekerja, agar memberi kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan taska di tempat kerja mereka.

“Saya yakin, jika semua pihak dapat bekerjasama dengan baik sudah pasti hasrat untuk menyediakan taska di tempat kerja dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Jualan Amal di Forest Height Senawang di sini, semalam.
Ujarnya, setiap jabatan agensi kerajaan mempunyai peruntukkan sekurang-kurangnya RM200,000 setahun untuk keperluan jabatan dalam menyediakan taska di tempat kerja, tetapi masih ada yang tidak menggunakannya.

Katanya, beliau berharap pada kali ini hasrat untuk menubuhkan taska di tempat kerja akan dapat dilaksanakan dengan sempurna, sekali gus memenuhi janji dalam manifesto Harapan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mendesak supaya meminda Akta Taska, agar membenarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pantau pengasuh yang mengasuh lebih daripada empat orang kanak-kanak di rumah dalam satu masa.
Katanya, sebelum ini, tiada sebarang undang-undang ditetapkan tetapi pada kali ini, pihaknya mendesak supaya pemantauan yang teliti perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang berlaku terhadap adik Adam berulang.

Hidup berubah sekelip mata

Dikirim oleh Warieh Rabu, 14 Ogos 2013 0 Komen


  • Hidup berubah sekelip mata  
  • Nazrul yang tiada tangan kanan turut menghadapi kesukaran berjalan akibat kemalangan itu.

KUALA PILAH – Tarikh keramat 10 Februari 1997, pasti tidak akan dilupakan oleh seorang pemuda apabila terlibat dalam nahas jalan raya yang mengubah hidupnya selain turut mengorbankan sepupunya.

Nazrul Nazri, 33, berkata, ketika kejadian, motosikal yang ditunggang bersama sepupunya dilanggar kenderaan lain di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir di Kampung Gentam.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia putus tangan kanan sehingga ke paras bahu, putus jari manis dan kaki kanannya patah.

"Selepas kejadian itu, kehidupan saya berubah apabila disahkan mengalami pelbagai komplikasi penyakit dan perlu dirawat selama sebulan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

“Selepas keluar hospital, saya boleh berjalan, namun pada Jun 1998, saya mengalami kebas di kaki kanan dan keadaan kaki saya menjadi semakin lemah. Pada Oktober tahun sama, saya terpaksa berjalan menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pelangai Hilir, baru-baru ini.

Tidak terhenti di situ, pada Mei 1999, Nazrul dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menjalani pemeriksaan X-Ray dan mendapati tulang tengkuknya retak manakala tulang belakang sebelah kiri dimasuki kuman serta air tulang belakang berketul.

“Atas nasihat doktor, pada Jun 1999, saya menjalani pembedahan di bahagian tengkuk termasuk tulang belakang. Mulai saat itu, kehidupan saya berubah kerana tidak mampu berjalan dan doktor mengesahkan saya mengidap penyakit ‘brown squad syndrom’ (kurang daya tahan urat sarat).

“Walaupun sedih, saya tetap cekal untuk menjalani fisioterapi di HUKM selama tiga bulan sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah kerana berhampiran dengan rumah,” katanya.

Nazrul berkata, mulai 2002 dia tidak lagi menjalani pemeriksaan di hospital kerana menghadapi masalah pengangkutan dan kewangan.

“Hampir 10 tahun, saya tidak menjalani pemeriksaan. Kemudian, pada 2012, saya melakukan pemeriksaan di HTJ dan doktor memberitahu tulang tengkuk saya bengkok, manakala tulang tengkorak dan tulang belakang tidak selari.

“Kes saya ini sudah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pihak doktor mengatakan dua batang tulang di bahagian leher terpaksa diganti dengan tatinium dengan kos keseluruhan melebihi RM8,000," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia terpaksa menangguhkan pembedahan itu kerana tidak mampu dan hanya berubat secara tradisional.

Sementara itu, Nazrul berkata, kini dia hanya bergantung wang pencen arwah ayahnya yang sebelum ini bertugas sebagai anggota polis sebanyak RM400 sebulan.

"Ibu saya, Rajah Jaali, 55, seorang ibu tunggal dan dengan wang pencen itu, kami sekeluarga gunakan untuk menampung kos harian termasuk perbelanjaan sekolah adik perempuan saya.

"Selain itu, ibu juga menanggung seorang makcik yang merupakan orang kurang upaya cacat penglihatan. Ibu pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk makcik tetapi tidak dilayan," katanya.

Menurutnya, walaupun dia ada menerima bantuan JKM dan Baitulmal, namun itu juga tidak mencukupi untuk menampung kos perubatannya.

“Kos ubat saya setiap bulan melebihi RM500 sedangkan saya hanya menerima RM300 dari JKM dan Baitulmal sebanyak RM100 sebulan.

"Pihak HTAN juga menasihatkan saya agar membuat bilik air dan tandas baru sesuai dengan keadaan saya dan itu semua memerlukan kos tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, doktor pernah menyarankannya menggunakan katil elektrik yang bersaiz besar bagi memudahkannya meluruskan badan dan bergerak ke kiri dan kanan yang menelan kos sebanyak RM20,000.

Kepada sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan bagi meringankan penderitaan Nazrul boleh menghubunginya di talian 013-2988958.


  • Nasib Nur Haswani meruntun jiwa 
  •  Norfizah membetulkan lapisan sokongan yang dipakai pada tangan anaknya yang lemah akibat diserang strok Jun lalu.

SENAWANG – “Saya tidak tahu macam mana nasib dan masa depan anak saya apabila saya tidak ada untuk menjaganya lagi. Dialah satu-satunya anak perempuan saya..." Itulah luahan ibu tunggal, Norfizah Othman, 42, yang perlu menjaga anak perempuannya, Nur Haswani Hassan 19, selepas doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggang Nur Haswani mengecut dan tidak berfungsi dengan baik sejak Mei tahun lalu.

Selama lebih setahun ini, Nur Haswani perlu bergantung hidup dengan menjalani rawatan cucian kedua-dua buah pinggangnya.

Setiap penjagaan dan keperluan Nur Haswani dalam menjalani rawatan selain perbelanjaan mencecah RM400 setiap bulan, telah diselia sempurna ibunya yang cekal menempuh dugaan dengan dibantu ahli keluarga yang lain biarpun hanya berpendapatan sederhana.

Norfizah yang bekerja swasta berkata,  memikirkan nasib dan masa depan anak keduanya itu, memang meruntun jiwanya.

“Saya sebak sangat, tidak tahulah macam mana nasib dia kalau saya dah tiada. Tetapi perkara ini saya tidak pernah timbulkan pada Nur Haswani,  walaupun pada hakikatnya satu hari nanti ia pasti akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian dekat sini.

Beliau berkata, ketika  dimaklumkan mengenai keadaan Nur Haswani selepas doktor mengesahkan Hp darahnya rendah, dan kedua-dua buah pinggangnya tidak berfungsi dengan baik,  dia amat terkejut.

“Saya sangat terkejut, Memang dalam ahli keluarga tidak ada yang mengalami masalah seperti ini  tetapi akhirnya saya terpaksa redha dengan ketentuan ALLAH SWT.

“Kini keadaan kedua-dua buah pinggang Nur Haswani berada pada tahap kritikal dan anak saya terpaksa bergantung hidup dengan membuat rawatan cucian  daripada hos air cucian yang dibekalkan hospital sebanyak empat kali dalam sehari,” katanya.

Kata ibu kepada empat orang anak itu, sebelum Nur Haswani disahkan mengalami penyakit buah pinggang ini, dia merupakan anak yang aktif dan banyak membantunya dalam membuat kerja-kerja rumah, tetapi sekarang anak gadisnya itu tidak mampu aktif seperti dahulu kerana dia akan mudah diserang strok. Dunianya hanya di rumah tidak seperti remaja lain.

“Kali terakhir Nur Haswani diserang strok pada Jun lalu, menyebabkan dia ditahan wad selama tiga minggu. Sekarang ini tangan kanannya lemah akibat diserang strok dan perlu menjalani fisioterapi seminggu sekali di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi memulihkan kembali pergerakan tangannya,” katanya.

Norfizah memberitahu, ketika ini dia dan anaknya menunggu masa yang sesuai untuk melakukan pembedahan untuk pemindahan buah pinggang.

Tumpang kasih nenek

Dikirim oleh Warieh Selasa, 23 Julai 2013 0 Komen


Tumpang kasih nenek
Awaludin (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada Aisyah sambil diperhatikan Naemah (kanan) pada Program Ziarah Ramadan PPD Rembau di Rumah Rakyat Chengkau, semalam.
CHENGKAU – Tiga beradik berusia tujuh hingga 15 tahun kini menumpang kasih di rumah nenek mereka di Rumah Rakyat Chengkau, di sini, sejak November tahun lalu selepas kedua ibu bapa mereka bercerai.

Nasib salah seorang daripada tiga beradik berkenaan, Mohamad Iqmal Hafeez Ismail, 11, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bongek mendapat perhatian Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Rembau melalui Program Ziarah Ramadan yang masuk tahun keempat perlaksanaannya.

Nenek tiga beradik berkenaan, Aisyah Abdullah, 58, berkata, tiga cucu berkenaan kini menetap di rumahnya setelah anak sulungnya Ismail Hassan, 42, pulih dari sakit dipercayai terkena buatan orang.

“Selama tujuh tahun saya berikhtiar mengubati anak secara kampung dan pada tahun lalu penyakit anak saya ini beransur pulih.  Setelah pulih, anak saya membawa tiga anaknya menetap bersama saya bagi memastikan ketiga-tiga anaknya ini dapat meneruskan persekolahan di sini.

“Malah, saya juga sangat berharap ketiga-tiga cucu saya ini akan dapat terus menyambung persekolahan mereka memandangkan 12 tahun lalu selepas kematian suami akibat kemalangan, anak bongsu saya hanya mampu belajar sehingga ke tingkatan tiga sahaja,” katanya.

Aisyah berkata, jika diikutkan 12 tahun lalu, tiada bantuan dapat disalurkan kepadanya bagi membesarkan anak-anak, namun pada masa kini senario berkenaan berubah apabila terdapat banyak bantuan yang ditawarkan kerajaan bagi individu memerlukan.

Menurutnya, atas dasar itu, anak sulungnya memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan persekolahan anak-anaknya kerana anaknya kini hanya bekerja kontrak sahaja berbanding dengan kerjayanya semasa sihat dahulu iaitu sebagai seorang anggota polis.

“Namun disebabkan saya juga menerima bantuan JKM dan Baitulmal sejak 2007 kerana masalah sakit di bahagian leher sehingga terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali, cucu-cucu saya tidak berpeluang menerima bantuan berkenaan.

“Kalau boleh saya memang harap sangat dapat bantuan berkenaan.  Malah, saya sangat berterima kasih kerana sempena Ramadan ini pihak PPD dan wakil rakyat datang terlebih dahulu menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga, " katanya.

Pada program itu, Speaker Dun yang juga Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said hadir bagi menyampaikan bantuan kepada lapan penerima di Dun berkenaan diiringi Pegawai Pelajaran Daerah Rembau (PPD), Datin Naemah Ahmad Dahalan.

Pada tahun ini program berkenaan membabitkan 40 penerima di daerah berkenaan di mana 20 penerima adalah dari sembilan buah sekolah di Dun  Kota.

'Qaseh pengganti abang'

Dikirim oleh Warieh Rabu, 17 Julai 2013 0 Komen


'Qaseh pengganti abang'
Salbiah memangku Qaseh melihat gambar kenangan dia bersama arwah suaminya.
JEMPOL - Seorang ibu tunggal di sini mengibaratkan kehadiran bayi berusia empat bulan, dalam hidupnya sebagai pengganti suaminya yang meninggal dunia pada April lalu akibat penyakit kronik.

Ibu tunggal, Salbiah A.Kadis, 50, berkata, selama 13 tahun dia berkahwin dengan arwah suaminya, Zulkunain Jamaludin, 52, tidak pernah dikurniakan zuriat. Namun, kehadiran Nur Qaseh Ahmad Riduan, empat bulan sebagai anak angkat umpama penyeri hidupnya.

Menurutnya, Nur Qaseh merupakan anak kepada adiknya yang dijaga sejak dia berumur seminggu, dan mengakui bahawa faktor umurnya yang kini awal 50-an bukanlah penghalang untuknya merasa nikmat menjadi seorang ibu.

“Hidup tanpa suami pada tahun pertama Ramadan memang agak tersentuh, sebab suamilah yang banyak membantu saya dalam menguruskan perniagaan kuih raya iaitu popia goreng dan batang buruk.

“Semua kerja arwah buat, sebut sahaja. Sekarang ALLAH gantikan tempat abang dengan Qaseh supaya saya ada teman hidup dan ini merupakan satu nikmat yang sungguh berharga dalam hidup saya, " katanya.

Salbiah berkata, dia bersyukur apabila suaminya yang juga bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima Qaseh seadanya, walaupun dia hanya sempat menjaga bayi itu selama 41 hari sahaja, sebelum meninggal dunia.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai tempahan kuih sempena Syawal ini, Salbiah berkata, dia menerima banyak tempahan namun, terpaksa menolaknya kerana perlu menjaga Qaseh.

“Saya akui, sejak adanya Qaseh saya terpaksa memperlahankan perniagaan kuih ini. Biarlah susah mana pun, saya mesti kerja bagi menyara Qaseh dan ia untuk masa depannya juga.

“Kini, saya hanya mampu buat kuih itu sekitar 10 kilogram (kg) sahaja dengan purata 2kg setiap satu dalam masa sehari dengan harga lebih kurang RM30 bagi satu kg kuih popia goreng dan setengah kg RM12, batang buruk, " katanya.

Salbiah berharap satu hari nanti dia dapat memiliki bengkel sendiri ataupun kedai bagi menampung perbelanjaan harian.

'Pulanglah segera, nak'

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Julai 2013 0 Komen


'Pulanglah segera, nak'
Darmawati mencium baju kegemaran Hani bagi melepaskan rindu.
Hani Syamira Alias
Hani Syamira Alias
REMBAU – “Tolonglah pulang segera, nak,” rayu Darmawati Idris, 53, kepada anak ketiganya, Hani Syamira Alias, 17, yang menghilangkan diri sejak 3 Julai lalu.

Darmawati yang bekerja sebagai penyelia asrama salah sebuah sekolah menengah di daerah ini terpaksa bercuti sejak Selasa lalu akibat mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, dia bimbang dan gusar apabila Hani gagal dihubungi apabila kali terakhir anaknya itu menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada anak bongsunya, Amirul Hakim, 16, Ahad lalu menyatakan dia tidak dapat pulang kerana kereta milik ibu rakannya rosak.

Bagaimanapun, katanya, SMS berkenaan tidak berbalas, manakala panggilan tidak berjawab sebaik saja Amirul membalas SMS bertanya bila kakaknya mahu pulang.

“Puas sudah kami sekeluarga mencari Hani melalui rakan-rakannya, namun mereka tidak mengetahui di mana dia berada.

“Sejak Hani hilang, saya sering menunggunya pulang ke rumah dan setiap kali itu saya akan duduk berhampiran pintu rumah,” katanya.

Darmawati berkata, dia pasti punca kehilangan anaknya itu kerana Hani tidak mempunyai masalah dengannya, malah sehari sebelum menghilangkan diri, Hani sempat membantu memandikannya kerana dia kurang sihat.

“Anak saya sememangnya sering menjaga saya semasa sakit dan sanggup menemani saya semasa ditahan susulan penyakit kencing manis selama berminggu-minggu di wad Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan Hospital Tampin tahun lalu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota Indah, dekat sini, semalam.

Berikutan kehilangan itu, Darmawati membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Kepada sesiapa yang mengetahui atau melihat Hani, boleh menghubungi talian 019-6137877 atau memaklumkan ke mana-mana balai polis terdekat.

Adun biayai rawatan pesakit

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Adun biayai rawatan pesakit
Ravi (kiri) melihat keadaan tangan Kamaruzzam yang diserang strok.
PORT DICKSON – Seorang lelaki yang menghidap penyakit strok sejak empat bulan lega apabila menerima tawaran pembiayaan perubatan urutan tradisional daripada Adun Port Dickson, M Ravi.

Kamaruzzam Ab Karim, 40, berkata, dia diserang strok akibat tekanan darah tinggi dan ketika itu tinggal di Tawau, Sabah bersama isterinya sebelum pulang ke Rantau untuk tujuan perubatan.

Menurutnya, namun sebaik tiba di Seremban dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban lebih kurang seminggu, dia dibenarkan pulang.

"Saya diserang strok pada bahagian kanan badan dan doktor menetapkan tarikh untuk temu janji bagi tujuan perubatan adalah pada 10 Oktober akan datang.

“Dalam tempoh itu, tiada sebarang rawatan yang saya terima dan hanya bergantung kepada ubat darah tinggi. Saya ada juga ingin mencuba rawatan tradisional, tetapi saya tidak mampu kerana kosnya juga tinggi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabat Adun Port Dickson, baru-baru ini.

Bapa kepada lima anak ini juga berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai ejen pembekal rumpai laut di Sabah dan sekarang tidak lagi bekerja.

“Saya tidak bekerja buat masa ini dan terpaksa menumpang di rumah ayah. Ada juga hasrat untuk pulang semula ke Sabah kerana ketika di sana saya boleh mendapatkan perubatan tradisional secara percuma di kawasan kejiranan walaupun jarak untuk ke hospital memang agak jauh.

"Namun selepas menerima tawaran rawatan urutan tradisional daripada Adun Port Dickson, saya akan menangguhkan hasrat untuk pulang ke Sabah," katanya.

Sementara itu, Ravi berkata, Kamaruzzam datang ke pejabatnya untuk meminta bantuan dan selepas mendengar masalah dia, beliau menawarkan pembiayaan perubatan urutan tradisional.

“Sebelum ini, pernah ada kes yang sama seperti kes Kamaruzzam di mana seorang pemandu teksi mengalami strok dan terlantar. Namun selepas menerima rawatan urutan tersebut, lelaki itu boleh kembali bekerja memandu teksi.

“Saya harap selepas menerima rawatan itu, Kamaruzzam akan sembuh dan menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya.

Tertekan biasiswa dihentikan

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 6 Julai 2013 0 Komen


Tertekan biasiswa dihentikan
Mohd Suhib (kiri) bersama Mohd Syafiq ketika hadir ke pejabat Sinar Harian biro Negeri Sembilan di Seremban, semalam.
SEREMBAN - Kerana aktif dengan sebuah persatuan mubaligh Islam, seorang pelajar institut pengajian tinggi hilang sumber kewangan pembelajarannya apabila biasiswanya dihentikan pihak kolej sejak sebulan lalu.

Mohd Syafiq Mohd Suhib, 20, penuntut semester empat sebuah institut Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kota Bharu tertekan apabila pihak pengurusan kolej menghentikan elaun dan biasiswa pengajiannya kerana aktif dalam memperkembangkan dakwah Islam kepada golongan bukan Islam, selain memberi dakwah kepada golongan India Muslim.

Dia yang mengambil jurusan Sijil Pengajian Islam berkata, perkara itu hanya diketahui menerusi rakannya yang sama belajar di situ.

“Saya memang seorang aktivitis yang aktif dalam membantu memperkembangkan dakwah Islam di kalangan golongan bukan Islam, selain memberi dakwah kepada golongan India Muslim. Memandangkan persatuan mubaligh ini juga turut mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), saya berpendapat, ia bukanlah sesuatu yang salah jika saya aktif dalam persatuan ini.

“Tapi, saya tidak tahu dengan mengikuti persatuan ini, biasiswa dan elaun saya pula yang terjejas kerana mengikut makluman pegawai atasan kolej, mereka beritahu elaun saya dihentikan kerana saya aktif dalam persatuan tersebut," katanya.

Menurutnya, disebabkan tindakan itu, dia keliru sama ada persatuan berkenaan adalah pertubuhan sah, sedangkan ia disokong di bawah pengurusan Mains.

"Jadi, mengapa pula proses pembelajaran saya terjejas hanya kerana saya menyertai persatuan ini?. Bagi saya. itu adalah satu tindakan tidak adil dan saya dianiaya pihak pengurusan," katanya ketika hadir ke pejabat Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, bapanya, Mohd Suhid Abdullah, 48, berkata, dia sudah berjumpa dengan pegawai tertinggi Mains dan bertanyakan masalah tersebut memandangkan anaknya akan mendaftar untuk semester baru, esok.

"Menurut salah seorang pegawai ditemui, pihak pengurusan tidak berhak menghentikan bayaran biasiswa dan elaun pelajar tersebut kerana tajaan itu adalah dari Mains. Mereka hanya menguruskan agihan bayaran sahaja.

“Saya harap pihak pengurusan dan pihak institut dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Mains, Kamal Amran ketika dihubungi Sinar Harian berkata, mana-mana pihak tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan atau melanjutkan biasiswa seseorang pelajar kecuali atas arahan daripada Mains
sendiri.

"Pihak pengurusan kolej tersebut tidak mempunyai kuasa untuk melakukan sedemikian dan berharap agar perkara tersebut dapat diselesaikan segera," katanya.

Berhenti kerja jaga ayah

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Berhenti kerja jaga ayah
Ibrahim (dua, kanan) yang kini dijaga anak dan isteri terharu ketika dikunjungi Khamsiah (berdiri, tiga kanan) dan Faizah (tiga, kanan) dalam lawatan rumah ke rumah sempena Program Sehari Bersama Warga Seberang Batu Hampar, semalam.
REMBAU – Kasih anak kepada bapa menyebabkannya nekad berhenti kerja di salah sebuah kilang di Serdang, Selangor tiga tahun lalu bagi menjaga bapanya itu yang berhadapan masalah kesihatan.

Siti Hajar Ibrahim, 34, berkata, dia mengambil keputusan berhenti selepas 12 tahun bekerja setelah ayahnya, Ibrahim Salleh, 72 mulai sakit sejak 2010 dan disahkan menghidap strok tahap dua pada 2011.

Menurutnya, biarpun sedar bakal kehilangan pendapatan bulanan sekitar RM1,300 sebulan, dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik harus berkorban bagi memastikan bapanya mendapat penjagaan sewajarnya.

"Mak, Rahimah Hasan aktif dalam aktiviti kampung dan mencari pendapatan sampingan dengan kemahiran mengurut.

"Memang saya kini tiada pendapatan bulanan, namun apabila mengenangkan pengorbanan abah yang hanya bekerja sebagai tukang kayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membesarkan saya sehingga tamat persekolahan
menyebabkan saya hanya menyerahkan kepada ALLAH SWT berkaitan masa depan saya," katanya ketika ditemui sempena Program Sehari Bersama Warga Seberang Batu Hampar di Masjid Kariah Batu Hampar, dekat sini, semalam.

Pada program anjuran bersama Penel Penasihat/ Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan (KK) Rembau dan Masyarakat Kelab Kebajikan dan rekreasi (KeK-R) berkenaan, sebanyak 30 sumbangan disampaikan termasuk lima sumbangan
rumah ke rumah bersama pakar perubatan ke rumah pesakit kronik.

Turut hadir, Pegawai Perubatan 2 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rembau, Dr Faizah Osman; Pegawai Perubatan KK Rembau, Dr Khamsiah Ujang dan Nazir Masjid Kariah Seberang Batu Hampar, Zakaria Ma’mor.

Sementara itu, Khamsiah berkata, program berkenaan merupakan sebahagian usaha pihaknya menerapkan kesedaran dalam kalangan masyarakat kepentingan menjaga kesihatan dan melakukan pemeriksaan secara konsisten.

Menurutnya, kunjungan seumpama ini sememangnya dilakukan dari masa ke semasa di mana sepanjang tahun lalu sahaja kita mempunyai kira-kira lapan pesakit terlantar yang menerima rawatan di rumah.

“Malah, kita harap usaha seperti ini akan mendapat sokongan dan kerjasama masyarakat setempat yang mana sasaran kita agar mereka memahami kepentingan penjagaan kesihatan ini mengikut panduan yang kita berikan melalui ceramah kesihatan," katanya.

Lelaki separuh bogel baring depan kedai

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 5 Julai 2013 0 Komen


Lelaki separuh bogel baring depan kedai
Anggota polis datang bagi membawa lelaki terbabit ke Balai Polis Kuala Pilah.
KUALA PILAH – Seorang lelaki kurang siuman ditahan anggota polis di sini kerana berkelakuan tidak senonoh di hadapan orang awam, semalam.

Dia yang dipercayai berasal dari Indonesia dilihat berbaring dalam keadaan separuh bogel di hadapan sebuah kedai Pusat Komputer KP Net kira-kira jam 9 pagi menghala ke jalan utama.

Peniaga kedai berhampiran dikenali sebagai Lim, 50, berkata, lelaki itu dilihat berada di hadapan kedai terbabit sejak jam 9 pagi.

“Dia tidak mengganggu orang yang lalu di kaki lima ini, tetapi dia menarik perhatian orang kerana dalam keadaan separuh bogel. Dia pakai baju tetapi seluar tiada.

“Sebelum ini, saya tidak pernah jumpa dia duduk di kaki lima di sini. Baru hari ini, orang awam beritahu, ada orang tak siuman bogel di sebelah kedai saya. Saya bergegas keluar dari kedai dan lihat dia  sedang baring,” katanya

Menurutnya, dia menghubungi pihak polis bagi membawa lelaki itu ke tempat yang lebih selamat.

“Saya hubungi pihak polis jam 10 pagi dan tidak berapa lama, polis datang dengan membawanya ke Balai Polis Kuala Pilah untuk siasatan lanjut, kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya.

63 kali derma darah

Dikirim oleh Warieh Khamis, 4 Julai 2013 0 Komen


63 kali derma darah
Moses menunjukkan buku rekod yang tertera sudah 63 kali dia menderma darah.
PORT DICKSON – Pengalaman berdepan situasi isterinya mengalami pertumpahan darah sewaktu melahirkan anak sulung menjadi titik tolak kepada seorang pemandu teksi, di sini untuk menjadi penderma darah tegar.

A Moses, 58, kini sudah 63 kali menderma darah dan menjadikan ia sebagai rutin sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk menderma.

Menurutnya, isterinya tumpah darah pada 11 Disember 1990.

"Ketika itu hospital tempat isteri dirawat kehabisan bekalan darah jenis A dan doktor menasihatkan saya melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum mendapati darah saya sesuai dengan isteri.

"Sejak dari itu timbul kesedaran untuk terus menderma darah dan gembira kerana isteri serta anak selamat dilahirkan," katanya.

Moses yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori selama 30 tahun berkata, badannya akan berasa kurang selesa dalam tempoh tiga bulan atau kurang jika tidak menderma darah.

"Disebabkan itu, setiap tiga bulan sekali saya akan meluangkan masa ke hospital bagi menderma darah atau menyertai mana-mana program anjuran pelbagai pihak.

"Malah ada ketikanya pihak hospital menghubungi saya untuk hadir menderma darah bagi menambah bekalan darah yang semakin berkurangan," katanya.

Katanya, walaupun sudah 63 kali menderma darah, dia belum pernah jatuh sakit.

“Saya merasakan satu kepuasan apabila dapat menderma darah walaupun saya tidak tahu siapa yang menerimanya.

“Pada 2006 lalu, saya juga secara sukarela mendaftar sebagai penderma organ,” katanya.

Derita kaki pendek sebelah

Dikirim oleh Warieh Selasa, 2 Julai 2013 0 Komen


Derita kaki pendek sebelah
Zailani bersama dua anaknya melihat kaki suaminya yang kini terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.
 
BAHAU - Seorang mualaf yang tidak boleh berjalan selepas terlibat dalam kemalangan pada Februari tahun lalu, berharap pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat meluluskan Pencen Ilat.

Bapa dua anak, Muhamad How Abdullah, 45, berkata, selepas kemalangan itu, dia tidak mampu bekerja kerana kaki kanannya pendek berikutan beberapa tulang kakinya patah.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, punca pendapatannya terjejas selain bimbang kecederaannya itu akan kekal.

“Isteri saya, Zailani Idris, 34, pula tidak bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan sejak 10 tahun lalu.

“Saya pula terpaksa menjalani pembedahan sebanyak empat kali dan kali terakhir pada 7 Mei lalu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. Kesan pembedahan masih lagi terasa, tidak tertanggung rasanya dan sebolehnya tidak mahu dibedah lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, Taman Bahau.

Sinar Harian difahamkan, Pencen Ilat itu dipotong menerusi gaji Muhamad How ketika dia bekerja di sebuah syarikat bas di Bahau lebih 10 tahun.

Isterinya, Zailani berkata, suaminya sudah membuat permohonan bagi mengeluarkan Pencen Ilat Perkeso pada 30 Mei lepas, walau bagaimanapun, pihak berkenaan memberitahu suaminya tidak layak menerimanya kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

"Selepas itu, suami saya membuat rayuan semula pada 25 Jun lalu tetapi masih menunggu jawapan daripada mereka," katanya.

Menurutnya, kini mereka sekeluarga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan yang diterima suaminya buat sementara waktu.

“Buntu dibuatnya apabila memikirkan masalah ini tambahan pula rumah sewa juga sudah tertunggak selama dua bulan.

"Dengan wang bantuan JKM itulah kami guna untuk belanja dapur termasuk kos ulang-alik ke hospital," katanya.

Katanya, diakui bantuan itu tidak cukup sehingga memaksa dia berhutang dengan kawan-kawanya.

"Oleh itu saya berharap permohonan Pencen Ilat suami akan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kerani Kanan Perkeso Cawangan Kuala Pilah, Rusenah Jamaludin berkata, setiap permohonan yang dibuat hendaklah menepati syarat yang dikehendaki seperti pemohon itu mengalami masalah kecacatan kekal dan tidak boleh bekerja.

“Bagi kes pengadu ini, dia masih belum sembuh sepenuhnya dan memerlukan beberapa lagi pembedahan. Kita juga belum mengetahui sama ada pengadu mengalami kecacatan kekal atau sebaliknya kerana wang yang akan disalurkan itu hanya diterima sekali seumur hidup.

“Rayuannya juga sudah dipanjangkan kepada Bahagian Operasi Perubatan dan Pemulihan Kuala Lumpur. Dalam jangka masa tiga bulan kita akan buat perbincangan semula bagi proses rayuan berkenaan sama ada pengadu layak atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Periuk nasi pemandu teksi terjejas

Dikirim oleh Warieh Isnin, 1 Julai 2013 0 Komen


'Periuk nasi kami terjejas'
Mokhtar (kiri) menunjukkan barisan teksi dan kereta sewa yang masih menunggu pelanggan.
TAMPIN – Kewujudan kereta sapu haram yang lebih digemari orang ramai menyebabkan pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa di bandar ini terjejas.

Masalah itu dirasai tidak kurang 40 pemandu yang bernaung di bawah dua persatuan bersempadanan Melaka dan Negeri Sembilan yang hanya mampu mengeluh melihat orang ramai lebih suka mencari kereta sapu berbanding perkhidmatan mereka jalankan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Kenderaan dan Tuan Punya Kereta Sewa Alor Gajah dan Tampin, Mohd Yusuf Husin, 55, berkata, masalah berkenaan sudah berlanjutan sejak 2006 lagi, bagaimanapun ia semakin menjadi-jadi sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, kewujudan kereta sapu menyebabkan pemandu teksi sukar mendapatkan pelanggan.

“Kita sudah lama bersabar. Masalah ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana ia benar-benar menjejaskan pendapatan ahli persatuan.

“Jika dulu, pendapatan kami setelah ditolak dengan kos minyak boleh mencecah RM100 sehari, tapi kini nak dapat RM40 sehari pun susah,” katanya ketika ditemui di Perhentian Bas dan Teksi Pulau Sebang, dekat sini, semalam.

Pesara tentera itu berkata, sebe lum ini pemandu teksi sudah menemui penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat rondaan bagi mengadu masalah dihadapi.

Seorang lagi pemandu teksi, Mokhtar Ibrahim, 55, berkata, dia masih menunggu tindakan tegas JPJ, malah dia dan rakannya sendiri juga sudah membuat siasatan ke atas bilangan kereta sapu haram di bandar berkenaan.

“Setakat ini, kita sudah kesan 11 kenderaan beserta warna dan nombor pendaftaran bagi memudahkan kakitangan JPJ membuat operasi sejak lebih setahun lalu. Namun sehingga ke hari ini, masalah berkenaan masih belum berakhir malah makin buruk,” katanya yang sudah menjadi pemandu teksi sejak 10 tahun lalu.

Mokhtar bagaimanapun mengakui anggota JPJ ada membuat pemantauan, namun hanya sekejap dan masalah itu berulang kembali.

Sumbat sampai 6 penumpang

Sementara seorang lagi pemandu teksi, Amirudin Md Isa, 52, pula tidak menafikan kemungkinan penumpang terutama pelajar kolej berdekatan lebih suka mendapatkan khidmat kereta sapu kerana mereka boleh menaiki bersama rakan-rakan sehingga mencecah enam orang dalam satu kenderaan.

“Kalau naik teksi, kita hanya boleh mengambil empat penumpang berdasarkan garis panduan undang-undang yang harus dipatuhi bagi menjamin keselamatan penumpang.

“Kadang-kadang kita juga hairan kenapa mereka lebih suka kereta sapu haram sedangkan tambang dikenakan tidak jauh bezanya dari kita. Mungkin kerana kita menunggu di tempat teksi, sedangkan pemandu kereta sapu haram berada begitu hampir dengan orang ramai,” katanya.

Amirudin berkata, masalah kereta sapu boleh dilihat begitu jelas pada musim cuti umum atau pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ketika ramai yang mahu pulang ke kampung.

Bagi Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Tampin Negeri Sembilan, S. Nadarajah, 72, berkata, rata-rata pendapatan pemandu teksi di kedua-dua kawasan ini semakin susut susulan kewujudan kereta sapu haram.

“Ini benar-benar membebankan, lebih-lebih lagi kita perlu menanggung kos tinggi termasuk membuat pemeriksaan di Puspakom setiap enam bulan, tidak seperti kereta sapu haram,” katanya.


Cacat penglihatan bukan penghalang baca al-Quran
Abdullah menyampaikan hadiah kepada Asyikin yang merangkul johan Tilawah al-Quran Perempuan OKU Penglihatan (Terbuka).
REMBAU - Walaupun mengalami masalah cacat penglihatan dan anggota badan, Nor Asyikin Baharudin, 36, tidak menjadikannya sebagai satu alasan untuk meneruskan rutin hariannya iaitu membaca al-Quran.

Asyikin berkata, sekiranya mempunyai masa lapang semasa menjaga kedai runcit di Bengkel Seri Perkasa, Johol, dia pasti akan membaca al-Quran Braille.

Menurutnya, dia yang menyertai bengkel itu sejak empat tahun lalu tidak pernah ketinggalan menyertai pertandingan tilawah al-Quran anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Cuma tahun ini, saya menjadi peserta tunggal pertandingan dan menjuarainya. Namun, saya berharap kategori bagi OKU cacat penglihatan ini mendapat sambutan pada masa akan datang dan setiap daerah dapat menghantar wakil masing-masing.

“Malah, saya harap individu seperti saya tidak akan merasa rendah diri dan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak menyertai acara seperti ini,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Nasyid

Peringkat Negeri JKM Negeri Sembilan 2013, dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Abdullah Hanafi berkata, program berkenaan bertujuan menanam minat membaca, memahami dan membudayakan al-Quran tanpa mengira peringkat usia terutamanya dalam JKM dan institusi di bawahnya.

“Diharap dengan cara ini kita dapat menerapkan nilai-nilai Islam dan amalan berhibur secara Islam yang boleh diamalkan oleh seluruh warga JKM," katanya.

Tumpang rumah kebajikan

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 29 Jun 2013 0 Komen



Tumpang rumah kebajikan
Neesanthini menunjukkan keadaan leher Ganapathy yang patah ketika ditemui di Rumah Kebajikan Vivekananda, semalam.
REMBAU – Nasib enam beranak yang terumbang ambing setelah ketua keluarga mereka terlantar di hospital selepas terbabit dalam kemalangan 19 April lalu, akhirnya terbela apabila mereka berpeluang menumpang teduh di Rumah Kebajikan Vivekenanda Rembau, dekat sini, kira-kira sebulan lalu.

I Neesanthini, 25, berkata, suaminya, S Ganapathy terbabit dalam kemalangan ketika ingin menjemput anak sulung mereka, G Surthesh, 8, pulang dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, selepas kejadian itu, suaminya ibarat mati hidup semula apabila ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selama dua minggu dan ditahan di wad selama dua bulan.

“Saya seolah-olah buntu untuk memikirkan ke mana hala tuju kami sekeluarga lebih-lebih lagi kami mempunyai empat anak yang masih kecil iaitu berusia satu tahun hingga lapan tahun.

“Malah, lebih membuatkan saya gusar ialah tempat bekerja suami saya iaitu di ladang lembu juga sudah mengarahkan kami keluar dari rumah ladang kerana suami saya tidak mampu bekerja selain dinasihatkan doktor untuk tidak banyak bergerak selama setahun,” katanya ketika ditemui di Rumah Kebajikan Vivekananda, dekat sini, semalam.

Neesanthini berkata, mujur guru besar sekolah anaknya ada membantu memberikan nombor telefon Rumah Kebajikan Vivekananda untuk membolehkannya mencari perlindungan sementara menunggu suaminya pulih.

“Saya memang bimbang kerana kami sekeluarga tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah usaha saya memohon bantuan rumah melalui e-Kasih juga masih belum berhasil sehingga ke hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Kebajikan Vivekananda, RD Ramesh Patel berkata, buat masa ini pihaknya sedia membantu keluarga berkenaan dengan mencari tempat tinggal berdekatan rumah kebajikan.

Menurutnya, malah anak-anak Neesanthini juga berpeluang mendapat kemudahan sama dengan kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan.

“Kini Neesanthini bekerja di sini dengan membantu menguruskan rumah kebajikan ini bersama-sama kakitangan serta sukarelawan yang lain," katanya.

Mahu jumpa anak angkat

Dikirim oleh Warieh Selasa, 25 Jun 2013 0 Komen


Mahu jumpa anak angkat
Wahid memegang gambar lama Nor Adila (depan).
 
JEMPOL - “Saya sangat sayangkan dia dan terlalu rindukannya kerana kami sekeluarga sudah menganggapnya seperti anak sulung kami sendiri," kata seorang peneroka Felda Bukit Rokan Barat, Wahid Ismail, 53, yang berharap akan dipertemukan dengan anak angkatnya, Nor Adila Osman 30-an.

Dia yang juga bekas tentera berkata, dia sekeluarga mengasuh Nor Adila sejak usianya satu tahun dan selepas itu, mereka dikurniakan cahaya mata yang kini mempunyai lima anak.

Menurutnya, dia sekeluarga sudah terpisah dengan Nor Adila kira-kira 24 tahun dan berharap sangat dapat berjumpa dengannya kerana pelbagai usaha dilakukan, namun menemui jalan buntu.

“Kali terakhir Nor Adila menghubungi kami adalah pada tahun 2003 dan ketika itu dia memaklumkan bahawa ibunya meninggal dunia.

“Namun, selepas itu, kami tidak lagi berhubung. Saya sering teringat-ingat Nor Adila kerana banyak kenangan kami sekeluarga bersamanya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, Wahid bersama isterinya, Nor Asiah Ya’akob, 52, mula menjaga Nor Adila ketika dia berkhidmat sebagai anggota tentera di Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Wahid berkata, Nor Adila merupakan anak jirannya dan berbesar hati untuk mengasuhnya berikutan ketika itu dia masih belum menimbang cahaya mata.

"Kami sekeluarga berpisah dengan Nor Adila selepas saya berpencen awal untuk masuk ke Tanah Rancangan Felda. Sejak itu, kami hanya menghubungi Nor Adila menerusi telefon.

“Dia anak tunggal, apabila ibu bapanya pergi bekerja dia akan menghabiskan masanya di rumah kami," katanya.

Katanya, Nor Adila juga sering memanggilnya ayah bomba kerana ketika itu dia bertugas di unit bomba.

"Oleh itu, diharap sesiapa yang mengenali Nor Adila boleh menghubungi saya di talian 019-6254116 atau 013-6475067,” katanya.

Kepala anak makin membesar

Dikirim oleh Warieh Khamis, 20 Jun 2013 0 Komen


Kepala anak makin membesar
Amirul kanak-kanak lincah yang menderita sakit lebihan cecair pada kepalanya.
Kepala anak makin membesar
Beginilah keadaan kepala Amirul yang membesar sehingga mencecah lilitan 52 sentimeter.
PALONG - Seorang bapa merayu agar wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dapat diserahkan segera bagi menampung kos perubatan anak bongsunya, Amirul Quezairy, 3 yang menderita sakit cecair lebih di kepala sejak dilahirkan.

Mohamad Adlan Ab Hamid, 29, dari Felda Palong 13, di sini terpaksa berhenti kerja sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Julai tahun lalu bagi memberi perhatian kepada anak bongsunya itu.

Menurutnya, anaknya itu memerlukan perhatian penuh daripada keluarga agar perkembangan kesihatannya tidak terbantut setelah menjalani tiga pembedahan di kepala pada 2011.

"Sebelum ini saya sukar mendapatkan cuti bagi membawa anak ke hospital dan anak saya pernah terlepas untuk menjalani pembedahan mengakibatkan kepala Amirul menjadi besar selain urat kepalanya tegang.

"Oleh itu saya berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mempercepatkan penyerahan duit tersebut yang kini sudah setahun ditunggu," katanya.

Mohamad Adlan berkata, dia nekad berhenti kerja dan melakukan kerja kampung kerana bimbang dengan keadaan anaknya itu.

"Saya memang mahu cari kerja lain tetapi masih belum memperoleh surat pengesahan berhenti kerja daripada TLDM.

“Segala surat atau dokumen berkaitan sudah saya hantar kepada pihak bertanggungjawab dan selesaikan semasa saya berhenti daripada menjadi anggota tentera tahun lalu,” katanya yang memegang pangkat terakhir sebagai Laskar Kelas Satu (LK 1).

Isterinya, Marlina Mohd Ali, 29, berkata, anggota sebelah kanan anaknya itu lema dan terdapat satu tiub panjang dari kepala disambungkan ke bahagian dada di dalam badannya agar proses pengeluaran cecair lebihan di kepala berjalan lancar.

"Amirul seorang yang lincah, namun tidak mampu berdiri dan adakalanya apabila duduk di atas kerusi dia jatuh sendiri.

"Namun dia mampu mengengsot secara baring untuk bergerak," katanya.

Manakala Ketua Peneroka Felda Palong 13, Bahrom Ahmad berkata, pihaknya sudah mengusahakan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima RM300 sebulan.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat memandang serius masalah keluarga ini selain menggesa pihak terbabit mempercepatkan penyerahan wang yang dimaksudkannya,” katanya ketika datang melawat keluarga ini, semalam.

Sementara itu, LTAT ketika dihubungi Sinar Harian semalam menjelaskan, hasil semakan mereka masih belum menerima sebarang dokumen berkaitan daripada Mohamad Adlan bagi mengeluarkan duit daripada tabung tersebut.

Manakala usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) gagal susulan panggilan tidak berjawab.

Bayi disuntik tiga kali sehari

Dikirim oleh Warieh Selasa, 18 Jun 2013 0 Komen


Bayi disuntik tiga kali sehari
Aner memungut barang kitar semula untuk dijual bagi menampung perbelanjaan harian.
Bayi disuntik tiga kali sehari
Anita melayani anaknya yang dipanggil Kintan.
BAHAU - "Saya sudah tidak sanggup lagi untuk menyuntik bayi saya setiap kali dia ingin membuang air besar," luah ibu kepada seorang bayi berusia 14 bulan yang dipercayai sukar membuang air besar kerana saluran usus besarnya mengecil sejak dilahirkan.

Anita Mahmud, 32, berkata, dia perlu menyuntik anaknya, Qaseh April Adreena Aner lebih kurang tiga kali sehari bagi membuang najisnya.

Menurutnya, anaknya yang lebih mesra dipanggil Kintan juga kerap pengsan dan kadangkala tidak membuang air besar hampir sebulan.

"Kintan sukar membuang air besar selepas 40 hari dilahirkan dan ketika itu doktor mengesahkan dia mengalami masalah sembelit serta saluran usus besarnya mengecil.

"Ketika itu, doktor menyarankan agar Kintan dibedah, namun saya tidak sanggup melihat dia dibedah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Penarikan di sini, semalam.

Anita berkata, kini dia dan suaminya, Aner Nekmak, 40, mengharapkan inisiatif rawatan perubatan lain selain pembedahan.

"Saya bimbang jika Kintan dibedah, keadaan kesihatannya akan menjadi lebih teruk.

"Jika ada cara lain, saya sanggup mencubanya asalkan bukan pembedahan,” katanya.

Dia berkata, walaupun sakit, anaknya seorang yang lincah, namun sering merengek kerana rasa tidak selesa di bahagian perut.

"Jika dalam tempoh tiga hari Kintan tidak membuang air besar, saya akan membawanya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi menampung kos perubatan anaknya, dia menjual sayur-sayuran yang ditanam di kawasan rumah sewanya.

"Kintan perlu minum susu formula, namun dengan pendapatan suami yang bekerja sambilan, kami terpaksa mencari inisiatif lain termasuk menjual barang kitar semula," katanya.

Sementara itu, Aner berkata, anaknya kurang makan dan hanya bergantung kepada susu formula itu.

"Oleh itu, diharap ada pihak sudi membantu meringankan perbelanjaan rawatan mahupun keperluan Kintan.

"Kami juga masih mengharapkan rawatan cara lain supaya Kintan sihat seperti bayi lain,” katanya.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook