Zailani bersama dua anaknya melihat kaki suaminya yang kini terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.
Bapa dua anak, Muhamad How Abdullah, 45, berkata, selepas kemalangan itu, dia tidak mampu bekerja kerana kaki kanannya pendek berikutan beberapa tulang kakinya patah.
Menurutnya, berikutan kejadian itu, punca pendapatannya terjejas selain bimbang kecederaannya itu akan kekal.
“Isteri saya, Zailani Idris, 34, pula tidak bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan sejak 10 tahun lalu.
“Saya pula terpaksa menjalani pembedahan sebanyak empat kali dan kali terakhir pada 7 Mei lalu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. Kesan pembedahan masih lagi terasa, tidak tertanggung rasanya dan sebolehnya tidak mahu dibedah lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, Taman Bahau.
Sinar Harian difahamkan, Pencen Ilat itu dipotong menerusi gaji Muhamad How ketika dia bekerja di sebuah syarikat bas di Bahau lebih 10 tahun.
Isterinya, Zailani berkata, suaminya sudah membuat permohonan bagi mengeluarkan Pencen Ilat Perkeso pada 30 Mei lepas, walau bagaimanapun, pihak berkenaan memberitahu suaminya tidak layak menerimanya kerana tidak menepati syarat ditetapkan.
"Selepas itu, suami saya membuat rayuan semula pada 25 Jun lalu tetapi masih menunggu jawapan daripada mereka," katanya.
Menurutnya, kini mereka sekeluarga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan yang diterima suaminya buat sementara waktu.
“Buntu dibuatnya apabila memikirkan masalah ini tambahan pula rumah sewa juga sudah tertunggak selama dua bulan.
"Dengan wang bantuan JKM itulah kami guna untuk belanja dapur termasuk kos ulang-alik ke hospital," katanya.
Katanya, diakui bantuan itu tidak cukup sehingga memaksa dia berhutang dengan kawan-kawanya.
"Oleh itu saya berharap permohonan Pencen Ilat suami akan dipertimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kerani Kanan Perkeso Cawangan Kuala Pilah, Rusenah Jamaludin berkata, setiap permohonan yang dibuat hendaklah menepati syarat yang dikehendaki seperti pemohon itu mengalami masalah kecacatan kekal dan tidak boleh bekerja.
“Bagi kes pengadu ini, dia masih belum sembuh sepenuhnya dan memerlukan beberapa lagi pembedahan. Kita juga belum mengetahui sama ada pengadu mengalami kecacatan kekal atau sebaliknya kerana wang yang akan disalurkan itu hanya diterima sekali seumur hidup.
“Rayuannya juga sudah dipanjangkan kepada Bahagian Operasi Perubatan dan Pemulihan Kuala Lumpur. Dalam jangka masa tiga bulan kita akan buat perbincangan semula bagi proses rayuan berkenaan sama ada pengadu layak atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


0 Komen