Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2


Memaparkan catatan dengan label jempol. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jempol. Papar semua catatan

Asal Usul Jempol

Dikirim oleh Warieh Isnin, 6 Mei 2024 0 Komen

Jempol ketika zaman masyurnya merupakan pertemuan Sungai Muar, Sungai Jempol dan Sungai Serting yang juga dikenali sebagai jalan penarikan

Jempol merupakan salah sebuah daerah dalam Negeri Sembilan Darul Khusus, yang juga merupakan daerah terbesar dari jumlah tujuh daerah kesemuanya (Jempol, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan Port Dickson). Terdapat beberapa cerita atau mitos yang tersebar berkenaan penamaan ‘Jempol’ sebagai nama daerah ini. Antaranya sebuah kisah yang bermula daripada pemilik nama seorang gadis desa yang mati dibunuh akibat fitnah dan hasad dengki manusia.


    " Nama Jempol kononnya diambil dari peristiwa tersebut yang mana gadis yang dibunuh itulah yang bernama Sri Jempol. Selain itu, terdapat juga cerita yang mengaitkan nama Jempol ini dengan nama sebuah sungai di sini. Jempol seperti juga daerah-daerah di Negeri Sembilan yang lain, amat berpegang teguh kepada adat. Adat yang paling popular di sini dan daerah sekitarnya adalah Adat Perpatih. Sehingga kini, adat tersebut masih diamalkan walaupun golongan muda masa kini semakin meminggirkan adat-adat tersebut."


Semasa peneroka awal orang asli yang membuat penempatan di kawasan antara dua siku sungai yang hampir-hampir bertemu antara keduanya iaitu Sungai Serting yang mengalir ke Sungai Pahang dan satu sungai yang pada masa itu cuma dikenali dengan Sungai Leban Condong Tupai Batuk yang mengalir ke Sungai Muar. Penempatan yang ada di kuala sungai itu dikenali dengan nama Penarikan atau dikenali juga sebagai Jambu Lapan.

Luak Jempol sekarang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kuala Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Bahau (Serting) dan Ulu Jempol di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Pilah.


Asal nama Jempol itu kononnya diambil dari nama seorang anak tempatan yang bernama JEMPO. Individu berkenaan dikatakan telah mati terbunuh atau dibunuh sama ada akibat dari kejahatannya sendiri atau dihukum  akibat dari fitnah yang memalukan diri dan keluarga. Dan semua cerita-cerita itu berakhir dengan tragedi kematian yang mengerikan kepada individu yang bernama Jempo itu.


Disamping itu terdapat pula perselisihan maklumat sama ada orang yang bernama Jempo itu seorang lelaki atau seorang perempuan.


Versi yang mengisahkan si Jempo itu nama seorang lelaki diringkaskan seperti berikut: -

"Seorang pemuda yang gagah perkasa bernama Jempo itu adalah anak kepada Tok Batin bernama Leban Condong seorang ketua orang asli tempatan dengan isterinya bernama Danau Rasau seorang wanita yang datang dari tanah Minang (sebenarnya Leban Condong dan Danau Rasau itu adalah nama tempat).

Anak Tok Batin si Jempo itu selain dari gagah perkasa beliau juga mempunyai perangai jahat dan ditakuti penduduk yang tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghalang kelakuan buruknya itu.

Pada satu ketika Jempo telah jatuh hati kepada seorang anak gadis kampungnya bernama Melor. Kerana tidak mendapat layanan dari pihak keluarga gadis itu, pada suatu hari dalam perjalanan pulang dari ‘huma’ Melor telah ditahan oleh Jempo dan akhirnya Melor diperkosa yang menyebabkan gadis itu mengandung.

Si Jempo terus berleluasa dengan perangai jahat bersikap ‘membujur lalu melintang patah’ terhadap mana-mana juga perempuan yang dihajatinya menyebabkan beliau mempunyai musuh sekeliling pinggang. Akhirnya Jempo mati terbunuh semasa terjun mandi dari atas sebatang pokok leban yang condong ke dalam sungai di tempat permandian yang telah sedia dipasang ranjau-ranjau tajam (buluh yang telah diruncingkan) oleh musuh-musuhnya yang telah bermuafakat untuk membunuhnya secara begitu kerana membalas dendam".


Versi-versi yang mengisahkan Jempo itu nama dari seorang perempuan diringkaskan cerita-ceritanya seperti di bawah ini: -

"Jempo adalah seorang anak gadis kepada seorang Tok Batin. Jempo merupakan seorang gadis cantik dan telah bertunang dengan seorang perantau bernama ‘Tengkek’ (Tengkek nama sebuah kampung di Ulu Jempol).

Pada satu ketika si Tengkek dengan tunangnya si Jempo itu telah ‘berselingkuh’. Perkara itu berlaku berulangkali sehingga diketahui oleh orang kampung yang telah bertindak mengadukan perkara itu kepada ayahnya Tok Batin. Setelah disiasat perkara itu didapati benar berlaku yang menyebabkan Tok Batin merasa sangat malu. Tok Batin mengambil keputusan anaknya si Jempo itu mesti dihukum bunuh dengan cara dipaksa terjun ke dalam sungai yang telah sedia dipasang ranjau. Jempo menemui ajalnya disitu. Dengan kematian Jempo yang sangat tragis begitu maka sungai tempat berlakunya pembunuhan tersebut dipanggil Sungai Jempo mengambil sempena namanya yang akhirnya dinamakan sebagai Sungai Jempol"

masih kelihatan alur sungai jalan penarikan ini di Kg Jambu Lapan


Dalam buku Luak Tanah Mengandung susunan Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar semasa beliau menjadi setiausaha kepada Dato’ Penghulu Luak Jempol YM Dato’ Haji Mohd Hashim bin Abdullah dalam perkara ini beliau menulis: -

"Luak Jempol dikatakan mengambil sempena nama sungai yang mengalir di daerah ini iaitu Sungai Jempol. Nama sungai ini pula diambil daripada peristiwa pembunuhan ke atas seorang gadis bernama Jempo yang dijatuhkan hukum sula di hujung pasir sungai. Mayat gadis itu kemudiannya dibuang ke dalam sungai.

Daripada cerita lisan orang tua-tua, peristiwa ini berlaku menimpa keluarga To’ Pilih, apabila anak gadisnya bernama Jempo didapati bersalah melakukan perbuatan sumbang. Jempo seorang gadis cantik di Kampung Terentang Ulu Jempol di kawasan Leban Condong. Ramai pemuda terpikat dengan kecantikannya. Masing-masing berusaha untuk memenangi hati gadis berkenaan.

Setelah Jempo didapati melakukan perbuatan sumbang, dia dijatuhkan hukuman bunuh dengan disula (di tepi sungai). Darahnya mengalir dari hulu hingga ke kuala sungai. Dengan kejadian itulah nama sungai berkenaan ditukar kepada Jempo dan akhirnya menjadi Jempol. Sebelum itu nama tempat berkenaan dikenali sebagai ‘Penarikan' ".


Fakta tulisan ini agak mengelirukan kerana Kampung Terentang atau Leban Condong itu berada di Ulu Jempol manakala Penarikan itu berada di Kuala Jempol. Jarak keduanya lebih kurang 15 kilometer. Penarikan dan Kampung Terentang selain dari dipisahkan oleh jarak yang begitu jauh dan dipisahkan pula oleh sebaris bukit yang bernama Bukit Sempit. Dengan itu tidak mungkin Kampung Terentang juga bernama ‘Penarikan’ kecuali kalau pada masa itu Sungai Jempol bernama Sungai Penarikan.


Batin Pak Sudum Durai yang meneroka perkampungan di Danau Rasau Ulu Jempol itu pun tidak tahu nama sungai itu Sungai Jempol. Ada satu ungkapan dalam terombo Dato’ Batin Jempol menyebut...

 "semasa Jempol belum bernama Jempol, Jempol bernama Loban Condong".


Kisah peristiwa seorang gadis bernama Jempo anak To’ Batin yang telah dihukum sula kerana tuduhan berlaku sumbang ini juga ada ditulis oleh Dato’ Paduka Tuan Abd Rahman bin Ahmad dalam risalah ‘Sejarah Asal Usul Jempol, Luak dan Suku’ yang dikatakanya salah satu cerita asal nama Jempol. Begitu juga cerita yang hampir  serupa terdapat di dalam Terombo Dato’ Batin Jempol.


Tetapi kalaulah cerita itu benar, yang nyatanya nama To’ Batin Pilih yang menjatuhkan hukuman sula kepada anaknya seorang perawan yang bernama Jempo itu bukanlah salah seorang Batin yang berasal dari Dato’-Dato’ Batin Biduanda Salasilah. Kerana di dalam salasilah Dato’ Batin Jempol itu tidak terdapat nama To’ Batin Pilih dan dalam sejarah waris ini tidak pernah ada seorang perawan atau pun janda yang pernah dihukum sula kerana kesalahan seperti itu. Dan lagi, kejadian itu dikatakan berlaku di Loban Chondong (Kampung Terentang sekarang ini). Bukan berlaku di Danau Rasau.




Dato’ Paduka Tuan Abdul Rahman menulis lagi dalam risalahnya itu iaitu salah satu cerita yang menjadi asal nama Jempol itu dikisahkan begini: -


monumen yang didirikan bagi menceritakan jalan penarikan ini

"Menurut sumber lisan orang tua-tua, mengenai asal usul nama Jempol itu dikaitkan dengan kedatangan sembilan (9) orang bersaudara serta pengikutnya dari Pasri Sumatera. Mereka mencari perlindungan dan penempatan baru, kerana tempat tinggal mereka (di Sumatera) akan mengalami bencana gunung berapi.  

Rombongan itu telah berhenti di satu kuala sungai (Penarikan) untuk menambah barang keperluan. Salah seorang daripada mereka iaitu Datuk Sempadang telah mengarahkan pengikutnya pergi mencari dan meninjau di persekitaran kuala sungai itu, kira-kira setengah batu jauhnya.

Diberitakan bahawa kawasan tersebut menarik dan cantik. Oleh demikian Datuk Sempadang telah menamakan kuala sungai tersebut sebagai Jempol (cantik) dari kuala hingga ke hulunya. 

Bedasarkan maklumat yang menyenangkan itu Datuk Sempadang mengambil keputusan untuk menetap di situ bersama-sama dengan pengikutnya. Kawasan tersebut dijadikan penempatan dan kawasan pertanian yang mana ia telah menarik ramai perantau-perantau yang turut serta pula menetap di situ".


Berdasarkan cerita ini nampaknya menggambarkan semasa sembilan orang perantau yang diketuai oleh Datuk Sempadang sampai ke Penarikan yang akhirnya membuat penempatan baru dan menamakan tempat itu Jempol, kumpulan beliaulah orang pertama sampai di situ. Sebelumnya tidak ada sesiapa yang menduduki kawasan itu. Berbeza dengan apa yang digambarkan oleh Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar dalam tulisannya menggambarkan tempat yang bernama Penarikan itu telah pun sedia diteroka sejak sebelum Portugis mengalahkan Sultan Mahmud di Pagoh dan Bentayan. Bahkan Penarikan telah pun didiami orang sejak Kerajaan Melayu masih berkuasa di Melaka. Hang Tuah pernah melalui jalan disitu semasa pergi  ‘mencuri’ Tun Teja di Pahang, apalagi dijumpai pula sebuah kubur bernama Tun Sin bertarikh kurun ke-13 (1264) di situ yang dapat membuktikan benarnya tempat itu sudah lama didiami orang.


Tulisan yang dibuat oleh Dato’ Komo Haji Duaji bin Bakar dalam buku 'Luak Tanah Mengandung’ dicatatkan di sini antara lain:


Cikgu Buyong Adil dalam bukunya ‘Sejarah Pahang’ (DBP,1972) menuliskan Penarikan sebagai jalan penting dalam hubungan Melaka dan Pahang sejak beberapa abad lalu. Beliau (Cikgu Buyong Adil) menceritakan -

"…Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat pada tempat yang bernama Penarekan, lalu berjalan darat kira-kira sejauh 300 ela, masuk pula ke Sungai Jempol; menghilir (nya ) Sungai Jempol masuk ke Sungai Muar lalu sampai ke Muar (di Johor). Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah mereka dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar)…"


Sekiranya nama Jempol menggantikan Penarikan, bermakna pertukaran nama itu berlaku selepas Tun Sri Lanang Mengarang buku ‘Sejarah Melayu’ sekitar abad ke-17. Tun Sri Lanang dalam Sejarah Melayu masih menggunakan nama Penarikan apabila menulis mengenai wilayah Jempol.


Apakah gadis Jempo yang dihukum sula itu berlaku sekitar abad ke-18. Tun Seri Lanang menulis dalam Sejarah Melayu begini: -

"…Maka Sang Setia pun mati; maka Pagoh pun alah. Maka Sultan Ahmad pun undur ke Ulu Muar, lalu ke Penarikan. Maka Bendahara pun mati, ditanamkan orang di Lubuk Batu; itulah disebut orang Dato’ di Lubuk Batu…"


Sumber Sejarah Melayu itu menunjukkan Penarikan sudah didiami orang sejak pemerintahan kerajaan Melayu Melaka lagi. Kedudukan kampung Penarikan ini amat sesuai dengan bercucuk tanam. Penduduknya lebih ramai tinggal di tepi-tepi sungai hingga ke Jempol. Di situ terletak pertemuan beberapa kuala sungai yang mengalir ke Sungai Muar.


Sesetengah berpendapat nama ‘Penarikan’ itu diambil bersempena dengan ramai orang tertarik untuk berhijrah ke perkampungan di situ. Tetapi ada sesetengah pihak mendakwa pertemuan beberapa kuala sungai itu seolah-olah bertarik-tarikan. Disamping terdapat juga sebuah bukit berhampiran kawasan ini dikenali sebagai Bukit Penarik.


Elak sejarah Jempol terkubur

Dikirim oleh Warieh Selasa, 16 Februari 2016 0 Komen

Elak sejarah Jempol terkubur

JEMPOL - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) akan meneruskan kajian dan mendokumentasikan sejarah di daerah ini sebagai warisan serta menyebarkan ilmu pengetahuan.
Penolong Kurator Unit Adat Perpatih bahagian Antikuiti, LMNS, Asrul Affendi Kamaruzzaman berkata, ketika ini pihaknya telah menjalankan kajian tentang ‘boko’ dan sejarah asal-usul Luak Jempol.
“Dijangka tahun ini ada satu lagi kajian di Jempol, kajian seumpamanya ini turut dijalankan di beberapa daerah lain.
“Apa yang dilakukan ini adalah sebagai menyediakan pengetahuan khususnya kepada generasi muda hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menjalankan pertemuan ringkas dengan Datuk Adat Luak Jempol, Datuk Shahbandar Ali Naam di Kampung Kuala Sialang, baru-baru ini.
Pertemuan tersebut bertujuan menjalankan kajian asal-usul Luak Jempol yang turut dihadiri Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah bahagian Antikuiti, LMNS, Mohd Nazim Abd Gaman.
Asrul Affendi berkata, maklumat berhubung kajian itu tidak dipamerkan, sebaliknya dijadikan sebagai bahan rujukan kepada penyelidik dan pelajar yang terlibat dalam bidang berkaitan.
“Kita harap dengan usaha kecil ini dapat bantu mereka yang berkenaan selain mengelakkan maklumat sejarah yang ada daripada ditelan zaman.
“Kita juga mengalu-alukan mana-mana cadangan untuk kita jalankan kajian yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.
Asrul Affendi berkata, berhubung asal-usul Luak Jempol pula, maklumat sejarah yang diberikan mudah difahami seperti mana yang diceritakan Ali.
“Secara ringkasnya, menurut beliau (Ali) berdasarkan daripada buku tulisan tangan Ujang Dohat, sejarah asal-usul Luak Jempol bermula apabila kedatangan Datuk Sepedang bersama sembilan keluarga dari Padang Luas, Sumatera,” katanya.

Juara Jempol

Dikirim oleh Warieh Selasa, 4 November 2014 0 Komen

PEMBURUAN gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim 2014 berakhir lebih awal apabila ketiga-tiga kategori, CP130, CP115 dan Wira diketahui pemiliknya sebaik pusingan kesembilan kejuaraan berakhir di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

Masih berbaki satu pusingan yang akan berlangsung di Kedah, hujung November ini, Mohd Zaqhwan Zaidi yang menjuarai lima pusingan perlumbaan pada musim ini dinobatkan selaku juara keseluruhan sebaik berjaya menamatkan perlumbaan akhir di tangga ketiga dengan masa 14’46.782s.

Sementara itu, Mohd Izzat Zaidi Salehan (Motul Yamaha YY Pang) muncul  juara keseluruhan kategori CP115 setelah mengumpul 178 mata.

Kertas berselerak atas jalan

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 16 Ogos 2013 0 Komen


  • Kertas berselerak atas jalan 
  •  Ah Yaw menunjukkan keadaan sampah kertas berselerakan di bahu jalan Kampung Baru Cina, Sungai Lui- Kemayan.

JEMPOL- Keadaan sampah berselerakan di bahu jalan utama Kampung Baru Cina, Sungai Lui – Kemayan di sini ternyata mencemarkan persekitaran, bahkan boleh mengundang rasa kurang senang pengguna jalanraya.

Sampah itu dipercayai terbiar di bahu jalan itu, setelah sebuah lori treler muatan kertas kitar semula terbalik ketika melalui selekoh pada pagi Jumaat minggu lalu, namun saki baki muatannya tidak dibersihkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Chong Ah Yaw, 73, berkata, beliau difahamkan lori itu  menghala ke Pahang bagi menghantar muatan kertas yang dimampatkan.

Namun, katanya, lori berkenaan terbalik ke kiri jalan apabila melalui selekoh berkenaan menyebabkan muatannya jatuh berselerakan.

"Tetapi terdapat beberapa lori kecil membersihkan kertas itu, namun bakinya ditinggalkan. Kita minta jasa baik pihak bertanggungjawab untuk membantu membersihkan kawasan ini, susulan jalan ini merupakan laluan utama pengguna jalan raya ke Pahang atau Negeri Sembilan.

“Manakala, laluan ini agak bahaya kerana keadaan jalannya berliku-liku. Kadang-kala terdapat pengguna jalan raya yang memandu laju di kawasan ini lalu menyebabkan kemalangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan, semalam.

Ah Yaw berkata, Penduduk di sini kebanyakannya kerap ke Kemayan, Pahang bagi membeli keperluan harian berikutan ia tidak jauh, iaitu sekitar tiga kilometer sahaja, namun untuk ke pekan Bahau, 41 kilometer.

Lori sampah rempuh warung

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


  • Lori sampah rempuh warung  
  • Keadaan lori sampah yang mengundur dan merempuh warung terbabit, semalam.

JEMPOL - Sebuah warung makanan dirempuh sebuah lori sampah yang secara tiba-tiba mengundur menyebabkan seorang pembantu tukang masak yang sedang bekerja di dapur warung terbabit cedera akibat terkena minyak panas yang tertumpah.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi semalam di warung yang terletak di pekan Bahau, dekat sini, apabila lori yang diletakkan berhampiran, secara tiba-tiba mengundur lalu merempuh warung terbabit.

Ketika kejadian terdapat tidak kurang 10 pelanggan serta tujuh pekerja warung berada di kawasan itu, manakala lori berkenaan terletak kira-kira 10 meter dari warung dan berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Bahau.

Abang kepada pemilik kedai makan, Mohd Derham Khamis, 60, berkata, ketika kejadian, dia sedang sibuk melayan pelanggan, sementara pemandu lori berkenaan sedang menikmati sarapan pagi di warungnya.

Menurutnya, dia dikejutkan dengan jeritan orang ramai apabila lori berkenaan mengundur, lalu merempuh pengadang jalan, selain sebuah motosikal jenis Yamaha LC milik pelanggannya, sebelum merempuh warung terbabit.

“Akibat rempuhan itu, pembantu tukang masak kami sedang memasak di dapur terkena minyak panas yang tertumpah," katanya.

Mohd Derham berkata, mangsa iaitu pekerja lelaki berumur 20-an dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bahau bagi mendapatkan rawatan susulan, bagaimanapun dilaporkan stabil.

Menurutnya, adiknya iaitu pemilik warung, Noriati Khamis, 56, kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis daerah Jempol (IPD) semalam.

“Sepanjang hampir empat tahun kami usahakan warung ini, ini kejadian kedua berlaku. Bagaimanapun, kali ini lebih teruk," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Rosidah Abd.Rahim, 33, berkata, dia sempat melihat lori berkenaan secara tiba-tiba mengundur menyebabkan dia panik seketika.

“Saya jerit sekuat hati supaya mereka yang berada dalam warung selamatkan diri. Saya terus ke warung itu untuk melihat apa berlaku. Bagaimanapun saya lega kerana kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya yang bekerja sebagai pembantu di kedai fotostat bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, selain pemilik kedai, pemandu lori berkenaan sudah pun membuat laporan dan pihaknya sedang menyiasat kejadian berkenaan.

'Qaseh pengganti abang'

Dikirim oleh Warieh Rabu, 17 Julai 2013 0 Komen


'Qaseh pengganti abang'
Salbiah memangku Qaseh melihat gambar kenangan dia bersama arwah suaminya.
JEMPOL - Seorang ibu tunggal di sini mengibaratkan kehadiran bayi berusia empat bulan, dalam hidupnya sebagai pengganti suaminya yang meninggal dunia pada April lalu akibat penyakit kronik.

Ibu tunggal, Salbiah A.Kadis, 50, berkata, selama 13 tahun dia berkahwin dengan arwah suaminya, Zulkunain Jamaludin, 52, tidak pernah dikurniakan zuriat. Namun, kehadiran Nur Qaseh Ahmad Riduan, empat bulan sebagai anak angkat umpama penyeri hidupnya.

Menurutnya, Nur Qaseh merupakan anak kepada adiknya yang dijaga sejak dia berumur seminggu, dan mengakui bahawa faktor umurnya yang kini awal 50-an bukanlah penghalang untuknya merasa nikmat menjadi seorang ibu.

“Hidup tanpa suami pada tahun pertama Ramadan memang agak tersentuh, sebab suamilah yang banyak membantu saya dalam menguruskan perniagaan kuih raya iaitu popia goreng dan batang buruk.

“Semua kerja arwah buat, sebut sahaja. Sekarang ALLAH gantikan tempat abang dengan Qaseh supaya saya ada teman hidup dan ini merupakan satu nikmat yang sungguh berharga dalam hidup saya, " katanya.

Salbiah berkata, dia bersyukur apabila suaminya yang juga bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima Qaseh seadanya, walaupun dia hanya sempat menjaga bayi itu selama 41 hari sahaja, sebelum meninggal dunia.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai tempahan kuih sempena Syawal ini, Salbiah berkata, dia menerima banyak tempahan namun, terpaksa menolaknya kerana perlu menjaga Qaseh.

“Saya akui, sejak adanya Qaseh saya terpaksa memperlahankan perniagaan kuih ini. Biarlah susah mana pun, saya mesti kerja bagi menyara Qaseh dan ia untuk masa depannya juga.

“Kini, saya hanya mampu buat kuih itu sekitar 10 kilogram (kg) sahaja dengan purata 2kg setiap satu dalam masa sehari dengan harga lebih kurang RM30 bagi satu kg kuih popia goreng dan setengah kg RM12, batang buruk, " katanya.

Salbiah berharap satu hari nanti dia dapat memiliki bengkel sendiri ataupun kedai bagi menampung perbelanjaan harian.

Temui ajal atas motosikal

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 12 Julai 2013 0 Komen


Hamzah Alias
Hamzah Alias
JEMPOL - Seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri di atas motosikal milik bapanya berhampiran Felda Gugusan Palong Lima, di sini rupa-rupanya sudah meninggal dunia sebelum dia sempat pulang ke rumah, awal pagi kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, pada awalnya lelaki berumur 27 tahun ini ditemui penduduk setempat dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar 8.15 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada Balai Polis Rompin.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap lelaki tersebut.

Menurutnya, mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Palong Lima seterusnya dihantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan di badan mangsa mendapati terdapat kesan hitam dekat bahu dan keluarga mangsa mengesyaki terdapat unsur jenayah atas kematiannya.

“Berikutan itu, kita setuju untuk membawa mayat mangsa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi menjalani bedah siasat,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Namun katanya, keputusan bedah siasat yang dijalankan pada jam 9 pagi, semalam mendapati mangsa mati bukan disebabkan oleh unsur jenayah.

“Jadi kes ini kita klasifikasi sebagai mati mengejut. Jenazah mangsa juga diserahkan kepada keluarganya setelah selesai proses bedah siasat tersebut,” katanya.

MDJL selesaikan isu sampah

Dikirim oleh Warieh Isnin, 8 Julai 2013 0 Komen



BAHAU - Isu sampah yang menghantui peniaga berhampiran dan penduduk setempat setelah perpindahan seramai 20 peniaga ayam segar di pasar sementara berhampiran Pusat Penjaja Bahau, di sini akan diselesaikan Majlis Daerah Jempol (MDJL).

Yang Dipertuanya, Wan Razali Wan Awang berkata, masalah sampah berlonggok tidak akan berlaku susulan ia akan dikutip dua kali sehari.

Menurutnya, ketika ini peniaga berkenaan dalam proses pemindahan ke tapak pasar sementara dalam tempoh beberapa hari ini dan dijangka proses merobohkan pasar lama akan dijalankan minggu depan.

“Pasar sementara ini lebih selesa dan luas dari tapak pasar asal. Manakala kadar sewa di pasar sementara itu akan dikurangkan kepada peniaga ayam dengan kadar 50 peratus," katanya.

Wan Razali berkata, peniaga dibenarkan membawa ayam segar masing-masing ke pasar sementara namun stok ayam hidup tidak dibenarkan ditinggalkan dekat pasar tersebut.

“Ini bagi mengelakkan masalah bau kepada peniaga berhampiran.

"Bagi isu penyembelihan ayam, peniaga dibenarkan menyembelih ayam segar di pasar berkenaan dan bukan seperti yang disarankan sebelum ini iaitu sembelih di tempat lain,” katanya ketika mengulas lanjut perkembangan pasar ayam segar Bahau, semalam.

'Pelamin anganku musnah'

Dikirim oleh Warieh Rabu, 3 Julai 2013 0 Komen


'Pelamin anganku musnah'
Yati melihat laporan polis, pakej dan gambar pelamin yang ditempahnya, namun terpaksa dibatalkan
'Pelamin anganku musnah'
Hasnah menunjukkan pakej yang ditawarkan oleh pusat andaman berkenaan
 
JEMPOL - Pelamin anganku musnah! Itulah yang dihadapi dua pengantin di sini, apabila pelamin yang ditempah mereka dari sebuah pusat andaman di sini, tidak seindah seperti dikhabarkan.

Ibu kepada salah seorang pengantin, Hasnah Hassan, 46, berkata, anaknya, Nor Hanizam Hassan, 25, tertipu dengan pakej menarik yang ditawarkan pusat andaman itu dengan harga RM6,300.

Menurutnya, pakej itu termasuklah set karaoke, kompang dan hiasan barang hantaran, namun bila tiba hari majlis berlaku sebaliknya.

"Anak saya idamkan pelamin yang 'glamour' pada majlis perkahwinannya pada 24 Mei lalu, namun apa yang dibuat oleh butik andaman itu seperti reka bentuk era 60-an.

"Menitis air mata saya melihat set pelamin anak saya seumpama itu, malah semua pakej yang dijanjikan juga tiada," katanya yang berasal dari Pasir Besar, Gemas.

Hasnah berkata, kini disebabkan masalah itu dia terpaksa berulang-alik dari Pasir Besar, Gemas ke daerah ini untuk menuntut semula bayaran sebelum ini.

"Namun saya terkilan dengan perkhidmatan pusat andaman itu kerana anak saya sudah melunaskan bayaran lebih awal sebelum majlisnya secara ansuran dari 8 Oktober 2012 hingga 15 Mei lalu," katanya.

Kejadian itu tidak berhenti di situ kerana seorang lagi pengantin turut mengalami nasib sama, namun sempat membatalkannya sebelum majlis perkahwinan.

Yati Afrini Jarnis, 29, berkata, dia membatalkan tempahan pelamin dari pusat andaman itu kerana tidak berpuas hati dengan pakej yang disediakan.

Menurutnya, dia bersama suaminya bersetuju untuk menyewa pakej perkahwinan yang ditawarkan pusat andaman tersebut dengan harga RM3,000 yang didakwa sebagai pakej promosi.

"Selepas bersetuju, saya membayar wang deposit sebanyak RM1,500 pada 21 Januari lalu, disusuli RM1,000 pada 28 Januari.

"Walaupun majlis perkahwinan saya pada masa itu lambat lagi iaitu 1 Jun lalu, namun saya nekad membayar wang deposit kerana pakej yang ditawarkan sangat menarik," katanya.

Yati berkata, selepas itu, pada 21 Mei, dia dan suaminya datang ke pusat andaman berkenaan untuk mencuba baju, namun mereka mencadangkan agar datang pada 27 Mei.

"Kami bertegas juga mahu datang pada 21 Mei kerana bimbang ia tidak disediakan seperti yang diidamkan.

“Apabila kami sampai, ternyata hampa kerana pusat andaman tersebut memaklumkan bahawa semua pakej itu belum siap. Saya pelik, kenapa semua pakej yang saya sewa tiada pada tarikh tersebut sedangkan majlis kami
kurang dua minggu lagi," katanya.

Katanya, selepas itu, pusat andaman berkenaan mendesaknya membayar  baki pakej tersebut sebanyak RM500 dengan menjanjikan akan menyediakan kerusi persandingan yang baru.

"Namun disebabkan beberapa masalah itu, saya dan suami nekad membatalkan pakej tersebut,” katanya.

Sinar Harian difahamkan pasangan berkenaan membuat laporan pada keesokan harinya (22 Mei) di Balai Polis Bahau pada jam 8.05 malam.

Malah mereka juga mahu menuntut semula wang sebanyak RM2,500 untuk tindakan mahkamah dan tuntutan Tribunal Pengguna.
Sementara itu, Nor Hanizam juga membuat laporan pada 27 Mei lalu di Balai Polis Bandar Seri Jempol jam 4.51 petang bagi menuntut ganti rugi.

Bagaimanapun, kedua-dua pengantin itu menghadapi masalah apabila pusat andaman berkenaan berdolak-dalik untuk memulangkan duit mereka semula dengan alasan tiada duit tunai susulan terdapat pelanggan lain masih
belum menjelaskan bayaran.

Derita kaki pendek sebelah

Dikirim oleh Warieh Selasa, 2 Julai 2013 0 Komen


Derita kaki pendek sebelah
Zailani bersama dua anaknya melihat kaki suaminya yang kini terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.
 
BAHAU - Seorang mualaf yang tidak boleh berjalan selepas terlibat dalam kemalangan pada Februari tahun lalu, berharap pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat meluluskan Pencen Ilat.

Bapa dua anak, Muhamad How Abdullah, 45, berkata, selepas kemalangan itu, dia tidak mampu bekerja kerana kaki kanannya pendek berikutan beberapa tulang kakinya patah.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, punca pendapatannya terjejas selain bimbang kecederaannya itu akan kekal.

“Isteri saya, Zailani Idris, 34, pula tidak bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan sejak 10 tahun lalu.

“Saya pula terpaksa menjalani pembedahan sebanyak empat kali dan kali terakhir pada 7 Mei lalu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. Kesan pembedahan masih lagi terasa, tidak tertanggung rasanya dan sebolehnya tidak mahu dibedah lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, Taman Bahau.

Sinar Harian difahamkan, Pencen Ilat itu dipotong menerusi gaji Muhamad How ketika dia bekerja di sebuah syarikat bas di Bahau lebih 10 tahun.

Isterinya, Zailani berkata, suaminya sudah membuat permohonan bagi mengeluarkan Pencen Ilat Perkeso pada 30 Mei lepas, walau bagaimanapun, pihak berkenaan memberitahu suaminya tidak layak menerimanya kerana tidak menepati syarat ditetapkan.

"Selepas itu, suami saya membuat rayuan semula pada 25 Jun lalu tetapi masih menunggu jawapan daripada mereka," katanya.

Menurutnya, kini mereka sekeluarga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan yang diterima suaminya buat sementara waktu.

“Buntu dibuatnya apabila memikirkan masalah ini tambahan pula rumah sewa juga sudah tertunggak selama dua bulan.

"Dengan wang bantuan JKM itulah kami guna untuk belanja dapur termasuk kos ulang-alik ke hospital," katanya.

Katanya, diakui bantuan itu tidak cukup sehingga memaksa dia berhutang dengan kawan-kawanya.

"Oleh itu saya berharap permohonan Pencen Ilat suami akan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kerani Kanan Perkeso Cawangan Kuala Pilah, Rusenah Jamaludin berkata, setiap permohonan yang dibuat hendaklah menepati syarat yang dikehendaki seperti pemohon itu mengalami masalah kecacatan kekal dan tidak boleh bekerja.

“Bagi kes pengadu ini, dia masih belum sembuh sepenuhnya dan memerlukan beberapa lagi pembedahan. Kita juga belum mengetahui sama ada pengadu mengalami kecacatan kekal atau sebaliknya kerana wang yang akan disalurkan itu hanya diterima sekali seumur hidup.

“Rayuannya juga sudah dipanjangkan kepada Bahagian Operasi Perubatan dan Pemulihan Kuala Lumpur. Dalam jangka masa tiga bulan kita akan buat perbincangan semula bagi proses rayuan berkenaan sama ada pengadu layak atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Hutan Lipur Serting Ulu diberi nafas baru

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 29 Jun 2013 0 Komen


Hutan Lipur Serting Ulu diberi nafas baru
Kawasan Hutan Lipur Serting Ulu bakal diberi nafas baru dan mampu menarik pengunjung. Gambar kecil: Shamsulkahar
SERTING ULU - Hutan Lipur Serting Ulu di sini, diberi nafas baru apabila bakal dinaik taraf dalam masa terdekat selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM350,000.

Adun Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, ketika ini kawasan tersebut masih aktif dengan pelbagai aktiviti terutamanya perkhemahan pada hujung minggu melibatkan agensi kerajaan mahupun sekolah.

Menurutnya, surau dan dewan terbuka di kawasan itu juga akan dinaik taraf selain dua kedai makan, dua kolam mandi untuk kanak-kanak serta dewan akan dibina.

"Memandangkan kawasan ini sering dikunjungi orang ramai, kita juga akan menambah kemudahan lampu jalan.

"Projek naik taraf tersebut akan selesai sekitar dua tiga bulan ini," katanya.

Shamsulkahar berkata, selepas dinaik taraf, pihaknya menjangkakan lebih ramai pengunjung akan datang ke sini untuk mengadakan aktiviti riadah.

"Jika ramai yang berkunjung ke sini, pendapatan penduduk setempat yang berniaga di sini juga akan bertambah baik.

"Oleh itu, diharap belia mahupun penduduk kampung dapat menyambut sambut baik usaha ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bahagian atas hutan lipur ini agak sunyi, namun ianya kembali rancak dengan aktiviti perkhemahan yang dijalankan oleh Berhulu Camp pada hujung minggu.


Penat lelah 30 tahun terbalas
Jalaludin (kanan) bersama anaknya menunjukkan belimbing yang sudah masak di kebunnya.
LUI MUDA - Penat lelah seorang pengusaha kebun belimbing di Felda Lui Muda dekat sini sejak 30 tahun lalu, terbalas apabila dia berjaya merangkul Anugerah Usahawan Terbaik 2013, baru-baru ini.

Jalaludin Sabi, 64, berkata, dia mengusahakan tanaman belimbing selepas menerima saranan daripada pengurus Felda sebelum ini dan mendapat kebenaran untuk menggunakan tanah rizab seluas dua hektar.

"Saya berasa sangat beruntung sebab Felda memberi kebenaran ini untuk menambah pendapatan sedia selain mengusahakan kebun kelapa sawit.

"Saya hanya menggunakan modal sendiri untuk membeli baja serta racun serangga. Sebanyak 400 pokok belimbing yang perlu dijaga dan akan mengeluarkan hasil lebih kurang empat kali setahun,” katanya.

Menurutnya, dia menanam dua jenis belimbing iaitu belimbing madu dan biasa.

"Kesemua belimbing ini dijual dengan harga berbeza mengikut kualiti sedia ada.

"Harga pasaran bagi belimbing biasa mencecah RM5 sekilogram, namun saya hanya menjualnya dengan harga RM3.50 manakala RM4 bagi belimbing madu,” katanya.

Jalaludin berkata, sebelum ini, dia menjual hasil tanamannya kepada pemborong buah, namun harga yang dibeli terlalu murah.

"Tindakan itu tidak berbaloi sedangkan dia boleh menjualnya dengan harga agak tinggi dalam pasaran tempatan," katanya.

Katanya, isteri, Rosnah Suradin, 53, bersama dua anak lelakinya berusia 21 dan 26 tahun turut membantunya menguruskan kebun yang berjaya mengeluarkan hasil jualan dianggarkan hampir RM1,500 sebulan.

Sementara itu, anaknya, Yaakop, 26, berkata, setiap hari dia akan mengikut bapanya ke kebun.

"Biasanya saya akan membalut buah yang sudah masak supaya tidak dimakan burung selain memastikan pokok belimbing berada dalam keadaan baik.

"Ada juga pokok belimbing yang ditanam tidak menjadi akibat terlebih air. Lagipun untuk mendapatkan hasil yang banyak serta buah cantik ianya perlu dibaja setiap tiga bulan sekali dengan kos RM500,” katanya.

Dalam pada itu, dua Pegawai Penyelarasan Usahawan Felda Lui Muda, Mohd Farid Ahmad dan Mazlin Che Yun sempat melawat kebun Jalaludin semalam, bagi melihat perkembangan tanaman yang diusahakan.

'Habis semua barang dapur'

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 28 Jun 2013 0 Komen


'Habis semua barang dapur'
Nik Nurul (kiri) bersama seorang anggota bomba dan penyelamat melihat keadaan dapurnya yang musnah terbakar, semalam.
 
JEMPOL - Seorang jururawat tidak sempat menyiapkan hidangan tengah hari untuk keluarga berikutan kesemua bahan mentah musnah akibat dapur terbakar, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi di rumah sewanya di Taman Sri Serting, dekat sini, ketika Nik Nurul Badariah Nik Mohd Marzuki, 28, sedang menggoreng ikan, berpunca daripada kebocoran gas dapur.

Menurut Nik Nurul, dia terkejut apabila terdengar sesuatu bunyi ketika meninggalkan dapur seketika.

“Saya tinggalkan sekejap ikan yang sedang digoreng dekat kuali untuk pergi ke stor. Kemudian saya terdengar seperti bunyi gas keluar.

“Tidak lama kemudian, tiba-tiba api menyambar keluar daripada belakang dapur. Tanpa lengah, saya ambil beberapa helai pakaian lembab dalam bilik mandi dan menutup dapur itu. Tapi api masih menyambar,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak mencabut hos dari tong gas berkenaan kerana bimbang kejadian lebih teruk berlaku, sebelum bergegas menyelamatkan anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

“Dalam keadaan cemas, saya minta tolong jiran untuk mencabut kepala gas itu. Saya kemudian ambil kain selimut dan membasahkannya, sebelum mencampakkan pada api itu. Nasib baik padam," katanya ketika ditemui Sinar
Harian di rumahnya, semalam.

Berikutan kejadian itu, katanya, semua bahan mentah seperti sayur, ikan dan telur musnah menyebabkan dia tidak dapat menyediakan hidangan makan tengah hari untuk keluarga.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd Fahmi Abdullah berkata, tindakan pantas mangsa mengambil kain basah untuk mengelakkan api dan gas terus menyambar
adalah langkah bijak dan membantu api daripada terus merebak.

"Ini menunjukkan ceramah yang bomba anjurkan untuk penduduk untuk bertindak ketika berlaku kebakaran, memberi impak positif," katanya.

Jerebu punca OKU dilanggar

Dikirim oleh Warieh Selasa, 25 Jun 2013 0 Komen


Jerebu punca OKU dilanggar
Orang awam menghulurkan bantuan kepada penunggang motosikal yang cedera akibat terjatuh selepas motosikal yang ditunggang melanggar Wong di bandar ini, semalam.
TAMPIN – “Semasa ingin melintas, saya tidak nampak terdapat sebuah motosikal kerana mata saya berasa agak pedih,” kata seorang pejalan kaki yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, 58, selepas dilanggar sebuah motosikal di bandar ini, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa dipercayai mengalami masalah pedih mata  kesan jerebu di bandar ini yang sudah berlanjutan selama beberapa hari sejak Jumaat lalu.

Wong yang juga kurang upaya (OKU),  berkata, akibat perlanggaran itu, dia  mengalami cedera ringan di pergelangan kaki, bagaimanapun penunggang motosikal berkenaan terpaksa dikejarkan ke Hospital Tampin (HT).

Orang awam yang ditemui, Arina Othman, 27, berkata, pejalan kaki perlu lebih berhati-hati semasa ingin melintas dan melihat terlebih dahulu kiri serta kanan jalan bagi memastikan tiada kenderaan sebelum melintas.

“Kita harap agar baik pejalan kaki ataupun pemilik kenderaan untuk saling bertimbang rasa sepanjang musim jerebu ini dengan mengamalkan langkah-langkah keselamatan di jalan raya, " katanya.


Terbakar lepas ditutup sejam
Keadaan dalam kedai yang hangus terbakar, petang kelmarin.
JEMPOL - Seorang peniaga perkakasan terkedu apabila premis perniagaannya yang ditutup lebih sejam terbakar di Bandar Seri Jempol berhampiran Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol di sini, petang kelmarin.

Kenny Wong, 42, berkata, pada hari kejadian (Ahad), dia membuka kedainya seperti biasa, namun bertindak menutupnya sekitar jam 3.30 petang dan sempat membuat pemeriksaan di semua suis dalam premisnya.

Menurutnya, selepas lebih sejam kedainya ditutup, dia dikejutkan dengan panggilan telefon yang memaklumkan premisnya terbakar bahkan tidak sempat menyelamatkan barang jualannya.

“Saya pun tidak dapat buat apa, barang jualan habis terbakar dan kini hanya menunggu laporan terperinci berhubung punca kejadian daripada pihak bomba dan penyelamat,” katanya.

Katanya, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sepanjang tujuh tahun dia membuka perniagaan dekat sini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Pegawai Bomba Kanan 11, (PBK 11), Mohd Yusof Rasip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.40 petang.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian terdapat kepulan asap keluar menerusi bahagian depan dan belakang premis tersebut sehingga memaksa anggota bomba memotong kunci di depan kedai.

“Akibat keadaan asap terlalu tebal penglihatan kami agak terhad selain perlu mengharungi asap untuk masuk ke dalam premis sebelum memadamkan kebakaran.

“Keadaan berjaya dikawal tidak sampai beberapa minit kemudian dan kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa mahupun merebak ke premis perniagaan berhampiran,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu.

Katanya, lebih 20 peratus premis tersebut terbakar manakala punca dan jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan.

Mahu jumpa anak angkat

Dikirim oleh Warieh 0 Komen


Mahu jumpa anak angkat
Wahid memegang gambar lama Nor Adila (depan).
 
JEMPOL - “Saya sangat sayangkan dia dan terlalu rindukannya kerana kami sekeluarga sudah menganggapnya seperti anak sulung kami sendiri," kata seorang peneroka Felda Bukit Rokan Barat, Wahid Ismail, 53, yang berharap akan dipertemukan dengan anak angkatnya, Nor Adila Osman 30-an.

Dia yang juga bekas tentera berkata, dia sekeluarga mengasuh Nor Adila sejak usianya satu tahun dan selepas itu, mereka dikurniakan cahaya mata yang kini mempunyai lima anak.

Menurutnya, dia sekeluarga sudah terpisah dengan Nor Adila kira-kira 24 tahun dan berharap sangat dapat berjumpa dengannya kerana pelbagai usaha dilakukan, namun menemui jalan buntu.

“Kali terakhir Nor Adila menghubungi kami adalah pada tahun 2003 dan ketika itu dia memaklumkan bahawa ibunya meninggal dunia.

“Namun, selepas itu, kami tidak lagi berhubung. Saya sering teringat-ingat Nor Adila kerana banyak kenangan kami sekeluarga bersamanya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, Wahid bersama isterinya, Nor Asiah Ya’akob, 52, mula menjaga Nor Adila ketika dia berkhidmat sebagai anggota tentera di Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Wahid berkata, Nor Adila merupakan anak jirannya dan berbesar hati untuk mengasuhnya berikutan ketika itu dia masih belum menimbang cahaya mata.

"Kami sekeluarga berpisah dengan Nor Adila selepas saya berpencen awal untuk masuk ke Tanah Rancangan Felda. Sejak itu, kami hanya menghubungi Nor Adila menerusi telefon.

“Dia anak tunggal, apabila ibu bapanya pergi bekerja dia akan menghabiskan masanya di rumah kami," katanya.

Katanya, Nor Adila juga sering memanggilnya ayah bomba kerana ketika itu dia bertugas di unit bomba.

"Oleh itu, diharap sesiapa yang mengenali Nor Adila boleh menghubungi saya di talian 019-6254116 atau 013-6475067,” katanya.

2 penunggang motosikal maut

Dikirim oleh Warieh Isnin, 24 Jun 2013 0 Komen


kemalangan
Orang ramai mengerumuni tempat kejadian awal pagi semalam.
BAHAU - Dua penunggang motosikal maut setelah motosikal yang ditunggang masing-masing bertembung di kilometer tiga Jalan Bahau-Batu Kikir berhampiran Kampung Bukit Kelulut, di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, kejadian yang berlaku sekitar 1.20 pagi itu menyebabkan mangsa terkorban di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan lain.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Arif Anuwar Azlan, 22, menunggang motosikal jenis Kriss Modenas secara bersendirian dari arah Bahau.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal EX5 ditunggang seorang pelajar tingkatan lima, Mohammad Sabri Md Maliki yang datang dari arah bertentangan bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Arif.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian," katanya.

Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa.

"Walau bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1897.

“Manakala orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerusi talian 06-4582222,” katanya.

Difahamkan, Muhammad Arif dari Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir manakala Mohammad Sabri dari Kampung Jawa, Serting Tengah merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir (Model Khas).

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan, Tukiman Seriman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

Dua rumah dipecah masuk

Dikirim oleh Warieh Jumaat, 21 Jun 2013 0 Komen


JEMPOL - Dua keluarga mengalami kerugian hampir RM9,000 apabila kediaman mereka dipecah masuk sebelum suspek bertindak melarikan beberapa barang berharga di dua kejadian berasingan, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, kejadian pertama berlaku di sebuah taman perumahan di Bahau, membabitkan kehilangan dua telefon bimbit, dompet serta wang tunai RM1,400.

Menurutnya, mangsa, berumur 70-an menyedari rumahnya dipecah masuk setelah bangun tidur sekitar jam 7 pagi dan melihat pintu utama rumahnya terbuka. Dia terus meluru keluar lalu mendapati pintu kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumah turut terbuka.

“Setelah memeriksa di bahagian ruang tamu, mangsa mendapati semua barang berharga yang diletakkan di sebuah almari dekat ruang tamu rumah hilang.

“ Suspek dipercayai membuka pintu rumah mangsa menggunakan kunci pendua rumah yang disimpan dalam kereta mangsa yang tidak berkunci, kemudian melarikan beberapa barang berharga,” katanya.

Sementara itu,  Hamzah berkata, kes kedua membabitkan kerugian lebih kurang RM6,000 di sebuah rumah di Bandar Seri Jempol.

Menurutnya,  mangsa yang berumur 39 tahun baru dari pulang Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah bersama isterinya dikejutkan dengan keadaan rumah berselerak sekitar jam 7 malam.

“Mangsa bagaimanapun kehilangan wang tunai RM1,000, gelang emas,  sebuah telefon pintar dan sebuah tablet. Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek dipercayai masuk menerusi tingkap dapur dengan cara mengumpilnya.
“ Berikutan itu, dua kes ini kita disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, dan siasatan terperinci mengenai kejadian ini masih giat dijalankan.

“Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol ditalian 06-4582222,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.
Sinar Harian difahamkan juga, dua mangsa ini membuat laporan di Balai Polis Bahau dan Bandar Seri Jempol, pada Rabu lalu,

Dalam pada itu, Hamzah turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati selain memastikan rumah dalam keadaan selamat ketika berada di kediaman atau meninggalkan rumah masing-masing.

“Orang juga dinasihatkan tidak membiarkan senjata tajam di tempat mudah dilihat susulan penjenayah dipercayai sering menggunakan senjata seperti pisau, parang milik mangsa untuk melakukan aktiviti jenayah,” katanya.

Kepala anak makin membesar

Dikirim oleh Warieh Khamis, 20 Jun 2013 0 Komen


Kepala anak makin membesar
Amirul kanak-kanak lincah yang menderita sakit lebihan cecair pada kepalanya.
Kepala anak makin membesar
Beginilah keadaan kepala Amirul yang membesar sehingga mencecah lilitan 52 sentimeter.
PALONG - Seorang bapa merayu agar wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dapat diserahkan segera bagi menampung kos perubatan anak bongsunya, Amirul Quezairy, 3 yang menderita sakit cecair lebih di kepala sejak dilahirkan.

Mohamad Adlan Ab Hamid, 29, dari Felda Palong 13, di sini terpaksa berhenti kerja sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Julai tahun lalu bagi memberi perhatian kepada anak bongsunya itu.

Menurutnya, anaknya itu memerlukan perhatian penuh daripada keluarga agar perkembangan kesihatannya tidak terbantut setelah menjalani tiga pembedahan di kepala pada 2011.

"Sebelum ini saya sukar mendapatkan cuti bagi membawa anak ke hospital dan anak saya pernah terlepas untuk menjalani pembedahan mengakibatkan kepala Amirul menjadi besar selain urat kepalanya tegang.

"Oleh itu saya berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mempercepatkan penyerahan duit tersebut yang kini sudah setahun ditunggu," katanya.

Mohamad Adlan berkata, dia nekad berhenti kerja dan melakukan kerja kampung kerana bimbang dengan keadaan anaknya itu.

"Saya memang mahu cari kerja lain tetapi masih belum memperoleh surat pengesahan berhenti kerja daripada TLDM.

“Segala surat atau dokumen berkaitan sudah saya hantar kepada pihak bertanggungjawab dan selesaikan semasa saya berhenti daripada menjadi anggota tentera tahun lalu,” katanya yang memegang pangkat terakhir sebagai Laskar Kelas Satu (LK 1).

Isterinya, Marlina Mohd Ali, 29, berkata, anggota sebelah kanan anaknya itu lema dan terdapat satu tiub panjang dari kepala disambungkan ke bahagian dada di dalam badannya agar proses pengeluaran cecair lebihan di kepala berjalan lancar.

"Amirul seorang yang lincah, namun tidak mampu berdiri dan adakalanya apabila duduk di atas kerusi dia jatuh sendiri.

"Namun dia mampu mengengsot secara baring untuk bergerak," katanya.

Manakala Ketua Peneroka Felda Palong 13, Bahrom Ahmad berkata, pihaknya sudah mengusahakan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima RM300 sebulan.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat memandang serius masalah keluarga ini selain menggesa pihak terbabit mempercepatkan penyerahan wang yang dimaksudkannya,” katanya ketika datang melawat keluarga ini, semalam.

Sementara itu, LTAT ketika dihubungi Sinar Harian semalam menjelaskan, hasil semakan mereka masih belum menerima sebarang dokumen berkaitan daripada Mohamad Adlan bagi mengeluarkan duit daripada tabung tersebut.

Manakala usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) gagal susulan panggilan tidak berjawab.

Aduan diterima

Dikirim oleh Warieh Sabtu, 15 Jun 2013 0 Komen


Aduan diterima
Manickam (tiga, kiri) beramah mesra dengan penduduk sekitar Rompin yang hadir di pejabatnya, semalam.
ROMPIN - Permohonan penduduk sekitar Felda Palong Satu dan Dua yang menggesa klinik desa sedia ada dinaik taraf akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat.

Adun Jeram Padang, L Manickam berkata, namun sebelum itu, beliau akan mengambil kira beberapa faktor berkaitan.

Menurutnya, selain itu, beliau juga akan memandang serius pembinaan pondok polis dan Rela di dua kawasan Felda berkenaan.

"Memandangkan ia kawasan Felda, saya akan panjang permohonan penduduk kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kerana kita memerlukan lokasi sesuai untuk membina dua bangunan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Manickam berkata, beliau juga akan menyiasat dakwaan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Raya mengenai ambulans yang dipercayai enggan masuk ke perkampungan tersebut dengan alasan jalan sedia ada sukar untuk dilalui.

"Walau bagaimanapun untuk permulaan kita akan membuat jalan berturap ke perkampungan tersebut dan Kampung Orang Asli Panchor. Perkara ini juga akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

"Saya juga difahamkan ada penempatan masyarakat Orang Asli di sini masih menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih,” katanya.

Ketika ditanya pandangannya mengenai dua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) yang juga ahli MCA yang bertindak meletakkan jawatannya atas dasar mengikut kenyataan pimpinan tertinggi MCA pusat, Manickam enggan mengulas lanjut.

Katanya, beliau menunggu keputusan tertinggi MCA dan BN untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, bagi lanjutan JKKK sehingga Disember ini, Manickam mengharapkan kerjasama semua pihak agar tetap membantunya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan rata-rata individu yang datang ke pejabat Dun Jeram Padang di sini, adalah berkaitan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Manickam berkata, ada permohonan mereka ditolak kerana tidak menepati syarat sedia ada, namun bagi permohonan warga emas yang sememang penerima JKM yang mahu bantuan dinaikkan,  beliau tidak dapat memberikan jawapan tepat susulan jumlah bantuan tersebut sudah ditetapkan oleh JKM.

“Namun, saya akan panjangkan isu ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mesyuarat nanti," katanya.

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook