'Habis semua barang dapur'
Nik Nurul (kiri) bersama seorang anggota bomba dan penyelamat melihat keadaan dapurnya yang musnah terbakar, semalam.
 
JEMPOL - Seorang jururawat tidak sempat menyiapkan hidangan tengah hari untuk keluarga berikutan kesemua bahan mentah musnah akibat dapur terbakar, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi di rumah sewanya di Taman Sri Serting, dekat sini, ketika Nik Nurul Badariah Nik Mohd Marzuki, 28, sedang menggoreng ikan, berpunca daripada kebocoran gas dapur.

Menurut Nik Nurul, dia terkejut apabila terdengar sesuatu bunyi ketika meninggalkan dapur seketika.

“Saya tinggalkan sekejap ikan yang sedang digoreng dekat kuali untuk pergi ke stor. Kemudian saya terdengar seperti bunyi gas keluar.

“Tidak lama kemudian, tiba-tiba api menyambar keluar daripada belakang dapur. Tanpa lengah, saya ambil beberapa helai pakaian lembab dalam bilik mandi dan menutup dapur itu. Tapi api masih menyambar,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak mencabut hos dari tong gas berkenaan kerana bimbang kejadian lebih teruk berlaku, sebelum bergegas menyelamatkan anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

“Dalam keadaan cemas, saya minta tolong jiran untuk mencabut kepala gas itu. Saya kemudian ambil kain selimut dan membasahkannya, sebelum mencampakkan pada api itu. Nasib baik padam," katanya ketika ditemui Sinar
Harian di rumahnya, semalam.

Berikutan kejadian itu, katanya, semua bahan mentah seperti sayur, ikan dan telur musnah menyebabkan dia tidak dapat menyediakan hidangan makan tengah hari untuk keluarga.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd Fahmi Abdullah berkata, tindakan pantas mangsa mengambil kain basah untuk mengelakkan api dan gas terus menyambar
adalah langkah bijak dan membantu api daripada terus merebak.

"Ini menunjukkan ceramah yang bomba anjurkan untuk penduduk untuk bertindak ketika berlaku kebakaran, memberi impak positif," katanya.