Jalaluddin (dua, kiri) meninjau operasi pembersihan SWM di Tampin Square, semalam
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias berkata, pembersihan sampah mikro itu antaranya ialah daun-daun kering, sampah yang dibuang orang awam dan lain-lain lagi terutamanya di kawasan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) serta Majlis Perbandaran Nilai (MPN).
Menurutnya, langkah itu akan membantu usaha kerajaan Negeri Sembilan dalam mewujudkan persekitaran negeri lebih bersih, sihat dan sejahtera. Bagaimanapun, usaha itu juga memerlukan penglibatan orang awam.
“PPSPPA dan SWM kini dalam rangka kerja bagi merealisasikan hasrat berkenaan iaitu memastikan kawasan pembandaran di negeri ini bebas daripada sampah mikro. Namun, kita juga harap agar apa yang dilakukan PPSPPA
dan SWM ini dapat mendidik masyarakat untuk sama-sama menjaga kebersihan.
“Oleh itu, kempen kesedaran ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh membabitkan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini bagi memastikan masyarakat dapat menyedari kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Lawatan Kerja ke PBT Tampin, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa dan barisan ahli Majlis.
Pada majlis berkenaan, taklimat mengenai PBT Tampin diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar dan tiga lokasi disertakan dalam lawatan iaitu operasi pembersihan SWM di Tampin Square; Kolam Renang Gunung Tampin dan Perumahan Hala Cara Baru, Londah, Gemas.
Sementara itu, Jalaluddin turut menasihatkan kepada kesemua peniaga yang akan turut serta dalam pasar dan bazar Ramadan di negeri ini untuk menjaga kebersihan dan mengikuti garis panduan PBT dalam penjagaan premis perniagaan sepanjang Ramadan ini.
“Malah, diharap orang ramai juga dapat membantu memastikan kawasan bazar bersih dengan tidak membuang sampah sesuka hati," katanya.


0 Komen