Zaidy bersama seorang penduduk sedang merawat lembu jantan yang lemah selepas disumpit ubat pelali
Mohd Zaidy Kamarudin, 30, berkata, kali ini dua ekor lembunya ditemui dalam keadaan separa sedar selepas disumpit ubat pelali oleh individu yang tidak dikenali, semalam.
Menurutnya, dia menjumpai dua ekor lembunya kira-kira jam 6 pagi setelah dimaklumkan oleh penduduk kampung.
“Saya mengetahuinya selepas dimaklumkan penduduk kampung yang ternampak lembu saya terbaring lemah di tepi jalan.
“Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan lihat dua ekor jantan dewasa terbaring lemah selepas disumpit di bahagian kaki belakang dan punggung," katanya.
Menurutnya, kemungkinan lembunya disumpit orang yang sama seperti mana kejadian lalu berdasarkan kepada warna jingga di belakang jarum itu.
“Saya percaya pemilik jarum ubat pelali adalah orang sama yang pernah mencuri ternakan lembu saya pada beberapa bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu merupakan kali kelima berlaku di kawasan berkenaan dalam tempoh enam bulan ini.
"Setakat ini, sudah 20 ekor lembu di kawasan kampung ini disumpit tidak termasuk lagi di kampung berhampiran lain.
“Keadaan ini semakin berleluasa dan sangat serius. Kami bimbang, bila musim perayaan, ternakan kami habis dicuri penyamun," katanya.
Katanya, sungguhpun pihak berkuasa sudah berjaya menangkap suspek mencuri ternakan di sini, tetapi sebenarnya lebih ramai lagi yang masih terlepas dan perkara berkenaan perlu dipandang serius oleh pihak berwajib.
Dalam pada itu, Mohd Zaidy berkata, dia memiliki lebih 80 ekor lembu yang akan dijual terutama semasa musim perayaan mahupun kenduri.
“Kita orang berniaga dan bila berlaku perkara ini, sedikit sebanyak ia merugikan. Alhamdulillah, dua ekor lembu jantan ini berjaya dipulihkan selepas dirawat.
"Oleh itu, diharap penjualan ubat pelali ini dapat dipantau oleh pihak berkaitan supaya ia tidak sewenang-wenangnya mudah dijual di farmasi atau di mana sahaja,” katanya.


0 Komen