Neesanthini menunjukkan keadaan leher Ganapathy yang patah ketika ditemui di Rumah Kebajikan Vivekananda, semalam.
I Neesanthini, 25, berkata, suaminya, S Ganapathy terbabit dalam kemalangan ketika ingin menjemput anak sulung mereka, G Surthesh, 8, pulang dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong sekitar jam 11.30 pagi.
Menurutnya, selepas kejadian itu, suaminya ibarat mati hidup semula apabila ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selama dua minggu dan ditahan di wad selama dua bulan.
“Saya seolah-olah buntu untuk memikirkan ke mana hala tuju kami sekeluarga lebih-lebih lagi kami mempunyai empat anak yang masih kecil iaitu berusia satu tahun hingga lapan tahun.
“Malah, lebih membuatkan saya gusar ialah tempat bekerja suami saya iaitu di ladang lembu juga sudah mengarahkan kami keluar dari rumah ladang kerana suami saya tidak mampu bekerja selain dinasihatkan doktor untuk tidak banyak bergerak selama setahun,” katanya ketika ditemui di Rumah Kebajikan Vivekananda, dekat sini, semalam.
Neesanthini berkata, mujur guru besar sekolah anaknya ada membantu memberikan nombor telefon Rumah Kebajikan Vivekananda untuk membolehkannya mencari perlindungan sementara menunggu suaminya pulih.
“Saya memang bimbang kerana kami sekeluarga tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah usaha saya memohon bantuan rumah melalui e-Kasih juga masih belum berhasil sehingga ke hari ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rumah Kebajikan Vivekananda, RD Ramesh Patel berkata, buat masa ini pihaknya sedia membantu keluarga berkenaan dengan mencari tempat tinggal berdekatan rumah kebajikan.
Menurutnya, malah anak-anak Neesanthini juga berpeluang mendapat kemudahan sama dengan kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan.
“Kini Neesanthini bekerja di sini dengan membantu menguruskan rumah kebajikan ini bersama-sama kakitangan serta sukarelawan yang lain," katanya.


0 Komen