Penat lelah 30 tahun terbalas
Jalaludin (kanan) bersama anaknya menunjukkan belimbing yang sudah masak di kebunnya.
LUI MUDA - Penat lelah seorang pengusaha kebun belimbing di Felda Lui Muda dekat sini sejak 30 tahun lalu, terbalas apabila dia berjaya merangkul Anugerah Usahawan Terbaik 2013, baru-baru ini.

Jalaludin Sabi, 64, berkata, dia mengusahakan tanaman belimbing selepas menerima saranan daripada pengurus Felda sebelum ini dan mendapat kebenaran untuk menggunakan tanah rizab seluas dua hektar.

"Saya berasa sangat beruntung sebab Felda memberi kebenaran ini untuk menambah pendapatan sedia selain mengusahakan kebun kelapa sawit.

"Saya hanya menggunakan modal sendiri untuk membeli baja serta racun serangga. Sebanyak 400 pokok belimbing yang perlu dijaga dan akan mengeluarkan hasil lebih kurang empat kali setahun,” katanya.

Menurutnya, dia menanam dua jenis belimbing iaitu belimbing madu dan biasa.

"Kesemua belimbing ini dijual dengan harga berbeza mengikut kualiti sedia ada.

"Harga pasaran bagi belimbing biasa mencecah RM5 sekilogram, namun saya hanya menjualnya dengan harga RM3.50 manakala RM4 bagi belimbing madu,” katanya.

Jalaludin berkata, sebelum ini, dia menjual hasil tanamannya kepada pemborong buah, namun harga yang dibeli terlalu murah.

"Tindakan itu tidak berbaloi sedangkan dia boleh menjualnya dengan harga agak tinggi dalam pasaran tempatan," katanya.

Katanya, isteri, Rosnah Suradin, 53, bersama dua anak lelakinya berusia 21 dan 26 tahun turut membantunya menguruskan kebun yang berjaya mengeluarkan hasil jualan dianggarkan hampir RM1,500 sebulan.

Sementara itu, anaknya, Yaakop, 26, berkata, setiap hari dia akan mengikut bapanya ke kebun.

"Biasanya saya akan membalut buah yang sudah masak supaya tidak dimakan burung selain memastikan pokok belimbing berada dalam keadaan baik.

"Ada juga pokok belimbing yang ditanam tidak menjadi akibat terlebih air. Lagipun untuk mendapatkan hasil yang banyak serta buah cantik ianya perlu dibaja setiap tiga bulan sekali dengan kos RM500,” katanya.

Dalam pada itu, dua Pegawai Penyelarasan Usahawan Felda Lui Muda, Mohd Farid Ahmad dan Mazlin Che Yun sempat melawat kebun Jalaludin semalam, bagi melihat perkembangan tanaman yang diusahakan.