'Ini bukan tempat buang tayar'
Gunasekaran (belakang, dua, kiri) bersama petugas MPS di tempat penyimpanan tayar yang menimbulkan rungutan penduduk.
SEREMBAN - Penduduk Taman Seremban, di sini gusar dengan kehadiran sejumlah tayar lori dekat sebuah tanah lapang milik persendirian berhampiran kediaman mereka.

Penduduk mendakwa, pelbagai masalah mula timbul sejak kesemua tayar berkenaan diletakkan di kawasan itu lebih kurang tiga bulan lalu oleh sebuah syarikat tempatan.

Salah seorang penduduk, Marie Michael, 55, berkata, mereka khuatir tayar-tayar tersebut akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes lantaran tidak dikelola dengan baik.

“Keadaan sebegini membimbangkan kita, memandangkan nyamuk yang semakin banyak dari sehari ke sehari sejak tempat penyimpanan tayar terbabit wujud.

“Selain itu, kita juga sering diganggu bunyi bising lori treler yang mengangkut dan menghantar tayar ke lokasi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Marie, pernah dia sekeluarga tidak dapat tidur berikutan terganggu dengan bunyi enjin yang dibiarkan hidup semalaman oleh si pemandu setelah meletakkan lori treler di hadapan rumahnya sementara menantikan pagar dibuka.

“Selain itu, kita juga berasa tidak selesa dengan pencemaran udara yang terhasil daripada asap dikeluarkan kenderaan berat terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Lim Kim Soon, 60, pula berkata, dia sangat kecewa kerana kehadiran tayar-tayar di situ menjadikan taman berkenaan tidak ubah seperti tempat pembuangan sampah.

“Selain mencacatkan pemandangan, kita juga risau akan berlaku kebakaran besar akibat tayar getah yang menjadi pemangkin.

“Justeru, kita minta kesemuanya dipindahkan ke tempat lain secepat mungkin demi kebaikan penduduk,” katanya yang sudah menetap di taman tersebut sejak 1982.

Kim Soon berkata, penduduk turut risau dengan kehadiran lori treler yang mengangkut tayar.

“Kebarangkalian untuk kemalangan berlaku amat besar, terutamanya melibatkan kanak-kanak memandangkan jalan digunakan adalah laluan utama keluar masuk taman.

“Memburukkan lagi keadaan, kenderaan berat diletakkan di sepanjang bahu jalan taman juga menyesakkan lagi lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, jurucakap syarikat yang bertanggungjawab dalam hal itu menjelaskan, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada tuan tanah untuk meletakkan tayar di situ.

“Kita sudah membuat perjanjian dengan pemilik yang bersetuju menyewakan lokasi ini kepada syarikat selama tiga tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Senawang, P Gunasekaran yang turut membuat lawatan ke lokasi berkenaan berkata, beliau menerima aduan penduduk pada 24 Jun lalu, sebelum memaklumkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) keesokan harinya.

“Kita dapati, pihak majlis telah menghantar wakil ke lokasi pada hari ini (semalam) untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, seandainya tiada tindakan drastik diambil selepas ini, penduduk sebulat suara akan menghantar satu memorandum dan mengadakan bantahan secara terbuka di hadapan premis tayar disimpan,” katanya.