Keadaan kabel TM yang rosak akibat dicuri di sekitar Felda Pasoh, awal pagi kelmarin.
Sinar Harian difahamkan, kejadian itu membabitkan kerugian sebanyak RM1,500.
Jurucakap TM berkata, pada pertengahan Mei lalu, kabel jenis IB 100 pair sepanjang 150 meter dicuri dan TM mengalami kerugian material iaitu sebanyak RM5,000 tidak termasuk kos yang ditanggung daripada pelanggan.
Menurutnya, walau bagaimanapun, kerja–kerja baik pulih giat dilakukan sebaik sahaja TM mendapat kabel gantian yang diterima dari stor TM di Labu.
"Kami berharap semua pengguna TM dapat bersabar dan ianya akan dibaiki segera," katanya yang turut mengesahkan sudah membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir, kira–kira jam 8.05 malam, kelmarin.
Sementara itu, anak peneroka, Zaifiqhka Muhammad, 19, berkata, kejadian berkenaan benar-benar menyusahkannya dan rakan-rakan lain untuk melayari internet.
"Saya pelik kerana pihak tidak bertanggungjawab itu sangat berani mencuri kabel di kawasan kampung.
"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan kerana ia bukan yang pertama kali berlaku di sini," katanya.
Manakala, Adun Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali berkata, penduduk perlu bekerjasama bagi membanteras kegiatan itu.
"Namun, suka saya ingatkan membanteras kejadian seumpama ini bukan dibahu satu pihak sahaja, tetapi kerjasama semua pihak,” katanya yang juga kesal dengan insiden tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman pula ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


0 Komen