Hamzah Alias
Hamzah Alias
JEMPOL - Seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri di atas motosikal milik bapanya berhampiran Felda Gugusan Palong Lima, di sini rupa-rupanya sudah meninggal dunia sebelum dia sempat pulang ke rumah, awal pagi kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, pada awalnya lelaki berumur 27 tahun ini ditemui penduduk setempat dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar 8.15 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada Balai Polis Rompin.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap lelaki tersebut.

Menurutnya, mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Palong Lima seterusnya dihantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan di badan mangsa mendapati terdapat kesan hitam dekat bahu dan keluarga mangsa mengesyaki terdapat unsur jenayah atas kematiannya.

“Berikutan itu, kita setuju untuk membawa mayat mangsa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi menjalani bedah siasat,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Namun katanya, keputusan bedah siasat yang dijalankan pada jam 9 pagi, semalam mendapati mangsa mati bukan disebabkan oleh unsur jenayah.

“Jadi kes ini kita klasifikasi sebagai mati mengejut. Jenazah mangsa juga diserahkan kepada keluarganya setelah selesai proses bedah siasat tersebut,” katanya.