Barang kemas atas meja lesap
Pengerusi MIC Bahagian Telok Kemang, Datuk M Veloo (kanan) ketika menziarah keluarga Banik (dua, kiri).
 
PORT DICKSON – Seorang suami terpaksa menanggung kerugian apabila barang kemas milik mendiang isterinya hilang dipercayai disamun seorang lelaki semasa upacara penghormatan kematian 15 hari sedang berlangsung.

R Banik, 59, berkata, isterinya Janagi, 58, meninggal dunia enam hari lalu dan dia bersama keluarganya mengadakan acara penghormatan kematian selama 15 hari dengan meletakkan gambar berserta barang kemas miliknya di atas meja di bahagian ruang tamu.

“Kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi kelmarin. Semasa kejadian saya yang tidur bersama anak lelaki di bahagian ruang tamu rumah terjaga kerana hendak ke bilik air.
“Ketika itu saya ada meninjau di luar rumah dan melihat kelibat seorang lelaki di kawasan rumah namun tidak mengesyaki apa-apa," katanya.

Menurutnya, sebaik keluar dari bilik air, dia mendapati pintu dapur terbuka dan mula berasa tidak sedap hati.

"Saya terus memeriksa keseluruhan rumah sebelum menemui cermin dan besi tingkap di bilik belakang dibuka dan dibengkokkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Banik berkata, dia terus teringatkan barang kemas yang diletakkan di gambar mendiang isterinya dan mendapati ia telah hilang.

“Barang kemas tersebut terdiri daripada dua utas rantai, dua utas gelang dan tiga bentuk cincin dianggarkan kesemuanya berjumlah RM20,000, " katanya.

Banik kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Lukut.