Orang ramai mengerumuni tempat kejadian awal pagi semalam.
Jurucakap polis berkata, kejadian yang berlaku sekitar 1.20 pagi itu menyebabkan mangsa terkorban di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan lain.
Menurutnya, mangsa, Muhammad Arif Anuwar Azlan, 22, menunggang motosikal jenis Kriss Modenas secara bersendirian dari arah Bahau.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal EX5 ditunggang seorang pelajar tingkatan lima, Mohammad Sabri Md Maliki yang datang dari arah bertentangan bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Arif.
"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian," katanya.
Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa.
"Walau bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1897.
“Manakala orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerusi talian 06-4582222,” katanya.
Difahamkan, Muhammad Arif dari Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir manakala Mohammad Sabri dari Kampung Jawa, Serting Tengah merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir (Model Khas).
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan, Tukiman Seriman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.


0 Komen