Tiga kereta terlibat kemalangan
Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan itu.
REMBAU – Tiga kereta terlibat dalam kemalangan apabila sebuah kereta melanggar belakang sebuah lori di lorong kiri sebelum dirempuh sebuah kereta lain di kilometer 229, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 12.30 pagi itu, dua mangsa yang menaiki Proton Saga, Abang Jameel Mujahid Abang Borhanuddin, 20, berasal dari Bentong, Sarawak dan rakan, Yusnaziha Madadida Wan Yusof, 19, dari Kota Tinggi, Johor dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Melaka.

Saksi kejadian, Zairulrizal Zainal, 38, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke Segamat dari Kuala Lumpur dan ternampak kemalangan yang berlaku kira-kira 500 meter dari keretanya.

"Saya sempat mengelak Proton Saga yang berada di tengah jalan sebelum berhenti dan keluar membantu menyelamatkan mangsa," katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Saga dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban manakala dua lelaki dan seorang perempuan yang menaiki Perodua Alza dipercayai warganegara asing hanya mengalami kecederaan ringan.