Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, tiada sebarang kecederaan mahu pun kehilangan berlaku berikutan pencuri gagal memasuki rumahnya.
Kok Seong berkata, sewaktu kejadian beliau tiada di rumah dan semua ahli keluarganya termasuk isteri sedang tidur.
Katanya, kejadian hanya disedari oleh adiknya, Teo Kok Loon, 24, lebih kurang jam 8 pagi apabila mendapati pintu keretanya terbuka sebelum terlihat beberapa barang bertaburan akibat diselongkar.
“Sewaktu kejadian berlaku, saya berada di Kuala Lumpur sempena konvensyen Kepimpinan PR di Ampang, dan hanya mengetahui perkara tersebut melalui panggilan telefon daripada adik saya awal pagi tadi.
“Syukur semuanya selamat dan tiada sebarang kecederaan mahu pun kehilangan besar berlaku, kecuali beberapa simpanan duit syiling yang ada dalam kereta diambil oleh pencuri tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, kejadian seperti ini berlaku untuk kali ketiga di rumahnya sejak beliau menjadi Adun Bahau pada penggal lalu.
Katanya, susulan kejadian tersebut, keluarganya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bahau, awal pagi semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Tukiman Seriman mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan rumah itu, pihaknya dapat melihat seorang lelaki memasuki perkarangan rumah tersebut namun masih belum dapat mengenal pasti identiti suspek.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
“Saya menasihatkan kepada mana-mana penghuni rumah agar berwaspada dan sentiasa berhati-hati serta mengunci semua pintu dan tingkap rumah sebelum tidur bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku,” katanya.
0 Komen