Mahu jumpa anak angkat
Wahid memegang gambar lama Nor Adila (depan).
 
JEMPOL - “Saya sangat sayangkan dia dan terlalu rindukannya kerana kami sekeluarga sudah menganggapnya seperti anak sulung kami sendiri," kata seorang peneroka Felda Bukit Rokan Barat, Wahid Ismail, 53, yang berharap akan dipertemukan dengan anak angkatnya, Nor Adila Osman 30-an.

Dia yang juga bekas tentera berkata, dia sekeluarga mengasuh Nor Adila sejak usianya satu tahun dan selepas itu, mereka dikurniakan cahaya mata yang kini mempunyai lima anak.

Menurutnya, dia sekeluarga sudah terpisah dengan Nor Adila kira-kira 24 tahun dan berharap sangat dapat berjumpa dengannya kerana pelbagai usaha dilakukan, namun menemui jalan buntu.

“Kali terakhir Nor Adila menghubungi kami adalah pada tahun 2003 dan ketika itu dia memaklumkan bahawa ibunya meninggal dunia.

“Namun, selepas itu, kami tidak lagi berhubung. Saya sering teringat-ingat Nor Adila kerana banyak kenangan kami sekeluarga bersamanya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, Wahid bersama isterinya, Nor Asiah Ya’akob, 52, mula menjaga Nor Adila ketika dia berkhidmat sebagai anggota tentera di Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Wahid berkata, Nor Adila merupakan anak jirannya dan berbesar hati untuk mengasuhnya berikutan ketika itu dia masih belum menimbang cahaya mata.

"Kami sekeluarga berpisah dengan Nor Adila selepas saya berpencen awal untuk masuk ke Tanah Rancangan Felda. Sejak itu, kami hanya menghubungi Nor Adila menerusi telefon.

“Dia anak tunggal, apabila ibu bapanya pergi bekerja dia akan menghabiskan masanya di rumah kami," katanya.

Katanya, Nor Adila juga sering memanggilnya ayah bomba kerana ketika itu dia bertugas di unit bomba.

"Oleh itu, diharap sesiapa yang mengenali Nor Adila boleh menghubungi saya di talian 019-6254116 atau 013-6475067,” katanya.