Terbakar lepas ditutup sejam
Keadaan dalam kedai yang hangus terbakar, petang kelmarin.
JEMPOL - Seorang peniaga perkakasan terkedu apabila premis perniagaannya yang ditutup lebih sejam terbakar di Bandar Seri Jempol berhampiran Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol di sini, petang kelmarin.

Kenny Wong, 42, berkata, pada hari kejadian (Ahad), dia membuka kedainya seperti biasa, namun bertindak menutupnya sekitar jam 3.30 petang dan sempat membuat pemeriksaan di semua suis dalam premisnya.

Menurutnya, selepas lebih sejam kedainya ditutup, dia dikejutkan dengan panggilan telefon yang memaklumkan premisnya terbakar bahkan tidak sempat menyelamatkan barang jualannya.

“Saya pun tidak dapat buat apa, barang jualan habis terbakar dan kini hanya menunggu laporan terperinci berhubung punca kejadian daripada pihak bomba dan penyelamat,” katanya.

Katanya, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sepanjang tujuh tahun dia membuka perniagaan dekat sini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Pegawai Bomba Kanan 11, (PBK 11), Mohd Yusof Rasip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.40 petang.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian terdapat kepulan asap keluar menerusi bahagian depan dan belakang premis tersebut sehingga memaksa anggota bomba memotong kunci di depan kedai.

“Akibat keadaan asap terlalu tebal penglihatan kami agak terhad selain perlu mengharungi asap untuk masuk ke dalam premis sebelum memadamkan kebakaran.

“Keadaan berjaya dikawal tidak sampai beberapa minit kemudian dan kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa mahupun merebak ke premis perniagaan berhampiran,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu.

Katanya, lebih 20 peratus premis tersebut terbakar manakala punca dan jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan.