Salbiah memangku Qaseh melihat gambar kenangan dia bersama arwah suaminya.
Ibu tunggal, Salbiah A.Kadis, 50, berkata, selama 13 tahun dia berkahwin dengan arwah suaminya, Zulkunain Jamaludin, 52, tidak pernah dikurniakan zuriat. Namun, kehadiran Nur Qaseh Ahmad Riduan, empat bulan sebagai anak angkat umpama penyeri hidupnya.
Menurutnya, Nur Qaseh merupakan anak kepada adiknya yang dijaga sejak dia berumur seminggu, dan mengakui bahawa faktor umurnya yang kini awal 50-an bukanlah penghalang untuknya merasa nikmat menjadi seorang ibu.
“Hidup tanpa suami pada tahun pertama Ramadan memang agak tersentuh, sebab suamilah yang banyak membantu saya dalam menguruskan perniagaan kuih raya iaitu popia goreng dan batang buruk.
“Semua kerja arwah buat, sebut sahaja. Sekarang ALLAH gantikan tempat abang dengan Qaseh supaya saya ada teman hidup dan ini merupakan satu nikmat yang sungguh berharga dalam hidup saya, " katanya.
Salbiah berkata, dia bersyukur apabila suaminya yang juga bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima Qaseh seadanya, walaupun dia hanya sempat menjaga bayi itu selama 41 hari sahaja, sebelum meninggal dunia.
Sementara itu, ketika menyentuh mengenai tempahan kuih sempena Syawal ini, Salbiah berkata, dia menerima banyak tempahan namun, terpaksa menolaknya kerana perlu menjaga Qaseh.
“Saya akui, sejak adanya Qaseh saya terpaksa memperlahankan perniagaan kuih ini. Biarlah susah mana pun, saya mesti kerja bagi menyara Qaseh dan ia untuk masa depannya juga.
“Kini, saya hanya mampu buat kuih itu sekitar 10 kilogram (kg) sahaja dengan purata 2kg setiap satu dalam masa sehari dengan harga lebih kurang RM30 bagi satu kg kuih popia goreng dan setengah kg RM12, batang buruk, " katanya.
Salbiah berharap satu hari nanti dia dapat memiliki bengkel sendiri ataupun kedai bagi menampung perbelanjaan harian.


0 Komen