NILAI - Hajat seorang lelaki untuk bersahur dengan keluarganya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Labu - Nilai, dekat sini, awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, Abdul Mubin Mohd Sah Peli, 28, sedang memandu kereta jenis Proton Persona seorang diri.

“Siasatan awal mendapati, semasa insiden berlaku, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Nilai menuju ke rumahnya di Labu.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan mengakibatkan kenderaan dipandu bertembung dengan sebuah lori treler membawa muatan kayu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, impak perlanggaran tersebut menyebabkan kereta dinaiki remuk dan pihak bomba terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 32 tahun pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban berikutan mengalami kecederaan serius,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes masih dalam siasatan.