Mizan
Sumber berkata, mangsa yang berusia awal 40an seperti biasa keluar pada tengah hari Sabtu lalu ke Kuala Pilah bagi urusan jual beli telur. Namun sehingga malam, mangsa tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, si isteri yang berusia awal 20-an nekad membuat laporan polis sekitar jam 7 malam selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya yang memaklumkan tidak tahu berada di mana.
“Jadi si isteri membuat laporan polis. Bagaimanapun sekitar jam 9 malam, si isteri menerima panggilan telefon daripada suaminya yang menyuruhnya memasukkan duit belasan ribu ringgit ke dalam akaun.
“Malah, si isteri juga dapat mengesan suara suaminya seolah-olah sedang menahan kesakitan. Atas nasihat polis, si isteri tidak jadi memasukkan wang berkenaan dan menunggu reaksi suaminya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa turut mendakwa wang berjumlah RM9,000 yang dibawanya untuk urusan jual beli telur disamun di sekitar Kuala Lumpur dan dia turut cedera di bahagian kepala kerana dipukul dengan objek keras.
Menurutnya, mangsa kemudiannya berjaya menyelamatkan diri pada hari Ahad dan menaiki teksi terus ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban bagi mendapatkan rawatan susulan mengalami bengkak di bahagian kepala setelah dipukul oleh penyamun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan kes masih lagi dalam siasatan polis.
Menurutnya, pihak polis kini sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital bagi tindakan selanjutnya.


0 Komen