Mohamad Adlan Ab Hamid, 29, dari Felda Palong 13, di sini terpaksa berhenti kerja sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Julai tahun lalu bagi memberi perhatian kepada anak bongsunya itu.
Menurutnya, anaknya itu memerlukan perhatian penuh daripada keluarga agar perkembangan kesihatannya tidak terbantut setelah menjalani tiga pembedahan di kepala pada 2011.
"Sebelum ini saya sukar mendapatkan cuti bagi membawa anak ke hospital dan anak saya pernah terlepas untuk menjalani pembedahan mengakibatkan kepala Amirul menjadi besar selain urat kepalanya tegang.
"Oleh itu saya berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mempercepatkan penyerahan duit tersebut yang kini sudah setahun ditunggu," katanya.
Mohamad Adlan berkata, dia nekad berhenti kerja dan melakukan kerja kampung kerana bimbang dengan keadaan anaknya itu.
"Saya memang mahu cari kerja lain tetapi masih belum memperoleh surat pengesahan berhenti kerja daripada TLDM.
“Segala surat atau dokumen berkaitan sudah saya hantar kepada pihak bertanggungjawab dan selesaikan semasa saya berhenti daripada menjadi anggota tentera tahun lalu,” katanya yang memegang pangkat terakhir sebagai Laskar Kelas Satu (LK 1).
Isterinya, Marlina Mohd Ali, 29, berkata, anggota sebelah kanan anaknya itu lema dan terdapat satu tiub panjang dari kepala disambungkan ke bahagian dada di dalam badannya agar proses pengeluaran cecair lebihan di kepala berjalan lancar.
"Amirul seorang yang lincah, namun tidak mampu berdiri dan adakalanya apabila duduk di atas kerusi dia jatuh sendiri.
"Namun dia mampu mengengsot secara baring untuk bergerak," katanya.
Manakala Ketua Peneroka Felda Palong 13, Bahrom Ahmad berkata, pihaknya sudah mengusahakan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima RM300 sebulan.
“Saya berharap pihak berkenaan dapat memandang serius masalah keluarga ini selain menggesa pihak terbabit mempercepatkan penyerahan wang yang dimaksudkannya,” katanya ketika datang melawat keluarga ini, semalam.
Sementara itu, LTAT ketika dihubungi Sinar Harian semalam menjelaskan, hasil semakan mereka masih belum menerima sebarang dokumen berkaitan daripada Mohamad Adlan bagi mengeluarkan duit daripada tabung tersebut.
Manakala usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) gagal susulan panggilan tidak berjawab.
0 Komen