Aduan diterima
Manickam (tiga, kiri) beramah mesra dengan penduduk sekitar Rompin yang hadir di pejabatnya, semalam.
ROMPIN - Permohonan penduduk sekitar Felda Palong Satu dan Dua yang menggesa klinik desa sedia ada dinaik taraf akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat.

Adun Jeram Padang, L Manickam berkata, namun sebelum itu, beliau akan mengambil kira beberapa faktor berkaitan.

Menurutnya, selain itu, beliau juga akan memandang serius pembinaan pondok polis dan Rela di dua kawasan Felda berkenaan.

"Memandangkan ia kawasan Felda, saya akan panjang permohonan penduduk kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kerana kita memerlukan lokasi sesuai untuk membina dua bangunan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Manickam berkata, beliau juga akan menyiasat dakwaan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Raya mengenai ambulans yang dipercayai enggan masuk ke perkampungan tersebut dengan alasan jalan sedia ada sukar untuk dilalui.

"Walau bagaimanapun untuk permulaan kita akan membuat jalan berturap ke perkampungan tersebut dan Kampung Orang Asli Panchor. Perkara ini juga akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

"Saya juga difahamkan ada penempatan masyarakat Orang Asli di sini masih menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih,” katanya.

Ketika ditanya pandangannya mengenai dua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) yang juga ahli MCA yang bertindak meletakkan jawatannya atas dasar mengikut kenyataan pimpinan tertinggi MCA pusat, Manickam enggan mengulas lanjut.

Katanya, beliau menunggu keputusan tertinggi MCA dan BN untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, bagi lanjutan JKKK sehingga Disember ini, Manickam mengharapkan kerjasama semua pihak agar tetap membantunya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan rata-rata individu yang datang ke pejabat Dun Jeram Padang di sini, adalah berkaitan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Manickam berkata, ada permohonan mereka ditolak kerana tidak menepati syarat sedia ada, namun bagi permohonan warga emas yang sememang penerima JKM yang mahu bantuan dinaikkan,  beliau tidak dapat memberikan jawapan tepat susulan jumlah bantuan tersebut sudah ditetapkan oleh JKM.

“Namun, saya akan panjangkan isu ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mesyuarat nanti," katanya.