Dalam operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan jam 3 pagi semalam, lelaki terbabit yang masing-masing berusia lingkungan 33 sehingga lewat 40-an itu itu ditahan di rumah mereka di Taman Seremban Jaya di sini.
Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak beberapa hari lalu berhubung aduan pemerasan wang dan ugutan ke atas ramai warga Pakistan.
“Dalam serbuan pertama pihaknya menyerbu sebuah rumah didiami seorang lelaki Pakistan berusia lewat 40-an bersama isterinya seorang wanita tempatan dan tiga anak mereka.
“Pemeriksaan rumahnya mendapati terdapat sejumlah beberapa keping PLKS dipercayai palsu kerana maklumat yang meragukan,” katanya.
Menurutnya, susulan daripada itu sebuah lagi rumah berhampiran kediaman pasangan suami isteri terbabit turut diserbu dan dua lagi lelaki warga Pakistan berusia 30 dan 45 tahun telah ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan haram berkenaan.
Faizal berkata, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit pada awalnya masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial namun mendaftarkan diri pada program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) pada 2011.
“Tapi mereka kata ada PLKS namun setelah diperiksa terdapat maklumat dalam dokumen itu meragukan dan dipercayai palsu apabila memaparkan pemegangnya mempunyai majikan di negeri lain tetapi boleh bekerja di mana-mana sektor dan maklumat ini berbeza dengan PLKS yang asli.
“Siasatan awal turut mendapati kemungkinan lelaki ini memalsukan dokumen PLKS sebelum menjualnya kepada pekerja Pakistan lain yang ingin masuk ke negara ini,” katanya.
Faizal berkata, mereka juga berani mengugut beberapa warga Pakistan dengan mengambil pasport mereka jika gagal membayar wang yang diperlukan.
Selain itu katanya, sebuah rumah di taman sama turut diserbu dipercayai dijadikan transit kepada warga Pakistan yang masuk ke negara ini sebelum dihantar bekerja di lokasi tertentu atas permintaan.
“Kita syak mereka ini menjadi ejen untuk membawa masuk warga Pakistan ke negara ini.
“Hasil risikan, suami kepada wanita tempatan terbabit difahamkan menjadi individu penting menjemput warga Pakistan yang baru sampai ke negara ini di lapangan terbang sebelum dibawa ke rumah transit di Seremban Jaya,” katanya.
Bagaimanapun Faizal berkata, pihaknya masih melakukan siasatan dan kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 56(1) (L), Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di bawah Seksyen 51(5) akta yang sama.
0 Komen