Batu delima ada 'kuasa'
Azmi (kiri) bersama Siva menunjukkan lakaran wajah suspek.
KUALA PILAH – Gara-gara terpedaya dengan tipu helah seorang penjual barang-barang antik yang mendakwa batu delima yang dijualnya ada 'kuasa', pengusaha restoran berputih mata apabila wang simpanannya bernilai RM70,000 lesap.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di Bahau pada 11 Jun lalu itu berlaku selepas pengusaha berusia 52 berkenaan membuat rundingan untuk membeli batu delima dengan seorang lelaki dipercayai dari Indonesia.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, mangsa terserempak dengan suspek yang menjual barang-barang antik di hadapan sebuah bank di Bahau.

Menurutnya, ketika itu, mangsa didekati suspek yang datang menepuk belakang badannya.

"Suspek menunjukkan barang antik termasuk batu delima yang didakwa mempunyai 'kuasa' kerana dapat menyembuhkan penyakit selain menjadikan pemilik seorang yang kaya.

“Semasa membuat rundingan, seorang lelaki mendekati mereka dan berminat untuk membeli batu delima dengan harga RM100,000," katanya.

Azmi Abdul berkata, bagaimanapun, suspek yang terlebih dahulu membuat rundingan dengan mangsa menolak permintaan itu.

"Kami percayai, lelaki itu ada hubungan dengan suspek dan bagi mengukuhkan batu delima itu ada 'kuasa', lelaki itu seolah-olah berlakon dengan menunjukkan minat untuk membelinya,” katanya.

Beliau berkata, selepas terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa bersetuju untuk membelinya.

"Selepas itu, mangsa pergi ke sebuah bank di Kuala Pilah bersama suspek untuk mengeluarkan wang RM70,000.

“Kami belum pasti, kenapa mangsa membuat pengeluaran wang itu di Kuala Pilah sedangkan ketika kejadian, dia sudah berada di hadapan sebuah bank Bahau. Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Menurutnya, berikutan penyerahan wang itu dilakukan di luar perkarangan bank, tiada rakaman litar tertutup dirakamkan. Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya melakarkan wajah suspek yang berusia 30 hingga 40-an.

“Kita percaya suspek memang mensasarkan warga emas. Mangsa membuat laporan polis pada 12 Jun lalu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah selepas menyedari dia ditipu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, semalam.

Hadir sama, Pegawai Siasatan Jenayah Komersial Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu, P Siva Chandran.

Beliau berharap, sesiapa yang mengenali dan terserempak dengan suspek boleh menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Kuala Pilah di talian 06-4842222.