- Ah Yaw menunjukkan keadaan sampah kertas berselerakan di bahu jalan Kampung Baru Cina, Sungai Lui- Kemayan.
Sampah itu dipercayai terbiar di bahu jalan itu, setelah sebuah lori treler muatan kertas kitar semula terbalik ketika melalui selekoh pada pagi Jumaat minggu lalu, namun saki baki muatannya tidak dibersihkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Chong Ah Yaw, 73, berkata, beliau difahamkan lori itu menghala ke Pahang bagi menghantar muatan kertas yang dimampatkan.
Namun, katanya, lori berkenaan terbalik ke kiri jalan apabila melalui selekoh berkenaan menyebabkan muatannya jatuh berselerakan.
"Tetapi terdapat beberapa lori kecil membersihkan kertas itu, namun bakinya ditinggalkan. Kita minta jasa baik pihak bertanggungjawab untuk membantu membersihkan kawasan ini, susulan jalan ini merupakan laluan utama pengguna jalan raya ke Pahang atau Negeri Sembilan.
“Manakala, laluan ini agak bahaya kerana keadaan jalannya berliku-liku. Kadang-kala terdapat pengguna jalan raya yang memandu laju di kawasan ini lalu menyebabkan kemalangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan, semalam.
Ah Yaw berkata, Penduduk di sini kebanyakannya kerap ke Kemayan, Pahang bagi membeli keperluan harian berikutan ia tidak jauh, iaitu sekitar tiga kilometer sahaja, namun untuk ke pekan Bahau, 41 kilometer.
0 Komen