• Pusat hiburan tawar judi  
  • Anggota polis mengangkat mesin judi yang dirampas dalam operasi malam kelmarin.

SEREMBAN –  Tindakan sebuah pusat hiburan keluarga di Kemayan Square dekat sini yang turut menyediakan mesin permainan berbentuk perjudian membawa padah apabila premis berkenaan diserbu polis, malam kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, serbuan kira-kira jam 8 malam itu dilakukan selepas polis membuat risikan berikutan menerima banyak aduan berhubung kegiatan judi di premis berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kita menahan 12 pengunjung berusia 20 hingga 50 tahun yang sedang leka berjudi sehingga tidak sedar kehadiran pihak berkuasa.

“Kita merampas 26 mesin perjudian pelbagai jenis termasuk wang tunai RM168.00 yang berada di premis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun premis terbabit mempunyai lesen pusat hiburan keluarga, pemiliknya tetap dikenakan tindakan kerana menyediakan mesin berbentuk perjudian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan," katanya.